Dec 1 2012

Pendetaku

Pendetaku,

Indah sungguh tutur bicaramu

Tiap saat bersama berlalu bagaikan

Cebisan ilmu yang menggunung

Harapan dan doa dihulurkan

Agar DIA membalas segala pengorbanan

Yang tiada penghujungnya

 

Gagasan ilmu yang dicurahkan

Akan menjadi ikutan sepanjang zaman

Nostalgia bersamamu akan sedia kekal di

Ingatan

 

Biarpun jauh bahteramu belayar

Memori nan indah

Akan senantiasa bersemadi dalam jiwa

Anak muridmu…

 

Shaheda Bte Salim

10 June 2011

Diciptakan khas buat Cikgu Pitchay Gani sempena keberangkatannya ke Kanada

 


Dec 1 2012

E.T.

Deruman bayu memecah kesunyian malam
Bagai ribut taufan hembusan Arasy
Manusia terlena
Dibuai mimpi fana
Menghiraukan kilauan emas berputar-putar

Dunia yang gelap menjadi terang
Menyilaui mata-mata memandang
Bagaikan sebutir meteor yang memancar di angkasa
Menghampiri dunia tanpa amaran

Bumi hijau tiba-tiba merkah
Pabila piring terbang datang menjamah
Makhluk asing berpusu-pusu keluar
Mencari-cari keindahan di bumi

Manusia tersentak dari lamunannya
Menghidu kehadiran spesis curiga
Agen-agen perisik mendekati objek
Namun ia hilang dalam sekelip mata

Tetapi…
ET oh ET
Tersesatlah kini
Mencari-cari haluan di bumi
Spesis manusia amat digeruni
Hanya mampu mengecutkan diri

Namun…
ET oh ET
Berlalulah pergi
Kerana bumi tidak seindah diimpi
Kerana masih ada yang menanti
Datang menjemputmu dari lain galaksi

Shaheda Bte Salim

10 Februari 2011


Dec 1 2012

Bencana Miyagi

Gegaran bumi
Membelah dada Miyagi
Merobek hati
Mencengkam naluri
Rimbunan ombak berduri-duri
Bengis mendengus bagaikan gergasi
Merantap nyawa tanpa sangsi
Menghayun jiwa dengan pasti
Teknologi canggih tiadalah kuasa
Pabila takdir datang menduga
Nuklear meleret menggempar dunia
Radiasi menyelinap menikam si pencipta
Malapetaka datang berlaga-laga
Manusia kerdil menjadi mangsa
Sekelip mata jiwa meronta
Hilang perginya harapan bangsa.

Shaheda Bte Salim

21 Mac 2011

Memperingati peristiwa bencana nuklear di Jepun 20 Mac 2011


Jan 8 2011

Dia

Dia

Penggerak minda serta jiwa

Mengenal erti  kata sabar

Mencurah ilmu dengan tawa

Mengajar erti kehidupan sebenar

Dia

Membisik kata kata hikmat

Meniup bara api semangat

Memberi peluang tanpa paksaan

Membuktikan kebebasan tiada kekangan

Dia

Tunggak inspirasi ku

Tiang kasih juga harapan

Dia yang ku namakan guru

Sempurna mendidik tanpa kekerasan

 

Shaheda Bte Salim

08 Januari 2011

**Guru menyumbangkan ilmu. Mereka pendidik kepada golongan manusia. Mereka pendidik bagi seorang doktor yang berjaya, seorang juruterbang yang telah merentasi seluruh dunia dan seorang arkitek yang melakarkan bangunan pencakar langit. Guru merupakan tiang inspirasi. Namun demikian, kadang kala ibu bapa yang menyekat kebebasan seseorang anak demi untuk pergi lebih jauh. Kepentingan akademik sememangnya tidak dinafikan namun demikian, kebebasan untuk memilih perkara atau sesuatu yang dekat di hati tidak harus dikekang. Mereka menghambat dan menentukan masa depan anak mereka tanpa memikirkan perasaan yang tersemat di hati mereka. Oleh yang demikian, ini menyumbang kepada kemusnahan diri anak itu yakni beliau akan cuba memberontak dan melawan kata ibu bapa mereka. Mereka akan membuat keputusan yang terburu-buru tanpa memikirkan implikasi jangka panjang. Natijahnya, walaupun ibu bapa merupakan pendidik utama seorang anak, namun demikian, kadang kala mereka harus akur dan tunduk kepada kewibawaan seorang guru.**