Bumi Palestine

Kota suci kembali berdarah

Dengan tusukan ratusan peluru

Yang menuju dengan amarah

Merentas langit yang luas

Menembusi kepulan awan biru

Tanpa amaran

Dari pelbagai arah

Tiada pernah ingin menyerah

 

Tanah yang mashyur terus bernanah

Merekah

Menjadi gersang

Tumpasnya bangunan tinggi

Yang tadinya megah berdiri

Atas ledakan di muka bumi

Tiada upaya tuk berhenti

Kezaliman menjadi nadi kehidupan azali

 

Luka silam tiada upaya disembuh

Dihidapi dengan kesakitan baru

Kerna waad hanyalah boneka

Bagi menemani si anak kecil

Yang dahagakan kedamaian

Ketenteraman

Keamanan

Yang tiada pernah akan dikotakan

Hanya akan terus dikhianati

Disakiti

Diperalatkan berulang kali

 

Anak anak kecil terusan menjadi mangsa

Kerakusan kezaliman manusia

Dipaksa meraung dalam kesakitan

Meronta-ronta dalam kegelapan

Menyabung nyawa

Agar terus hidup

Namun

Tiada terkira yang pernah tewas

Bergelimpangan di medan pertempuran

Kaku

Diam membisu

Yang berterbangan hanyalah nyawa

Jiwa insan yang tiada berdosa

Dalam sekelip mata

 

Bumi Palestine pasti akan bangkit kembali

Menentang kezaliman

Menegakkan keadilan

Menghapuskan tamak haloba manusia

Yang inginkan kuasa semata

Panji Palestine tetap akan teguh berdiri

Walau ribuan peluru datang menari

Selagi kalimat Allahuakhbar dilaungkan

Perjuangan ini tiada akan terhenti.

 

Shaheda Bte Salim

30 November 2012

Memperingati serangan 17 November 2012 di Gaza

 

 


Leave a Reply