Dec 1 2012

Pendetaku

Pendetaku,

Indah sungguh tutur bicaramu

Tiap saat bersama berlalu bagaikan

Cebisan ilmu yang menggunung

Harapan dan doa dihulurkan

Agar DIA membalas segala pengorbanan

Yang tiada penghujungnya

 

Gagasan ilmu yang dicurahkan

Akan menjadi ikutan sepanjang zaman

Nostalgia bersamamu akan sedia kekal di

Ingatan

 

Biarpun jauh bahteramu belayar

Memori nan indah

Akan senantiasa bersemadi dalam jiwa

Anak muridmu…

 

Shaheda Bte Salim

10 June 2011

Diciptakan khas buat Cikgu Pitchay Gani sempena keberangkatannya ke Kanada

 


Dec 1 2012

Ramadan datang dan pergi

Ramadan datang dan pergi,
Dosa direbut pahala diketepi,
Mengapa ini harus terjadi,
Wahai manusia insan di bumi

Ramadan datang dan pergi,
Andai manusia lebih memahami,
Kebesaran bulan ini,
Membawa seribu erti

Ramadan datang dan pergi,
Bulan yang mengingati,
Supaya fakir tidak dilupai,
Zakat fitrah wajib diberi

Ramadan datang dan pergi,
Si alim bertadarus hingga pagi,
Merebut imbalan yang dijanji,
Nikmat dariNya tidak terperi

Ramadan datang dan pergi,
Sesungguhnya kita tidak akan ketahui,
Adakah kita dapat bertemu lagi,
Bulan yang suci menginsafi diri

Shaheda Bte Salim

4 September 2009

Pengamatan di Geylang Serai


Dec 1 2012

Andai waktu…

Andai waktu bisa berkata
Tiap hari yang berlalu
Menjadi mimpi indah
Yang akan kekal di hati

Andai waktu bisa bersuara
Setiap jam yang berlalu
Seperti air deras yang mengalir
Menghayutkan diri dalam gelombang cinta

Andai waktu bisa berbicara
Saat kemesraan dibuai mimpi
Khilaf yang disesali
Hanya mampu untuk dikesali

Andai waktu bisa mengungkapkan
Setiap detik kepedihan yang dirasai
Namun ku teguh menghadapi
Perpisahan yang ditakdirkan

Shaheda Bte Salim

23 Disember 2010

8:15am, The Hillbrooks


Dec 1 2012

E.T.

Deruman bayu memecah kesunyian malam
Bagai ribut taufan hembusan Arasy
Manusia terlena
Dibuai mimpi fana
Menghiraukan kilauan emas berputar-putar

Dunia yang gelap menjadi terang
Menyilaui mata-mata memandang
Bagaikan sebutir meteor yang memancar di angkasa
Menghampiri dunia tanpa amaran

Bumi hijau tiba-tiba merkah
Pabila piring terbang datang menjamah
Makhluk asing berpusu-pusu keluar
Mencari-cari keindahan di bumi

Manusia tersentak dari lamunannya
Menghidu kehadiran spesis curiga
Agen-agen perisik mendekati objek
Namun ia hilang dalam sekelip mata

Tetapi…
ET oh ET
Tersesatlah kini
Mencari-cari haluan di bumi
Spesis manusia amat digeruni
Hanya mampu mengecutkan diri

Namun…
ET oh ET
Berlalulah pergi
Kerana bumi tidak seindah diimpi
Kerana masih ada yang menanti
Datang menjemputmu dari lain galaksi

Shaheda Bte Salim

10 Februari 2011


Dec 1 2012

Badai Pasir

Desiran angin bersiul-siulan
Memberi amaran setiap insan
Langit pula semakin kelam
Di tanah gersang suasana suram

Kepanasan semakin membara
Jiwa kian meronta
Pawana masih bertiup kencang
Bak tiupan sangka kala
Bak hembusan api kemarahan

Udara panas memusar-musar
Gumpalan pasir berputar-putar
Membumbung tinggi
Menggapai langit
Melitupi awan

Dunia tiba-tiba menjadi gelap
Pandangan kabur tanpa cahaya

Mungkinkah ia hembusan dari Arasy?
Mungkinkah ia satu pentanda?
Sesungguhnya kekuasaan Ilahi tiada diduga.

Shaheda Bte Salim

1 Mac 2010

 


Dec 1 2012

Bencana Miyagi

Gegaran bumi
Membelah dada Miyagi
Merobek hati
Mencengkam naluri
Rimbunan ombak berduri-duri
Bengis mendengus bagaikan gergasi
Merantap nyawa tanpa sangsi
Menghayun jiwa dengan pasti
Teknologi canggih tiadalah kuasa
Pabila takdir datang menduga
Nuklear meleret menggempar dunia
Radiasi menyelinap menikam si pencipta
Malapetaka datang berlaga-laga
Manusia kerdil menjadi mangsa
Sekelip mata jiwa meronta
Hilang perginya harapan bangsa.

Shaheda Bte Salim

21 Mac 2011

Memperingati peristiwa bencana nuklear di Jepun 20 Mac 2011


Dec 1 2012

Gegaran Haiti

Bumi berdetar tanpa diduga,

Jiwa terkorban jasad tertanam,

Kepiluan hati tiada tertahan,

Negara jiran melimpahkan bantuan.

 

Jutaan bantuan dapat dihulurkan,

Meringankan sedikit bebanan,

Kesengsaraan yang dihadapi,

Hanya empunya badan dapat merasai.

 

Alangkah bencana sebuah mimpi,

Mainan tidur yang dimiliki,

Namun ini adalah realiti,

Yang tak mungkin mereka lari.

 

Sesungguhnya ini suratan takdir,

Yang ditentukan Maha kuasa,

Kita hanya mampu berdoa,

Agar lebih bantuan diterima.

 

Shaheda Bte Salim

4 Februari 2010

Memperingati gempa bumi di Haiti 12 Januari 2010


Dec 1 2012

Bumi Palestine

Kota suci kembali berdarah

Dengan tusukan ratusan peluru

Yang menuju dengan amarah

Merentas langit yang luas

Menembusi kepulan awan biru

Tanpa amaran

Dari pelbagai arah

Tiada pernah ingin menyerah

 

Tanah yang mashyur terus bernanah

Merekah

Menjadi gersang

Tumpasnya bangunan tinggi

Yang tadinya megah berdiri

Atas ledakan di muka bumi

Tiada upaya tuk berhenti

Kezaliman menjadi nadi kehidupan azali

 

Luka silam tiada upaya disembuh

Dihidapi dengan kesakitan baru

Kerna waad hanyalah boneka

Bagi menemani si anak kecil

Yang dahagakan kedamaian

Ketenteraman

Keamanan

Yang tiada pernah akan dikotakan

Hanya akan terus dikhianati

Disakiti

Diperalatkan berulang kali

 

Anak anak kecil terusan menjadi mangsa

Kerakusan kezaliman manusia

Dipaksa meraung dalam kesakitan

Meronta-ronta dalam kegelapan

Menyabung nyawa

Agar terus hidup

Namun

Tiada terkira yang pernah tewas

Bergelimpangan di medan pertempuran

Kaku

Diam membisu

Yang berterbangan hanyalah nyawa

Jiwa insan yang tiada berdosa

Dalam sekelip mata

 

Bumi Palestine pasti akan bangkit kembali

Menentang kezaliman

Menegakkan keadilan

Menghapuskan tamak haloba manusia

Yang inginkan kuasa semata

Panji Palestine tetap akan teguh berdiri

Walau ribuan peluru datang menari

Selagi kalimat Allahuakhbar dilaungkan

Perjuangan ini tiada akan terhenti.

 

Shaheda Bte Salim

30 November 2012

Memperingati serangan 17 November 2012 di Gaza