NILAI PERJUANGAN
Pada setiap perjuangan
perlu ada keikhlasan
walaupun akan ada bersamanya tujuan
akan ada bersamanya sebab
akan juga matlamat dan motif
walau apapun istilah yang digunakan
setiap perjuangan itu membuahkan hasil
menjana harapan dan masa depan
dan dalam pada itu akan ada cabaran
yang ada padanya dugaan
hingga membawa kita ke ambang ketandusan
hingga kita mengatakan kita kalah
pada masa itu jugalah kita sebenarnya
sudah hampir ke pintu kejayaan
ke pintu nikmat penuh keramat
hanya bagi insan yang ikhlas
yang tidak mengkhianati janji
yang ingat akan setiap bantuan
setiap doa dan bimbingan
yang diterimanya.
Dialah yang wajar dan layak
terima segala anugerah
dan ingatlah mereka
yang mengkhianati janji
akan balasan Tuhan
yang datang segera di muka bumiNya
pada akhir zaman ini
kerna kiamat sudah hampir
hanya sehari dalam setahun atau bertahun
akan kita temui hari yang penuh tandatanya.
Kerna hidup ini hanyalah untuk berbakti
hanya bakti yang dibawa mati
ketika hidup ia memberkati
hingga hidup dirahmati.
Pitchay Aziz
Toronto, Canada
10.28 malam
25 Sept 2011

SEMOGA BAHAGIA

Sama-sama maju ke hadapan
pandai cari pelajaran
jaga diri dalam kesihatan
serta sopan santun dengan kawan-kawan
dengan budi bersih serta tinggi
sama-sama hormat dan berbudi.

Jaga tingkah pemuda-pemudi
adat dan budaya junjung tinggi
capailah lekas cita-cita
pemudi-pemuda
supaya kita ada harga di mata dunia.

Kalau kita leka serta lupa
hidup kita sia-sia
jiwa besar sihat serta segar
rajin dengan sabar
tentu bahagia

Lemah lembut perangai pemudi
cergas tangkas wataknya pemuda
sukarela selalu berbakti
jiwa yang pembela dan berjasa

Capailah nama yang mulia
pemudi-pemuda
rajinlah supaya berjaya
semoga bahagia.

Lagu dan senikata oleh Zubir Said

PENTAS PENULIS

Penulis merupakan segolongan manusia yang sangat perihatin akan kesekitaran mereka. Ini terbukti melalui upaya mereka merakamkan setiap kisah kehidupan ini dengan mata pena yang kreatif dan kritikal. Kemampuan penulis mereka watak-watak yang hidup dalam pentas yang mereka bangunkan membuktikan pengamatan mereka yang penuh komitmen terhadap perwatakan satu-satu watak yang dihidupkan sehinggakan terkadang mereka sendiri terperangkap dengan watak yang diperwatakkan. Mereka sendiri berdiri di pentas sandiwara yang mereka rekakan. Akhirnya ada di antara mereka yang tidak dapat membezakan antara realisme dan fiksyen. Mereka terjerumus dalam dakwah yang mereka ciptakan walhal mereka menjadi watak-watak yang menolak dakwah itu. Mereka cuba menjadi pendakwah, penasihat, hakim, hero melalui karya mereka sedangkan mereka adalah sehina-hina watak yang mereka ciptakan. Kadangkala absurdisme lebih realistik daripada realisme itu sendiri. “Makanya di antara para penyair itu ramai yang akan ke neraka”. Satu peringatan dari yang maha esa kepada setiap penulis.

HIPOKRASI

Drama ‘waktu sesudah itu’ merupakan manifestasi hipokrasi dan watak-watak manusia yang hanya menyanjung nama dan pangkat. Sering yang hina itu dilupakan walaupun ia pernah pada satu waktu pejuang besar yang mendapatkan apa yang dinikmati ramai hari ini. Watak Hindon merupakan manifestasi watak sedemikian. Sifat hipokrasi ini pula wujud dalam pelbagai watak di dalam drama ini sehinggakan begitu ketara sekali. Sejauhmanakah persoalan yang dikemukakan ini ada kebenarannya dan sejauhmanakah ianya fiksyen semata. Tentunya dapat dibuktikan daripada keadaan dan perkembangan sosio-sejarah yang dipaparkan dalam drama tersebut.

DOA SEORANG PEMIMPIN

Inikah keadilan
satu negara dibedil dunia
sedang dunia tiada hak ke atasnya

Inikah keadilan
satu negara dihujani peluru
sedang dunia tiada hak ke atasnya
Inikah keadilan
dengan pantas dunia menyerang tanpa ikhsan
akan satu desakan pemberontakan
demi satu pembaharuan kepimpinan

Sedang negara lain lebih curang
lebih garang, lebih berang
menyerang dan menenggelamkan
memperkosa hak kemanusiaan
tapi dunia hanya berbicara
hanya berkata – kita adakan sekatan

Walhal negara tadi dihancurkan kuasa dunia
tanpa berfikir panjang
tanpa tolak ansur
inikah keadilan

Dunia kini dipimpin durjana-durjana
yang dahagakan minyak
demi kestabilan dunia
demi keempokan kedudukan
demi kecintaan kepada kebebasan dunia
Kini kuhimpun sepuluh jari
telah Kau janjikan
doa yang teraniaya akan dimakbulkan
datanglah gempa menggegar durjana
silalah tsunami menenggelami durjana
jangan kau biarkan durjana menjana kedurjanaan
berilah maruah kepada bangsa yang berduka.
Mohamed Pitchay Gani BMAA
23 Mac 2011
2.30 ptg
Tampines

PENULIS AGUNG

Tokoh-tokoh besar persuratan zaman pramodern merupakan orang-orang yang mementingkan khazanah bangsa dari sudut penulisan mahupun pemikiran. Mereka lahirkan banyak karya yang menyorot susurgalur dan psikologi bangsa. Kitab sejarah Melayu misalnya padat dengan isi yang penuh hikmah jika dikaji dan diselongkar. Di dalamnya terkandung strategi perang, diplomasi, penciptaan, penulisan fiksyen dan kreatif non-fiksyen serta susurgalur raja-raja Melayu. Penulis sangat bijak mengolahkan sebuah kitab sejarah dengan sisipan pemikiran kritikal dan kreatif. Kitab Pelayaran Abdullah pula padat dengan kritikan terhadap feudalisme dan tabiat masyarakat Melayu ketika itu. ia begitu mendalam hinggakan aspek bahasa juga disentuh. Begitulah penghasilan khazanah lama yang malapsegar hingga ke hari ini isinya tetap mendatangkan tafsiran baharu. Bagaimana pula dengan karya-karya modern zaman ini yang dihasilkan oleh para penulis yang kita gelar penulis agung.

MEMPERSOALKAN SIFAT KEIBUAN

Ibu adalah seorang manusia yang sangat mulia kerana dia yang melahirkan dan membesarkan anak yang dikandungnya. Naluri keibuan tentunya tidak dapat dipertikaikan lebih-lebih lagi apabila anaknya berdepan dengan keadaan yang tidak menentu mahupun bahaya. Biasanya kita dengar nukilan bahawa ibu sanggup berkorban untuk kebaikan anaknya walaupun dirinya sendiri dilingkungi kesusahan.

Namun demikian, dalam konteks novel Restu karya Ismail Kassan, sifat keibuan seumpama ini gugur apabila ibu Yazid sanggup menggadaikan kepentingan anak-anaknya untuk orang lain. Dia sanggup berkahwin dengan seorang lelaki tua yang ramai anaknya lalu memikul beban menjaga anak-anak lelaki itu tanpa sedikitpun memikirkan tentang anak-anaknya yang masih muda dan sangat-sangat memerlukan belaian, bimbingan dan kasih sayang seorang ibu. Dia meninggalkan Yazid dan adiknya untuk hidup sendiri sehinggakan Yazid terpaksa menguruskan makan pakai adiknya sambil menguruskan ladangnya untuk mendapatkan belanja dan ke sekolah untuk hari mukanya.

Yang menarik lagi saudara maranya yang sanggup menjodohkan ibu Yazid dengan orang tua itu tanpa memikirkan tentang keadaan keluarga Yazid. Saudara maranya nampaknya berkomplot untuk menjadikan ibu Yazid pemikul beban agar mereka semua terlepas daripada tanggungjawab sedemikian.

Adakah peristiwa ini benar atau hanya khayalan penulis semata untuk menduga hati pembaca. Jika ianya benar, maka wajarkah wanita itu digelar ibu? Dan jika ia benar, maka saudara mara Yazid itu adalah manusia yang paling zalim di muka bumi ini. Nilaikan.

HIPOTESIS BAHASA WAHYU

Bahasa ibunda melambangkan dinamisme bangsa yang telah berakar umbi sejak individu itu dilahirkan. Maka bahasa yang tentunya dekat di hati yang menjadi bahasa “wahyu” individu itu adalah bahasa yang ibu-ayahnya tuturkan kepadanya sejak di dalam rahim ibu lagi. Tentunya bahasa itu amat berkesan kepadanya kerana ia dibangunkan senadi dengan pembangunan roh dan jasadnya sejak ia mula dihasilkan. Maka ibu bapa yang bertutur dalam satu bahasa tentunya melahirkan anak yang mono bahasa. Ibu bapa yang berdwi bahasa bakal melahirkan anak yang dwibahasanya.

Namun demikian, proses sebenar pemupukan bahasa itu berlaku tatkala anak itu dilahirkan ke bumi dan mula melalui proses pembesaran. Di sinilah masa yang sangat penting dan masa anak itu benar-benar selesa dengan bahasa yang dituturkan kerana bahasa itu juga membesar dengannya dan mengikut rentak pembentukan gusi, gaham, tekak dan mulut anak itu. Anak mula mengikut rentak bahasa yang ibu-ayah gunakan di rumah sekaligus menanam rasa selesa atau kekoknya menggunakan sesuatu bahasa.

Rasa kekitaan bahasa pula berlaku tatkala anak itu mula melalu proses sosialisasi. Anak itu mula bertemu dengan kawan-kawan dan menggunakan bahasa yang senadi dengan kawan-kawannya langsung mula memerikan citra trend bahasa yang sewaktu dengannya. Di sini anak mula mengasah kemampuan bahasa kerana banyak interaksi berlangsung dengan kawan-kawan berbanding dengan ibu-ayah.

Namun demikian, proses yang akan menjadikan anak-anak itu cinta atau benci sesuatu bahasa itu berlaku tatkala anak-anak melalui proses persekolahan. Sikap guru terhadap bahasa menjadi kunci kekal-matinya bahasa di dalam jiwa anak itu kerana sikap guru menjadi ukur tara anak yang dahagakan ilmu. Jika guru tiada jiwa kepada bahasa sekadar melaksanakan tugas mengajar memenuhi keperluan kurikulum sekolah maka anak itu juga akan belajar bahasa memenuhi keperluan peperiksaan. Jika guru mengajar bukan kerana kurikulum semata tetapi mahu menyulamkan kesucian bahasa ke dalam jiwa anak itu dengan guru sendiri sebagai contoh pengguna, penggerak, pencari ilmu bahasa, maka anak itu tentunya akan cinta kepada bahasa itu kerana ia akan datang umpama “wahyu” bukan lagi sebagai satu proses pengajaran dan pembelajaran.

Sejauhmanakah ia benar – tinjau pengalaman masing-masing.

NATIONALISME TERPIMPIN

Nationalisme merupakan satu prinsip yang penting bagi satu-satu bangsa untuk terus hidup dengan penuh kepuasan. Tanpa nasionalisme manusia itu adalah sebatang pohon yang tidak mampu mempertahankan diri daripada pukulan sang bayu dan cengkaman sang mentari apatahlagi serangan sang serangga. Nationalisme memastikan bahawa sang bayu, mentari dan serangga memohon izin sebelum mendodoi dedaunnya, memberi makan kepada dedaunnya dan membersih-suburkan dedaunnya.

Manusia yang bijak harus sentiasa sedar tentang harga dan maruah diri seperti yang digerakkan sendiri oleh pemerintah. Kita lihat bagaimana Singapura menentang negara-negara besar apabila berhadapan dengan isu Pulau Batu Putih dengan kebijaksanaannya, membangun pulau kosong kepada bandar dunia pertama dengan ilmunya dan mematikan isu air dengan teknologinya. Ini nasionalisme kerana mementingkan bangsa Singapura agar tidak dianiaya oleh mana-mana pihak akan haknya. Inilah namannya nasionalisme terpimpin.

Bagaimanakah bangsa kita boleh mengambil ikhtibar daripada pragmatisme ini?
For the strength of the Pack is the Wolf and the strength of the Wolf is the Pact
- Rudyard Kipling

APA YANG MEREKA KATAKAN

Ada yang mengatakan
ia adalah kehendakNya
menunjukkan manusia alpa
akan kewujudan dan kemahahebatanNya
menghancurkan dengan air yang kecilnya menjadi minuman
demi satu kehidupan,
dengan gegaran yang maha kuat dan gempita bak halilintar
mencabuk bumi retak dan runtuh segala keangkuhan.

Ada yang mengatakan
ia adalah akibat satu hukuman
yang lama dinanti akan kemahahebatan keangkuhan manusia
yang diselimuti maksiat dan kedaifan akan ketuhanan
dengan air yang meragut segenap ruang
tanpa belas mahupun ikhsan.

Ada yang mengatakan
akhirnya mereka terima balasan setelah enam abad berlalu
setelah mereka memperkosa Malaya,
memancung sekehendak hati,
merobek perut insan tanpa ikhsan,
menghancurkan naluri insani
hingga menjadi sumpahan tujuh keturunan
dengan bumi merekah menelan sepuas nafsu.

Walauapapun mereka katakan,
insan tetap leka dan lena,
dibuai nafsu dan khayalan,
hingga lupa ceretera di dalam kitab mutlak
tentang air yang rakus dan bumi yang lapar
tentang segenap peristiwa yang berulang kini.

Makanya kita yang disayangiNya
wajar sedar dan sedia berkhidmat
ke jalanNya agar tidak kita dikatakan
sepertimana yang mereka katakan.

Mohamed Pitchay Gani BMAA
19 Mac 2011
7.24pm
Tampines Street 21