Peribahasa: Biduk Satu Nakhoda Dua

Peribahasa biduk satu nakhoda dua itu menyindir seseorang perempuan yang bersuami dua, pada satu masa. Bersuami lebih dari satu memang tidak terlintas pada akal bicara orang Melayu biasa kerana orang Melayu ialah orang Islam iaitu masyarakat yang beramal dengan sistem poligami yang mampu, yang tidak, padalah dengan yang satu tetapi bagi masyarakat yang beramal dengan sistem poliandre; sistem berbilang suami, hal yang demikian itu adalah sesuatu yang normal, suatu norma yang diterima sebagai cara hidup yang saksama, sesuai dengan keperluannya!

Mutiara Bijaksana
Terbitan Angkatan Sasterawan ’50
2011

Peribahasa: Seperti Katak Di Bawah Tempurung

Peribahasa: seperti katak di bawah tempurung itu menyindir orang yang picik pengetahuan, yang tidak bersedia menerima kemajuan, yang mendabik-dabik dada, berbangga dengan sekelumit yang dia ada. Seperti katak di bawah tempurung ialah perumpamaan bagi orang yang bebal lagi dengu. Maka manusia yang demikian itu, tidak mampu memberi apa-apa sumbangan kepada negerinya.

Mutiara Bijaksana
Terbitan Angkatan Sasterawan ’50
2011

Peribahasa: Sedikit, Sedikit Lama-lama Jadi Bukit

Peribahasa: sedikit, sedikit lama-lama jadi bukit itu sama maknanya dengan makna peribahasa: sehari selembar benang lama-lama menjadi sehelai kain, iaitu mengerjakan sesuatu hendaklah tekun dan sabar supaya insyAllah pada akhirnya pekerjaan itu berhasil juga. Besar kemungkinan bahawa peribahasa: sedikit, sedikit lama-lama jadi bukit telah lahir dalam masyarakat tani, sedang peribahasa: sehari selembar benang lama-lama menjadi sehelai kain itu pula terbit dari kalangan masyarakat industri.

Mutiara Bijaksana
Terbitan Angkatan Sasterawan ’50
2011

Peribahasa: Air Digenggam Tiada Tiris

Peribahasa: air digenggam tiada tiris membahasakan keadaan orang yang terlalu cermat membelanjakan wangnya sehingga dianggap bakhil, lokek, kikir, kedekut dan sebagainya. Pada ghalibnya, air mengalir melalui saluran; bagaimanapun ia diempang dapat dilaluinya. Air tak tirus dari genggaman merupakan sesuatu yang luar biasa; tetapi jika itu berlaku bermakna si penggenggam memang sungguh- sungguh tidak mahu melepaskan air itu tiris dari genggamannya! Demikianlah, orang yang terlalu cermat mengawal perbelanjaannya sehingga dianggap bakhil itu disindir dengan peribahasa: air digenggam tiada tiris.

Mutiara Bijaksana
Terbitan Angkatan Sasterawan ’50
2011

Peribahasa: Bersakit-sakit Dahulu, Bersenang-senang Kemudian


Berakit-rakit ke hulu,
Berenang-renang ke tepian;
Bersakit-sakit dahulu,
Bersenang-senang kemudian!

Peribahasa yang diserlahkan tadi ialah bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian. Kekata bersakit-sakit dalam peribahasa itu bukanlah “sakit” tetapi ia mengungkapkan maksud: berpayah-payah, sanggup menanggung penat dan lelah.

Mungkin sedikit derita jika terpaksa, tekun dan langgeng berusaha; bekerja keras dan bersungguh-sungguh berhempas pulas untuk memperolehi kesenagan dan kelapangan, ketika usia sudah lanjut menjelang, tenaga sudah banyak yang hilang, sedang nafsu dan selera masih rangsang!

Pendek kata, dengan cakap yang mudah: peribahasa bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian itu menasihati seseorang supaya rajin bekerja di waktu muda: berbakti dan berjasa sambil mengumpul harta untuk duduk bersenang-lenang dan bersandar istirehat di masa tua!

 

Mutiara Bijaksana
Terbitan Angkatan Sasterawan ’50
2011

Peribahasa: Adat Gajah Terdorong

Orang-orang yang menggunakan kesempatan menyalahgunakan kekuasaan yang kita beri kepadanya untuk kepentingan diri atau kepentingan keluarganya sendiri. Mereka gunakan kekuasaan itu untuk melindungi kecurangannya. Peribahasa membahasakan orang yang demikian itu dengan perkataan: adat gajah terdorong.

Gajah ialah binatang terbesar, dalam anggapan kita. Oleh kerana besarnya itu maka gajah itu berat; dan oleh kerana beratnya itu gajah selalu terdorong atau terlajak. Berat dan besar gajah itu ibarat kuasa. Maka orang yang berkuasa itu kadang-kadang terlupa ia akan hak orang lain yang diamanahkan kepadanya; yang diingatnya ialah kekuasaannya sahaja. Dalam keadaan yang sedemikian itulah seseorang yang berkuasa dan telah menyalahgunakan kekuasaannya.

Mutiara Bijaksana
Terbitan Angkatan Sasterawan ’50
2011 

Definisi: Adat

Kekata “adat” terpakai dalam bahasa Melayu dengan makna: “sifat yang lazim bagi sesuatu benda” misalnya: adat air cair; adat api panas; adat gula manis; adat jadam pahit dan lain-lain yang sebagainya. Tetapi, kekata “adat” itu bermakna juga: “peraturan yang sudah diamalkan turun-temurun semenjak dahuku kala” yang sudah menjadi semacam undang-undang untuk dipatuhi oleh masyarakat yang mencipta adat itu. Dalam bahasa modennya, adat peraturan itu disebut “disiplin”. Pendeknya, segala perbuatan dan amalan kita meniti hidup ini adalah dengan adat dan peraturannya seperti yang dinyatakan oleh peribahasa: adat sepanjang jalan, cupak sepanjang betung; “betung” ialah sejenis buluh besar.

Ungkapan “tidak beradat” selalu dibahasakan kepada orang yang tidak sopan; yang kasar kelakuannya; yang buruk perangainya dan yang sumbang tindak-tanduknya. Tidak beradat sama maknanya dengan “kurang ajar”. Orang yang tidak beradat, tidak digemari oleh masyarakatnya; malah setengah-setengah golongan menganggap orang yang tidak beradat itu sama seperti binatang. Sebab itu orang-orang bijak berkata: biarlah kita tidak berharta tetapi jangan kita tidak beradat!

Mereka yang melakukan kelakuan bersalah adat itu dihukum oleh masyarakat adatnya. Hukuman terhadap orang yang mengingkari adat itu ialah dikeluarkan dari masyarakat golongannya. Hak mengeluarkan mereka dari golongannya itu terkandung dalam peribahasa: biar mati anak jangan mati adat yang bermakna: tidak mengapa kehilangan seorang anak yang derhaka, tidak patuh, tidak hormat atau mengingkari hukum, asalkan disiplin atau adat peraturan yang memelihara keharmonian masyarakat itu dapat dipertahankan.

Mutiara Bijaksana
Terbitan Angkatan Sasterawan ’50
2011