Tuah si buta kerana mensyukuri nikmat Ilahi (BH, 03.06.11)

Oleh

Sulaiman Jeem

ADA tiga lelaki miskin daripada kaum Bani Israel.

Nama sebenar mereka tidak diketahui. Namun, masing-masing mempunyai gelaran tersendiri – Si Sopak, Si Botak dan Si Buta.

Si Sopak mendapat nama itu kerana kulitnya yang berpenyakit sopak. Oleh itu, beliau sering dipandang hina dan dijauhi oleh orang ramai. Beliau sentiasa berangan-angan menjadi orang kaya dan berkulit halus.

Si Botak pula mendapat nama kerana berkepala botak. Beliau inginkan agar kepalanya ditumbuhi rambut dan tidak lagi ditertawakan orang.

Si Buta pula adalah orang yang cacat penglihatannya. Beliau mahu agar dapat melihat dunia.

Allah swt mengutus malaikat untuk menguji mereka. Malaikat mendatangi mereka dalam bentuk manusia.

Malaikat mendatangi Si Sopak dan bertanya:

‘Apakah yang kamu inginkan?’

‘Kulit yang bersih dan sembuh daripada penyakit menjijikkan,’ jawab Si Sopak spontan dan penuh hormat.

Malaikat lalu menyapu kulit Si Sopak.

Dengan serta-merta kulitnya berubah menjadi bersih dan beliau kelihatan tampan. Si Sopak hairan melihat akan perubahan dirinya itu.

Malaikat kemudian bertanya lagi:

‘Apakah harta yang ingin kamu miliki?’

‘Unta,’ jawab Si Sopak, singkat dan tegas.

Malaikat lalu memberikannya seekor unta bunting dan berdoa:

‘Moga Allah memberkati kamu dengannya.’

Selepas itu, malaikat mendatangi Si Botak dan bertanya:

‘Apakah yang kamu inginkan wahai Si Botak?’

‘Rambut yang cantik dan sembuh daripada penyakit botak ini, yang menyebabkan orang tertawa melihat wajahku,’ jawab Si Botak, sedih tapi penuh harapan.

Malaikat kemudian mengusap kepala Si Botak. Ketika itu juga tumbuhlah rambut di kepalanya itu. Si Botak berasa sungguh gembira.

Malaikat bertanya lagi:

‘Apakah harta yang kamu inginkan?’

‘Lembu,’ jawab Si Botak dengan tegas.

Malaikat kemudian menyerahkan seekor lembu bunting kepada Si Botak dan berdoa:

‘Semoga Allah memberkati kamu dengannya.’

Seterusnya malaikat mendatangi Si Buta dan bertanya:

‘Apakah yang kamu inginkan?’

‘Aku inginkan agar Allah menyembuhkan mataku dan aku dapat melihat,’ jawab Si Buta penuh ikhlas.

Setelah diusap matanya oleh malaikat, Si Buta pun dapat melihat.

Malaikat kemudian bertanya apakah yang beliau inginkan.

‘Kambing,’ jawab Si Botak, ringkas dan tegas.

Malaikat kemudian memberikannya seekor kambing bunting dan mendoakannya sebagaimana yang didoakan kepada Si Sopak dan Si Botak.

Beberapa tahun kemudian ternakan ketiga-tiganya membiak dan mereka terkenal sebagai orang kaya.

Haiwan-haiwan ternakan mereka itu memenuhi lembah.

Kemudian pada satu hari, datanglah malaikat tadi menjenguk ketiga-tiga mereka dengan menyerupai keadaan asal mereka.

Malaikat mendatangi Si Sopak yang kini hidup mewah lalu berkata:

‘Saya seorang musafir miskin, terkandas dalam perjalanan. Tidak ada bekalan untuk pulang melainkan mengharapkan pertolongan Allah dan belas kasihanmu.

‘Demi Allah yang telah mengurniakan tuan paras yang cantik dan harta melimpah, moga tuan dapat bersedekah kepada saya seekor unta supaya dapat saya meneruskan perjalanan saya.’

Permintaan musafir itu dijawab dengan sombong oleh Si Sopak:

‘Aku banyak tanggungan dan hutang yang mesti diselesaikan. Aku tidak dapat memberikan sesuatu kepadamu.’

Malaikat kemudian pura-pura bertanya:

‘Rasa-rasanya saya pernah mengenali tuan. Bukankah tuan dulu seorang yang miskin dan berpenyakit sopak dan kemudian Allah memberi tuan kekayaan?’

Meskipun terkejut dengan pertanyaan malaikat itu, Si Sopak terus berbohong:

‘Aku mewarisi semua kekayaan ini daripada datuk dan nenekku.’

‘Andai tuan berdusta, moga Allah mengembalikan tuan seperti keadaan asal tuan,’ ujar malaikat.

Sebaik-baik sahaja malaikat itu pergi, Si Sopak kembali menghidap sopak. Kulitnya kelihatan menjijikkan sesiapa saja yang melihatnya. Setiap hari binatang ternakannya mati hingga habis semuanya.

Malaikat kemudian mendatangi Si Botak dengan menyerupai seorang lelaki botak dan melarat.

Malaikat meminta seekor lembu untuk meneruskan perjalanannya setelah memberikan alasan yang sama seperti yang diberikan kepada Si Sopak.

Jawapannya yang diterima tidak berbeza daripada jawapan Si Sopak.

Maka malaikat pun mendoakan supaya Si Botak kembali seperti keadaannya yang asal. Semua lembu ternakannya mati satu demi satu. Beliau kembali menjadi botak.

Akhirnya malaikat mendatangi Si Buta dengan menyerupai seorang buta yang miskin dan meminta bantuan dengan alasan yang sama seperti yang diberikan kepada Si Sopak dan Si Botak sebelumnya.

‘Sesungguhnya dahulu saya seorang buta,’ ujar Si Buta dengan penuh hormat dan menambah:

‘Kemudian Allah memulihkan penglihatan saya. Ambillah apa yang kamu inginkan. Tinggalkan apa yang kamu tidak suka. Demi Allah, aku tidak mahu menyusahkan kamu kerana apa yang kamu ambil itu kerana Allah.’

Namun, malaikat berkata:

‘Peliharalah baik-baik hartamu ini. Allah telah menguji kamu dan kamu telah diredai-Nya, sedang kedua-dua rakanmu gagal dan dimurkai-Nya.’

Demikian ujian Allah kepada manusia.

Namun, manusia sering gagal dalam ujian yang berupa hikmah. Sesungguhnya beruntunglah orang yang sentiasa bersyukur kepada-Nya.

http://cyberita.asia1.com.sg/mkomentar/story/0,6879,190026,00.html?

Guru diseru jadikan pusat bahasa Melayu ‘pangkalan’ (BH, 03.06.11)

TINJAU PAMERAN: (Dari kanan) Encik Mohamed Noh dan Profesor Dr Zamri bersama salah seorang guru peserta Seminar Bahasa Melayu, Encik Sherhan Suhandi, meninjau sebuah gerai pameran sempena seminar tersebut. — Foto JOHARI RAHMAT


Oleh

Linilidia Abdul Hamid

PUSAT Bahasa Melayu Singapura (MLCS) boleh menjadi pangkalan bagi guru Bahasa Melayu berkumpul, selain memainkan peranan utama menyokong perkembangan profesional mereka.

Ini disarankan Ketua Pengarah Pendidikan Kementerian Pendidikan (MOE), Cik Ho Peng, semasa berucap merasmikan Seminar Bahasa Melayu di Pusat Bahasa MOE di Bishan kelmarin.

‘Selain menyokong perkembangan profesional guru Melayu, MLCS bertujuan memperdalam etos guru Bahasa Melayu melalui latihan, (program) perkembangan, program matrikulasi, sesi perkongsian serta menjadi pangkalan bagi guru Melayu berkumpul,’ ujarnya, yang menyifatkan pembentukan MLCS sebagai satu langkah ke depan yang penting.

Seminar itu, bertema Memperkasa Guru, Mempercekapkan Pelajar: Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu dalam Abad ke-21, disertai 420 guru sekolah rendah dan menengah serta maktab rendah.

Penceramah undangan seminar itu ialah Ketua Jabatan Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Madya Dr Zamri Mahamod.

Beliau menyentuh tentang empat konsep pengetahuan pedagogi kandungan yang perlu dikuasai setiap guru bagi menjadi guru cemerlang, berkesan, inovatif dan kreatif dalam pengajaran dan pembelajaran.

Empat konsep itu ialah pengetahuan isi kandungan, pengetahuan pedagogi, pengetahuan tentang ciri pelajar dan pengetahuan kurikulum.

Setelah mendengar ucapan dasar Dr Zamri, peserta dibahagikan kepada kumpulan bagi sesi perbincangan selari 24 kertas kerja yang dibentang sekitar 60 guru sekolah rendah, menengah dan maktab rendah.

Bercakap kepada pemberita, Pengarah Pusat MLCS merangkap Penolong Pengarah Bahasa Ibunda, Bahagian Perancangan dan Pembangunan Kurikulum (CPDD), Encik Mohamed Noh Daipi, berharap seminar sedemikian akan membantu guru Bahasa Melayu meningkatkan lagi mutu pembelajaran dan pengajaran bahasa Melayu di Singapura.

‘Saya mahukan setiap daripada kita (guru Bahasa Melayu) tahu bahawa apabila kita mengajar Bahasa Melayu, ia bukanlah bagi membantu pelajar kita lulus peperiksaan, tetapi memahami, menghayati bahasa mereka, menghargai kesusasteraan dan budaya kita, kerana bahasa kita adalah jati diri kita,’ ujar beliau.

http://cyberita.asia1.com.sg/msingapura/story/0,6879,189995,00.html?

Bahaya cuba-cuba ‘Parkour’ (BH, 03.06.11)

Oleh

Laporan Dan Gambar Johari Rahmat

SEKUMPULAN kanak-kanak ini dilihat membahayakan diri mereka dengan meniru aksi yang dipamerkan menerusi permainan yang dikenali sebagai ‘Parkour’.

Berusia antara lapan dengan 10 tahun, kanak-kanak ini asyik memanjat tembok di tingkat dua sebelum terjun ke bawah sebuah blok flat di Hougang Avenue 5.

Perbuatan mereka itu disaksikan sekumpulan rakan sebaya yang lain.

Tanpa menghiraukan keselamatan, mereka bergilir-gilir memanjat tembok di ruang tangga antara tingkat satu dengan dua blok berkenaan dan setelah puas hati tiada sesiapa melihat, mereka akan mula ‘beraksi’ – dengan terjun ke tingkat bawah.

Jeritan jurugambar Berita Harian yang kebetulan melalui kawasan itu bagaimanapun tidak didengar kerana jaraknya yang agak jauh.

Melihat mereka ‘beraksi’ boleh membuat hati berdegup kencang, lebih-lebih lagi apabila seorang daripada mereka cuba turun daripada parapet tingkat dua yang tingginya lebih kurang 10 meter, lalu terjun ke bawah flat itu (Lihat gambar-gambar urutan).

Permainan ‘Parkour’ lebih merupakan satu kegiatan jasmani yang digemari anak muda.

‘Parkour’ menguji kemampuan dan kebolehan seseorang dalam mengatasi sesuatu halangan dengan melakukan lompatan, memanjat, berayun atau bergolek.

Bagaimanapun kemampuan seseorang melakukan ‘Parkour’ dengan baik memerlukan bimbingan profesional.

Tanpa tunjuk ajar daripada orang yang bertauliah, apa yang dilakukan anak-anak ini hanya mengundang bahaya.

Malang tidak berbau, andai tersilap langkah mereka akan tercedera termasuk rakan yang tunggu di bawah blok flat.

http://cyberita.asia1.com.sg/msingapura/story/0,6879,189993,00.html?

Teruja dilantik adikong Presiden (BH, 31.05.11)

Oleh

Linilidia Abdul Hamid

BELIAU berkhidmat dalam Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) hampir 11 tahun.

Selama itu, Mejar Halmie Hussein Mattar, 34 tahun, telah berkhidmat dalam pelbagai bidang di SAF.

Namun semalam, Mejar Halmie (gambar) mencuba satu lagi cabang baru dalam kerjayanya bersama SAF apabila beliau dilantik sebagai salah seorang daripada 97 Adikong Kehormat Presiden.

Daripada jumlah itu, 12 adalah pegawai Perkhidmatan Negara (NS) dan 27 adalah adikong kehormat yang dilantik kali pertama.

Menurut Mejar Halmie, yang juga berkhidmat sebagai kakitangan pengarah di Sekolah Lanjutan Pegawai Tentera, beliau teruja dengan pelantikan itu.

‘Saya berpeluang berbual dengan beberapa pegawai yang telah menjawat adikong Presiden selama beberapa tahun. Mereka memberitahu ia merupakan jawatan yang memberi peluang kepada seseorang agar sentiasa mencuba sesuatu yang baru,’ ujar Mejar Halmie, bapa dua orang anak berusia tujuh dan tiga tahun.

Antara tugas adikong Presiden ialah merancang acara di istana seperti jamuan negara, hari terbuka Istana dan mengiring Presiden bagi majlis-majlis rasmi.

Para adikong juga mewakili Presiden bagi menyambut ketua negara yang dalam transit selain daripada menunjukkan tetamu ke tempat mereka serta bergaul dengan para tetamu bagi acara- acara rasmi negara.

Selain daripada SAF, para pegawai Angkatan Tentera Laut Singapura (RSN), Angkatan Tentera Udara Singapura (RSAF), Pasukan Polis Singapura (SPF) dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) turut dilantik menjadi adikong Presiden.

http://cyberita.asia1.com.sg/msingapura/story/0,6879,189789,00.html?

PELAJAR CEMERLANG: Menteri Pendidikan baru, Encik Heng Swee Keat, berbual dengan Encik Malik, antara lulusan terbaik jurusan berbilang media dan animasi NP. — Foto TAUFIK A. KADER

Oleh

Nurul Dayana Simangoon

AKIBAT keputusan Peperiksaan Sjil Am Pelajaran (GCE) peringkat ‘O’ kurang memuaskan, beliau tidak dapat mengikuti kursus idamannya – perfileman dan animasi – di politeknik.

Encik Mohammed Malik Abdul Karim terpaksa ke Institut Pendidikan Teknikal (ITE). Meskipun kecewa pada mulanya, beliau bekerja keras demi mengejar impian menjadi pembuat filem.

Hasilnya, setelah lulus ITE Dover, Encik Malik diterima mengikuti program diploma berbilang media dan animasi di Politeknik Ngee Ann (NP).

Kesungguhannya membuahkan hasil lagi apabila beliau menjadi antara lulusan terbaik jurusan itu.

Beliau menggenggam diploma merit kerana lulus dengan cemerlang, mendapat 12 kepujian dan 10 gred ‘A’ dengan gred mata purata (GPA) 3.8.

Encik Malik, 23 tahun, antara sekitar 320 lulusan Sekolah Teknologi Infokom yang menerima diploma mereka semalam.

Menteri Pendidikan baru, Encik Heng Swee Keat, menjadi tetamu terhormat dalam majlis penyampaian diploma itu.

NP akan mengadakan majlis penyampaian diploma hingga Jumaat ini.

Semasa ditemui semalam, Encik Malik, anak bongsu daripada tiga adik-beradik, berkata sejak kecil beliau minat pada animasi dan ingin menjadi pembuat filem.

Minat itu membakar semangatnya untuk menangani cabaran agar terus cemerlang dalam pelajaran.

Encik Malik, yang meminati filem-filem Tim Burton, merancang melanjutkan pelajaran dalam bidang perfileman digital di Universiti Teknologi Nanyang (NTU).

Beliau sekarang dalam proses membuat sebuah filem pendek bersama sekumpulan rakan.

‘Ia akan meneroka tema-tema berkaitan cara manusia berfikir. Saya berharap filem ini dapat memberi kami pendedahan kepada industri perfileman,’ ujarnya.

http://cyberita.asia1.com.sg/msingapura/story/0,6879,189370,00.html?

GANJARAN INSAF DAN USAHA: Encik Rasman (kiri) dan Encik Ismail dapat meninggalkan dadah dan jenayah. Kini mereka membuka sebuah pusat pendidikan Islam dan berusaha menambah ilmu agama. — Foto JOHARI RAHMAT

Oleh

Saini Salleh

ENCIK Ismail Abdullah sudah 15 kali keluar masuk pusat pemulihan dadah (DRC) dan pernah dirotan kerana sudah melangkaui kategori penagih degil. Beliau juga pernah dua kali meringkuk dalam penjara kerana kesalahan mencuri dan menipu.

Encik Rasman Saridin pula sudah lima kali keluar masuk DRC dan dua kali meringkuk dalam penjara kerana mencuri untuk membeli dadah.

Berdasarkan rekod itu, pintu harapan untuk mereka kembali ke pangkal jalan biasanya diselubungi awan mendung.

Tetapi, Encik Ismail, 54 tahun, dan Encik Rasman, 45 tahun, membuktikan kesemua rekod itu hanya kesilapan masa lalu dan mereka telah merubah hidup mereka sepenuhnya.

Berkat semangat mengejar ilmu, kededuanya kini bergelar ustaz di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS) kelolaan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).

Mereka juga mengambil langkah lebih berani dengan membuka pusat pendidikan, Hira Education and Social Services, yang bermula di Jurong East pada lewat tahun lepas sebelum berpindah ke Yishun Februari lalu.

Namun, anjakan daripada label ‘penagih degil’ kepada gelaran ‘ustaz’ itu tidak datang bergolek ibarat kata pepatah jika tidak dipecah ruyung di mana boleh mendapat sagu.

Menyingkap liku-liku kehidupannya, Encik Ismail berkata beliau bergelumang dalam kancah dadah sekitar 30 tahun – dari 1977 hingga 2005.

‘Saya dah keluar masuk DRC 15 kali. Kali terakhir saya dimasukkan penjara selama enam tahun di bawah hukuman tahanan jangka panjang bagi penagih degil. Saya juga dirotan tiga kali.

‘Tetapi tahanan di penjara dan dirotan serta umur yang semakin senja menimbulkan keinsafan sampai bila saya harus hidup begini. Sebut saja apa jenis dadah, heroin, ganja, macam-macam pil dan morfin semua saya dah cuba.

‘Sebelum keluar penjara pada 2005, saya buat keputusan akan cuci tangan. Alhamdulillah, mungkin berkat saya sentiasa mohon petunjuk dan hidayah daripada Allah, saya jadi begini sekarang,’ kata Encik Ismail.

Selepas dibebaskan beliau belajar AlQuran di Masjid Siglap dan bahasa Arab dan kemudian mengikuti kursus diploma pendidikan Islam anjuran Kolej Islam Muhammadiyah (KIM).

Ketika menuntut di KIM pada 2008 beliau bertemu rakan sepenagihnya, Encik Rasman, yang menjadi pengarah kolej itu, dan tercetus idea berkongsi menubuhkan sebuah pusat pendidikan Islam.

Encik Rasman meninggalkan tanah air untuk belajar bahasa Arab di Jakarta pada 1996. Beliau kemudian mengikuti kursus diploma pendidikan Islam selama dua tahun anjuran Lembaga Pendidikan Dakwah Islam Indonesia.

Atas kesedaran ingin menambah ilmu, beliau mengikuti kursus sarjana muda Pendidikan Islam di Universiti Muhammadiyah Malang dari 2000 hingga 2005.

Hujung bulan ini, Encik Rasman akan melanjutkan pengajian di peringkat sarjana dalam bidang pendidikan Islam selama dua tahun di universiti itu.

Ditanya mengenai sejarah hitam mereka, kededuanya berkata tiada apa yang hendak dimalukan kerana ilmu yang tersemat di dada dapat mengikis stigma itu dengan sendirinya.

Bagi penagih yang ingin kembali ke pangkal kalan, Encik Ismail menasihatkan: ‘Mereka mesti ada keinsafan, kesabaran, kesungguhan untuk berubah, tambah ilmu pengetahuan, khususnya dalam agama, dan laksanakan apa yang kita cita-citakan.

‘Kalau jumpa kawan hulur dadah, kita harus belah dalam masa tiga minit. Kalau tidak, kemungkinan besar kita kembali menagih.’

http://cyberita.asia1.com.sg/msingapura/story/0,6879,189377,00.html?

Dua kumpulan seni Melayu diberi ruang di pusat seni (BH, 24.05.11)

RUMAH BARU: Pusat Seni Goodman (GAC), di Goodman Road, dekat Mountbatten Road yang dahulunya merupakan kampus LaSalle kini menempatkan pejabat dan studio seni. — Foto LASALLE


Oleh

Shamsul Jangarodin

DUA kumpulan seni Melayu yang tidak pernah mempunyai markas sendiri bagi menjalankan aktiviti mereka diberikan ruang tetap untuk menjalankan kegiatan mereka dengan lebih sempurna.

Pertubuhan persuratan Melayu, Angkatan Sasterawan ’50 (Asas ’50) dan Era Dance Theatre Ltd, masing-masing berjaya mendapatkan pejabat dan studio di Pusat Seni Goodman (GAC), di Goodman Road, dekat Mountbatten Road.

Dua artis visual Melayu, Encik Mohamed Kamal Dollah dan Encik Ryf Zaini, juga ditawarkan tempat di GAC.

Kumpulan seni dan individu Melayu itu difahamkan antara 52 permohonan yang berjaya mendapat tempat di GAC di bawah Skim Perumahan Seni Majlis Seni Kebangsaan (NAC).

Skim itu menawarkan geran sebanyak 80 peratus daripada harga sewa tempat dan tempoh sewa selama tiga tahun boleh dilanjutkan kepada tempoh maksimum sembilan tahun.

Ini bermakna beberapa kumpulan seni Melayu di Telok Ayer Performing Arts Centre (Tapac) seperti Teater Ekamatra, Sriwana, Persatuan Kemuning and Teater Artistik, perlu membuat rancangan lain bagi mendapatkan lokasi baru apabila tempoh sewa hab seni tersebut berakhir pada 2014.

Dalam jawapan e-melnya, jurucakap NAC berkata pihaknya menerima tiga kali ganda permohonan bagi 52 unit yang ditawarkan di GAC.

Mengenai mereka yang gagal mendapatkan tempat di GAC, jurucakap NAC itu berkata badan tersebut sedang menyemak ruang-ruang seni yang disediakan kepada kumpulan-kumpulan seni, termasuk mereka yang berada di Tapac.

‘Semakan itu akan melibatkan rundingan dengan semua pihak yang terlibat,’ kata jurucakap NAC itu.

Ketika dihubungi, pegawai eksekutif Asas ’50, Encik Hamzan Saad, berkata pihaknya menyifatkan tawaran pejabat itu sebagai satu pencapaian baik.

Menurutnya, lokasi pejabat di bekas bangunan Sekolah Menengah Tun Sri Lanang itu juga membawa kembali nostalgia bagi ramai anggota Asas ’50 yang pernah menjadi guru di sekolah yang telah dibubarkan itu.

Antara anggota Asas ’50 yang pernah mengajar di situ ialah Cikgu Mohamed Latiff Mohamed.

‘Sejak ditubuhkan pada 1950, kami tidak pernah mempunyai pejabat. Mesyuarat bulanan kami adakan di balai-balai rakyat atau di rumah anggota kami,’ kata Encik Hamzan yang difahamkan sudah pun mengambil kunci pejabat daripada NAC.

Ruang pejabatnya seluas 73.5 meter persegi atau sebesar sebuah flat tiga bilik.

Encik Hamzan berkata Asas ’50 akan menubuhkan sebuah Pusat Sumber bagi menempatkan khazanah persuratan pertubuhan itu – yang bertarikh dari 1950 hingga ke kini – ‘yang kini disimpan di merata-rata oleh anggota Asas ’50’.

Pengarah Eksekutif Era Dance Theatre Ltd, Encik Azrin Abdul Rahim, pula berkata dengan adanya studio seluas 202.5 meter persegi itu, pihaknya akan lebih bersemangat untuk membangunkan dan mengembangkan seni tari Melayu.

‘Dahulu mesyuarat Era Dance Theatre sering diadakan di warung-warung kopi. Latihan pula diadakan di dewan-dewan yang disewa.

‘Namun begitu, kami masih berjaya menganjurkan sebuah acara gah, Festival Zapin D’ Muara, yang menarik kira-kira 6,000 penonton tahun lalu,’ kata Encik Azrin.

Era Dance Theatre Ltd ditubuhkan secara rasmi pada 2009.

http://cyberita.asia1.com.sg/msingapura/story/0,6879,189332,00.html?


Bonda (Mother)


Sembilan purnama rahimmu menenun sahaya (nine months I was weaved in your womb)

Sehingga mengibarkan lembaran cukup sifat (Until the complete pages fluttered)

Putih suci diselubungi kembangan mewangi (White and chaste veiled by fragrant pot-pourri)

Tangisan ceriamu mengiringi tangisan hujan melimpah ke bumi(Your tears of joy accompanied the tears from heaven bestowing the earth)


Bonda (Mother)

Pabila sahaya keluar menghirup udara (When I emerged to inhale air)

Mata pejam rapat tulus dari noda (Eyes shut tight free from stain)

Diselimuti darah baka srikandi dan pendekar (Covered in genes from a patriot couple)

Senyuman sinarmu menerangi pelosok dunia dikaburi nista (Your glistening smile brightens the darkest corner of the world)


Bonda (Mother)

Tanganmu selembut sutera (Your hands are soft as silk)

Menyentuh kulit halus sahaya (Touching my delicate skin)

Menggendong tunas mendodoikan puisi (Carrying the bud in your arms humming poetry)

Ketawa syukurmu menggamit halilintar mematahkan tusukannya(Your grateful laughter grasping and snapping the pierce of the thunderbolt)


Bonda (Mother)

Setelah pancaindera sahaya mekar (After my senses bloomed)

Mata bertentang dua butir mutiara (Eyes staring at two grain of pearls)

Kelopak matamu berkilau bagai kaca (Your eyes’ petals glitter like glass)

Suara merdumu bak biduanita kayangan mengusap nyawa lapar (Your melodious angelic voice caresses famished souls)


Bonda (Mother)

Usap sayangmu tiada bandingan (Your endearing touch has no equal)

Srikandi warisan berjuang antara hidup dan gugur (Female patriot who crusaded between life and death)

Demi membawa sahaya ke buana sementara (To bring me to a transient universe)

Kata sukmamu hanya satu (You cited only one)

“Selamat datang tunas nyawa bangsa Melayu” (“Welcome to the Malay world my son”)


Original poem by:

Mohamed Hizammuddin, Marsiling, 01.05.03, 1325


PS – The original Malay poem was published in Berita Harian’s on 14.05.03, celebrating Mother’s Day. The English translation was done on 29.04.11, 1849.

This poem is also dedicated to the Queen of my two Princesses.


http://www.facebook.com/note.php?note_id=10150170216351864

Saktiandi dilantik ahli lembaga Spring S’pore (06.04.11)

ENCIK SAKTIANDI: Harap pengalamannya dapat bantu Spring Singapore.

SEORANG pegawai kanan bank, Encik Saktiandi Supaat, merupakan antara empat anggota baru yang dilantik menganggotai lembaga Spring Singapore, menurut satu kenyataan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) semalam.

Encik Saktiandi, 37 tahun, merupakan Ketua, Kajian Forex, Pasaran Jagat di Maybank.

Sebelum ini beliau pernah bekerja sebagai Pakar Ekonomi Perbendaharaan Kanan di UOB dan Ketua Pakar Ekonomi di Divisyen Analisis Permodalan dan Ekonomi di Jabatan Dasar Ekonomi, Penguasa Kewangan Singapura (MAS).

Beliau juga merupakan anggota panel penyeliaan saluran maklum balas pemerintah, Reach; presiden sayap belia Angkatan Karyawan Islam, AMP Muda, dan anggota Rangkaian Daya Kerja Forum Pemimpin Masyarakat (CLF).

Menurut Encik Saktiandi, beliau berharap pengalamannya dalam sektor swasta dan penglibatannya dalam kerjakerja kemasyarakatan dapat membantunya memainkan peranan sebagai anggota lembaga Spring Singapore dengan berkesan.

‘Ia merupakan satu penghormatan untuk dilantik dan saya harap dapat berkongsi perspektif yang berbeza dengan anggota lembaga yang lain,’ ujarnya.

Tiga lagi anggota baru yang dilantik bagi penggal dua tahun itu ialah Encik Leslie Loh, Rakan Kongsi Umum, Extream Ventures Pte Ltd; Encik Wong Toon King; Pengerusi dan Perintis, Z Group; dan Encik Mike Booker, Ketua, Produk Pengguna dan Jualan, Bain & Company SE Asia, Inc.

Sementara itu, Encik Philip Yeo kekal menjadi Presiden Spring Singapore bagi penggal ketiga.

Menurut MTI, di bawah kepimpinan Encik Yeo, Spring Singapore akan terus berusaha meningkatkan daya penghasilan dan inovasi syarikat-syarikat kecil dan sederhana (SME).

Hadiah istimewa George Yeo buat Aljunied (BH, 05.04.11)

HADIAH PAPAR HUBUNGAN MESRA: Encik Yeo menyampaikan set ensiklopedia perundangan Islam dalam bahasa Arab di bawah huruf alif kepada Ustaz Mohd Murat dengan disaksikan Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar), Encik Zainul Abidin Rasheed, dan Penolong Naib Mudir Madrasah Aljunied, Cik Khairiana Zainal Abiden. — Foto M.O. SALLEH

Oleh Linilidia Abdul Hamid

HUBUNGAN mesra antara beliau dan Madrasah Aljunied Al-Islamiah membuatkan Menteri Ehwal Luar, Encik George Yeo, memilih sekolah itu bagi sebuah hadiah istimewa – set ensiklopedia perundangan Islam dalam bahasa Arab dari Iran.

‘Saya mempunyai jalinan mesra dengan Madrasah Aljunied. Walaupun ia tidak berada dalam kawasan undi saya, beberapa pemimpin akar umbi kawasan undi saya ada kaitan dengan madrasah ini,’ ujarnya.

Oleh itu, Encik Yeo tidak teragak-agak menghadiahkan set ensiklopedia itu, yang diberi kepada beliau oleh seorang anggota Majlis Pelindung Iran, Ayatollah Mahmoud Hashemi Shahroudi, yang juga mantan ketua sistem perundangan Iran, semasa Encik Yeo melawat Iran November lalu.

‘Dalam perbualan sejam saya dengan Ayatollah Shahroudi, beliau berjanji akan memberi saya set lengkap ensiklopedia Islam bermula dengan huruf alif dan hingga huruf terakhir,’ kata Encik Yeo.

Beliau telah menerima set ensiklopedia di bawah huruf alif dan ini dihadiahkannya kepada Madrasah Aljunied semasa berkunjung ke madrasah itu semalam.

Pengarah Eksekutif Madrasah Aljunied, Ustaz Mohd Murat Md Aris, berkata ensiklopedia itu akan diletak di sudut khusus bagi kegunaan pelajar peringkat prauniversiti sebagai bahan rujukan.

Semasa kunjungan itu, Encik Yeo sempat memberi pandangan kepada media tentang calon parti pembangkang bagi pilihan raya umum akan datang.

‘Calon-calon pembangkang yang lebih baik akan memberi warga Singapura pilihan lebih luas,’ katanya.

Beliau menambah penting bagi Singapura mempunyai pembangkang boleh dipercayai kerana jika Parti Tindakan Rakyat (PAP) menjadi tidak bermoral atau lemah, ada pilihan lain bagi warga Singapura.

Calon pembangkang yang lebih baik juga bermakna pasukan yang dipimpinnya di GRC Aljunied harus bekerja lebih keras, katanya.

‘Ini bermakna kami tidak boleh mengambil sikap sambil lewa terhadap pengundi, sama ada pengundi kali pertama, warga tua, cendekiawan mahupun buruh kasar,’ ujar Encik Yeo.

Beliau juga berkata akhirnya terpulang pada pengundi memilih siapa di antara calon yang bertanding di kawasan mereka mampu mewakili mereka dengan lebih baik dan meningkatkan kehidupan mereka.