Tujuan ajak isteri jadi umat bertakwa (18.06.11)

PERJELAS DUDUK PERKARA: Dr Darlan Zaini, yang ditemani isterinya, Profesor Madya Kamsiah Abdullah, mengatakan para isteri yang menganggotai kelab itu juga akan dilatih dari segi menjadi wanita solehah seperti tidak tinggalkan perkara-perkara wajib seperti solat dan puasa. — Foto KHALID BABA


Oleh

Linilidia Abdul Hamid

NIAT di sebalik penubuhan dan apa yang bakal dilakukan cawangan Kelab Isteri Taat (KIT) Singapura telah disalah ertikan.

Menurut salah seorang warga Singapura yang menggerakkan usaha menubuhkan cawangan KIT di sini, Dr Darlan Zaini, tujuan kelab itu ditubuhkan adalah mengajak para isteri menjadi umat yang bertakwa.

‘Kita tahu, bagi para isteri masuk syurga, mereka cuma perlu taat pada suami dan taat pada Tuhan. Tapi kita juga tahu ada hadis Nabi saw yang mengatakan lebih ramai wanita yang masuk neraka,’ ujarnya.

Oleh itu, kelab itu ditubuhkan dengan niat melakukan kebaikan, kata Dr Darlan, 69 tahun, semasa ditemui Berita Harian kelmarin.

Beliau ditemani isterinya, Profesor Madya Kamsiah Abdullah, 64 tahun, dari Jabatan Bahasa Melayu dan Budaya di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) untuk pertemuan itu.

Pasangan itu, yang sudah berumah tangga selama 44 tahun, mempunyai enam anak dan lapan cucu.

Menurut Dr Darlan, beliau terkilan dengan kritikan yang diterima kelab itu sejauh ini.

‘Dari segi apa agaknya kelab ini memecah-belahkan masyarakat? Rasanya, kenyataan yang dibuat PPIS (Persatuan Pemudi Islam Singapura) itu yang boleh memecah-belahkan masyarakat,’ ujarnya.

Isterinya, Profesor Kamsiah, pula mencelah dan bertanya, apa salahnya menubuhkan kelab yang mengajak isteri agar taat kepada suami memandangkan ia berdasarkan ajaran Islam dan bagaimana pula ia menghina wanita?

‘Lainlah kalau kami tubuhkan kelab yang suruh isteri derhaka pada suami atau untuk golongan homoseksual. Adakah ketaatan itu satu penghinaan?’ ujar Profesor Kamsiah lagi.

Tambahnya, kelab itu adalah sebuah kelab bagi kelompok sekepentingan.

‘Rasanya sudah ada kelab atau pertubuhan lain yang memberi perhatian kepada isu keluarga atau khusus untuk lelaki.

‘Jadi apa salahnya ditubuhkan kelab khusus untuk wanita. Ia tidak ubah seperti kelab yang ditubuhkan khusus untuk pencinta kucing atau khusus untuk pencinta haiwan tertentu,’ ujarnya.

Menurut Profesor Kamsiah lagi, isu seks atau memuaskan nafsu suami mendapat perhatian kelab itu kerana ia tahu ada isteri yang kurang sedar tentang pentingnya aspek ini dalam perkahwinan.

‘Jika seorang isteri dapat memuaskan suaminya, bukankah ia juga bermakna isteri akan puas?’ ujarnya lagi.

Namun, Profesor Kamsiah akur ada batas-batas dari segi ketaatan.

‘Takkanlah kalau suami minta isteri menjadi pelacur atau mencuri, isteri mesti ikut. Sebagaimana yang diterangkan dalam Islam, ketaatan itu ada batas-batasnya,’ ujarnya lagi.

Dr Darlan menambah para isteri yang menganggotai kelab itu juga akan dilatih dari segi menjadi wanita solehah seperti tidak meninggalkan perkara-perkara wajib seperti solat dan puasa.

Tambah pasangan itu lagi, memandangkan kelab itu masih baru lagi, banyak perkara yang belum diperhalusi.

‘Kami akan tubuhkan jawatankuasa sementara sebelum kami tetapkan sama ada kelab ini akan bergerak secara formal atau tidak,’ ujar Profesor Kamsiah.

Menurut Dr Darlan, sejauh ini 10 keluarga sudah menyatakan kesediaan menganggotai kelab itu.

Katanya, walaupun idea penubuhan KIT berasal dari Malaysia, ia pertama kali dilancarkan di Jordan.

Tambahnya, kelab itu juga akan dilancarkan di Indonesia hujung minggu ini.

Kelab itu merupakan inisiatif syarikat berbilang nasional, Global Ikhwan Sendirian Berhad, yang bertapak di Malaysia.

Global Ikhwan, yang sebelum ini dinamakan sebagai Rufaqa’ Corporation, dibentuk oleh bekas pengikut kumpulan Al-Arqam.

http://cyberita.asia1.com.sg/msingapura/story/0,6879,191002,00.html?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *