Hidung ‘aset’ penting bagi pengusaha minyak atar (BH, 13.06.11)

PENUHI CITA RASA TERKINI: Encik Jamal Kazura yang berkecimpung dalam ‘dunia minyak atar’ sejak berusia 12 tahun, mahu mengembangkan produk yang ditawarkan bagi memenuhi tabiat membeli yang sering berubah-ubah. — Foto TUKIMAN WARJI


Nama Jamal Kazura cukup sinonim dengan produk minyak atar dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam, sekali gus mencerminkan keutuhan jenama itu setelah puluhan tahun ia ditubuhkan. Ikuti laporan mengenai rahsia syarikat itu mengekalkan perniagaan sehingga ke hari ini. Laporan oleh ATIYYAH MOHD SAID (atiyyahm@sph.com.sg).

Pemilik Jamal Kazura Aromatics warisi dan kembangkan niaga yang dibina ayahnya pada 1933

JIKA ditanya sebilangan besar orang, apakah aset paling penting bagi mereka, mungkin ada yang mengatakan rumah, anak atau wang.

Namun, bagi Encik Jamal Kazura jawapannya mudah dan ringkas.

‘Hidung. Seperti seorang tukang masak, hidung ini boleh ‘merasa’ dan ‘tahu’ apakah ramuan sesuatu wangian itu,’ katanya sambil tersenyum apabila ditemui baru-baru ini.

Walaupun ganjil bagi sesetengah orang tetapi ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan memandangkan beliau merupakan antara usahawan minyak atar paling mapan di negara ini.

Encik Jamal telah mewarisi dan mengembangkan perniagaan Jamal Kazura Aromatics. Bisnes ini dibina oleh ayahnya dan kini mempunyai tiga cawangan di Singapura iaitu di Bussorah Street dan Arab Street serta kedai asalnya di North Bridge Road, yang turut berfungsi sebagai makmal pemerosesan bagi produk minyak atar.

Maka itu, hidungnya adalah aset paling penting dalam menjalankan perniagaannya.

Usahawan berusia 63 tahun itu percaya bahawa kebolehan dan kepakaran ‘menghidu’ serta bakat menghargai wangian dan haruman merupakan satu kelebihan yang diwarisi daripada ayahnya, Allahyarham Mohamed Hanifa Kazura.

Encik Mohamed Hanifa, yang berasal dari India, adalah pengasas perniagaan minyak atar Jamal Kazura yang dimulakan sekitar 1933.

Menurut Encik Jamal, anak kedua daripada lima beradik, pada mulanya arwah ayahnya berhijrah ke Indonesia untuk membantu datuknya menjual minyak meredakan sakit.

Hanya setelah berpindah ke Singapura, Encik Mohamed Hanifa mendapat idea menjual minyak atar dengan mendapatkan sumber bekalan mentah, khususnya kayu-kayan, dari serata dunia untuk menghasilkan sendiri produknya.

Kini, penat jerih Encik Mohamed Hanifa itu tidak sia-sia kerana perniagaan minyak atar yang diasaskannya masih bertahan sehingga ke hari ini.

Bahkan minat berniaga dalam minyak atar mengalir ke dalam diri kelima-lima anaknya.

Sementara Encik Jamal mengendalikan perniagaan yang diasaskan ayahnya itu, empat adik-beradiknya yang lain masing-masing menubuhkan perniagaan wangian dan minyak atar berasingan namun saling bertukar-tukar pandangan.

Berkongsi tentang bagaimana beliau boleh kekal menguruskan perniagaan ayahnya, bapa empat anak itu berkata ia adalah hasil pendedahan dalam dunia perniagaan yang diterima sejak di bangku sekolah.

‘Saya masih ingat semasa berusia 12 tahun, selepas sekolah saya akan terus ke kedai ayah di North Bridge Road dan membantunya dalam pelbagai tugasan termasuk membungkus botol-botol minyak atar.

‘Lama-kelamaan setelah dua atau tiga jam membungkus, saya mula mengenali bau setiap wangian dan haruman. Kemudian timbul pula minat mencipta wangian berlainan dan menghasilkan wangian ini umpama mencipta lagu yang berlainan melodi dan rentak,’ kata Encik Jamal penuh ghairah.

Sejak mengambil alih perniagaan ayahnya pada awal 1980-an, Encik Jamal telah memperkenalkan pembaharuan demi mengikuti peredaran zaman.

Dahulu, perniagaan itu sematamata menjual minyak atar yang merupakan campuran lima atau lebih jenis minyak dengan wangian yang agak kuat untuk pengguna masyarakat Islam sahaja.

Tetapi kini Encik Jamal berusaha menarik golongan bukan Melayu juga dengan meniru bau minyak wangi jenama Barat serta menghasilkan beberapa wangian yang lebih lembut dan serasi dengan cita rasa pelanggan bukan Melayu ataupun pengguna Melayu yang lebih muda.

‘Saya sedar untuk mengekalkan perniagaan ini kami harus memperbaharui produk kami bagi menampung lapisan generasi yang berbeza dan oleh itu saya harus mengikuti perkembangan dalam industri ini.

‘Contohnya, jika ke luar negara ataupun ke pusat beli-belah setempat saya akan meninjau apakah wangian terkini dalam pasaran.

‘Mungkin golongan sebaya saya atau yang berumur 50 tahun ke atas, gemarkan wangian lebih kuat tetapi golongan muda lebih sukakan bau lebih lembut seperti vanila dan sebagainya, jadi inilah permintaan yang perlu diisi,’ kata Encik Jamal yang mempunyai 18 pekerja.

Selain itu, beliau turut memperkenalkan rangkaian minyak aromaterapi yang lebih diminati oleh pelanggan asing terutama sekali kaum Cina.

Menurutnya, 80 peratus daripada pelanggannya adalah masyarakat Melayu/Islam, namun pelanggan bukan Melayu semakin tertarik dengan produk-produknya.

Jamal Kazura Aromatics bukan sahaja beroperasi di negara ini, bahkan sudah dikembangkan ke pasaran luar khususnya di Dubai, India dan Kuala Lumpur, Malaysia.

Malahan, 60 peratus daripada penjualannya adalah daripada pasaran Timur Tengah dan Dubai.

Ini berbanding 20 tahun lalu, dengan pasaran eksport hanya menyumbang kepada 30 hingga 40 peratus sahaja.

Di Singapura sendiri ia mempunyai 30 pengedar, termasuk Mustafa Centre manakala di negara luar, ia mempunyai pejabat wakil di Dubai dan seorang pembeli francais di Malaysia.

Setiap bulan, syarikat itu mengeksport sekitar 30,000 botol minyak atar dan memproses sekitar 2,000 hingga 3,000 kilogram minyak tersebut.

Apabila ditanya prinsip perniagaan yang dipegang sehingga membolehkan perniagaan itu bertahan, Encik Jamal berkata:

‘Kami tidak mempunyai apa-apa rahsia tetapi yang paling utama bagi kami ialah mengekalkan mutu, kuantiti dan harga yang tidak banyak berubah sejak 10 tahun lalu.

‘Ramai yang tahu kalau mahu mencari mutu minyak atar yang bersih dan asli pada harga yang berpatutan, maka Jamal Kazuralah tempatnya,’ jawab beliau.

Encik Jamal juga sangat mementingkan mutu bahan yang digunakan dalam campuran produk minyak atarnya kerana ini akan menjejas mutu produk yang dihasilkan.

‘Sejak saya mengambil alih pada 1980-an sehingga sekarang, terdapat banyak pendatang baru dalam industri dan ini memberikan kami persaingan dari segi harga dan mutu.

‘Tetapi oleh kerana kami sudah lama dalam pasaran, keyakinan pelanggan terhadap kami tidak pernah luntur sebab mereka juga tahu kami menawarkan minyak atar asli,’ ujar Encik Jamal yang mendapatkan sumber kayu-kayan dari serata dunia termasuk Eropah, India dan Asia.

Encik Jamal menjelaskan, dengan adanya teknologi moden, ramai peniaga boleh mengeksploitasi mutu produk yang dijual, contohnya, mencampurkan kadar minyak asli lebih rendah dengan kadar bahan kimia yang tinggi tetapi mengenakan harga yang tinggi.

‘Satu lagi yang sangat saya prihatin ialah layanan pelanggan dan saya boleh dikatakan kedai-kedai kami memberikan antara layanan paling mesra sehingga dipuji sendiri oleh Lembaga Pelancongan Singapura (STB).

‘Pelanggan selalu betul walaupun mereka datang ke kedai kita dan tidak membeli apa-apa pun,’ katanya lagi.

Encik Jamal, yang menganggap ayahnya sebagai contoh utama dalam hidupnya, juga mempelajari betapa pentingnya sifat menderma dan membantu masyarakat – sesuatu yang memang diamalkan oleh ayahnya sejak mula bertapak dalam perniagaan.

‘Matlamat kami bukan sekadar mengejar wang malah pada masa yang sama, membantu mereka yang memerlukan dengan memberikan pekerjaan kepada golongan ini,’ ujarnya.

Memandang ke hadapan, Encik Jamal berharap dapat menghasilkan produk-produk yang mesra kesihatan memandangkan ramai pelanggan Melayu/Islam sekarang mempunyai tabiat membeli yang berbeza.

‘Trend mementingkan kesihatan sangat ketara, dan harga tidak lagi menjadi hambatan bagi pengguna Melayu kita dan mereka mementingkan mutu dan nilai kesihatannya.

‘Ekoran suasana kehidupan yang penuh tekanan, masyarakat kita sekarang gemarkan jenis minyak yang diperbuat daripada bahan asli seperti ‘lavender’ yang mempunyai kelebihan menenangkan perasaan,’ katanya.

Jamal Kazura menjual lebih 200 jenis minyak atar.

http://cyberita.asia1.com.sg/mekoniaga/story/0,6879,190581,00.html?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *