An-Nur lebih bercahaya (BH, 27.11.10)

BERI TAKLIMAT: Encik Khoo memberi penerangan tentang Masjid An-Nur yang baru, yang dijangka siap pada akhir suku pertama 2012, kepada Encik Hawazi Daipi, Haji Rahim, Dr Yaacob Ibrahim dan Haji Mohd Alami. — Foto KHALD BABA

Rekaan seni bina oleh firma arkitek yang reka The Pinnacles@Duxton

Oleh Chairul Fahmy Hussaini

MASJID An-Nur yang baru bukan sahaja mampu menampung lebih ramai jemaah tetapi juga akan dilengkapi pelbagai kemudahan bagi memenuhi keperluan warga emas dan golongan kurang upaya.

Kos pembinaan semula masjid di Marsiling yang berusia 30 tahun itu menelan belanja sekitar $8 juta.

Pembinaan semula masjid itu akan dimulakan bulan depan.

Menariknya, arkitek yang terpilih menghasilkan rekaan senibina untuk ‘wajah baru’ Masjid An-Nur ini ialah Encik Khoo Peng Beng dari syarikat M/s Arc Studio, yang bertanggungjawab atas rekaan seni bina bagi estet The Pinnacles@Duxton di Tanjong Pagar.

Dalam ucapannya sempena pelancaran pelan peningkatan masjid itu semalam, pengerusinya, Haji Rahim Mawasi, berkata Masjid An-Nur berwajah baru dijangka siap pada akhir suku pertama 2012 dan boleh menampung hampir 4,500 orang – berbanding 3,500 sekarang.

Kelebihan masjid baru ini ialah, ia turut memuatkan dewan serbaguna dan ruang sivik serta ruang membolehkan keluarga solat berjemaah.

Ciri-ciri mesra warga emas dan kurang upaya mencakupi laluan bercerun, lif dan tandas untuk golongan kurang upaya di setiap tingkat.

Ia juga dilengkapi dengan alat mesra sekitaran seperti alat jimat air dan elektrik, penggunaan cahaya suria serta sistem kitar semula air.

Di samping itu, masjid baru akan turut mengetengahkan bilik darjah yang boleh diubah suai untuk digunakan sebagai ruang sembahyang.

Menurut Haji Rahim, sejauh ini pihak masjid telah berjaya mengumpulkan $4 juta.

Turut hadir dalam pelancaran itu semalam ialah Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, Presiden Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Haji Mohd Alami Musa, dan Setiausaha Parlimen Kanan (Kesihatan merangkap Tenaga Manusia), Encik Hawazi Daipi.

Menurut Dr Yaacob beliau bersyukur kepada masyarakat Melayu/Islam yang telah memberi sumbangan melalui Dana Pembinaan Masjid dan Mendaki (MBMF) untuk membolehkan kerja-kerja peningkatan itu dijalankan.

‘Kita telahpun meminda Akta Pentadbiran Hukum Islam (Amla) untuk gunakan sedikit wang daripada MBMF untuk kita perbaiki masjid yang telah usang seperti masjid An-Nur.

‘Jadi saya rasa ini satu langkah yang baik oleh kerana kita tahu masjid seperti An-Nur yang telah lama memberi khidmat yang baik kepada masyarakat kita, tetapi dengan peredaran zaman dan peningkatan jemaah-jemaah yang ada di Woodlands ini, An-Nur memerlukan ruang yang lebih besar, ruang yang lebih relevan bagi masyarakat kita yang terkini.

‘Jadi saya bersyukur dengan sumbangan yang diberikan oleh masyarakat kita dan saya berharap kita akan terus menyumbang untuk masjid An-Nur dan masjid-masjid lain yang akan menjalankan perubahan, insya-Allah,’ jelas Dr Yaacob lagi.

Semalam merupakan kali terakhir sembahyang Jumaat diadakan di masjid itu yang dipimpin Mufti Negara, Syed Isa Mohd Semait.

Sementara menantikan masjid yang baru didirikan, sebuah bangunan sementara akan didirikan bersebelahan Masjid An Nur.

Dijadualkan siap pertengahan bulan depan, ia dijangka boleh menampung lebih 1,000 jemaah.

http://cyberita.asia1.com.sg/msingapura/story/0,6879,177211-1290895140,00.html?

Disiplin dan kegigihan bawa ganjaran (BH, 26.11.10)

BERCITA-CITA TINGGI: ‘Aqilah Dariah dari Sekolah Rendah Coral mendapat agregat 278 mata hasil kerja keras mengulangkaji pelajaran enam jam sehari setiap hari. — Foto TAUFIK A. KADER

Oleh Nurul Dayana Simangoon

SEJAK setahun lalu, ‘Aqilah Dariah Mohd Zulkarnain, 12 tahun, menghabiskan enam jam sehari setiap hari mengulangkaji pelajaran.

Ini demi mengejar cita-citanya ingin menjadi doktor satu hari nanti.

Pengorbanan, disiplin diri yang tinggi dan kegigihannya ternyata tidak sia-sia.

‘Aqilah muncul murid Melayu terbaik dalam Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) tahun ini, dengan agregat 278 mata.

Murid Sekolah Rendah Coral yang turut muncul sebagai pelajar ketiga terbaik nasional dalam PSLE tahun ini, meraih empat gred A* dan merit bagi Bahasa Melayu Lanjutan.

Ditemui semalam, ‘Aqilah berkata sejak tahun lalu dia rela mengorbankan dua perkara yang amat digemarinya – permainan komputer dan sukan berbasikal.

Anak bongsu dua beradik itu berkata dia sentiasa berusaha mencapai keputusan akademik terbaik kerana ingin menjadi doktor.

‘Pernah saya begitu kecewa dengan keputusan ujian Sains kerana gagal meraih markah yang saya inginkan hingga saya menangis!

‘Saya percaya seseorang itu harus sentiasa berusaha mencapai yang terbaik. Tiada yang mustahil jika anda yakin dengan kebolehan sendiri,’ ujarnya, yang merancang ke Sekolah Menengah Perempuan Raffles (RGS).

Ibunya, Cik Eireena Rahman, 40 tahun, seorang guru Bahasa Melayu, berkata sejak kecil anaknya itu tidak perlu dipaksa belajar.

‘Aqilah seorang yang bersikap ‘go-getter’ dan akan melakukan apa sahaja untuk mencapai cita-citanya. Ada kalanya, kami yang harus mengingatkannya supaya berhenti belajar dan berehat,’ ujarnya.

Bapa ‘Aqilah seorang jurutera berusia 45 tahun dan kakaknya, 16 tahun, menuntut di Sekolah Menengah Temasek.

Tahun ini, seramai 45,049 murid Darjah Enam menduduki PSLE.

Daripada jumlah itu, 43,826 murid atau 97.3 peratus layak ke sekolah menengah – 63.5 peratus ke aliran Ekspres, 22.1 peratus ke aliran Normal (Akademik) dan 11.7 peratus ke aliran Normal (Teknikal).

Bakinya belum bersedia untuk sekolah menengah atau lebih sesuai mengikuti latihan vokasional.

Murid Sekolah Rosyth, Alex Tan Kian Hye, muncul murid terbaik PSLE tahun ini dengan agregat 282 mata manakala Muhammad Hameem dari Sekolah Rendah Henry Park muncul murid India terbaik dengan agregat 274 mata.

http://cyberita.asia1.com.sg/msingapura/story/0,6879,177130-1290808740,00.html?