Aktivis wadah pemikiran kritikal (BH, 29.10.10)

Oleh Nadzri Eunos

HANYA dua tahun lalu penulisan dalam bahasa Melayu yang mampu dihasilkan oleh Cik Nurul Fasha Samsudin dan temannya Nur Hafizah Mohd Rashid terhad kepada karangan di bilik darjah dan berjinak-jinak dengan sajak dan penulisan kesusasteraan lain.

Pada masa itu tidak terlintas di hati kededua gadis berusia 19 tahun itu bahawa penulisan mereka boleh dijadikan sebuah alat kritikal yang mampu mengupas isu-isu yang merundung masyarakat Melayu setempat.

Namun, itulah kebolehan yang diraih Cik Fasha dan Cik Hafizah selepas mengikuti kursus Program Latihan Khas (Bahasa Ibunda) (STP) di Institut Pendidikan Nasional (NIE), Universiti Teknologi Nanyang selama dua tahun.

Di sana, mereka dilatih dalam penulisan akademik sebagai sebahagian daripada latihan mingguan.

Kini, kedua-duanya mampu menghasilkan penulisan akademik yang kritikal lagi mendalam, sekali gus membawa kesimpulan yang mudah dihadam pembaca.

Ketika ditemui baru -baru ini, kedua-dua guru pelatih bahasa Melayu itu akur kagum terhadap anjakan kemahiran yang diperoleh sejak mengikuti kursus STP pada 2008.

Kata Cik Fasha: ‘Pada mulanya saya rancang lanjutkan pelajaran ke maktab rendah atau politeknik, tetapi selepas terbaca mengenai program STP, saya langsung sertai kerana tawarannya yang menarik.’

Bagi Cik Hafizah pula kecenderungannya dalam bahasa Melayu sejak di bangku sekolah menjadi pendorong utama.

‘Kekuatan saya memang dalam bahasa Melayu. Apabila program ini ditawarkan, cikgu saya yang sarankan saya ikutinya,’ katanya.

Menurut kedua-duanya, kursus STP mengajak mereka membincangkan isu-isu yang hangat dibincangkan dalam kalangan masyarakat.

‘Kami diajak berbincang secara kritikal dan mengupas dalam kelas sebagai tugasan mingguan. Lama-kelamaan proses berfikir secara krikal sudah menjadi satu kebiasaan,’ kata Cik Hafizah menguntum senyum.

Kelaziman ini, menurut Cik Fasha, ada kesan sampingannya.

‘Yang paling ketara saya dapati saya macam dah tak sealiran dengan teman-teman sebaya saya yang lain. Sedang mereka masih lagi disibukkan dengan perkara-perkara kehidupan harian, fikiran saya sering menjurus kepada isu-isu lebih besar yang menjejas masyarakat,’ ujar Cik Fasha.

Penulisan kritikal Cik Fasha dan Cik Hafizah, yang rata-rata mendapat gred A, mendapat pengiktirafan apabila ia terpilih untuk diterbitkan dalam edisi ke-10 jurnal separa akademik Aktivis, baru-baru ini.

Jurnal akademik berkala itu diterbitkan oleh Persatuan Budaya Melayu Program Latihan Khas (Bahasa Ibunda), NIE dan ditaja oleh Angkatan Sasterawan ’50 (Asas 50).
Difahamkan, ia merupakan jurnal paling lama diterbitkan di Singapura.

Cik Fasha dan Cik Hafizah telah terlibat dalam penerbitan dua edisi jurnal tersebut.

Dalam edisi ke-10, Cik Fasha menyumbangkan sebuah artikel bertajuk Strategi Perguruan Di Sebalik Permainan Catur.

Cik Hafizah lebih prolifik dengan sumbangan enam artikel antaranya Agama Mangkin Vaksin Progresiviti Bangsa dan Sajak Saksi Tenggelamnya Melayu Kota Singa.

Bagi kedua-duanya kehadiran jurnal Aktivis amat penting sebagai wadah merangsang penulisan kritikal dalam kalangan guru-guru pelatih NIE yang bakal menjadi pentarbiah generasi muda yang akan datang.

Malah, bagi Cik Fasha, ia telah pun membuka laluan baginya berkembang menjangkau media silang bahasa.

‘Penglibatan saya menulis dan menyunting artikel-artikel untuk Aktivis telah membantu saya dipilih sebagai editor majalah NIE,’ dedah beliau.

Bagi Cik Hafizah, kemampuan berfikiran kritikal akan dibawanya ke bilik darjah.

Katanya: ‘Pada masa yang sama kami ingin membuktikan salah tanggapan atau stereotaip guru bahasa Melayu dan buktikan kami juga mampu berfikiran kritikal dan mengupas isu-isu yang dekat di hati masyarakat.’

http://cyberita.asia1.com.sg/mrencana/story/0,6879,175397,00.html?

Kesihatan kurang baik tapi kekal bekerja berkat sokongan kesatuan (BH, 18.10.10)

OLEH kerana menghidap penyakit kencing manis sejak berusia 21 tahun, kaki kanan Cik Riaz Bebe Baharom terpaksa dipotong tiga tahun lalu.

Setahun kemudian, beliau menghidap penyakit ginjal pula dan kini perlu menjalani dialisis tiga kali seminggu.

Namun, Cik Riaz, 37 tahun, tidak patah semangat dan berpeluk tubuh atau sekadar mengharapkan bantuan orang lain sahaja.

Sebaliknya, beliau terus bekerja sebagai operator telefon di Hotel Furama City Centre, tugas yang dijawatnya sejak 16 tahun lalu.

Cik Riaz berkata beliau dapat mengekalkan kerjanya begitu lama walaupun dengan keadaan kesihatan tidak begitu baik atas bantuan Kesatuan Pekerja Makanan, Minuman dan Bersekutu (FDAWU).

‘Saya dapat kekalkan kerja saya kerana FDAWU banyak bantu saya berbincang dengan pihak pengurusan di hotel tempat saya bekerja tentang keadaan saya dan bagaimana saya boleh terus bekerja di situ,’ ujar ibu seorang anak lelaki, Muhammed Azri Huzaimi, 12 tahun.

Katanya, sebahagian besar daripada gaji $1,600 yang diterimanya digunakan untuk membayar belanja perubatannya.

‘Lebihnya saya gunakan untuk bayar bil, duit keperluan sekolah anak dan belanja dapur. Nasib baik FDAWU banyak juga berikan bantuan seperti baucar pasar raya dan baucar untuk beli buku sekolah,’ ujarnya.

Baru-baru ini, Cik Riaz, yang telah menjadi anggota FDAWU sejak 1994, sekali lagi mendapat bantuan daripada FDAWU apabila beliau menerima beg berisi barangan keperluan bernilai $50 dalam acara ‘Hadiah daripada Hati’.

Acara di Downtown East itu dianjurkan bersama FDAWU dan Kesatuan Pekerja Industri Kimia (CIEU). Ia merupakan kali keempat acara itu diadakan.

Tahun ini, barang makanan dan keperluan harian bernilai $100,000 telah diagihkan kepada seramai 2,000 anggota kesatuan bergaji rendah.

Mereka menerima beg barangan berisi beras, gula, minyak masak dan serbuk pencuci.

http://cyberita.asia1.com.sg/msingapura/story/0,6879,174522-1287179940,00.html?

Pelajar cemerlang terima Biasiswa Nanyang (15.10.10)

Oleh Linilidia Abdul Hamid

KETIKA usianya 12 tahun, ibu bapa Cik Noor Hiqmah Syed Abdul Rahim Syah memutuskan untuk bercerai.

Pada masa itu, Cik Noor Hiqmah bakal menduduki Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE).

Namun, beliau tidak membiarkan dugaan yang melanda keluarganya menghambatnya daripada mencapai kejayaan.

Sebaliknya, beliau membulatkan tekad akan belajar bersungguh-sungguh dan cemerlang dalam pelajaran.

Baru-baru ini, usaha gigihnya mendapat pengiktirafan apabila beliau terpilih sebagai antara penerima Biasiswa Nanyang daripada Universiti Teknologi Nanyang (NTU).

Mengimbas kembali detik-detik pahit yang dialaminya sekitar lapan tahun lalu itu, Cik Noor Hiqmah berkata beliau sedar ada sesetengah remaja akan memberontak dengan tidak belajar bersungguh-sungguh atau tidak dapat menumpukan perhatian pada pelajaran apabila berdepan dengan keadaan tersebut.

Namun, katanya, beliau berasakan itu bukan alasan untuk gagal.

‘Pilihan terletak di tangan pelajar itu sendiri, sama ada ingin kalah dengan keadaan dan abaikan pelajaran, atau pilih mahu berjaya. Saya pilih mahu berjaya,’ ujar pelajar tahun pertama kursus ijazah berganda, Perniagaan dan Perakaunan, itu.

Tambahnya, mengecap kejayaan dalam pelajaran adalah satu-satunya cara untuk beliau membalas jasa bukan sahaja ibunya, malah abang dan kakaknya.

‘Mereka semua telah berkorban untuk saya. Saya tidak punya harta atau cara lain untuk membalas jasa mereka, selain berjaya dalam pelajaran,’ ujar anak bongsu tiga beradik itu.

Cik Noor Hiqmah merupakan antara 133 pelajar yang menerima Biasiswa Nanyang daripada NTU.

Menurut NTU, tahun ini jumlah biasiswa yang diberikan merupakan yang terbanyak berbanding tahun-tahun sudah.

Tahun lalu, 112 Biasiswa Nanyang diberikan.

Selain Cik Noor Hiqmah, seorang lagi mahasiswa Melayu, Encik Syafiq Hazman Zakariah, 21 tahun, juga menerima Biasiswa Nanyang.

Encik Syafiq juga mengambil kursus ijazah berganda – Kejuruteraan Aeroangkasa dan Ekonomi.

Daripada 133 penerima Biasiswa Nanyang itu, 15 pelajar dipilih bagi Anugerah CN Yang.

Anugerah CN Yang diberi kepada pelajar cemerlang yang mempunyai minat mendalam bagi bidang sains dan kejuruteraan.

Encik Omar Faruq Idris, 21 tahun, merupakan antara penerima anugerah itu. Beliau kini mengikuti pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa.

Sebagai penerima Biasiswa Nanyang, ketiga-tiga mahasiswa menerima sehingga $10,250 setahun bagi melunaskan yuran tuisyen dan elaun lain.

Jumlah itu termasuk elaun tempat tinggal sehingga $2,000 setahun yang diberikan buat kali pertama.

Semasa berucap di majlis penyampaian biasiswa, Dekan Penerimaan Masuk NTU, Profesor Lalit Goel, berkata elaun itu membolehkan mahasiswa tinggal di asrama NTU dan menikmati sepenuhnya kehidupan di kampus.

http://cyberita.asia1.com.sg/msingapura/story/0,6879,174521,00.html?

Cikgu Naim bersara selepas 43 tahun berbakti (BH, 15.10.10)

JASA DIHARGAI: Encik Masagos (empat dari kiri) menyampaikan cenderahati kepada Cikgu Mohd Naim dengan disaksikan (dari kiri) Encik Wan Imran Woojdy, Encik Abdul Malek Ahmad, Encik Mohammad Thahirrudin S. Kadarisman, Encik Yatiman dan Encik Esfan Rizal Rahwom. — Foto TUNI SHARIFF

Oleh Azahar Mohd

SELEPAS berbakti lebih 43 tahun dalam bidang pendidikan, guru pakar Melayu pertama, Encik Mohd Naim Daipi, 61 tahun, bersara bulan lalu.

‘Saya sering ditanya guru-guru muda bagaimana saya dapat bertahan selama lebih 43 tahun?

‘Jawapan saya hanya dua. Pertama, anda sentiasa berfikiran baru. Bagi guru berpengalaman, saya mudah mengajar tanpa membuat sebarang persediaan.

‘Namun setiap tahun saya akan berdepan dengan orang-orang baru, pelajar baru dan situasi yang juga baru.

‘Lantas saya perlu memastikan bahan-bahan yang perlu diajar baru, pelan pembelajarannya baru kerana latar belakang mereka (pelajar) juga baru.

‘Kedua, jadikan tugas yang anda lakukan suatu keseronokan. Sekiranya anda seronok melakukan tugas, anda akan berusaha lebih gigih menjalankan tugas itu, termasuk merangsang minda anak-anak muda,’ kata Encik Mohd Naim.

Beliau berkata demikian semasa dirai oleh Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Ehwal Dalam Negeri), Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, di Restoran Kintamani di Hotel Furama RiverFront, kelmarin.

Turut hadir ialah mantan Setiausaha Parlimen Kanan (Penerangan, Perhubungan dan Kesenian), Encik Yatiman Yusof, yang kini Duta Besar Singapura ke Rwanda dan Kenya, dan wakil Persatuan Guru Bahasa Melayu (PGBM) dan Kesatuan Guru-Guru Melayu Singapura (KGMS).

Encik Mohd Naim lepasan sekolah menengah dan Maktab Perguruan Singapura di Paterson Road.

Beliau pernah mengajar di Institut Pendidikan Nasional (NIE) dan menjawat jawatan penulis di Institut Perkembangan Kurikulum (MOE).

Jawatan terakhirnya ialah Guru Pakar Kelompok Timur.

Beliau juga aktif dalam dunia persuratan dan pernah menyumbang dalam bidang cerpen, puisi dan esei sastera.

Encik Mohd Naim merancang berehat selama tiga bulan sebelum menimbangkan pelbagai lamaran yang diterima sejauh ini, termasuk menyediakan khidmat perunding cara kepada Kementerian Pendidikan (MOE).

Beliau juga merancang menerbitkan empat buku, termasuk sebuah yang berjudul 100 Hari Selepas Bersara, dan menyiapkan kit permainan bahasa bagi dimanfaatkan pelajar setempat.

http://cyberita.asia1.com.sg/msingapura/story/0,6879,174517,00.html?

Po’ad Mattar wajar ditimbang jadi calon Presiden

SAYA merujuk laporan tentang Encik Po’ad Mattar yang menerima Anugerah Jasa Cemerlang Muis, daripada Presiden S R Nathan (BM, 10 Oktober).

Membaca jasa baik dan sumbangan Encik Po’ad dan melihat gambarnya berdamping bersebelahan Presiden Nathan, tergerak hati saya untuk mengesyorkan agar beliau ditimbang sebagai antara calon yang boleh menggantikan Presiden S R Nathan dalam Pilihan Raya Presiden yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Tentunya lebih baik jika calon untuk mengganti Presiden Nathan nanti datang daripada kaum Melayu kita.

Bukan sahaja orang Melayu merupakan bumiputera dalam perlembagaan negara, malah presiden pertama dan akhir seorang Melayu adalah kira-kira 40 tahun lalu iaitu 1965-1970 apabila Encik Yusof Ishak menerajui peranan tersebut.

Lagipun, sehingga kini, semua kaum telah pun diwakili untuk menjadi Presiden Singapura.

Namun, perlembagaan Singapura tidak mensyaratkan pemegang jawatan tertinggi negara ini mestilah orang Melayu dan mendapatkan seorang tokoh Melayu yang kelayakan dan ketokohannya boleh kita ketengahkan sebagai calon nampaknya sukar sekali.

Terfikir saya akan Pak Ridzwan Dzafir kerana pengalaman dan penglibatan beliau di peringkat nasional dan antarabangsa, tetapi beliau kini uzur dan tidak setangkas dahulu.

Siapakah yang patut mengganti Presiden Nathan kelak? Sebagaimana maklum, Allahyarham Yusof Ishak digantikan oleh Presiden Benjamin Sheares, daripada keturunan Serani (1971-1981); disusuli Presiden Devan Nair (India: 1981- 1985); Presiden Wee Kim Wee (Cina Baba: 1985-1993); Presiden Ong Teng Cheong (Cina: 1993-1999); dan akhirnya Presiden S R Nathan (India: 1999-2005), yang kemudian dipilih untuk penggal kali kedua mulai 2005 dan akan tamat tempohnya pada 2011.

Maka mungkinkah nama Encik Po’ad Shaik Abu Bakar Mattar turut sama diajukan sebagai calon?

Walaupun usianya agak muda bagi jawatan ini (62 tahun), beliau mempunyai beberapa kelayakan dan pengalaman yang sesuai bagi jawatan penting ini.

Ini termasuk latar belakangnya membantu usaha-usaha kemasyarakatan dan agama, kerjayanya sebagai seorang akauntan dan Rakan Kanan Kongsi di syarikat besar antarabangsa Deloitte & Touche, anggota Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (PSC) dan anggota Majlis Penasihat Presiden (CPA).

Selain kelayakan dan pengalaman tersebut, memilih seorang wakil daripada kaum Arab akan bererti semua kaum diberi peluang menerajui amanah penting kepimpinan negara ini.

Namun, sama ada Encik Po’ad Mattar (atau tokoh lain yang setaraf) dicalonkan atau tidak, tidaklah sepenting daripada memastikan sebarang calon Melayu yang diketengahkan benar-benar merupakan tokoh yang dihormati rakyat Singapura secara amnya dan direstui masyarakat Melayu khasnya.

Apalah gunanya kita mendesak dipilih seorang Melayu yang kelayakan dan kewibawaannya tidak begitu terserlah, hanya kerana mahu melihat seorang Melayu memegang jawatan ini? Nanti yang kita dapat tidak lain hanya simbol sahaja.

Profesor Madya Hussin Mutalib

http://cyberita.asia1.com.sg/mkomentar/story/0,6879,174419,00.html?

Terhutang budi pada Orang Laut (BH, 13.10.10)

Oleh M. Effendy A. Hamid

PERANAN golongan suku kaum Melayu yang kecil seperti Bajau dan Orang Laut sebenarnya besar dalam sejarah.

Itulah garapan saya selepas meneliti kisah Orang Bajau, suku kaum perantau dan pedagang laut di antara perairan Filipina, Malaysia dan Indonesia.

Orang Laut memang disebut dalam Sejarah Melayu. Suku kaum ini berbakti kepada sultan atau raja Melayu dengan melindungi jalan laut.

Saya teringat suatu perbincangan tentang Sejarah Melayu dan Orang Laut dalam satu pertemuan tidak lama dulu.

Saya sendiri menimbulkan kedudukan mereka yang penting tetapi kurang dicatat apatah lagi diperkatakan.

Pada 1819, menurut catatan British, Singapura digambarkan sebagai sebuah kampung nelayan. Ertinya, Singapura sebelum 1819 tidak begitu penting. Padahal ini bukan hakikatnya.

Kajian arkeologi (penggalian) oleh sejarawan Universiti Nasional Singapura, Dr John Miksic, telah mendedahkan peranan Singapura yang penting sepanjang abad ke-14.

Ertinya, dasar kewujudan Singapura sebagai pelabuhan perdagangan telah lama ada sejak zaman bahari. Bahkan, Thomas Stamford Raffles menyedari hal ini ketika berkunjung ke Singapura pada 1819 untuk membangunkannya semula sebagai pelabuhan entrepot.

Dr Leonard Andaya, yang kebetulan penyelia kajian kesarjanaan saya, telah menulis buku yang kini dianggap adikarya iaitu Leaves of the Same Tree: Trade and Ethnicity in the Straits of Melaka (University of Hawaii Press, 2008).

Dalam bab keenam bukunya, Dr Andaya menyelongkar peranan Orang Laut yang amat penting dalam pembentukan kerajaan-kerajaan Melayu (diejanya Malayu dan bukan Malays).

Orang Laut dianggap penting sehingga diberi darjat kehormatan oleh raja-raja Melayu.

Mereka mengawal jalan laut dan sekali gus memastikan keamanan yang penting bagi perdagangan antarabangsa.

Orang Laut memang arif laut – dari segi musim, ombak, makanan laut seperti ikan sehinggalah mutiara yang diperlukan untuk pasaran China.

Namun, sumbangan terbesar mereka yang diakui raja Melayu ialah memelihara laluan laut termasuk ‘memujuk’ kapal dagang agar singgah di pelabuhan, kata Dr Andaya.

Sayangnya, bakti Orang Laut berkurangan selepas perubahan besar dalam perkembangan ekonomi Melayu daripada bergantung pada laut kepada pertanian dan perlombongan mulai akhir abad ke-19 Masihi.

Hakikatnya, kurang kajian mengenai Orang Laut dari segi sejarah, kebudayaan dan pemikiran mereka.

Kehadiran mereka mengawali kerajaan pesisir di Selat Melaka termasuk Kesultanan Melaka.

Memandangkan cara hidup mereka yang ‘menyendiri’ dan hanya sekali-sekala menemui masyarakat terbanyak, kita perlu mengupas tanggapan mereka mengenai, misalnya:

pembangunan bahasa Melayu dan budaya di Malaysia dan Singapura;

kesan pada diri mereka sejak perpisahan Singapura dari Malaysia;

kedatangan British dan pertumbuhan Singapura sebagai pusat perdagangan penting;

peranan orang Cina dalam sejarah Asia Tenggara – bagaimanakah Orang Laut menanggapi masyarakat Cina?

kesan Perang Dunia Kedua di Asia Tenggara;

bagaimanakah Orang Laut menyesuaikan diri dengan transformasi Asia Tenggara yang sedang berlaku kini;

apakah perspektif Orang Laut tentang proses-proses ini?

Saya pernah membaca makalah dari The Straits Times, 25 Disember 1949, mengenai Orang Laut Singapura di selatan Johor.

Ketua Orang Laut bergelar ‘batin’ atau ‘tok batin’. Ketika itu, terdapat dua suku Orang Laut di Singapura, iaitu Orang Kalang dan Orang Selat.

Orang Kalang datang dari Riau dan menetap di Pulau Kalang, tetapi mereka harus berpindah ketika lapangan terbang dibina pada masa itu.

Banyak Orang Kalang menetap di Pasir Panjang. Orang Kalang dibahagi dua, iaitu Orang Kopek dan Orang Senggera.

Wanita suku Kopek menjadi ibu susuan (wet nurse) kerabat Sultan Singapura. Hal ini mengingatkan kita kisah wanita kaum Badwi yang menjadi ibu susuan kepada anak-anak di Makkah, termasuk Nabi Muhammad saw.

Orang Senggera pula menjadi pengikut Sultan Hussin Shah Singapura, termasuk sebagai pemain muzik pesta keramaian diraja.

Orang Selat (atau Orang Singapura) menjadi pengikut Temenggong Abdul Rahman dan tinggal di perahu-perahu mereka di muara sungai Singapura. Mereka mengakui diri mereka sebagai suku yang memandu bot Raffles mendarat di tebing Sungai Singapura.

Gambaran tentang kegiatan ekonomi Orang Kalang memang menarik. Mereka berjualan daun nipah muda untuk membuat kertas rokok. Mereka mengumpulkan nipah tersebut di Kepulauan Riau dengan berperahu layar kecil yang disebut ‘perahu.pucuk’.

Walaupun Orang Laut dikatakan tidak terpelajar atau dikatakan menjauhi kemajuan, hal ini tidak benar. Ada yang dapat menyesuaikan diri dengan perubahan, gigih dan sangat memelihara maruah dan berbangga dengan asal mereka sebagai ‘Orang Asli Singapura’ seperti mantan menteri kabinet, Haji Othman Wok.

Kini dengan Singapura menerima banyak orang asing untuk bekerja dan bermastautin di sini, apakah yang terjadi pada penakatan ‘Orang Asli Singapura’?

Hal ini bukan sekadar pertimbangan sejarah, bahkan jati diri Singapura. Wajar kita mengkaji hal ini sebelum kisah Orang Laut tidak lagi diketahui dan suku kaum ini pupus dek masa.

http://cyberita.asia1.com.sg/mkomentar/story/0,6879,174425,00.html?

Jampi serapah lebih murah (BH, 13.10.10)

Rawatan daripada bomoh lebih disenangi berbanding doktor

Oleh Zulkiple Ibrahim

KENAPA masih ada orang di Malaysia yang lebih gemar mendapatkan rawatan bomoh bagi penyakit atau masalah kesihatan yang mereka alami berbanding mendapatkan khidmat profesional di hospital?

Penulis masih ingat satu episod pada 1974 apabila sepupunya, Halimah (bukan nama sebenar), mengadu berasa kebas di lengan kiri beliau yang kemudiannya merebak ke seluruh tangan itu sehingga menyebabkan tangan itu lumpuh.

Halimah, yang sepatutnya mendapatkan rawatan di hospital, sebaliknya pergi berjumpa bomoh yang mengatakan masalah itu disebabkan gangguan makhluk halus.
Bomoh itu kemudian membekalkannya dengan ‘air jampi’ dan ubatan.

Beberapa bulan selepas berjumpa bomoh itu, Halimah sakit teruk dan terpaksa dikejarkan ke hospital.

Doktor kemudian memberitahu anggota keluarganya bahawa Halimah menghidap barah buah dada pada peringkat lanjut.

Tidak lama kemudian, Halimah meninggal dunia.

Pada 2004 seorang lagi anggota keluarga penulis, Mohamaad, mengadu sakit dada dan sukar bernafas.


Beliau dikejarkan ke Pusat Pakar di Damansara dan kemudian dirujuk ke Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur tempat beliau menjalani pemeriksaan ‘angiogram’.

Mohamaad kemudian diberitahu doktor tentang tiga arteri koronari di jantung beliau tersumbat dan beliau perlu menjalani pembedahan pintasan koronari.

Tetapi kerana takut menjalani pembedahan, Mohamaad lebih rela mendapatkan rawatan tradisional. Pada tahun yang sama, beliau meninggal dunia selepas satu ‘serangan jantung’.

Kenapa?

Walaupun mengetahui implikasi perkara itu, masih ada yang lebih rela berjumpa bomoh bagi menyelesaikan masalah perubatan yang mereka alami daripada mendapatkan rawatan profesional di hospital.

Pesakit itu termasuk mereka yang berpelajaran tinggi.

Dr Florence Lim, seorang pakar perubatan di hospital awam di Malaysia, menghuraikan beberapa faktor mengenai isu itu.

‘Ada yang lebih suka jumpa bomoh kerana rawatan yang disediakan bomoh lebih murah daripada kos rawatan di hospital.

‘Contohnya bagi kes barah, rawatannya memerlukan kemoterapi, radioterapi dan juga pembedahan dan itu memerlukan perbelanjaan besar.

‘Jadi, mereka yang tidak mampu akan mencari rawatan yang kosnya adalah lebih rendah, seperti mendapatkan rawatan tradisional,’ kata beliau.

Menurut Dr Lim lagi, ada juga pesakit yang tidak suka kesesakan di institusi kesihatan awam, terutama di hospital kerajaan.

‘Sudah tentu apabila pesakit datang ke hospital dan mengadu mereka mengalami sesuatu masalah yang mencurigakan, mereka akan dikehendaki menjalani prosedur pemeriksaan lengkap selain daripada beberapa ujian yang diperlukan.

‘Pada rutinnya, pesakit akan diperiksa dahulu oleh pegawai perubatan di klinik sebelum dirujuk kepada pensyarah, pakar atau konsultan.

‘Ujian seperti profil darah dan juga air kencing perlu dilakukan. Begitu juga dengan pemeriksaan radiograf (sinar-x dan juga pemeriksaan imbasan) perlu dijalankan bagi membantu doktor mengenal pasti penyakit yang dialami. Tetapi ada pesakit yang tidak suka diminta pergi atau dirujuk dari satu jabatan ke jabatan yang lain.

‘Bagaimanapun, ujian-ujian itu penting dan diperlukan untuk mengetahui sebab sebenar penyakit yang mereka hidapi,’ kata Dr Lim lagi, sambil menambah bahawa ada juga pesakit yang tidak gemar hadir pada pemeriksaan lanjutan kerana dianggap memakan masa.

Menurut beliau, ada juga pesakit yang menolak hakikat yang sebenar.

‘Kami memahami perkara ini. Kami tahu reaksi sesetengah pesakit apabila mereka diberitahu tentang penyakit kronik yang mereka alami seperti penyakit kegagalan ginjal. Ada yang tidak boleh terima. Ada pula yang berharap penyakit itu akan pulih selepas beberapa waktu. Keadaan itu adalah ‘tahap penolakan’.

‘Itulah sebabnya ada pesakit yang tidak mahu mendapatkan rawatan di hospital kerana takut berhadapan dengan kenyataan yang sebenar. Jadi, mereka lebih selesa dengan mendapatkan rawatan bomoh.’

Ada juga pesakit yang menghadapi kesukaran dan tidak mahu pergi jauh ke hospital kerana ini dianggap rumit, terutama bagi mereka yang tinggal di luar bandar.

Ini adalah sebab utama mereka tidak mahu mendapatkan rawatan di hospital kerana bomoh sebaliknya hanya tinggal sekampung dengan mereka, kata beliau.

‘Ada juga yang takut dengan wad di hospital serta juga peralatan yang digunakan.

‘Ada yang takut dengan mesin radiografik dan mesin imbasan selain daripada prosedur pengambilan darah dan infusi intravena. Sudah tentu ujian lain seperti ‘pengambilan air tulang’ adalah menyakitkan,’ kata Dr Lim.

Seorang lagi pakar perubatan yang hanya mahu dikenali sebagai Dr Tan berkata tiada bukti kukuh mengenai rawatan tradisional boleh merawat penyakit kronik seperti kegagalan buah pinggang dan hati.

‘Pengamal perubatan tradisional mengatakan mereka ada ubat bagi penyakit kronik, termasuk juga yang boleh membawa maut seperti kanser. Pesakit tidak sedar ubat tradisional hanya boleh memburukkan keadaan mereka.

‘Ada yang mengalami penyakit seperti kanser lebih suka pergi jumpa bomoh daripada mendapatkan rawatan doktor di hospital. Kerana itu keadaan mereka jadi lebih teruk,’ kata beliau.

Menurut Dr Tan, ada pesakit yang apabila diberitahu mereka menghidapi barah mengatakan bahawa mereka mahu pulang dulu dan bincang dengan keluarga tentang rawatan yang akan dijalankan.

Sebenarnya, mereka pergi jumpa bomoh untuk mendapatkan rawatan.

‘Malangnya, apabila keadaan bertambah buruk ahli keluarga akan membawa pesakit ke hospital tetapi keadaan mungkin sudah terlambat,’ tambah Dr Tan.

http://cyberita.asia1.com.sg/mrencana/story/0,6879,174414,00.html?

Nikmati perjalanan kereta api, hidup kampung (BH, 13.10.10)

PENGALAMAN MENARIK: Encik Samad dan Cik Ainon meneroka Kelantan dan merasai kehidupan kampung dengan menginap dengan sebuah keluarga angkat di Tumpat. — Foto TUKIMAN WARJI

KTMB lancar pakej pelancongan rel berserta inapan keluarga di kampung di Kelantan, beberapa negeri lain

Oleh Safhras Khan

MEREKA menghabiskan masa 14 jam dalam gerabak kereta api untuk melancong ke Kelantan.

Tetapi bagi Encik Abdul Samad Abu Bakar dan isterinya, Cik Ainon Mohamad, masa yang diluangkan dalam tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) itu berbaloi kerana percutian tersebut memberi mereka peluang merasai hidup di kampung dengan menginap bersama sebuah keluarga di Tumpat, Kelantan.

Pasangan itu antara 120 penumpang Singapura, ejen pelancongan dan anggota media yang mengikuti pakej Pelancongan Rel Malaysia yang dilancarkan Menteri Pelancongan Malaysia, Dato’ Seri Dr Ng Yen Yen, baru-baru ini.

Pakej tersebut termasuk tiket kereta api dan menginap di sebuah rumah kampung di Kelantan serta menikmati hidangan tempatan serta kegiatan seperti memancing dan memetik buah-buahan.

Di samping Kelantan, KTMB menawarkan pakej ke negeri seperti Kedah, Perak dan Melaka.

Ketika ditemui di Stesen Kereta Api Tanjong Pagar, Cik Ainon, 54 tahun, berkata beliau tidak sabar untuk melawat Kelantan.

‘Memang perjalanannya jauh dan lebih selesa kalau menaiki kapal terbang, tetapi ini satu pengalaman yang pasti tidak dapat saya lupakan.

‘Saya nak rasa seronoknya menaiki kereta api selama 14 jam,’ ujar suri rumah itu sambil tersenyum.

Beliau dikenakan tambang $290, sementara Encik Samad, 59 tahun, membayar $240 kerana usianya melebihi 55 tahun.

Encik Samad, seorang pengendali bot, berkata beliau gembira berpeluang menikmati keamanan dan ketenteraman suasana kampung.

‘Saya sudah bersedia bermalam dalam kereta api. Ini pengalaman baik kerana saya dapat melihat pemandangan sepanjang perjalanan ke Kelantan,’ katanya.

Dalam ucapannya melancarkan pakej itu, Dr Ng berkata pelancongan rel itu menarik kerana ia menggabungkan dua pengalaman – menaiki kereta api dan menginap bersama keluarga di kampung.

Menurut beliau, program inapan keluarga (homestay) boleh membantu keluarga-keluarga di kampung.

Sebanyak 3,000 keluarga telah dikaji dan mereka dilatih oleh pihaknya untuk menjadi keluarga angkat dalam program inapan keluarga itu.

‘Mereka boleh mendapatkan wang dengan membuka pintu rumah mereka kepada pelancong. Ini boleh membantu mereka menyara hidup,’ kata Dr Ng.

Menurut beliau lagi, Malaysia menerima 12.7 juta pelancong Singapura tahun lalu, bertambah 15.7 peratus daripada 2008.

http://cyberita.asia1.com.sg/msingapura/story/0,6879,174398,00.html?

Suratman terima Pingat Budaya (BH, 13.10.10)

TINGKAT MARTABAT SASTERA MELAYU: Sasterawan mapan, Haji Suratman Markasan, menerima Pingat Budaya daripada Presiden S R Nathan di majlis yang diadakan di Istana malam tadi. — Foto M.O.SALLEH

Oleh Nuradilah Mahbob

SASTERAWAN mapan, Haji Suratman Markasan, dipilih sebagai salah seorang daripada tiga penerima Pingat Budaya yang dianugerahkan Presiden S R Nathan di majlis yang berlangsung di Istana malam tadi.

Dua penerima lain anugerah tertinggi bagi ahli seni tempatan bagi tahun ini ialah penggubah lagu, Dr Liang Wern Fook, 45 tahun, dan seniman seni visual, Cik Amanda Heng, 59 tahun.

Kali terakhir seorang seniman Melayu menerima anugerah tersebut adalah pada 2007 bila penyair Isa Kamari dianugerahkan pingat tersebut bagi kategori seni persuratan.

Ditemui Berita Harian semalam, Haji Suratman, 79 tahun, melahirkan rasa syukurnya di atas pengiktirafan itu.

‘Saya anggap penganugerahan ini sebagai satu pengiktirafan bukan sahaja kepada diri saya, tetapi kepada semua penulis yang menyumbang kepada sastera dan bahasa di negara ini,’ kata bapa empat orang anak dan datuk dua cucu itu.

Menurut pengarang novel Subuh Hilang Senja (1989), yang kini digunakan sebagai buku teks sastera di peringkat menengah empat, dan kumpulan cerpen Perempuan Kerudung Hitam (1991), beliau menulis setiap hari sejak awal 1950-an lagi bagi genre novel, esei, cerpen mahupun puisi.

Hingga ke hari ini, karya-karya Haji Suratman menjadi tatapan murid-murid sekolah hinggalah orang dewasa, apatah lagi golongan pencinta sastera.

Sebagai penerima Pingat Budaya, beliau layak menerima Geran Pingat Budaya bernilai $80,000 bagi penghasilan karya seterusnya.

Haji Suratman merancang untuk menggunakan wang geran itu bagi menerbitkan lebih banyak lagi karyanya, termasuk dua novel dan 11 kumpulan puisi, esei serta cerpen.

Sebelum ini, Haji Suratman pernah memenangi Anugerah Pujangga dari Malaysia pada 2003, Anugerah Tun Seri Lanang dari Majlis Bahasa Melayu Singapura dan Sastera Nusantara dari Menteri Besar Johor pada 1999, serta Anugerah Penulis Asia Tenggara (Southeast Asia Write Award) pada 1989.

Mengulas mengenai ciri-ciri serta tanggungjawab seorang penulis, Haji Suratman menekankan bahawa seorang penulis harus berdisiplin dalam membaca dan menulis setiap hari.

‘Kita harus berani dan tegas menggambarkan sesuatu di sekeliling kita.

‘Lebih-lebih lagi dewasa ini, di mana banyak perkara yang bertentangan dengan (keadaan) semula jadi,’ jelas Haji Suratman, yang pernah mengajar di Sekolah-sekolah Menengah Pasir Panjang, Swiss Cottage dan Tun Sri Lanang.

Sejak ia diperkenalkan pada 1979, Pingat Budaya ini telah dianugerahkan kepada tokoh-tokoh seniman Melayu seperti: Bani Buang, Ahmad Ja’afar, Nadiputra, Dr Haji Muhammad Ariff Ahmad, Som Said, N Abdul Rahman, Iskandar Jalil, Abdul Ghani Abdul Hamid, Isa Kamari dan Iskandar Mirza Ismail.

http://cyberita.asia1.com.sg/msingapura/story/0,6879,174432,00.html?

Angkawasan pertama Malaysia naik pelamin pula (BH, 12.10.10)

ADUNAN TRADISIONAL DAN FUTURISTIK: Persandingan Dr Sheikh Muszaphar dan Dr Halina bertema Pahlawan Melayu di Istana Kayangan dengan sentuhan rona lambang angkasa lepas, warisan Melayu dan futuristik. — Foto UTUSAN MALAYSIA

PUTRAJAYA: Tanggal 10.10.10 Oktober akan kekal menjadi tarikh istimewa angkasawan Malaysia, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor.

Tiga tahun lalu, beliau menjadi warga Malaysia pertama mengikuti satu misi angkasa lepas ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS).

Kelmarin tarikh itu menjadi lebih istimewa bagi Datuk Dr Sheikh Muszaphar apabila beliau melangsungkan perkahwinan dengan temanitanya selama lapan tahun, Dr Halina Mohd Yunos.

Dr Sheikh Muszaphar dan Dr Halina diijab kabul oleh bapa pengantin perempuan, Leftenan Kolonel (Bersara) Mohd Yunos Ali, dengan disaksikan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Che Mat Che Ali, di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, di sini, kira-kira 11.40 pagi kelmarin.

‘Saya bersyukur dan gembira kerana majlis (pernikahan) berjalan lancar, malah bertambah ceria dengan kehadiran ribuan rakyat Malaysia.

‘Apa yang pasti, walaupun sudah berkahwin, saya tetap Dr Sheikh Muszaphar yang sama dan akan terus mencurahkan bakti kepada negara dan terus memberikan ceramah kepada pelajar,’ kata Dr Sheikh Muszaphar, 38 tahun.

Kemuncak percintaan angkasawan pertama Malaysia itu dengan Dr Halina kemudian diabadikan dalam majlis persandingan gilang-gemilang di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada sebelah malam.

Dr Sheikh Muszaphar segak berbaju Melayu songket putih serta bertanjak sementara Dr Halina, 30 tahun, cantik memakai baju kebaya moden berwarna perak.

Mereka diiringi masuk ke dewan persandingan dengan penuh adat istiadat Melayu dan paluan kompang.

Memilih tema perkahwinan Pahlawan Melayu di Istana Kayangan dengan sentuhan rona biru menggambarkan angkasa lepas, emas-keemasan lambang warisan Melayu dan perak sebagai unsur futuristik), majlis itu ditujukan khas kepada rakyat Malaysia yang selama ini banyak memberi sokongan dan dorongan serta mendoakan kejayaan Dr Sheikh Muszaphar dalam misinya ke angkasa lepas.

Pasangan itu juga memotong kek berbentuk kapal angkasa Soyuz dengan penampilan persalinan khas berwarna perak rekaan Bernard Chandran.

Tetamu majlis perkahwinan itu termasuk Sultan Selangor, Tuanku Sharafuddin Idris Shah; Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mua’dzam Shah, serta isterinya, Sultanah Haminah Hamidun; dan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Jamalullail, serta isterinya, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah. — The Star, Harian Metro, Utusan Malaysia.

http://cyberita.asia1.com.sg/mluarnegara/story/0,6879,174356,00.html?