Mahu guna anjing pemandu arah tapi bimbang tidak diterima masyarakat (BH, 23.08.10)

TIDAK MAHU SINGGUNG PERASAAN ORANG LAIN: Cik Sherriza, kelihatan bersama Encik Kua dan anjingnya Kendra, percaya bahawa khidmat anjing pemandu arah akan membuat beliau lebih berani meneroka dunia luar. — Foto TAUFIK A. KADER

Dilema suri rumah Muslim buta yang takut keluar rumah walau bertongkat

Oleh Nuradilah Mahbob

KEGELAPAN mula menyelubungi dunia penulis bebas Sherriza Hareani Jalil sedekad lalu.

Cik Sherriza, 41 tahun, disahkan menghidapi penyakit retinitis pigmentosa, yang melenyapkan deria penglihatannya.

‘Waktu itu, saya dibelenggu ketakutan kerana untuk hidupkan sendiri komputer pun saya tidak mampu lakukan,’ kata beliau.

Sehingga kini Cik Sherriza takut keluar rumah walaupun bertongkat. Namun, ini mungkin berubah jika beliau memelihara anjing pemandu arah.

‘Dengan menggunakan anjing pemandu arah, saya mungkin lebih berkeyakinan dan berani keluar rumah,’ kata Cik Sherriza, yang sudah berumah tangga.

Suri rumah itu pernah bekerja sebagai tukang urut di Persatuan Orang Cacat Penglihatan Singapura (SAVH).

Sedang beliau bercadang menggunakan anjing pemandu arah, yang menjadi kebimbangannya ialah penerimaan masyarakat, terutama Melayu/Islam.

Satu-satunya pengguna anjing pemandu arah di Singapura, Encik Kua Cheng Hock, berkata walaupun pemerintah telah banyak memberi kemudahan dari segi undang-undang, kesedaran pihak awam masih kurang, lebih-lebih lagi di kalangan penyedia khidmat.

Isu ini menjadi lebih sensitif apabila melibatkan masyakarat Melayu/Islam, terutama kehadiran beliau dan anjing pemandu arahnya, Kendra, di tempat makanan bersijil halal.

‘Kadangkala bukan orang Melayu menentang, tetapi pemilik kedai bukan Melayu yang takut pelanggan Muslim mereka akan tersinggung,’ kata Encik Kua, 55 tahun.

Menurut Encik Kua, beliau pernah cuba melanggani sebuah restoran halal di Tampines One tetapi ditolak.

Encik Kua berkata beliau membawa ke mana saja surat daripada Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) yang membenarkan anjing pemandu arah dibawa masuk ke dalam tempat makan bersijil halal.

Muis mengesahkan makluman dalam surat itu dan menyatakan kenyataan tersebut turut tersiar di lamannya.

Antara lain, Muis menyarankan pengendali restoran menyediakan tempat khas bagi golongan itu dan anjing tersebut harus dikenakan abah-abah (harness) serta berada di sisi pemiliknya selalu.

‘Sebenarnya, ramai tidak tahu perbezaan antara anjing pemeliharaan dan anjing pemandu arah,’ ujar Encik Kua, seorang usahawan yang membekal kemudahan teknologi bagi orang buta.

Menurut beliau, antara lain anjing pemandu arah dilatih untuk diam berjam-jam.

‘Dia boleh duduk diam sepanjang 15 jam penerbangan dari Los Angeles di Amerika Syarikat ke Singapura,’ kata Encik Kua, yang kerap merantau ke luar negara, mengenai Kendra.

‘Sejak menggunakan Kendra, saya lebih kerap keluar rumah dan tidak seperti dulu, hanya keluar jika perlu.

‘Hasilnya, saya lebih bergaul dengan jiran-jiran dan saya juga rasa lebih sihat,’ kata Encik Kua, yang sedang giat mendorong orang buta mendapatkan anjing pemandu arah melalui Persatuan Anjing Pemandu Arah bagi Orang Buta.

Encik Kua berharap menerusi usahanya masyarakat Melayu/Islam dapat menerima kehadiran anjing pemandu arah bagi digunakan golongan cacat Muslim.

‘Kalau orang bukan Melayu boleh peka terhadap keperluan golongan minoriti orang Melayu, orang Melayu juga harus turut peka mengenai golongan lebih minoriti, seperti golongan buta,’ ujar beliau.

http://cyberita.asia1.com.sg/msingapura/story/0,6879,171332,00.html

SATU DEMI SATU PELUANG UNTUK NURUL (BH, 22.08.10)

NURUL DI STUDIO KANTARE: Peserta ‘Singapore Idol 3’ ini dilihat oleh penerbit albumnya sebagai mempunyai potensi dan bakatnya boleh digilap serta dikembangkan jika diberi perhatian serius. – Foto TUKIMAN WARJI

Bakat baru dari Singapore Idol 3 kini diangkat jadi artis syarikat rakaman baru

KEBANYAKAN penyanyi baru terpaksa meredah pelbagai kesusahan untuk memenuhi impian menghasilkan album. Ada yang terpaksa menunggu bertahun-tahun dan mengeringkan simpanan peribadi di bank untuk membiayai rakaman sendiri.

Tetapi, tuah nampaknya berpihak kepada bakat baru dari Singapore Idol 3, Nurul Huda.

Satu demi satu peluang terbuka untuknya.

Tahun lalu, setelah tersingkir di peringkat Piano Show, Nurul tiba-tiba tersenarai sebagai peserta ‘Top 13’ apabila beliau terpilih untuk menggantikan finalis MJ Kuok yang mengundur diri atas sebab-sebab peribadi.

Kini, biarpun beliau merupakan antara peserta paling ‘menyepi diri’ berbanding dengan rakan-rakan seperjuangan termasuk Tabihta Nauser, Faizal Isa dan Farhan Shah yang aktif membuat persembahan di sana sini, Nurul dalam senyap-senyap melangkah setapak dengan menghasilkan album mini pertamanya, Kaulah (dot dot dot), yang diterbitkan oleh Baharudin Ismail.

Nurul bahkan merupakan artis pertama suntingan syarikat rakaman Kantare Productions milik Baharudin dan adiknya, Suraya Ismail. Syarikat yang berusia setahun jagung itu juga mempunyai studio rakaman dan jamming di North Bridge Road, yang dikenali sebagai Kantare – The Music Chamber.

Nurul, 23 tahun, yang kini menjadi artis sepenuh masa dengan Kantare berkata, beliau pertama kali mendapat panggilan daripada pihak penerbit ketika Singapore Idol 3 baru berakhir.

‘Masa itu saya bekerja di sebuah butik dan memang ada rancangan nak keluarkan single. Apabila pihak Kantare telefon, saya mulanya tidak begitu ghairah kerana terfikir, betul ke tidak ada orang nak terbitkan album untuk saya? Memang saya ragu-ragu dan sukar untuk percaya,’ kata bakat muda bersuara besar ini.

Baharudin, yang berpengalaman 12 tahun menerbitkan album penyanyi termasuk Rahimah Rahim, Fredo (Flybaits) dan Zaleha Hamid dengan syarikat Life Record, mengakui beliau sendiri mulanya tidak begitu pasti sejauh mana seriusnya Nurul untuk meneruskan langkah dalam bidang seni. Namun, Suraya melihat potensi gadis berkulit hitam manis ini boleh digilap dan dikembangkan jika diberi perhatian serius.
‘Saya lihat ada sesuatu dalam diri Nurul. Sayang kalau dibiarkan bakatnya terbiar begitu saja. Tetapi pada masa yang sama, saya lihat Nurul perlu banyak bimbingan.

‘Saya mengambil keputusan meminta Nurul berhenti kerja di butik dan menjadi artis sepenuh masa kami, kerana kami mahu pastikan beliau siap sepenuhnya untuk diketengahkan sebagai penyanyi profesional,’ kata Suraya, yang mempunyai latar belakang dunia korporat sebelum membuka studionya sendiri.

Nurul tidak saja dilatih dari segi vokal oleh Baharudin, bahkan diberi bimbingan tentang penataan pakaian, pergerakan dan peningkatan personaliti.

‘Setelah menjalani latihan, memang banyak perubahan saya lihat pada vokal dan penyampaian saya. Memang banyak yang perlu saya belajar untuk memperbaiki diri,’ ujarnya.

Album Kaulah (dot dot dot) yang berkonsep progresif rok, mengandungi enam lagu, dua daripadanya merupakan trek Inggeris, Don’t You Waste Your Time yang ditulis dan digubah oleh Nurul sendiri dan I’m not a fool, ciptaan bersama Galileo dan Moliano.

Selain Kaulah, tiga trek Melayu lain ialah Cukup Hanya Sekali ciptaan Moliano, Erti Cinta ciptaan Iskandar Rahmat dan Tarian Cinta ciptaan Baharudin Ismail.

Kata Nurul, beliau berharap akan dapat memainkan peranan untuk menyuntik kesegaran dalam dunia hiburan tempatan.

‘Semangat saya kuat untuk melangkah jauh, kerana saya yakin kemampuan saya. Kalau boleh, saya mahu mewakili Singapura dalam persembahan luar negeri,’ ujarnya.

Sesuai dengan suasana menjelang Syawal juga, Nurul telah menghasilkan single lagu Hari Raya berjudul Inang Lebaran.

Rakaman muzik video bagi lagu ini juga sudah disiapkan dan diharap mendapat tempat di kaca televisyen. Memang Nurul kelihatan cantik dan meyakinkan ketika membawakan lagu berentak inang itu dalam MTV yang sempat ditunjukkan kepada wartawan.

Sempena pelancaran album tersebut, satu sesi pertemuan dengan Nurul akan diadakan untuk para peminatnya pada 26 Ogos di Kantare – Music Chamber di 737A North Bridge Road. Kira-kira 100 peminatnya telah diundang dan ia masih dibuka kepada orang ramai. Mereka yang ingin hadir boleh hubungi telefon 6297-9815 untuk pendaftaran.

http://cyberita.asia1.com.sg/mrencana/story/0,6879,171300,00.html?

GURU BAHASA ‘KELAS PERTAMA’ (BH, 22.08.10)

MAHU BANGUNKAN PENGUASAAN BAHASA MELAYU PELAJAR: (Dari kiri) Cik Nurmin Ahmad, Encik Qamarul Azhar Ahmad Kamil, Encik Hidayat Hamzah dan cim Shahidah Mahfodz yakin masa depan Bahasa Melayu di Singapura kekal cerah dengan penggunaannya diasah dan pelbagai aktiviti bahasa dirancakkan untuk masyarakat segenap lapisan usia. – Foto KHALID BABA

Hanya lima siswazah Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya diberi ijazah Kepujian Kelas Pertama, kesemuanya warga Singapura.

KERANA tidak serius dalam pelajaran dan banyak main-main suatu ketika dahulu, Encik Hidayat Hamzah tercicir daripada pengajian di Politeknik Temasek hanya selepas enam bulan menuntut di tahun pertama.

Beliau beralih pula ke Maktab Rendah Serangoon tetapi hanya ‘cukup-cukup makan’ untuk meneruskan pelajaran ke Institut Pendidikan Nasional (NIE).

Selepas memasuki Perkhidmatan Negara (NS), barulah anak pemandu teksi dan operator pengeluaran itu sedar kehidupannya tidak mampu disia-siakan dan tekad baru harus dibina untuk mengecap kejayaan.

Kecekalan Encik Hidayat, 31 tahun, guru Sekolah Rendah Gan Eng Seng, berbaloi apabila beliau meraih ijazah Sarjana Muda Pengajian Melayu dengan Kepujian Kelas Pertama daripada Akademi Pengajian Melayu (APM) Universiti Malaya (UM) pada 5 Ogos lalu.

Hanya lima siswazah APM daripada kohort seramai 230 orang diberikan ijazah Kepujian Kelas Pertama tahun ini.

Yang membanggakan, kesemuanya warga Singapura, dengan empat daripada mereka guru bahasa Melayu yang banyak berkorban dengan mengambil cuti tanpa gaji selama tiga tahun.

Tahun lalu, enam guru Singapura mencatat kecemerlangan serupa, meneruskan tradisi kejayaan pelajar Singapura di UM.

Selain Encik Hidayat, guru- guru lain ialah Cik Shahidah Mahfodz, Cik Nurmin Ahmad dan Encik Qamarul Azhar Ahmad Kamil, yang merupakan rakan seperjuangan di NIE. Seorang lagi ialah Cik Siti Nurulhuda Abdul Razak, 23 tahun, lulusan Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah.

‘Melihatkan pengorbanan ibu bapa saya yang bertungkus-lumus bekerja sehingga ke hari ini dan pahit getir saya berdikari di negara orang, rasanya tidak cukuplah kalau saya setakat lulus sahaja tanpa meraih sebarang kepujian,’ kata Encik Hidayat, yang masih bujang dan anak sulung dua beradik.

Biaya pengajian di UM, jelasnya, tinggi mencecah RM18,000 ($7,772) untuk tempoh tiga tahun, menyusuli kenaikan yuran tiga kali ganda berbanding kohort sebelumnya.
Pelajar Melayu Singapura perlu membayar yuran setara pelajar antarabangsa lain dan tidak lagi bayaran keutamaan untuk Bumiputera seperti tahun-tahun sudah.

Ini belum termasuk sewa apartmen, makanan dan kos membeli buku. Justeru, beliau terpaksa bekerja sambilan sebagai guru tadika di seberang Tambak demi menampung perbelanjaan hariannya.

‘Apabila bercuti tanpa gaji dan menetap di negara orang, susah payahnya perlu ditanggung sendiri.

‘Selain merindui keluarga di Singapura, semangat untuk belajar berkobar-kobar sebab tidak mahu menghampakan ibu bapa dan diri sendiri. Lagipun, minat untuk memartabatkan bahasa dan sastera Melayu memang sedia ada dan saya ingin berkongsi dengan pelajar-pelajar saya sekembalinya dari UM,’ jelasnya.

Encik Qamarul Azhar, 27 tahun, guru Sekolah Rendah Juying, pula dapat merasakan perbezaan menuntut ilmu sebagai pendatang.

Ini, jelasnya, antara faktor pemacu kejayaan pelajar Singapura apabila belajar di rantau orang.

‘Seperti pelajar dari China atau Indonesia yang ke Singapura di bawah tajaan biasiswa, kami, yang berkorban meninggalkan keluarga dan kerjaya buat sementara waktu untuk belajar di UM, juga lebih mampu menghargai nilai pembelajaran.

‘Dah pergi jauh-jauh, dah banyak belanja… tentunya tekad bulat untuk mencapai yang terbaik,’ kata beliau, yang langsung menyertai kampus NIE Townsville selepas tamat Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat ‘O’.

Cabaran dari segi kewangan turut dirasakan anak kedua tiga beradik ini memandangkan niaga bapanya yang memiliki syarikat kejuruteraan dihambat kemelesetan ekonomi.

Encik Qamarul Azhar kemudian mencari mata pencarian tambahan dengan mengendalikan bengkel penulisan kreatif dan permainan tradisional di sekolah-sekolah.

Cik Shahidah, 25 tahun, guru Sekolah Rendah East View, menambah, selain masalah kewangan yang beliau atasi dengan bekerja sambilan sebagai kerani setiap cuti penggal di UM, ketetapan pemarkahan bagi mencapai gred A juga diubah untuk kohort mereka.

‘Tekanan tentunya dirasakan apabila kita ingin capai yang terbaik. Kalau kohort pelajar sebelumnya boleh dapat gred A jika dapat 75 mata ke atas, kohort kami pula perlu dapat 85 mata ke atas untuk mencapai gred A,’ jelas beliau, yang menyiapkan tesis bertajuk Retorik Kewartawanan Melayu bagi Berita Harian Singapura.

Cik Nurmin, 28 tahun, guru Sekolah Menengah Damai pula akur tiga tahun di UM mengajarnya erti kesabaran dan berdikari.

Pada masa yang sama, beliau tidak kecewa memilih kerjaya sebagai guru bahasa Melayu meskipun terfikir untuk mengajar Ekonomi Rumah Tangga.

http://cyberita.asia1.com.sg/mrencana/story/0,6879,171306,00.html?

AKHIRNYA KEIKO DAPAT BACA AL-QURAN (BH, 22.08.10)

HILANG GELAP TIMBUL TERANG: Cik Afiyah Keiko Watanabe mahu pastikan bacaan Al Qurannya lancar agar dapat mengajar dua orang puterinya, Nur amalina Shaiful Khairi, (kiri), tiga tahun dan Iman Natasha, lima tahun. – Foto M.O. SALLEH

10 tahun lalu wanita Jepun ini bukan saja tidak kenal sepatah pun huruf dalam muqaddam bahkan tidak faham langsung, lalu berundur dari kelas baca Quran sehingga tahun lepas.

LIDAHNYA bagaikan terbelit-belit setiap kali beliau ingin menyebut ayat-ayat suci Al-Quran.

Ada kala pula beliau keliru kerana tidak dapat membezakan satu huruf dengan satu huruf yang lain. Semuanya kelihatan asing baginya.

Tetapi, dalam setiap kegelapan pasti ada sinar cahaya. Segala susah payah yang dialaminya sebelum ini akhirnya berbaloi.

Cik Afiyah Keiko Watanabe, seorang anak kelahiran Jepun yang kini sudah berumah tangga dengan seorang lelaki Melayu dan mempunyai anak-anak di Singapura, akhirnya dapat mengenali huruf dan sudah pun boleh membaca Al-Quran.

Biarpun tidak lancar, tetapi ibu dua orang anak perempuan ini amat berpuas hati dengan kemajuannya dalam membaca Al-Quran.

‘Apabila saya tiba di Singapura pada tahun 2000, saya mula belajar baca Al-Quran dari muqaddam di Darul Arqam, tetapi saya langsung tak faham. Saya putus asa dan kemudian tidak mengikuti sebarang kelas pun.

‘Tapi, apabila saya mengandung anak pertama saya lima tahun kemudian, ibu mentua saya syorkan agar saya belajar semula dari muqaddam.

‘Masa itu pun saya masih merangkak-rangkak membacanya dan mengalami kesukaran memahaminya,’ cerita Cik Afiyah yang mula mengenali suaminya, Encik Shaiful Khairi, 33 tahun, pada tahun 2001 di Darul Arqam menerusi seorang teman.

Bagaimanapun, pada tahun lalu, Cik Afiyah yang telah memeluk agama Islam sekitar 10 tahun lalu semasa beliau masih di Jepun, mula mengikuti kelas belajar membaca muqaddam di Madrasah Al-Jauhar Darul Ulum yang diajar oleh Ustaz Ahmad Jelani Johari.

Teknik yang diajar Ustaz Jelani amat mudah untuk difahami, katanya, kerana beliau menggunakan power point dan kelasnya berjalan dalam bahasa Inggeris.

Selama lima bulan Cik Afiyah belajar – bermula daripada asas dengan cuba mengenal huruf satu-persatu – sebelum mempelajari tajwid pula selama lima bulan lagi.

Sebenarnya, perjalanan Cik Afiyah memeluk agama Islam juga begitu menarik. Selama 30 tahun beliau yang enggan mendedahkan usianya, tidak menganut sebarang agama atau menjadi free thinker. Apabila beliau bekerja di Greece selama tiga tahun, setiap hari beliau akan keluar berpesta bersama teman-temannya.

Namun, keadaan ibunya yang agak parah akibat sakit barah, menyebabkan Cik Afiyah kembali ke Jepun.

Dalam kekalutan melihat nasib dan keperitan yang dialami ibunya, Cik Afiyah mula berdoa. Beliau percaya, walaupun beliau tidak beragama, beliau yakin ada pencipta yang dapat menyelamatkan ibunya.

Beliau begitu lega apabila ibunya kembali sihat dalam masa tiga bulan dan mulai hari itu, hati Cik Afiyah mula terbuka untuk mencari agama yang sebenar.

Beliau mula mempelajari tentang agama-agama lain tetapi beliau mengalami kesukaran untuk memahami agama-agama tersebut.

Namun, minatnya terhadap agama Islam berputik apabila seorang temannya dari Malaysia memperkenalkan beliau kepada agama Islam.

Untuk meluaskan lagi pemahamannya tentang agama Islam, Cik Afiyah mula mencari laman-laman web Jepun yang membincangkan tentang Islam.

Hanya selepas sebulan, Cik Afiyah mengambil keputusan untuk memeluk agama Islam dan ia disokong oleh ibu bapanya yang pada ketika itu masih lagi merupakan penganut Buddha.

Dua bulan selepas itu, beliau mendapat tawaran untuk bekerja di Singapura. Tetapi, selepas tujuh tahun menetap di Singapura, beliau tiba-tiba menerima panggilan bahawa ibunya sedang sakit tenat di hospital.

Ketika beliau sedang menunggu untuk mendapatkan tiket pulang ke tanah airnya, beliau berbual di telefon bersama ibunya.

Dalam perbualannya, beliau sempat mengajak ibunya mengikutinya membaca dua kalimah syahadah di telefon dan sekitar tiga hari kemudian, ibunya meninggal dunia.
Apabila mengimbas kembali detik itu, Cik Afiyah berkata:

‘Jadi, sebab itu, sekiranya saya mati esok, saya tidak mahu menyesal kerana tidak dapat mengenali dan membaca Al-Quran,’ tambahnya yang kini mengikuti kelas membaca Al-Quran seminggu sekali dan berlatih membacanya lima hingga 10 minit setiap malam.

http://cyberita.asia1.com.sg/msingapura/story/0,6879,171310,00.html

Belum PSLE dah lulus cemerlang Matematik GCE ‘A’ (BH, 18.08.10)

PINTAR DAN CERDAS: Biarpun belum menduduki PSLE, Muhammad Farhan mencapai keputusan cemerlang dalam IGCSE dan GCE ‘A’ yang didudukinya antara November hingga Jun lalu. — Foto TUKIMAN WARJI

Oleh Chairul Fahmy Hussaini

MUHAMMAD Farhan Abdullah Zain, 12 tahun, belum pun menduduki Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE), tetapi kemampuan akademiknya sukar disangkal.

Ketika berusia 11 tahun November tahun lalu, pelajar Sekolah Rendah Rosyth itu menduduki peperiksaan Sijil Am Antarabangsa bagi Pendidikan Menengah (IGCSE) dalam empat mata pelajaran – Matematik, Matematik ‘A’, Fizik dan Biologi.

Jun lalu pula, anak kedua daripada empat adik-beradik ini menduduki peperiksaan lebih tinggi – Sijil Am Pelajaran (GCE) Peringkat ‘A’ bagi Matematik dan dua subjek IGCSE, Bahasa Inggeris serta Kimia.

Hasilnya?

Bagi IGCSE, Muhammad Farhan mendapat gred A* dalam Bahasa Inggeris, Matematik, Fizik, Kimia dan Biologi dan gred ‘A’ bagi Matematik ‘A’.

Bagi GCE ‘A’, dia meraih gred ‘A’ dalam Matematik.

Kesemua sekolah antarabangsa di sini menggunakan IGCSE bagi pelajar mereka dan ia serupa GCE peringkat ‘O’ yang diambil pelajar menengah empat dan lima Singapura.

Selain amat cemerlang dalam pelajaran, Muhammad Farhan memiliki tali pinggang hitam dalam seni pertahanan diri taekwondo bagi kategori kanak-kanak dan mendapat anugerah bintang emas dalam sukan renang.

Namun, dia akan tetap menduduki PSLE Oktober ini.

Dihubungi Berita Harian, ibunya, Cik Salha Abdat, 39 tahun, seorang suri rumah, berkata: ‘Saya bersyukur dia meraih keputusan cemerlang dalam IGCSE dan GCE ‘A’, dan saya berharap dia terus cemerlang.’

Disember lalu, akhbar ini melaporkan tentang abangnya, Muhammad Haikal, 13 tahun, yang turut menunjukkan kecerdasan luar biasa – mendapat agregat 274 dalam PSLE, meraih 4A dalam peperiksaan GCE ‘A’ bagi Matematik, Fizik, Kimia dan Biologi dan mendapat empat A* dalam IGCSE bagi Bahasa Inggeris, Fizik, Biologi dan Kimia.

Muhammad Haikal menuntut di Sekolah Tinggi Matematik dan Sains NUS sementara meneliti beberapa tawaran yang diterima daripada universiti luar negara.

Sementara itu, Muhammad Farhan, yang mengikuti Program Pelajar Bijak di sekolahnya, akan menduduki peperiksaan lisan Bahasa Melayu bagi PSLE esok, lisan Bahasa Inggeris lusa dan prelim Isnin ini.

Semasa diwawancara akhbar ini, dia berkata:

‘Sebenarnya Farhan nak ambil peperiksaan GCE ‘A’ bagi subjek Kimia, Fizik dan Biologi pada Oktober hingga November ini, tetapi kena tunda pasal jadual bertembung dengan PSLE.’

Apa ‘resipi’ kejayaannya?

‘Saya membaca buku lebih daripada sekali dan bagi subjek Kimia, saya buat nota dan mengingatinya.

‘Bagi Fizik dan Matematik pula, ia lebih pada pemahaman konsep,’ dedah Muhammad Farhan, yang gemar bermain komputer, catur dan piano.

http://cyberita.asia1.com.sg/msingapura/story/0,6879,170973,00.html?