Fuchun gondol semua gelaran Bahagian C (BH, 21.05.10)

KEMEGAHAN SEKOLAH FUCHUN: (Dari kiri) Cikgu Hanim Ali, Rahmad Abdul Malik, Muhammad Farez, Jamaluddin Suaip (jurulatih), Ahmad Imran, Muhammad Faez dan Syahmi Zuhaily Sobrin. — Foto M.O. SALLEH

SUKAN TAKRAW

Oleh
Yusoff A. Rahman

TAHUN lalu, naib juara.

Tetapi tahun ini, bergelar johan pula.

Itulah graf kemajuan yang dicatat pasukan Sekolah Menengah Fuchun di Woodlands dalam Pesta Sepak Takraw Antara Regu Peringkat Nasional Bahagian C di Dewan Serbaguna Cawangan Luar Darjah (CCAB) di Evans Road, petang semalam.

Dalam final, gandingan Ahmad Imran Mohamed Arif bersama pemain kembar, Muhammad Ady Faez dan Muhammad Ady Farez Adam, menewaskan gabungan tenaga Sekolah Menengah Woodlands – Shafik Abdullah, Mohamed Ashisiddiq Misban dan Shahid Wahab – 21-19, 21-16.

Sebelum itu, Sekolah Fuchun telah menjuarai Kejohanan Nasional Bahagian C dan juga Kejohanan Sekolah-Sekolah Zon Utara.

‘Nampaknya, kami telah menggondol kesemua gelaran dalam Bahagian C, bermula dengan Kejohanan Zon Utara, Kejohanan Nasional dan kemudian Pesta Antara Regu,’ kata jurulatihnya, Jamaluddin Suaip.

Jamaluddin, yang pernah mengikuti latihan skuad Singapura semasa dipimpin Allahyarham R.S. Selamat pada 1999, berkata tahun lalu, regu yang sama telah tersekat di tangan regu Sekolah Choa Chu Kang.

Tetapi, ujarnya, dengan berkat latihan, regu ini telah bangkit untuk menggondol kejuaraan ini – lebih-lebih lagi pemain kembar, Faez dan Farez, yang menunjukkan jalinan persefahaman yang baik dalam permainan.

http://cyberita.asia1.com.sg/msukan/story/0,6879,165120-1274479140,00.html?