Kumpul khazanah bantu semarak dunia bahasa (BH, 13.07.09)

LANCAR BUKU BARU: Encik Zainul Abidin Rasheed (dua dari kanan), melancarkan buku-buku baru di Taman Warisan Melayu. Bersama beliau (dari kiri) ialah Encik Mohamed Latiff Mohamed, Dr Mohamad Arif Muhamad, Encik Mohamed Pitchay Gani Mohamed Abdul Aziz dan Encik Eddy Hassan. — Foto TUKIMAN WARJI

USAHA pengumpulan dan penghayatan khazanah bukan sahaja tugas penting malah dapat membantu menyemarakkan lagi dunia bahasa dan persuratan Meayu Singapura kontemporari, kata Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar), Encik Zainul Abidin Rasheed.

‘Saya sangat berharap lebih banyak inisiatif seumpama ini dapat digerakkan dengan lebih banyak pertubuhan tempatan agar usaha membangun khazanah warisan bangsa dan negara menjadi tunggak pergerakan pertubuhan-pertubuhan tempatan.
‘Simbiosis antara pertubuhan yang mempunyai cita-cita yang sama yakni membangunkan modal insan wajar diselidiki dan dikembangkan seperti yang dilakukan dan dijanakan oleh Asas 50 dan Taman Warisan Melayu,’ kata Encik Zainul lagi.

Beliau berkata demikian sewaktu merasmikan Majlis Pelancaran 2000 Pameran Bahasa Melayu di Taman Warisan Melayu semalam.
Dua buku, 2000 Tahun Evolusi Bahasa Melayu – Dari Zaman Purba ke Budaya Elektronik dan Legasi Bahasa Melayu turut dilancarkan semalam.

‘Pameran ini adalah satu usaha memelihara jati diri bangsa agar mereka tahu akan asal-usul bahasa dan memahami dinamik bahasa itu sehingga ia kekal pada zaman ini,’ kata Encik Zainul yang juga Anggota Parlimen bagi GRC Aljunied.

Beliau berkata kecemerlangan anak-anak Melayu dalam bidang sukan dan ketenteraan merupakan contoh evolusi bangsa Melayu yang semakin hangat menjana masa hadapan yang cerah di persada negara.

‘Baru-baru ini masyarakat kita telah menyambut berita yang amat memberangsangkan berkenaan kelahiran atlit-atlit muda Melayu yang gigih mengibarkan bendera negara di Sukan Belia Asia seperti Dzulhaili Mohd Kamal dan Shahrir Mohd Anuar.

‘Kita juga telah menyambut dengan penuh rasa bangga pelantikan Brigedier-Jeneral Ishak Ismail sebagai Brigedier-Jeneral pertama Melayu Singapura,’ kata beliau lagi.