ORANG-ORANG

Disalib di tengah padang
Tercancang tinggi si orang-orang
Sungguh senang-lenang
Hanya mengira kumbang di ladang

Si orang-orang
Gagah dipalang
Boneka tanpa jiwa
Tanpa minda tanpa nyawa
Hanya gemar menunggu masa

Si orang-orang
Hanya berupa manusia
Bila berkata semua tipu belaka
Bukan tugasnya untuk berhujah

Si orang-orang
Benak fikiran dipenuhi rumput kering
Cuba berfikir kepala runsing
Maka jadinya bukan untuk membuat bising

Si orang-orang
Hanya kepura-puraan
Hendak bergerak tidak berdaya
Lupakan sahaja niatmu boneka

Si orang-orang
Selama ini kau gemar menunggu masa
Menjelang waktu kau terus binasa
Diredah dihancurkan kuasa dek cuaca

Jika orang menyerupai si orang-orang
Jangan difikirkan pucuk di cita ulam mendatang

Iltizam, East Coast, 23.10.02, 1600hrs

MUNAFIK

Sungguh bersenda gelagat dunia
Menyahut terlolong munafik semuanya
Berwajah takwa diselaputi durjana
Lupa dek lewa amat berdosa

Iman pada gerak pada lagak
Zalim pada taulan yang merangkak
Pendusta sering memekak
Kewajipan diabaikan telinga buat pekak

Tangan mengapai dibiarkan longlai
Menyusun bicara jiwa tergadai
Membela nusa dipalu badai
Membiarkan kelapa ditebuk tupai

Luncai teruskan helah mu
Pak Kaduk teruskan bodoh mu
Lebai Malang teruskan tamak mu
Pak Pandir teruskan khilaf mu

Pedang berintikan dakwat diayunkan
Berteriak takwa kebaikan insan
Padahal mereka bak ikan haruan
Amat munafik mengorbankan teman

Perjuangan yang tidak logik
Ideologi yang amat jijik
Ngomong-ngomong dilitupi munafik
Wa Na’uzubilah Min Zalik

Iltizam, Marsiling Rise, 23.12.02, 2340hrs

MASAGOS GESA DANA GALAK BAHASA MELAYU DIMANFAAT (BH, 05.05.09)

Turut dorong guru bahasa Melayu dapatkan ijazah

OlehShamsul Jangarodin
PARA mahasiswa dan pensyarah daripada program Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Melayu di Universiti SIM (UniSIM) dialu-alu memanfaatkan dana Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC) bagi melaksanakan aktiviti-aktiviti bahasa dan sastera.

Guru-guru bahasa Melayu yang belum memiliki sarjana Muda juga digalak mempertingkat diri dengan mengambil kursus-kursus ijazah supaya mereka dapat mempertingkat kebolehan mengajar bahasa Melayu.
Mendedahkan tawaran penggunaan dana MLLPC itu, Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Ehwal Dalam Negeri), Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, berkata tujuan utamanya ialah untuk melestarikan penggunaan bahasa Melayu di kalangan para pelajar dan guru.

‘Dana MLLPC telah lama diadakan tapi ia khusus diperuntukkan untuk aktiviti-aktiviti badan-badan Melayu setempat,’ kata Encik Masagos sewaktu mengadakan lawatan menemui mahasiswa dan pensyarah program sarjana muda itu di kampus UniSIM semalam.
Sejauh ini, lebih $550,000 daripada dana bernilai $1.5 juta yang diperuntukkan Kementerian Pendidikan (MOE) telah pun digunakan.

‘Justeru, kita dapat melihat bahawa pemerintah sentiasa memberikan sokongan dalam apa jua program atau inovasi untuk meluaskan dan meningkatkan penggunaan bahasa Melayu di kalangan pelajar dan pengguna bahasa Melayu yang lain,’ ujar Encik Masagos.
Dalam pada itu, Encik Masagos turut mengalu-alukan guru-guru yang tidak mempunyai pendidikan universiti menyertai program ijazah sarjana muda Bahasa Melayu yang diadakan secara sambilan itu.

‘Setakat ini, daripada 1,200 guru bahasa Melayu, 35 peratus berpendidikan universiti. Kita ingin meramaikan lagi guru-guru bertauliah,’ jelas Encik Masagos.
Kohort pertama program tersebut yang dimulakan Januari lalu menarik 48 mahasiswa manakala kohort kedua yang bakal dimulakan Julai nanti mempunyai 98 bakal mahasiswa.

Program yang ditawarkan secara sambilan ini membolehkan guru bahasa Melayu Sekolah Rendah Qihua, Encik Mohd Hizammuddin Mohd Yusof, 30 tahun, yang sudah berumah tangga, menyertainya tanpa perlu berhenti kerja.

Sebelum ini, beliau setakat memiliki diploma pendidikan bahasa Melayu.
‘Selain itu, tangga gaji seorang guru yang berkelayakan diploma lebih rendah berbanding seorang guru yang berkelayakan ijazah sarjana muda,’ jelas Encik Mohd Hizammuddin.

Datuk tiga orang cucu, Encik Yahya Abu Hassan, 53 tahun, menyertai program tersebut kerana ingin mempertingkat ilmu dan kemahiran diri sebagai seorang jurubahasa di Mahkamah Tinggi.
‘Saya juga mahu menyarungkan jubah dan mengenakan topi mortarboard untuk bapa saya yang memang mahu melihat saya mendapat ijazah dari dulu lagi,’ jelas Encik Yahya.