TOKOH AGAMA: ‘TANGKAP HANTU’ KERJA SIA-SIA (BH, 05.02.09)

KUALA LUMPUR: Beberapa tokoh agama Malaysia berkata perbuatan menangkap hantu atau melihat perbuatan itu adalah sia-sia.

Mantan pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Dr Amran Kasimin, yang juga pengkaji kebudayaan Islam, berkata tiada guna manusia menghabiskan masa menangkap hantu atau melihat perbuatan itu.
‘Buat apalah tangkap hantu. Itu semua mengarut. Secara ratio, atau perbandingan, jumlah jin 99 kali ganda daripada jumlah manusia. Tiada gunanya tangkap hantu,’ katanya.
Menurut beliau, tiada satu ayat pun dalam Al-Quran yang menyebut salah satu tugas manusia di dunia ialah menangkap hantu syaitan.
Beliau tergelak apabila diajukan mengenai operasi menangkap hantu di Taman Rinting, Johor Bahru, oleh seorang pengamal perubatan tradisional yang dikatakan mendapat sambutan luar biasa di kalangan penduduk bandar raya itu, yang teruja untuk melihat cara menangkap makhluk tersebut.
Pengamal perubatan tradisional yang dikenali sebagai Kak Mek itu mendakwa sudah membantu menyelesaikan kira-kira 100 kes kerasukan, membuang saka dan menangkap hantu di rumah serta tempat berpenunggu.
‘Dalam Al-Quran tidak sebut pun tugas manusia tangkap hantu. Yang ditekankan ialah supaya manusia menjauhi syaitan dan menganggap makhluk itu sebagai musuh. Cukuplah dengan pelbagai masalah akhlak di kalangan umat Islam. Sedarlah dengan hakikat dunia ketika ini, yang kita sedang ketinggalan. Malah, ada saudara kita sedang diperangi,’ katanya.
Seorang lagi tokoh agama, Datuk Abu Hassan Din, menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati terhadap individu yang mendakwa berupaya menangkap hantu kerana dikhuatiri ada unsur komersial.
‘Sebagai contoh, satu masa dulu heboh diperkata mengenai ‘jenglot’ yang dikeringkan dan kemudian menjadi bahan pameran. Dalam istilah tauhid atau fiqah tiada makhluk bernama hantu, pontianak atau jenglot. Tapi yang ada ialah jin dan syaitan. Manusia tidak boleh nampak makhluk berkenaan, jadi bagaimana nak menangkapnya, lebih-lebih lagi konon dimasukkan ke dalam botol,’ kata beliau. — Harian Metro.

One thought on “TOKOH AGAMA: ‘TANGKAP HANTU’ KERJA SIA-SIA (BH, 05.02.09)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *