PELAJAR NORMAL DIBERI GANJARAN SELEPAS BERJAYA BUAT ‘LONCATAN’ (BH, 29.01.09)

KEPUTUSAN Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) mereka jauh daripada yang diharap. Namun, kekecewaan itu tidak melemahkan semangat dua pelajar Sekolah Menengah Yusof Ishak (YISS), Muhammad Danial Israwi dan Siti Muliani Johari.

Sebaliknya, ia mendorong mereka belajar lebih tekun – hingga Muhammad Danial berjaya berpindah daripada aliran Normal Akademik (NA) kepada aliran Ekspres, manakala Siti Muliani daripada aliran Normal Teknikal (NT) kepada aliran NA.
Kerja keras pelajar menengah dua itu membawa ganjaran anugerah dan biasiswa pemberian YISS dan Pertubuhan Akar Umbi Bukit Batok East, yang pertama kali diberi kepada pelajar yang berjaya ‘loncat’ daripada aliran NT ke NA dan daripada NA ke Ekspres.
Pelajar boleh menukar aliran di menengah satu dan dua, berdasarkan keputusan akademik yang cemerlang. Seramai 43 daripada sekitar 300 pelajar menengah satu dan dua YISS berjaya membuat ‘loncatan’ itu.
Mereka menerima anugerah itu, dalam bentuk sijil dan wang tunai $250 setiap seorang bagi perbelanjaan sekolah, daripada Anggota Parlimen GRC Jurong, Cik Halimah Yacob, dalam satu majlis semalam.
Wang tersebut sumbangan penaung Jawatankuasa Perundingan Rakyat (CCC) Bukit Batok East, Encik Richard Ong.
Muhammad Danial dan Siti Muliani, kedua-duanya 14 tahun, berkata azam untuk membuat ibu bapa bangga turut mendorong mereka belajar lebih gigih.
‘Walaupun mereka tidak tunjukkan, tapi saya tahu ibu bapa saya kecewa akan keputusan PSLE saya. Jadi, saya berazam untuk bekerja keras dan melangkah ke aliran Ekspres untuk membanggakan mereka,’ kata Muhammad Danial.
Siti Muliana pula berkata di menengah satu dia lebih tekun mengikuti pelajaran di kelas dan mengulang kaji mata pelajaran yang dia lemah.
‘Saya pastikan saya belajar dua jam sehari dan beri tumpuan lebih pada subjeksubjek yang saya lemah, seperti Matematik,’ katanya.
Cik Halimah berkata anugerah sedemikian penting kerana ia memberi perangsang kepada para pelajar di aliran Normal.
‘Kita ada banyak program dan anugerah untuk pelajar cemerlang, tapi kita tidak harus melupakan pencapaian dan kejayaan kecil seperti ini kerana ia akan merangsang pelajar untuk terus mencapai yang terbaik,’ ujar beliau.
Oleh
Nazri Hadi Saparin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *