MAHKAMAH ARAH SYARIKAT BAYAR BALIK PELANGGAN (BH, 29.01.09)

$48,000 dan jumlah kerugian perlu dibayar selepas gagal serah surat hak milik apartmen

SEBUAH syarikat Melayu/Islam setempat yang memasarkan skim hak memiliki penginapan di Menara Zam Zam di Makkah, Arab Saudi, telah diarahkan membayar balik $48,000 dan faedah kepada seorang pelanggan ekoran kegagalannya menyerahkan surat ikatan hak milik apartmen studio yang dibelinya itu dalam 2005.

Oasis Properties Pte Ltd yang mempunyai pejabat di The Plaza, Beach Road, juga diarahkan membayar kerugian yang jumlahnya akan ditaksirkan kelak kepada plaintif, Haji Haris Fadzilah Din, 57 tahun, selain kos kepada pendaftar mahkamah.
Keputusan itu dibuat Mahkamah Rendah pada 7 November lalu selepas syarikat tersebut tidak memberi sebarang respons kepada writ saman Haji Haris dan isterinya, Hajah Juariah Sungep, 52 tahun, dua minggu sebelum itu.
Dua tahun berlalu, pasangan yang menetap di Jurong itu sepatutnya menerima surat hak milik apartmen mereka pada April 2007 – selepas melangsaikan bayaran sebanyak $48,000.
Tetapi, usaha mendapatkan surat hak milik itu hanya berakhir dengan berputih mata dan sekali gus membantutkan niat mereka untuk mengerjakan umrah pada Ramadan 2007.
Oasis Properties memulakan kegiatan di pejabat asalnya di Havelock Road selepas didaftarkan pada Oktober 2004 sebelum berpindah ke pejabat lebih gah di Keypoint, Beach Road.
Kini, syarikat tersebut menyewa ruang pejabat di The Plaza, juga di Beach Road.
Dua teraju utama Oasis Properties sekarang ialah Encik Roslan Osman, 39 tahun, dan Encik Anwar Ali, 33 tahun, yang mengambil alih daripada pengurusan asalnya sekitar Julai 2006.
Selain Menara Zam Zam, mereka telah dilantik sebagai ejen Asia Tenggara bagi memasarkan juga Menara Hajar dan pusat beli-belah Abraj Al-Bait – dua hartanah raksasa di Makkah.
Unit-unit di Menara Zam Zam itu mereka pasarkan di bawah skim berkongsi masa, atau Sokouk Al-Intifa’a (hak memiliki penginapan).
Encik Roslan pernah memberitahu Berita Harian pada Disember 2006 bahawa sejak dipasarkan tahun sebelumnya, sekitar 200 warga setempat telah mengikat perjanjian bagi memiliki hak penginapan di apartmen di Menara Zam Zam.
Bagi Haji Haris, seorang pegawai keselamatan, segala janji yang dibuat syarikat tersebut adalah hanya ‘manis di mulut’ belaka.
Di bawah skim itu, pemilik layak menginap percuma selama tujuh hari di apartmen masing-masing setiap tahun.
Jika tidak digunakan, apartmen mereka akan disewakan dan pemilik boleh meraih pulangan AS$500 ($750) sehari atau AS$84,000 dalam tempoh 24 tahun.
‘Saya ingat ada apartmen sendiri di Tanah Suci Makkah akan memudahkan saya menginap apabila kerjakan umrah atau haji.
‘Tetapi, sampai sekarang tak dapat surat hak milik apartmen saya. Tanpa surat itu macam mana saya nak tempah penginapan di apartmen saya sendiri?
‘Puas saya turun naik pejabat Oasis Properties tetapi diberi pelbagai alasan yang bercanggah dengan janji mereka untuk memberikan surat tersebut pada Februari 2007.
‘Saya juga kecewa kerana belum dapat sebarang pulangan kerana tidak menggunakan peluang penginapan selama tujuh hari pada 2007 dan tahun lalu,’ kata Haji Haris dengan penuh kesal.
Beliau bertekad untuk mendapatkan semula wang tersebut menerusi saluran undang-undang kerana ia merupakan simpanan hari tua isterinya yang bekerja sebagai jururawat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *