MANFAATKAN KEPAKARAN DARI MALAYSIA (BH, 02.01.09)

PROGRAM ijazah Bahasa Melayu Universiti SIM (UniSIM), yang bakal dimulakan lewat bulan ini, memberi peluang kepada mahasiswa untuk mendalami dunia Melayu lebih menyeluruh.

Kursus Sarjana Muda Bahasa dan Sastera Melayu (BAML) itu bukan sahaja memberi penekanan terhadap aspek pedagogi, malah memberi fokus kepada bidang linguistik, penterjemahan, sosiobudaya dan sastera Melayu.
Oleh itu, selain melengkapkan golongan pendidik dengan kemahiran mengajar di bilik darjah, program itu juga memberi peserta pemahaman dan penghargaan terhadap bahasa Melayu dengan lebih mendalam.
Sebagai tambahan, perjanjian yang dimeterai UniSIM dengan tiga universiti terkemuka seberang Tambak bermakna para pelajar akan dapat memanfaatkan kepakaran terbaik di rantau ini dalam subjek berkaitan bahasa, budaya dan masyarakat Melayu.
Ketua program tersebut, Dr Lim Beng Soon, berkata program yang menyeluruh itu bukan sahaja sesuai bagi golongan guru, bahkan golongan karyawan yang mahu menceburi bidang penterjemahan bahasa, ataupun individu yang berminat dalam bahasa dan budaya Melayu.
Program tersebut membuka pintu kepada kumpulan pertama pelajar seramai 50 orang bulan ini dengan 100 lagi dijangka memulakan pengajian pada Julai ini.
Sebahagian besar peserta merupakan golongan guru.
‘UniSIM mahukan satu program yang memberi penekanan terhadap aspek pedagogi dan juga aspek-aspek lain bahasa serta budaya Melayu kerana inginkan program yang relevan kepada semua, bukan sahaja golongan guru, meskipun para pendidik merupakan sasaran utama program kami,’ ujarnya.
UniSIM baru-baru ini telah memeterai perjanjian persefahaman (MOU) pertamanya dengan universiti asing untuk mengendalikan beberapa modul BAML.
MOU dengan Universiti Sains Malaysia (USM) di Pulau Pinang itu akan disusuli dua lagi perjanjian dengan Universiti Malaya (UM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).
Dua MOU itu akan ditandatangani di Kuala Lumpur pada 6 Januari ini.
Mengenai kerjasama dengan UM, Dr Lim berkata UniSIM akan memanfaatkan kepakaran anggota Fakulti Bahasa dan Linguistik universiti itu, khususnya dalam bidang terjemahan dan linguistik bahasa Melayu.
‘Kami juga akan memeterai perjanjian dengan Akademi Pengajian Melayu UM, khususnya dalam bidang sosiobudaya Melayu dan juga kursus pengantar linguistik bahasa Melayu,’ ujarnya.
Bagi UPM pula, Dr Lim berkata kepakaran universiti itu dalam sastera Melayu termasuk sastera kanak-kanak dan remaja serta filem Melayu akan dimanfaatkan.
Antara anggota fakulti UM yang akan mengendalikan kelas BAML di UniSIM termasuk Pengarah Akademik, Akademi Penyelidikan Melayu, Profesor Madya Datuk Zainal Abidin Borhan dan Ketua Jabatan Linguistik, Akademi Pengajian Melayu, Profesor Madya Dr Rohani Md Yusof.
Anggota fakulti UPM pula terdiri daripada Ketua Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa dan Perhubungan Moden, Dr Arba’ie Sujud.
Mengulas mengenai tiga MOU itu, Presiden UniSIM, Profesor Cheong Hee Kiat, berkata walaupun terdapat banyak kepakaran dalam bidang bahasa dan budaya Melayu di Singapura, kepakaran anggota akademik di rantau ini dapat ‘menghidupkan’ sekitaran bahasa dan budaya di sini.
‘Kami harap aspek ini dapat memberi kelebihan kepada para pelajar kami,’ ujarnya.
KURSUS BAML SESUAI BAGI
Guru Bahasa Melayu yang ingin mendapatkan ijazah.
Karyawan media, pegawai penterjemah dan mereka yang berminat dalam bahasa, sastera dan budaya Melayu.
ANTARA MODUL
Tamadun, Falsafah dan Pemikiran Melayu
Struktur Bahasa Melayu
Pengantar Sastera Melayu
Pemerolehan Bahasa Kedua
Islam dan Masyarakat Melayu
Fonetik dan Fonologi Bahasa Melayu
Terjemahan Dua Hala Melayu- Inggeris
Jawi dalam Sastera Melayu
KRITERIA KEMASUKAN
Rakyat dan penduduk tetap Singapura.
Minimum dua kelulusan GCE ‘A’ atau diploma daripada institusi yang diiktiraf.
Lulus Bahasa Melayu GCE ‘O’.
Pengalaman bekerja selama dua tahun atau bekerja sepenuh masa semasa memohon.
Berusia 21 tahun ke atas.
Mesti fasih berbahasa Melayu kerana 20 daripada 26 modul akan diajar dalam bahasa Melayu.
YURAN DAN TEMPOH
$15,000 (selepas 40 peratus subsidi pemerintah).
Boleh melengkapkan program dalam masa tiga hingga lapan tahun.
Oleh Nazri Hadi Saparin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *