ANTARA HOBI TERBAIK DI DUNIA (BH, 27.12.08)

TAHUKAH anda apakah antara hobi terbaik di dunia? Ia adalah membaca.
Jika anda berasa anda orang yang tidak perlu membaca buku kerana Internet boleh memberikan banyak maklumat, anda silap.
Dibentangkan di sini 10 sebab mengapa membaca buku suatu hobi paling bermanfaat.
Membaca ialah satu proses mental yang aktif. Dalam proses ini, banyak sel kelabu di dalam otak akan digunakan agar kita dapat berfikir dengan lebih baik dan menjadi lebih bijak.
Membaca meluaskan perbendaharaan kata. Kita akan terdedah kepada banyak perkataan baru dan yang indah-indah.
Ia membuka minda kepada budaya dan tempat-tempat baru di dunia. Bagaimanakah kita dapat mengetahui tentang kehidupan orang di Mexico, misalnya, jika kita tidak membaca mengenai mereka?
Ia membaiki daya tumpuan. Membaca memerlukan pemikiran yang fokus untuk satu tempoh lama. Ia tidak sama seperti membaca majalah atau e-mel. Buku memberi kisah sepenuhnya, dan maka itu tumpuan yang penuh diperlukan.
Membaca meningkatkan keyakinan diri. Lebih banyak kita membaca buku, lebih banyak pengetahuan kita dan ini membuat kita lebih yakin untuk berdepan dengan orang lain.
Ia membaiki daya ingatan. Kajian-kajian telah menunjukkan bahawa membaca meregangkan otot-otot memori kerana kita perlu memahami dan menghayati banyak fakta, tema dan watak.
Ia membuat kita lebih berdisiplin. Caranya ialah meluangkan masa setiap hari untuk membaca. Buatlah jadual harian untuk membaca dan patuhi.
Ia meningkatkan daya kreatif. Membaca mendedahkan kita kepada kepelbagaian corak hidup dan ini akan membuka minda kita kepada pemikiran yang lebih kreatif.
Membaca membuat kita sentiasa ada bahan untuk berbual. Jika kita buntu tidak tahu apa yang boleh dibualkan, bercakap tentang buku yang telah dibaca boleh membantu.
Ia mengurangkan kebosanan. Buku ialah teman setia di mana-mana saja. Jika bosan, bacalah buku.

KELAKONAN PELAJAR MELAYU DALAM GCE ‘A’ 2007 MENINGKAT (BH, 23.12.08)

KELAKONAN pelajar Melayu dalam peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat ‘A’ terus meningkat, dengan 76.4 peratus pelajar lulus peperiksaan tersebut tahun lalu.

Malah, peratusan itu adalah yang tertinggi dalam tempoh 10 tahun antara 1998 dengan 2007.
Dalam 1998, hanya 67.4 peratus pelajar Melayu yang lulus sekurang-kurangnya tiga mata pelajaran peringkat ‘A’ dan Kertas AM (GP).
Dalam 2006 dan 2005 pula, kadarnya masing-masing adalah 72.1 peratus dan 71.6 peratus.
Bahkan, peningkatan 4.3 peratus antara tahun lalu dengan 2006 adalah yang tertinggi di kalangan kumpulan etnik utama di sini.
Bagi pelajar Cina, peratusannya merosot 0.1 peratus (dari 88.2 peratus ke 88.1 peratus), sementara bagi pelajar India pula, peratusannya meningkat 0.6 peratus (dari 81.6 peratus ke 82.2 peratus).
Demikian menurut perangkaan prestasi akademik pelajar pelbagai kaum yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan (MOE) semalam.
Secara am, kadar kelulusan bagi peperiksaan GCE ‘A’ tahun lalu adalah 87.1 peratus.
Kelakonan pelajar Melayu tahun lalu yang memberansangkan itu amat bermakna memandangkan mereka adalah dari kohort pertama calon yang menduduki peperiksaan di bawah kurikulum baru GCE ‘A’.
Kurikulum baru itu dimulakan dua tahun lalu untuk membolehkan pelajar mengambil jenis subjek yang lebih luas.
Di bawah perubahan itu, pelajar maktab rendah dikehendaki mengambil tiga mata pelajaran peringkat Lanjutan 2 (H2) yang serupa dengan mata pelajaran peringkat GCE ‘A’ sebelum ini.
Mereka juga diwajibkan mengambil satu subjek tambahan di luar bidang pengajian di peringkat Lanjutan 1 (H1) serupa dengan subjek ‘AO’ sebelum ini.
Mata pelajaran lain yang perlu diambil ialah Bahasa Ibunda, Kerja Projek dan Kertas Am (GP) atau Ilmu & Hematan.
‘Sementara kurikulum peringkat ‘A’ yang telah disemak itu tidak boleh dibandingkan secara langsung dengan kurikulum peringkat ‘A’ sebelum ini, peratusan yang memperolehi sekurang-kurang tiga kelulusan H2 dan Kertas Am atau Imu & Hematan serupa dengan kadar yang memperolehi kelulusan dalam sekurang-kurangnya tiga subjek peringkat ‘A’ dan Kertas Am dalam tahun-tahun sebelumnya,’ kata MOE.

PELAJAR MELAYU LULUS PSLE, GCE ‘O’ MEROSOT (BH, 23.12.08)

KADAR kelulusan pelajar Melayu dalam Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) dan Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat ‘O’ merosot tahun lalu.

Namun pelajar Melayu mencatatkan kemajuan memberangsangkan dalam peperiksaan GCE peringkat ‘A’, berdasarkan kad laporan Kementerian Pendidikan (MOE) yang membutirkan kelakonan pelajar pelbagai kaum semalam.
Kad laporan itu turut menunjukkan kadar kelulusan pelajar Melayu yang membimbangkan dalam mata pelajaran Sains dan Matematik di peringkat PSLE – dengan kadar kelulusan Sains merosot ke paras terendah dalam tempoh 10 tahun.
Perangkaan tersebut terkandung dalam laporan akademik tahunan MOE bagi menunjukkan prestasi pelajar pelbagai kaum dalam PSLE, GCE ‘O’ dan ‘A’ tahun lalu.
Ia bertujuan memaklumkan kepada masyarakat mengenai prestasi pelajar pelbagai kaum dalam peperiksaan nasional.
Bilangan pelajar Melayu yang layak memasuki sekolah menengah merosot 0.5 peratusan mata kepada 93 peratus.
Pelajar Melayu yang lulus mata pelajaran Matematik di peringkat PSLE pula merosot kepada 56.8 peratus, antara yang terendah dalam lima tahun dan kedua terendah dalam tempoh 10 tahun.
Sejak 2001, kadar kelulusan pelajar Melayu dalam Matematik kekal di bawah 60 peratus.
Pelajar Melayu yang lulus mata pelajaran Sains di peringkat PSLE pula merosot kepada 73.6 peratus, paras terendah dalam tempoh 10 tahun.
Di peringkat GCE ‘O’ pula, bilangan pelajar Melayu yang lulus sekurang-kurangnya tiga mata pelajaran dan lima mata pelajaran ialah 86.6 peratus dan 59.4 peratus – kedua-duanya merosot masing-masing daripada 87. 1 peratus dan 60.3 peratus.
Bilangan pelajar Melayu yang lulus mata pelajaran Matematik di peringkat GCE ‘O’ juga merosot kepada 66.2 peratus – yang terendah dalam tempoh lima tahun.
Sebagai perbandingan paras kelulusan itu jauh ketinggalan dengan pelajar Cina yang mencapai kelulusan 91.7 peratus.
Bagi peperiksaan GCE peringkat ‘A’ pula, pelajar Melayu mencatatkan kemajuan memberangsangkan.
Bilangan pelajar yang lulus peperiksaan GCE peringkat ‘A’ melonjak kepada 76.4 peratus, yang tertinggi dalam tempoh 10 tahun.
Diminta mengulas, Anggota Parlimen GRC Hong Kah, Encik Zaqy Mohamad, berkata trend yang semakin menurun itu pasti menimbulkan keprihatinan kerana banyak sumber telah pun diagihkan bagi membantu pelajar Melayu yang lemah.
‘Apa yang ingin saya tahu ialah sama ada kemerosotan itu berpunca faktor pendidikan semata-mata atau faktor lain seperti kurang sokongan di rumah atau bimbingan ibu bapa?
‘Ini kerana selain badan-badan seperti Mendaki yang melaksanakan program pendidikan, sekolah-sekolah juga giat mengadakan kelas tambahan dan sebagainya,’ ujarnya.
Dengan kemelesetan ekonomi pula menjejas pekerjaan, Encik Zaqy turut prihatin jika ini akan menjejas persekolahan pelajar Melayu, yang menerima bimbingan yang berkurangan kerana ibu bapa sibuk mencari pekerjaan.
Oleh Soraya Salim

MENGENALI KONSEP ARIF BUDIMAN DALAM PENDIDIKAN ANAK KITA (BH, 20.12.08)

KITA sering mendengar tentang visi Arif Budiman dalam pendidikan anak Melayu setempat, tetapi apakah pengertian Arif Budiman itu?

Arif Budiman adalah konsep berkenaan menyemai dan membangun manusia cemerlang menerusi pendidikan bahasa dan budaya Melayu.
Yang budiman itu tentunya memiliki ciri-ciri progresif sesuai dengan keperluan masyarakat Melayu Singapura.
Ia dicetuskan buat kali pertama dalam perancangan penyemakan kurikulum Bahasa Melayu pada 2005 oleh Kementerian Pendidikan (MOE).
Arif Budiman sebagai visi pendidikan menjuruskan perhatiannya kepada setiap pelajar Melayu demi membangunkan potensi akademik, sosial dan peribadi mereka.
Sebagai satu gagasan idealisme ia adalah gabungan dua perkataan yang sememangnya sarat dengan makna dan tuntutan.
Arif membawa erti sifat dan sikap berhemah, didukungi pemikiran yang berhikmah, teguh akalnya, ada kesantunan waktu berhujah, cerdas dan bijaksana serta berimbang jalan pemikiran akan diri seseorang itu.
Budiman adalah sifat seorang yang teguh peri budinya, berilmu pada kadar dan keperluan hidupnya, sensitif dan prihatin akan lingkungannya, serta sedia berjasa dan berbakti pada masyarakat di sekelilingnya.
Umumnya, budi membawa maksud gagasan nilai-nilai luhur dan ideal yang dicita-citakan pada seseorang manusia dan keseluruhan masyarakat Melayu itu.
Budi menjadi salah satu intipati dalam falsafah kehidupan Melayu, kerana ia bersangkutan dengan perihal kebajikan, kesopanan dan tingkah laku yang baik yang boleh kita sebut sebagai beradat atau beradab.
Insan budimann, dalam lain perkataan, adalah anggota masyarakat yang meneguhkan lingkungan kehidupan bermasyarakat itu dengan rasa tanggungjawab, kebersamaan, kasih sayang dan saling menghargai antara satu sama lain, serta akur akan kesamaan dan keberlainan di antara kita.
Soal menyemai dan memupuk manusia yang berwatak progresif ini adalah sebahagian daripada cita sempurna yang dari masa ke masa dicetuskan dalam sesebuah masyarakat yang bertamadun dan sedar akan pentingnya kemajuan dan pembangunan manusia dan masyarakat.
Dalam masyarakat moden, ini diterjemahkan dalam falsafah pendidikan di mana soal pembentukan peribadi dan watak manusia dan masyarakat diperjelas.
Membina watak Arif Budiman bukan saja satu persoalan visi pendidikan, bahkan juga soal membangun kebudayaan.
Dalam tradisi keintelektualan dan keagamaan Islam, persoalan membangun manusia yang bertakwa, beriman, berihsan, berakal dan berhemah mendapat perhatian teguh walaupun banyak lagi potensi yang boleh dibangunkan hari ini.
Para pemikir Islam yang tercerah hari ini mengedepankan peri pentingnya dipersoalkan perkonsepsian manusia dalam wacana Islam kontemporari.
Dalam falsafah pendidikan Islam, baik yang digubal dalam zaman klasik mahupun hari ini, terus dipertekankan persoalan ini. Dalam tradisi kesufian Islam, terdapat suatu konsep kesempurnaan Islam yang diberikan julukan sebagai ‘Insanul Kamil’.
Konsep Arif Budiman secara teori boleh dianggap sebagai suatu konsep manusia yang difikirkan sebagai tersempurna, luhur dan berfungsi dalam sebuah rangka kebudayaan dan masyarakat.
Beberapa ciri utama yang mencirikan manusia Arif Budiman baik difikirkan.
Antaranya:
Pertama, manusia Arif Budiman ini akur akan haknya sebagai individu, yang sedar akan amanahnya sebagai mahkluk Tuhan, yang sedar akan tanggungjawabnya kepada Tuhan, manusia sesama manusia dan lingkungan alamnya.
Juga ia sedar akan dirinya sebahagian daripada masyarakat dan negara yang ia diami. Kesedaran ini melahirkan sikap tanggungjawab dan kerelaan berkorban.
Kedua, asas pemikiran dan sistem nilai dalam diri Arif Budiman itu diperteguh oleh akal dan etika keagamaan dan kemanusian, yang diiktirafnya sebagai panduan kehidupan.
Ketiga, ia memahami dan mentakrifkan ilmu dan pendidikan secara progresif, kritis dan kreatif. Pendidikan tidak semestinya secara formal, tetapi juga penerokaan sepanjang hayat.
Nilai pendidikan bukan terletak setakat meraih segulung sijil, diploma atau ijazah, tetapi kemampuan menjadi anggota masyarakat yang dapat menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.
Keempat, Arif Budiman itu memiliki keyakinan tinggi dan bangga akan kebudayaan dan jati dirinya.
Ia menghargai bahasa sebagai mengungkap roh jati dirinya, selain ia menjadi wadah demi menyampaikan idea dan perasaannya, dalam apa jua bidang, daripada ungkapan seni hinggalah ke wacana keintelektualan, dengan spontan, lancar, jelas dan berkeyakinan penuh.
Ia tidak pernah berasa kerdil dan mencemuh ataupun memperlekeh akan budayanya sendiri.
Ia bangga dengan warisan budaya silam serta penciptaan dan penyesuaian budaya hari ini, sehingga dapat ia membezakan antara unsur yang progresif dan regresif dalam budayanya itu.
Kelima, ia melihat budayanya itu sebagai dinamika yang terus bergerak untuk memberi makna dalam kehidupan ini bukan setakat simbol luaran atau barang pameran untuk mencirikannya sebagai manusia Melayu.
Visi budayanya luas dan tidak sekadar dibataskan pada persoalan bahasa, sastera dan keupacaraan adat resam tertentu.
Keenam, ia teguh meyakini dalam kehidupan keagamaannya berlandaskan moral-etika, akhlak dan keperibadiannya sebagai seorang Muslim. Agama Islam dilihatnya sebagai rahmatul alamin, rahmat kepada umat sejagat, bukan sebagai identiti eksklusif yang tertutup.
Di saat kita mahu menyemai ciri-ciri Arif Budiman di kalangan pelajar, wajar juga ia merangkumi warga guru serta para penggubal dan pentadbir pendidikan.
Para guru tidak akan berjaya memupuk keperibadian Arif Budiman di kalangan pelajar sekiranya mereka sendiri tidak meyakini falsafah dan pengertian sosial di sebalik konsep itu sendiri.
Dalam falsafah pendidikan, penjelasan mengenai jenis manusia apakah yang mahu kita bina dikaitkan rapat dengan jenis masyarakat apakah yang ingin kita bangun dan capai.
Pendidikan yang memperlekeh persoalan ini adalah gagasan yang tempang kerana soal manusia apakah yang paling berguna untuk kita bangunkan harus dirancang menerusi pendidikan, sama ada secara formal ataupun tidak.
Walaupun kita telah dengar akan konsep ini di sana sini, kita belum lagi memberi perhatian bersungguh-sungguh dan mengupasnya dengan jelas.
Di sinilah letaknya peri pentingnya kita membicarakan persoalan Arif Budiman. Justeru, mengundang para pendidik dan pemikir masyarakat untuk tampil merungkaikannya.
Tugas membina Arif Budiman tentunya bukan hanya urusan pihak Kementerian Pendidikan, bahkan juga semua yang bergelar manusia Melayu yang mahukan budayanya terus berkembang, mapan dan cemerlang.
Nota: Penulis adalah pensyarah di Institut Pendidikan Nasional
Oleh Azhar Ibrahim Alwee

‘PELAJAR NORMAL TEKNIKAL JUGA MAMPU CEMERLANG’ (BH, 20.12.08)

SEKEMBALINYA beliau ke Singapura lebih tiga tahun lalu, Nurul Farhana Winarto Utomo, yang dilahirkan di Indonesia, tidak begitu fasih berbahasa Inggeris lantas menyebabkan beliau sering tidak dapat mengikuti pelajaran dengan lancar di sekolah.

Namun, ‘kelemahan’ itu dijadikan Farhana, 17 tahun, sebagai dorongan untuk belajar dengan lebih tekun lagi.

Selain daripada bahasa Inggeris, beliau juga mempunyai misi tersendiri untuk mencapai keputusan cemerlang.

Misi tersebut ialah merubah tanggapan ramai tentang pelajar aliran Normal (Teknikal) sepertinya.

‘Meskipun mereka tidak cakap secara terbuka tapi saya boleh lihat ada sesetengah orang yang memandang rendah pelajar Normal Teknikal seperti saya.

‘Jadi, saya mahu buktikan bahawa kami juga mampu cemerlang,’ katanya.

Farhana, yang dilahirkan di Yogyakarta, dengan ayahnya warga Indonesia dan ibu warga Singapura, mendapat gred A bagi kesemua tujuh mata pelajaran dalam peperiksaan GCE peringkat ‘N’.

Menurut Farhana, ibunya, Cik Sabariyah Jalil, 53 tahun, merupakan tunggak kekuatannya kerana beliau sering memberi kata-kata perangsang dan menemaninya semasa belajar.

Farhana juga berterima kasih kepada guru-gurunya di Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang yang tidak pernah membezakan antara pelajar Normal Teknikal dengan pelajar lain.

‘Tiap kali saya belajar, ibu akan duduk di sebelah saya, siapkan minuman dan makanan ringan.

‘Apabila saya keletihan, ibu akan ajak berbual atau kami baca buku bersama,’ kata Farhana, yang enggan bercakap tentang bapanya kecuali beliau seorang usahawan yang menetap di Indonesia.

Mengenai rancangan masa depannya, Farhana berkata beliau telah membuat keputusan untuk melanjutkan pengajian di Institut Pendidikan Teknikal (ITE).

‘Saya rasa laluan ITE lebih baik buat diri saya. Saya bercita-cita hendak ke politeknik dan kemudian universiti selepas ITE nanti.

‘Saya percaya setiap pelajar itu ada kekuatan tersendiri dan terdapat laluan berbeza untuk kami mencapai kejayaan,’ tambahnya.

Seramai 6,028 pelajar Normal (Teknikal) mengambil peperiksaan GCE peringkat ‘N’ tahun ini, dengan 97.2 peratus atau 5,859 dianugerahkan sijil Peringkat Normal (Teknikal).
Oleh Nazri Hadi Saparin

Selamat Maju Jaya!

Keluarga Bidai, engkau akan melangkah mengharungi alam baru di sekolah menengah mulai esok. Sahabat yang ada akan ditinggalkan tetapi tidak akan dilupakan. Namun persahabat baru akan tercipta. Semoga engkau meraih pengalaman baru yang berguna sambil tidak lupakan memori lama yang terpateri dalam hidupmu selamanya. Selamat maju jaya!