Perkembangan Kesusateraan Melayu Singapura PASCA 1965

Pengenalan
Arena persuratan Melayu Singapura menghadapi realiti dari segi mutu dan jumlahnya setelah tahun 1965. Pada tahun ini, Singapura berpisah daripada Malaysia dari segi geo-politik sekaligus melenyapkan bukan hanya ramai penulis yang mapan tetapi juga institusi persuratan seperti Dewan Bahasa dan Pustaka dan Universiti Malaya yang kemudiannya berhijrah ke Kuala Lumpur. Antara penulis mapan yang masih meneruskan perjuangan persuratan di Singapura sehingga hari ini ialah Muhd Ariff Ahmad dan Masuri SN. Namun demikian, pertubuhan signifikan persuratan yang membentuk pergerakan ke arah kemerdekaan Malaya pada 1957 dan pengumpul sekian ceruk penulis-penulis agar bersatu dan berkarya demi kepentingan masyarakat, iaitu Angkatan Sasterawan 50, masih tegap berdiri di Singapura dan meneruskan perjuangan dengan nada dan objektif baru iaitu menasionalisasikan persuratan Melayu Singapura.

Zaman 60’an
Sebelum 1965 wujud para penulis yang aktif dalam dunia pengkaryaan moden seperti Harun Aminurrashid, Muhd Ariff Ahmad, Masuri SN, Noor S.I, Jymy Asmara, A. Salam, A Ghani Hamid, Suratman Markasan, Aliman Hassan, Hamzah dan Salmi Manja. Namun demikian, Hamzah dan Salmi Manja tidak lagi menulis di Singapura selepas 1965. Kumpulan ini dianggap sebagai generasi akhir 40-an dan awal 50-an. Masuri SN menjelaskan bahawa penulisan di Singapura pada zaman selepas 1965 rata-rata dilakukan oleh para penulis yang prolifik sejak zaman awal lagi. Mereka juga merupakan deretan daripada anggota Angkatan Sasterawan 50 (Asas 50) yang ditubuhkan pada 6 Ogos 1950. Pertubuhan ini merupakan tunggak kepada perjuangan para penulis yang, pada awalnya, inginkan kemerdekaan bagi Malaya. Setelah kemerdekaan dikecapi, Asas 50, bergerak kepada perjuangan membina manusia melalui sastera dengan slogannya ‘Sastera Bina Manusia’. Prinsip ‘seni untuk masyarakat’ masih bersemadi dan kukuh dalam jiwa anggota Asas 50 hingga ke hari ini.

Zaman ini juga menonjolkan beberapa penulis yang mula menonjolkan diri sebagai generasi pelapis yang mula menonjol pada pertengahan dan akhir tahun 60-an . Antaranya ialah Mohammed Latiff Mohammed; Djamal Tukimin; MIA; Megadona; Eunosasah; Suraidi Sipan; Mohd Taha Jamil; Mibarzo; Nor Yusman Abdul Majid; A Hamid Ismail; Ajaki; Elfy Runianto; F.R Bahamid; Samsidah Suleiman dan Yatiman Yusof. Barisan penulis ini merupakan golongan yang kelak menghasilkan banyak karya dan membentuk perkembangan sastera di Singapura, selanjutnya.

Dari segi jumlah penerbitan, zaman ini amat sedikit sekali. Masuri SN menyimpulkan bahawa antara 1965 hingga 1976, hanya terdapat 6 buah novel sahaja yang dihasilkan seperti Sultan Mahmud Shah (Harun Aminurrashid, 1967); Peristiwa Laksama Cheng Ho ke-Melaka (Harun Aminurrashid, 1969); Kosong (Mahmud Ahmad, 1966); Dr Tan (Mahmud Ahmad, 1969); dan Mail Mau Kawin (Mas, 1976). Malahan jika disingkap jumlah sajak dan cerpen yang diterbitkan di akhbar Berita Minggu Singapura pada tahun 60-an, jumlahnya amat sedikit sekali.

Zaman 70’an
Zaman 70-an menampakkan semacam pergerakan yang serius dari segi jumlah penulis muda dan pertubuhan yang wujud dalam dunia persuratan. Pada akhir tahun 1969, lahir pula kumpulan penulis baru yang mewarnai dunia persuratan Singapura. Kumpulan yang terdiri daripada Djamal Tukimin, MIA, Noryusman Abdul Majid, Eunosasah, Samsidah Suleiman, Elfy Runianto, Ajaki dan Kamalia A. Karim menubuhkan kumpulan puisi Group Gelorasa pada tahun 1971. Kumpulan ini amat aktif dan mengambil initiatif menganjurkan perbincangan sastera pada 25 Disember 1971 dan diikuti pula oleh majlis Dari Tambak ke Tambak I pada 25 Februari 1972 dan Dari Tambak ke Tambak II pada 3 Jun 1972 . Pada zaman ini juga lahir sebuah lagi kumpulan yang dikenali sebagai Pertubuhan Aktivis Sastera Singapura (PASS) yang dianggotai Noor Hidayat , Mohamed Latiff Mohamed, Mila Karmila, Nurim, Surtini Sarwan, Budi Hartini dan Bahari Rajib.

Satu perkembangan yang merangsangkan dunia penulisan Melayu Singapura ialah sikap proaktif para penulis daripada Kumpulan Sudut Penulis Perpustakaan Toa Payoh yang dianggotai Jamal Ismail, A Rahim Basri, Norul Ashikin Ajmain, Rohman Munasip dan Sarifah Yatiman dalam menggerakkan aktiviti sastera di perpustakaan. Ia secara tidak langsung menaikkan tahap sastera ke peringkat nasional dengan melibatkan sebuah pertubuhan pemerintah. Usaha ini dikukuhkan lagi oleh Kelab Muda-Mudi Perpustakaan Negara yang disokong A Kadir Pandi, Basiran Hj Hamzah dan Samsidah Suleiman. Para mahasiswa Universiti Singapura juga tidak ketinggalan dalam usaha menyemarakkan perkembangan sastera Melayu Singapura. Mereka menubuhkan Kumpulan Jejak Kembara di Universiti Singapura yang dianggotai Rahsiah Halil, Hadijah Rahmat dan Normala Mustafa.

Perkembangan proaktif seumpama ini dimangkin lagi oleh bengkel-bengkel Sastera Kreatif yang diadakan oleh Asas 50. Bengkel Penulis I telah diadakan pada 7 Jun 1970 dan Bengkel Penulis II diadakan pada 26 September 1971. Ruang berkarya juga mendapat jolokan dengan adanya majalah Pewarta dan Sasterawan terbitan Asas 50. Ini akhirnya diikuti oleh tercetusnya idea mewujudkan Hadiah Sastera setelah Asas 50 mengendalikan satu Perkampungan Sastera, yang buat pertama kalinya diadakan setelah perpisahan daripada Malaysia pada 4 dan 5 Ogos 1973 dengan tema “Hendak Meninjau Sejauh Mana Perkembangan Sastera Berbahasa Melayu dan Bagaimana Hendak Mengekal dan Menyuburkan dalam Masyarakat Berbilang Kaum, Khususnya di Singapura” . Perkampungan ini dihadiri 153 orang penulis muda, sasterawan, penyair, dan peminat sastera berbahasa Melayu di Singapura dan beberapa orang dari Malaysia, Serawak dan Brunei.

Pada 7 Julai 1974, gagasan Asas 50 untuk mengadakan Hadiah Sastera disambut baik oleh 19 buah pertubuhan dan tertubuhlah Jawatankuasa Bersama Hadiah Sastera (JBHS). Anugerah Hadiah Sastera yang pertama dalam sejarah kesusasteraan Melayu Singapura diadakan pada 12 Oktober 1975. Pada tahun 1977, JBHS berubah menjadi Jawatankuasa Hadiah Sastera (JHS) sahaja dan diselanggarakan bersama oleh Majlis Pusat (MP), Asas ’50, Kesatuan Guru-Guru Melayu Singapura (KGMS) dan Persatuan Wartawan Melayu Singapura (PWMS); JHS berjaya mengadakan hari penyampaian Hadiah Sastera kali keduanya pada 1977 bagi karya sepanjang tahun 1975-1976. Hadiah Sastera ketiga diadakan pada 1979 bagi karya sepanjang tahun 1977-1978.

Dari segi jumlah karya yang diterbitan, zaman 70-an menampakkan perkembangan yang sangat menggalakkan berbanding dengan zaman sebelumnya. Jumlah keseluruhan karya yang diterbitkan ialah 2738 yang merangkumi 1621 sajak; 398 cerpen; 470 esei; 7 novel; dan 27 skrip drama .

Antara penulis yang aktif dan dianggap sebagai generasi 70-an dan awal 80-an ialah Asmin, Sapiee Ahmad Razali, Hadijah Rahmat, Sarifah Yatiman, A Kadir Pandi, Isa Kamari, Radinzaduan, Rauzani Ahmad, dan Sharifah Maznah Albubakar.

Zaman 80’an
Hadiah Sastera merupakan mangkin kepada perkembangan dunia persuratan Melayu Singapura kerana ia menjadi penggalak kepada lebih banyak karya bermutu dihasilkan. Ia juga menjadi semacam ukurtara kepada penghasilan karya bagi penulis-penulis baru. Selain itu, ia juga menjadi bahan rujukan kepada para penggiat sastera luar negara dan penyelidik dalam menilai kemampuan para penulis Melayu Sngapura. Kesannya, zaman ini merupakan kemuncak kepada perkembangan sastera kerana tempias daripada kegiatan Hadiah Sastera di Singapura yang bermula pada tahun 1975. Para penulis muda semakin terangsang untuk bergerak dalam dunia penulisan melalui pertubuhan. Maka lahir pula Kumpulan Pemuisi Remaja (KUPUJA) iaitu cabang belia daripada Asas 50 dan dianggotai Roslan Abdul Razak, Hanim Mohd Salleh, Nor Effendi Badron dan Nor Azuan. Ini diikuti oleh tertubuhnya Kumpulan Penulis Muda Singapura (KAMUS) yang dianggotai Mustafa Mohammed, Hamidah Muhamed, Ahmad Mohd Tahir, Mohd Khalid Lani dan Mohd Arhad Ami.

Hadiah Sastera terus berlangsung walaupun terdapat beberapa perubahan dari segi pengendalinya. Pada zaman ini JHS dikenali sebagai JBSMP (Jawatankuasa Bahasa Sastera Majlis Pusat) setelah pengendaliannya dilaksanakan oleh Majlis Pusat sepenuhnya. Hadiah Sastera bagi kali keempat untuk karya sepanjang tahun 1979-1980 diadakan pada 1981. Manakala Hadiah Sastera bagi kali kelima untuk karya sepanjang tahun 1981-1982 diadakan pada tahun 1983 dan akhir sekali anugerah bagi karya sepanjang tahun 1983-1984 diadakan pada tahun 1986.

Dari segi jumlah karya yang diterbitan bagi zaman 80-an, jumlah keseluruhan ialah 1322 iaitu 936 sajak; 257 cerpen; 107 esei; 1 novel; dan 20 skrip drama . Dari segi penerbitan karya-karya penerima Hadiah Sastera mahupun Penghargaan, sebuah buku telah diterbitkan bagi tahun penilaian 1975-1976 berjudul Ekspresi dan sebuah lagi berjudul Gema Temasik bagi tahun penilaian 1981-1982.

Zaman ini juga amat penting bagi persuratan Melayu Singapura kerana Masuri SN dan Suratman Markasan telah dianugerahi Anugerah S.E.A Write Award daripada Raja Thailand pada tahun 1980 dan 1989 selanjutnya. Masuri SN merupakan penerima pertama anugerah seumpama ini bagi penulis Melayu Singapura dan diikuti Suratman Markasan. Anugerah ini diberikan kepada penulis yang mencapai tahap penulisan yang membanggakan dan prolifik dari segi penghasilan karya-karya bermutu. Anugerah ini merupakan pengiktirafan bahawa adanya karya-karya yang bermutu dan penulis yanag berwibawa di kota Singa ini.

Zaman 90-an
Hadiah Sastera terhenti selama enam tahun. Ia kemudiannya dihidupkan kembali oleh Jawatankuasa Bahasa Melayu Singapura (JBMS) pada tahun 1992 yang dipengerusikan oleh Sidek Saniff juga selaku Menteri Negara (Pendidikan). Beliau menganjurkan agar Sambutan Bulan Bahasa diadakan secara berselang-seli dengan Anugerah Persuratan yang dimulakan pada tahun 1993. Pada tahun ini juga bahasa Melayu Baku mula diperkenalkan di Singapura dalam sistem pendidikan dan media massa sepenuhnya. Secara tidak langsung kepentingan berbahasa dan persuratan semakin ketara di kalangan masyarakat Melayu Singapura, khususnya.

Zaman ini merupakan pencetus kepada peningkatan dari segi darjat Hadiah Sastera dengan komitmen dan belanjawan yang lebih besar. Strategi yang dilaksanakan termasuk menetapkan kriteria baru bagi penganugerahan Hadiah Sastera dan aktiviti yang lebih rencam untuk mencapai masyarakat penulis dan penggemar sastera mahupun khalayak. Usaha ini mendapat anjakan dengan meningkatnya taraf JBMS kepada sebuah majlis iaitu Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS). Majlis telah menubuhkan sebuah Jawatankuasa Anugerah Persuratan (JAP) yang dipengerusikan oleh Yatiman Yusof juga selaku Setiausaha Parlimen (Ehwal Luar). Dalam usaha menggalakkan pengkaryaan dan memberikan penganugerahan ke atas karya mahupun tokoh persuratan, empat jenis penganugerahan diusulkan iaitu; Anugerah Tun Seri Lanang, Anumerta Tun Seri Lanang, Hadiah Sastera dan Hadiah Sayembara Sastera.

Buat pertama kalinya Anugerah Tun Seri Lanang diperkenalkan khas untuk menghargai tokoh persuratan setempat yang masih hidup dan sama ada :

i. menjadi tokoh seni yang ulung di mata masyarakat berbilang bangsa dan budaya Singapura;
ii. melalui karya besar mereka telah meletakkan nama mereka sebagai tokoh antarabangsa;
iii. menjadi ’pejuang‘ seni dalam erti kata menggunakan sebahagian besar usia dan kehidupan mereka untuk menyubur dan menyemarakkan bidang yang dihayati; dan /atau
iv. menghasilkan karya yang memberikan sumbangan untuk memajukan pemikiran masyarakat dalam konteks pembangunan.

Anugerah Anumerta Tun Seri Lanang. Anugerah ini diperuntukkan bagi menghargai tokoh persuratan setempat yang sudah meninggal dunia yang ukurtaranya sama seperti Anugerah Tun Seri Lanang. Hadiah Sastera merupakan pemberian anugerah ke atas karya-karya yang mencapai tahap paling bermutu dan hadiah penghargaan pula akan diberikan ke atas karya-karya yang bermutu tetapi tidak sampai ke tahap untuk memenangi Hadiah Sastera. Karya-karya yang dinilai haruslah yang telah diterbitkan atau tersiar dalam sebarang bentuk media semasa tahun penilaiannya. Jenis karya yang dinilai juga semakin rencam iaitu puisi; cerpen; esei/kritikan; novel; novel remaja/kanak-kanak; lirik lagu; naskhah teater; naskhah drama radio; naskhah drama TV; rencana dan berita (media cetak).

Bagi Hadiah Sayembara Persuratan pula, ia diberikan kepada karya-karya berbahasa Melayu bagi setiap satu genre penulisan berikut; puisi, esei/kritikan sastera, cerpen, naskhah teater dan artikel bahasa. Pemberian hadiah adalah dalam bentuk hadiah pertama, kedua, ketiga dan tiga hadiah sagu hati bagi setiap bidang. Karya-karya mestilah dalam bentuk manuskrip dan belum pernah tersiar atau terbit dalam sebarang bentuk media.

Jumlah karya yang dinilai pada zaman ini ialah 1537 iaitu 644 sajak; 319 cerpen; 208 esei/kritikan; 14 novel; 206 lirik lagu; 16 naskhah teater; 119 naskhah drama radio; 11 naskhah drama TV.

Penerima anugerah Tun Seri Lanang ialah Muhd Ariff Ahmad (1993); Masuri SN (1995); Abdul Ghani Hamid (1997); dan Suratman Markasan (1999). Manakala penerima Anumerta Tun Seri Lanang ialah Harun Aminurrashid (1993); Mahmud Ahmad (1995); Noor S I (1997); dan Suradi Parjo (1999). Tahun ini juga menyaksikan pemberian Anugerah S.E.A Write Award kepada dua orang tokoh sasterawan Singapura iaitu Muhd Ariff Ahmad pada tahun 1993 dan Abdul Ghani Hamid pada tahun 1998.

Antara penulis yang mula bergiat secara prolifik pada zaman ini ialah Rohani Din, Alfian Saat, Chairul Fahmy Hussaini, Muhammad Rafi Abu Bakar, Shaffiq Selamat dan Mohamed Pitchay Gani Mohamed Abdul Aziz.

Zaman Kontemporari
Dunia persuratan dan kesusasteraan Melayu Singapura kontemporari semakin rancak dengan adanya kesedaran yang dipupuk oleh pemerintah dan institusi-institusi seperti Angkatan Sasterawan 50, Majlis Bahasa Melayu Singapura, Institut Pendidikan Nasional, Universiti Nasional Singapura dan Majlis Seni Kebangsaan.

Baru-baru ini Fakulti Sastera dan Sains Hayat, NUS dan The Arts House telah mengambil initiatif memberikan fellowship kepada penulis untuk menghasilkan karya kreatif sambil mengendalikan program-program kemasyarakatan. Penulis ini akan diberikan gaji bulanan sebanyak 4 ribu dolar bagi jangka masa setahun dan 6 ribu dolar bonus. Ini merupakan sesuatu yang baru buat pertama kalinya diadakan di Singapura atas initiatif badan bukan pemerintah.

Majlis Bahasa Melayu Singapura
MBMS pula sedang giat mengukuhkan hubungan dengan anggota-anggota Nusantara yang lain dengan mengikuti program-program yang dirancangkan dengan setekal mungkin. Pada 28 September 2004, negara Singapura buat pertama kalinya menerima perlawaan Mastera untuk mengikuti program Kuliah Kesusasteraan Bandingan Mastera 2004 dengan menyediakan kemudahan bagi tokoh yang dilantik Mastera iaitu Dr. Shahlan Mohd Saman untuk memberikan kuliah di Singapura. Sebelum ini MBMS juga menghantar wakil ke sidang MABBIM dan Mastera. MBMS juga giat menerbitkan buku-buku sastera kreatif. Bagi tahun ini sahaja 5 buah buku telah diterbitkan. MBMS juga telah mengadakan majlis Anugerah Persuratan 2003 yang menyaksikan pemberian 38 anugerah kepada 12 kategori karya yang dinilai. Anugerah ini juga menyaksikan penganugerahan tokoh Sastera terkemuka tanah air yang ke 5 iaitu Tun Seri Lanang Mohamed Latiff Mohamed, penyajak yang tidak asing lagi. Anugerah Persuratan 2003 ini juga telah menghasilkan 4 buah buku.

Angkatan Sasterawan 50
Pertubuhan mapan dan penuh sejarah iaitu Asas 50 terus bergerak secara proaktif untuk membawa sastera Melayu ke landasan aliran nasional dengan mengadakan hubungan kerjasama dengan institusi bukan Melayu seperti National Library Board dalam usaha mengumpul bahan-bahan sasterawan mapan untuk didokumentasikan secara profesional dan usaha menerbitkan buku kumpulan kertas kerja bagi Pertemuan Sasterawan Nusantara ke 12 yang diadakan pada 2003 di Singapura.

Memorandum Persefahaman yang ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif NLB dan Ketua 1 Asas 50, merupakan satu detik bersejarah dalam laluan Asas 50. Ia merupakan komitmen Asas 50 terhadap usaha memartabatkan dan menaiktarafkan sastera Melayu di Singapura dan rantau ini. Asas 50 juga telah melancarkan lelaman webnya, www.asas50.com, dalam usaha menyerantaukan sastera Melayu Singapura. Asas 50 terus menerbitkan buku-buku sastera yang bermutu. Sehubungan ini, Asas 50 sedang menghasilkan sebuah buku dwi bahasa yang pertama di Singapura dalam bentuk kumpulan sajak dan lukisan penyair-pelukis Abdul Ghani Hamid.

Terkini Asas 50 sedang giat menggerakkan sayap belianya dengan mengadakan lebih banyak sesi pengumpulan karya belia dan mengajak belia berkongsi pengalaman dengan para pelajar sekolah seperti dalam aktivti ‘Teroka Pantai Timur’ yang melibatkan 6 buah sekolah rendah di pantai East Coast sempena sambutan Bulan Bahasa 2004. Antara penggerak belia Asas 50 ialah Nazeerah Allaudin, Nazreen Md Noor, Mohd Hizammuddin Mohd Yusof dan Fariz Husnah Sanjani.

Kementerian Pendidikan Singapura
Pemerintah melalui Kementerian Pendidikan Singapura telah memperkenalkan program Sarjana Muda Bahasa Melayu dan Sastera di Institut Pendidikan Nasional, Universiti Teknologi Nanyang pada tahun 2001 serta pengenalan program pilihan bagi Bahasa Melayu peringkat tinggi iaitu EMAS bagi sekolah menengah dan MLEP bagi maktab rendah pada tahun yang sama. Kedua-dua program ini bersifat pengayaan di peringkat bahasa Melayu tinggi, Sastera dan Budaya.

Perkembangan ini menunjukkan sokongan pemerintah ke atas hasrat masyarakat Melayu untuk meningkatkan kemajuan bahasa dan budayanya, dan sejajar dengan dasar pemerintah mengenai bahasa Ibunda sebagai penyulam budaya. Selain itu, pengenalan program latihan khas guru bahasa Ibunda di NIE kampus Townsville merupakan satu anjakan terhadap perkembangan dan pembangunan bahasa dan persuratan Melayu di Singapura. Sebelum ini, dasar kementerian pendidikan yang semakin terbuka telah menggalakkan ramai guru bahasa Melayu di Singapura meneruskan pengajian Melayu mereka di Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia sejak tahun 1994. Kini jumlah graduan daripada dasar tersebut telah melebihi 100 orang guru.

Majlis Seni Kebangsaan
National Arts Council pula sangat agresif dalam membantu penerbitan buku-buku oleh para penulis prolifik Singapura. Ia juga menyediakan geran bagi projek perkembangan dan pembangunan sastera di Singapura. Hingga kini NAC telah menganugerahkan Cultural Medallion (Medalion Budaya) kepada beberapa tokoh kesenian Melayu. Antaranya, bagi bidang sastera ialah Muhd Ariff Ahmad dan Abdul Ghani Hamid. Anugerah ini membawa ganjaran sebanyak 50 ribu dolar yang perlu digunakan untuk menerbitkan karya-karya baru.

Kesan Senario Mesra Sastera Singapura
Senario mesra sastera ini menghasilkan perkembangan proaktif terhadap pembangunan sastera Melayu Singapura. Singapura mencapai rekod peningkatan dalam jumlah graduan peringkat diploma, sarjana muda dan sarjana dalam bidang pendidikan bahasa Melayu dan pengajian Melayu. Jumlah penerima ijazah peringkat diploma, sarjana muda dan sarjana bagi tahun 2003 dan 2004 semakin meningkat. Singapura kini menghasilkan 6 sarjana pengajian Melayu. Mereka berkhidmat di sekolah-sekolah merata Singapura dan institusi pengajian tinggi. Jumlah ini tidak termasuk para graduan lulusan luar negeri yang mendalami bidang pengajian Melayu.

Sehubungan ini, dunia pendidikan Melayu Singapura telah dianugerahkan dengan seorang guru pakar dalam bahasa Melayu. Perlantikan ini merupakan yang pertama oleh Kementerian Pendidikan Singapura dalam usaha meningkatkan prestasi bahasa Melayu di Singapura. Tahun ini sahaja, Kementerian Pendidikan juga telah menganugerahkan 4 biasiswa khas kepada guru-guru bahasa Melayu untuk melanjutkan pengajian di universiti.

Penerbitan
Dunia penerbitan Melayu juga semakin rancak khususnya dalam karya-karya kreatif. Jumlah karya bukan-fiksyen juga semakin meningkat. Bagi tahun 2003 dan 2004 terdapat anggaran 40 judul bagi karya kreatif dan 10 judul bagi bukan-kreatif. MBMS sendiri menghasilkan 10 judul. Terdapat juga peningkatan dalam jumlah dan kekerapan jurnal serta majalah bagi bahasa dan persuratan yang diterbitkan. Kini terdapat :

i. Jurnal SEKATA terbitan MBMS bagi bahasa di peringkat nasional.
ii. Majalah SASTERAWAN terbitan ASAS 50 bagi sastera di peringkat nasional.
iii. Majalah RIANG RIA dan GELIGA terbitan syarikat swasta bagi para pelajar.
iv. Majalah SALAM dan jurnal PARADIGMA terbitan NUS untuk Institusi Pengajian Tinggi.
v. Jurnal AKTIVIS terbitan Persatuan Budaya Melayu, NIE Kampus Townsville, untuk Institusi Pengajian Tinggi
vi. Majalah WAHANA terbitan Persatuan Bahasa Melayu, NIE/NTU
vii. Majalah SAUJANA terbitan Program Elektif Bahasa Melayu (Maktab Rendah Tampines) untuk para pelajar.

Satu pergerakan proaktif MBMS ialah mengorak langkah menerbitkan karya-karya pemerima anugerah sejak 1993 hingga 2001 yang dikendalikan oleh Dr Hadijah Rahmat et.al. Enam buah buku telah diterbitkan iaitu Antologi Puisi, Cerpen dan Novel Remaja Projek X (2003); Antologi Esei Citra Minda; Antologi Cerpen Anak Bumi (2003); Antologi Skrip Drama Teater Prisma Pentas (2004); Antologi Skrip Drama Radio Gelombang Kasih (2004); dan Antologi Puisi Potret Diri Seorang Penyair (2004).

Buat pertama kalinya karya-karya penerima anugerah dalam Anugerah Persuratan 2003 telah dibukukan dan diberikan semasa majlis penganugerahan itu sendiri. Buku Anugerah Persuratan 2003 Pengumpulan Karya Dan Ulasan Juri (2003) diselenggarakan oleh Mohd Pitchay Gani Mohd Abdul Aziz. Selain itu, MBMS juga semakin rancak menerbitkan buku-buku tokoh Singapura. Antaranya ialah antologi sajak dwi bahasa Bukan Binatang Buruan karya Sidek Saniff dan Mari Berpantun – Satu Petunjuk karya Muhd Ariff Ahmad. Buku ini merupakan yang pertama di Singapura dan di rantau ini. Sebelum ini terdapat beberapa naskah buku mengenai pantun tetapi lebih berpusat kepada kumpulan pantun pusaka yang dikategorikan mengikut jenis dan bentuknya. Buku Muhd Ariff Ahmad pula amat berbeza kerana beliau bukan sekadar menyusun pantun-pantun mengikut pergerakan hidup manusia sejak lahir hingga kematian manusia itu tetapi ia juga memuatkan cara menghasilkan pantun yang bermutu dan sesuai dengan budaya Melayu yang penuh dengan keindahan alam dan fauna.

Sehubungan ini, jumlah penerbit aktif juga bertambah iaitu MBMS, Angkatan Sasterawan 50, Majlis Pusat, Angkatan Pelukis Aneka Daya, Tokoh Buku Haji Hashim, Pustaka Nasional dan Anuar Othman & Associates.

Pertemuan Sasterawan Nusantara
Singapura telah menjadi tuan rumah bagi Pertemuan Sasterawan Nusantara ke 12 pada September 2003. Anjuran Angkatan Sasterawan 50, pertemuan ini telah mendapat sambutan baik daripada negara-negara Nusantara yang lain dan penggiat sastera tempatan. Ia telah dihadiri sekitar 200 orang peserta dan sasterawan dari Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia, Singapura dan Thailand. Kegiatan ini mendapat sokongan padu pemerintan dan badan-badan swasta. Sebuah buku yang mengumpul dan mengupas kertas – kertas kerja yang dibentangkan telah disiapkan sempena pertemuan ini. Buku ini merupakan kerjasama pihak Asas 50 dan NLB.

Anugerah Persuratan

Anugerah Persuratan 2001 menyaksikan pemberian 34 anugerah kepada karya-karya terbaik Singapura daripada 14 kategori iaitu iaitu Novel, Novel Remaja/Kanak-Kanak, Buku Bukan Fiksyen, Antologi Sajak, Antologi Cerpen, Esei Kritikan Sastera, Cerpen, Sajak, Cerpen Remaja, Drama Pentas, Drama Radio, Drama Televisyen, Sajak Remaja dan; Lirik Lagu. Sebanyak 666 karya telah dinilai .

Anugerah Persuratan pada September 2003 pula menyaksikan pemberian 38 anugerah kepada karya-karya terbaik Singapura dalam 13 kategori iaitu Novel, Buku Bukan Fiksyen, Antologi Cerpen, Antologi Sajak, Esei Kritikan Sastera, Cerpen, Esei Bahasa, Sajak, Esei Kemasyarakatan, Cerpen Remaja, Drama, Puisi Remaja, dan Lirik Lagu.

Anugerah Tun Seri Lanang telah diberikan kepada Aliman Hassan (2001) dan Mohamed Latiff Mohamed (2004). Buat pertama kalinya juga telah diadakan satu anugerah khas iaitu Anugerah Sahabat Persuratan yang diberikan kepada Chan Maw Woh (2001). Anugerah ini diberikan kepada soerang yang bukan berbangsa Melayu tetapi telah memberikan sumbangan besar dalam dunia persuratan Melayu. Mohamed Latiff juga telah menerima Anugerah S.E.A Write Award pada tahun 2002 sekaligus membuktikan adanya pergerakan positif dalam dunia kesusasteraan Melayu Singapura.

Kampus Townsville
Satu kesan yang paling ketara daripada usaha murni ini ialah penghasilan penulis-penulis kaum muda yang prolifik oleh NIE Kampus Townsville . Sejak bermulanya program ini sehingga hari ini, kampus ini telah menghasilkan ramai penulis kaum muda di bawah usia 35 tahun. Antaranya termasuk penulis-penulis wanita seperti Noor Hasnah Adam, Hafizah Mahat, Sri Rahayu Binte Zainal, Siti Norlelawati Mohd Jelani, Norzaidah Suparman, Zakiah Muhamad, Arlitaharianty Sayrol, Siti Sujinah Johari, Nazirul Husna Ikhsan, Sopiyanti Abdullah, Helmilina Md Som dan Nur Uzaimah Fadzali. Manakala penulis lelakinya pula terdiri daripada Md Naguip Ngadnan, Mohd Hizammuddin Mohd Yusof, Djohan Abdul Rahman, Mohd Hafiz Bin Mohd Said, Mohd Zulfadli Mohd Rashid dan Mohd Arizal Bin Ahmad.

Program ini juga telah menghasilkan para belia yang aktif dalam pertubuhan-pertubuhan persuratan seperti Asas 50, MBMS, KGMS dan kelab E-Remaja Berita Harian. Mereka memegang tanggungjawap menyelenggarakan dan menggerakkan kegiatan-kegiatan dalam pertubuhan tersebut. Sumbangan yang tidak kurang penting juga ialah penerbitan jurnal ‘AKTIVIS’ yang mengumpulkan segenap karya-karya kreatif dan bukan kreatif para guru pelatih NIE ini yang menyumbang kepada perkembangan persuratan Melayu Singapura. Program ini juga pemula kepada tradisi pendokumentasian khazanah persuratan Melayu Singapura dengan memulakan pengajaran sejarah sastera secara pragmatik sehingga guru pelatih perlu mendapatkan bahan asli daripada para penulis dan membuat kajian perpustakaan.

Bukti akan mutu atau kualiti para penulis yang dihasilkan dapat dilihat melalui anugerah yang mereka terima dalam majlis Anugerah Persuratan yang diadakan setiap dua tahun sekali. Sejak tahun 1999, mereka mula meraih anugerah. Dalam bidang puisi terdapat Zakiah Muhamad (1999) dan Hafidah Mahat (2001), manakala dalam cerpen pula terdapat Nur Hasnah Adam (1999), Mohd Naguib Ngadnan (1999), Djohan Abdul Rahman (2001), Nur Hasnah Adam (2003), Norzaidah Suparman (2003) dan Mohd Zulfadli Mohd Rashid (2003).

E-Remaja
Dunia kesusasteraan Melayu remaja Singapura mendapat galakkan dengan bermulanya ‘Kelab Coretan Remaja’ (KCR) pada tahun 1994. Kelab ini dikelolakan oleh seorang wartawan Berita Harian, Cik Dewani Abbas. Setiap hari rabu akan disediakan sebuah ruang di akhbar tersebut untuk mengisi karya-karya remaja. Kelab ini berjaya menambah jumlah karya remaja sekaligus menggalakkan penglibatan para pelajar dan muda-mudi yang berminat dalam berkarya. Kelab ini juga berjaya menghasilkan ramai penulis yang prolifik. Akhbar ini juga menyediakan sebuah lagi ruang iaitu ‘Info-R’ yang membuat liputan mengenai aktiviti belia dan remaja. Pada 25 April 2004, ‘KCR’ dan ‘Info-R’ telah digabungkan menjadi ‘E-Remaja’. Gabungan ini amat bersesuaian dengan perubahan zaman kerana konsep sastera kini perlu disatukan dengan perkembangan semasa dalam dunia pembangunan remaja agar mereka dapat memahami korelasi sastera dan budaya. Keberkesanan KCR ini terbukti dengan adanya kategori khas bagi karya remaja dalam Anugerah Persuratan. KCR juga telah menerbitkan dua buah buku antologi remaja bertajuk Manik-Manik Hijau (Sajak) dan Bingkisan (Cerpen). Antara anggota yang lebih prolifik dalam kumpulan ‘Kelab Coretan Remaja’ (KCR) ialah Shaffiq Selamat, Normala Mohd Yusope dan Chairul Fahmy Husaini.

Karya Penulis Melayu Singapura dalam Antologi Bersama
Jika disingkap beberapa buah antologi sahaja, kita dapati terdapat banyak karya penulis Melayu Singapura yang prolifik sama ada dalah antologi bahasa Melayu mahupun Inggeris diperingkat nasional, serantau mahupun antarabangsa. Berikut merupakan beberapa contoh :

i. Puncak Sembilan.Singapura: Pustaka Nasional, 1975. (9 Penulis) – Masuri S. N; Noor S I; A Ghani Hamid; Aliman Hassan; Djamal Tukimin; Nor Yusman Abdul Majid; Mohamed Latiff Mohamed; Noor Hidayat; dan Ajaki.

ii. Singapore Writing.Singapore: Woodrose Publications, 1977. (7 Penulis) – Mohamed Latiff Mohamed; A. Ghani Hamid; Aliman Hassan; Masuri SN; Suratman Markasan; A. Razak Jaafar; dan Fuad Salim.

iii. Friends-Foreign Poetry. Seoul: Bok – Ji Moomwha Co., 1979. (2 Penulis) – Mohamed Latiff Mohamed; Suraidi Sipan.

iv. Lamp Light Ever Burning – Korea Seen by Foreign Poet. Seoul: Kapin Publishing Co., 1980. ( 1 Penulis) – Mohamed Latiff Mohamed.

v. Puisi Temasik. Singapura: Angkatan Sasterawan 50, 1981. (24 Penulis) – Abdul Ghani Hamid; Ajaki; Al Ijma’; Asmin; A Salam; Azizfakir; Jasady; Masuri SN; Mas; Megadona; M. Razif Irfan; Mohamed Latiff Mohamed; Mohd Taha Jamil; Nasrie Noor; Noor S I; Noor Hidayat; Nurul-Ain Kudsi; Rasiah Halil; Raida Suryana; Suratman Markasan; Sarifah Yatiman; Suraidi Sipan; Zaihar; Zaitun Talib

vi. Tiga Warna Bertemu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1987. (41 Penulis) – Abdul Ghani Bin Abdul Hamid; Ahmad Mustafa; Abdul Jalil Kadir (Ajaki); Abdul Kadir Pandi; Jamal Ismail (Al-Ijma’); Aliman Hassan; Abdul Salam Ayob (A.Salam); Abdul Samad Bin Salimin (Asmin); Djamal Tukimin; Eunosasah; Fathol Rahman Abdul Hamid (F.R.Bahamid); Hadijah Rahmat; Hamed Ismail; Isa Kamari; Johar Buang; Muhd Ariff Ahmad (Mas); Masuri Bin Salikun; Mohd Gani Ahmad (Megadona); Mohd Ismail Abdullah (MIA); Mohammed Yusoff Bin Abdul Rahman (Mibarzo); Mohamed Latiff Bin Mohamed; Mohd Taha Hj Jamil; Mohd Naim Daipi (Nizqin); Ismail Hj Omar (Noor S I); Nor Azuan; Normans; Norulashikin Jamain; Haron Abdul Majid (Nor Yusman Abdul Majid); Ridzuan Chong (Radinzaduan); Rauzani Ahmad; Rohman Munasip; Samsidah Suleiman; Sharifah Maznah Syed Omar (Sharifah Maznah Albubakar); Sapiee Ahmad (Sapiee Ahmad Razaly); Sarifah Yatiman; Sukinah Sapar; Suraidi Sipan; Suratman Markasan; Yahya Abdul Hamid; Yatiman Yusof; Zaiham

vii. Words for The 25th – Readings By Singapore Writers. Singapore: Unipress, 1990. (7 Penulis) – Abdul Samad Salimin (Asmin); Hadijah Rahmat; Jamal Ismail; Masuri S N; Mohamed Latiff Mohamed; Sharifah Maznah Syed Omar; Suradi Parjo.

viii. Voices of Singapore. Singapore: Faculty of Arts and Social Science NUS, 1990. (5 Penulis)-Abdul Ghani Hamid; Abdul Samad Salimin (Asmin); Masuri S N; Mohamed Latiff Mohamed; Noor S. I.

ix. Dinamika Budaya. Singapura: Majlis Pusat, 1991. (14 Penulis) – Muhd Ariff Ahmad (Mas); Masuri Salikun; Suradi Parjo; Ismail Hj Omar (Noor S I); Aliman Hassan; Abdul Ghani Hamid; Djamal Tukimin; Hadijah Rahmat; Mohamed Naim Daipi (Nizqin); Abdul Samad Salimin (Asmin); Mohd Raman Daud; Isa Kamari; Mohd Noor Mohd Yusofe (Yusnor Ef); Mohd Khalid Lani (Sri Sumira)

x. The Fiction of Singapore. Singapore: Unipress, 1993. (22 Penulis) – Masuri Bin Salikun; Abdullah Abdul Kadir Munsyi; Mahmud Ahmad; Abdul Samad Ismail; Harun Aminurrashid; Abdul Salam; Rosemera; Hamzah; Akhbar Goh; Muhd Ariff Ahmad (Mas); Suratman Markasan; Ismail Hj Omar (Noor S I); Mohamed Latiff Bin Mohamed; M Fuad Salim; Peter Augustine Goh; Rasiah Halil; Hadijah Rahmat; Anuar Othman; Isa Kamari; Jamal Ismail.

xi. The Poets’ Chant. Indonesia:Istiqlal International Poetry Reading ’95, 1995. (2 Penulis) – Mohamed Latiff Mohamed; Suratman Markasan.

xii. Rhythms- A Singaporean Millennial Anthology of Poetry. Singapore: National Arts Council, 2000. (25 Penulis) – Abdul Ghani Bin Abdul Hamid; A.Salam; Ahmad Md Taha; Aliman Hassan; Asmin; Djamal Tukimin; Hadijah Rahmat; Isa Kamari; Johar Buang; Mas; Masuri Bin Salikun; Mirbazo; Mohamed Latiff Bin Mohamed; Mohd Taha Jamil; Noor S I; Norulashikin Jamain; Nurul-Ain Kudsi; Peter Augustine Goh; Rasiah Halil; Rohman Munasip; Sarifah Yatiman; Sharifah Maznah Syed Omar; Suraidi Sipan; Suratman Markasan; Yatiman Yusof.

xiii. Tides of Memories and other Singapore Poems. Singapore: Asiapac Books, 2002. (1 Penulis) – Mohamed Latiff Mohamed.

Kewujudan karya-karya dalam antologi bukan Melayu merupakan satu fenomena yang sangat unik dan memberangsangkan. Suratman menjelaskan bahawa terdapat banyak persatuan penulis yang menyokong usaha ini. Persatuan Penulis Cina dengan nama Singapore Association of Writers telah memuatkan dua buah sajak Masuri SN yang diterjemahkan ke dalam bahasa Mandarin di dalam jurnalnya. The Island Society, sebuah persatuan bahasa dan kebudayaan Cina telah memberikan sokongan kewangan kepada Asas 50 untuk menerbitkan majalah Sasterawan dalam bahasa Melayu. The Society of Singapore pula, yang menerbitkan karya-karya pelbagai bangsa ke dalam bahasa Inggeris, telah menerbitkan 3 sajak A. Ghani Hamid, 2 sajak Mohamed Latiff Mohammed, 1 sajak Masuri SN, 1 sajak Aliman Hassan, 2 cerpen Suratman, 1 cerpen Mohd Fuad Salim dan 1 Cerpen Abdul Razak Jaafar.

Penutup
Sejarah perkembangan sastera Melayu Singapura menampilkan kerencaman dari segi kumpulan penulis dan karya yang dihasilkan. Jelas sekali persuratan di Singapura masih kukuh merentasi zaman dan waktu. Cuma tumpuan terhadap penghasilan dan penerbitannya sahaja yang agak berbeza. Namun demikian, ia tetap mendapat sokongan proaktif daripada pemerintah dan badan-badan swasta dalam melestarikan persuratan Melayu Singapura. Sokongan padu pemerintah dalam hal pertumbuhan dan perkembangan sastera Melayu Singapura tidak dapat dikesampingkan kerana peranan utama ini juga telah menghasilkan 5 penerima anugerah terunggul Asia Tenggara iaitu SEA Write Award daripada raja Thailand. Mereka ialah Muhd Ariff Ahmad, Masuri SN, Abdul Ghani Hamid, Suratman Markasan dan Mohamed Latiff Mohammed. Para penerima ini merupakan golongan mapan yang menjadi citra sastera Melayu Singapura sepanjang zaman mengikut profesionalisme mereka dalam bidang masing-masing yang mereka suburkan melalui peranan mereka dalam pertubuhan khususnya Asas 50 dan institusi-institusi lain amnya.

Sastera Melayu Singapura umumnya dibentuk oleh dua komponen utama iaitu akhbar dan Anugerah Persuratan. Jelas sekali, kita dapati peranan akhbar selaku wahana bagi bahan-bahan kreatif dan kritikan sangat menggalakkan. Melalui akhbar banyak bakat-bakat baru dalam penulisan lahir dan digalakkan. Sejak tahun 1965 hingga kini, dianggarkan sejumlah 3200 buah karya dalam bentuk cerpen dan sajak yang dihasilkan di akhbar sahaja. Jumlah ini tidak termasuk terbitan di majalah, jurnal mahupun buku dan antologi.

Para penulis sastera Melayu Singapura yang prolifik sebenarnya mencapai kemuncak pada tahun 70-an kerana pada zaman tersebut lahir lebih kurang 40 penulis baru dalam dunia sastera Melayu berbanding dengan yang ada iaitu 8 bagi tahun 60-an, 14 bagi tahun 80-an dan 7 bagi tahun 90-an. Jelas sekali tahun 70-an merupakan tahun emas bagi sastera Melayu Singapura kerana ledakan daripada kesuburan jumlah penulis pada zaman tersebut menjadi asas kepada peningkatan kegiatan dan penerbitan bagi tahun-tahun yang selanjutnya. Berikut merupakan pengkategorian para penulis mengikut zaman mereka mula berkarya kecuali zaman yang dicatatkan dalam kurungan :

60-an (8 Penulis)
Abdul Ghani Bin Abdul Hamid (sejak 1948); Abdul Jalil Kadir (lewat 1950-an); Ismail Hj Omar (lewat 1940-an); Jaafar Bin Haji Muhammad (lewat 1940-an); Masuri Bin Salikun (lewat 1930-an); Harun Aminurrashid (sejak 1920-an); Mahmud Bin Ahmad (sejak 1929); Muhd Ariff Ahmad (lewat 1930-an).

70-an (40 Penulis)
Abdul Aziz Bin Pakkeer Mohd; Abdul Kadir Pandi; Abdul Salam Ayob; Abdul Samad Bin Salimin; Ahmad Affandi Jamari; Ahmad Awang; Aliman Hassan; Anuar Othman; Basiran Haji Hamzah; Djamal Tukimin; Eunos Bin Asah; Fathol Rahman Abdul Hamid; Goh Mey Teck @ Iskandar Goh; Hamed Ismail; Haron Abdul Majid; Hartinah Ahmad; Isa Kamari; Ismail Sarkawi; Ismail Wardi; Jamal Ismail; Mohamed Latiff Bin Mohamed; Mohammed Yusoff Bin Abdul Rahman; Mohd Gani Ahmad; Mohd Naim Daipi; Mohd Taha Hj Jamil; Rasiah Halil; Rohman Bin Munasip; Saeda Buang; Sapiee Ahmad; Sarifah Yatiman; Sidek Bin Saniff; Suradi Parjo; Suraidi Sipan; Suratman Markasan; Yatiman Yusof; Mohd Ismail Abdullah; Norulashikin Jamain; Patimah Jalaludin; Mohammed Saffri Bin Abdul Manaf; Mohd Raman Daud

80’an (14 Penulis)
Abdul Wahab Bin Hamzah; Ahmad Ja’affar Bin Munasip; Ahmad Md Tahir; Hadijah Rahmat; Jumaiah Bte Mohd Jubri; Juffri Bin Supa’at; Johar Buang; Sharifah Maznah Syed Omar; Sulaiman Jasman; Nuraini Hj Khudsi; Samsudin Said; Hafizah Talib; Mohd Khalid Lani; Muhammad Salihin Sulaiman

90-an (7 Penulis)
Alfian Sa’at; Chairul Fahmy Hussaini; Mohamed Pitchay Gani Bin Mohamed Abdul Aziz; Muhammad Rafi Bin Abu Bakar; Rohani Bte Din; Shaffiq Bin Selamat; Aidli ‘Alin’ Mosbit

Mohamed Pitchay Gani Bin Mohamed Abdul Aziz
Institut Pendidikan Nasional
Universiti Teknologi Nanyang

Referensi

  1. Nama sebenarnya Hamzah Abdul Majid bin Hussin. Lahir di Singapura pada 27 Julai 1927. Merupakan orang kuat Asas ‘50 tetapi berpegang kepada prinsip ‘Seni untuk Seni” sehingga akhirnya beliau meninggalkan Asas 50 yang tetap kukuh dengan prinsip “Seni untuk masyarakat”.
  2. Merupakan penulis wanita Melayu yang giat menulis pada tahun-tahun 50-an dan 60-an. Dilahirkan di Singapura pada Disember 1936. Nama sebenarnya ialah Saleha binti Abdul Rashid. Juga dikenali dengan nama Melati Desa dan Reshidah Saleh.
  3. Rujuk buku The Fiction of Singapore terbitan Unipress, Singapura 1990:16-17
  4. Menurut Suratman Markasan dalam kata pengantar buku Tiga Warna Bertemu terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur 1987:xv.
  5. Noor S I dalam buku Dinamika Budaya terbitan Majlis Pusat, Singapura 1991:124-125
  6. Noor Hidayat telah berhijrah ke Malaysia.
  7. Suradi Parjo dalam buku Dinamika Budaya terbitan Majlis Pusat, Singapura 1991:133
  8. Pertubuhan-pertubuhan tersebut adalah Angkatan Pelukis Aneka Daya, Angkatan Belia Singapura, Majlis Pusat Pertubuhan-Pertubuhan Budaya Melayu Singapura, Persatuan Wartawan Melayu, Persatuan Wanita & Teruna, Persatuan Kebudayaan Melayu, Persatuan Pelajar-Pelajar Agama Dewasa Singapura, Jabatan Budaya Pertubuhan Kebangsaan Melayu, Pustaka Nasional, Persatuan Fotografi Melayu Singapura, Kesatuan Guru-Guru Melayu Singapura, Syarikat Guru-Guru Melayu Singapura, Muhammadiyah, Persatuan Guru-Guru Agama Singapura, Himpunan Belia Singapura, Badan Pelajaran Agama Mas dan Majalah Filem.
  9. Hadijah Rahmat dalam buku Dinamika Budaya terbitan Majlis Pusat, Singapura 1991:183. Berdasarkan jumlah karya sastera yang dinilai oleh panel Hadiah Sastera sejak 1974-1980.
  10. Hadijah Rahmat dalam buku Dinamika Budaya terbitan Majlis Pusat, Singapura 1991:183. Berdasarkan jumlah karya sastera yang dinilai oleh panel Hadiah Sastera sejak 1981-1984 sahaja. Hadiah Sastera berhenti sehingga dihidupkan kembali pada tahun 1992.
  11. Rujuk Suradi Parjo dalam buku Dinamika Budaya terbitan Majlis Pusat, Singapura 1991:140.
  12. JBMS bermula pada tahun 1983 sehingga ia dinaiktarafkan kepada Majlis Bahasa Melayu Singapura pada tahun 1992. Sebelum ini ia dikenali sebagai Jawatankuasa Ejaan Melayu Singapura (1981-1983) iaitu rentetan daripada Jawatankuasa Ejaan yang bermula pada tahun 1972.
  13. Rujuk majalah Anugerah Persuratan 1993 terbitan Majlis Bahasa Melayu Singapura.
  14. Rujuk kepada laporan di akhbar The Straits Times, 14 September 2004.
  15. Program Elektif Bahasa Melayu bagi peringkat sekolah menengah.
  16. Program Elektif Bahasa Melayu bagi peringkat maktab rendah.
  17. Rujuk Majalah Anugerah Persuratan 2001 terbitan Majlis Bahasa Melayu Singapura.
  18. Pada bulan Julai tahun 1997, dengan kerja sama di antara Kementerian Pendidikan dan Institut Pendidikan Nasional (NIE), satu program baru yang dinamakan Program Latihan Khas (Special Training Programme) telah dimulakan. Melalui program ini, mereka yang berkelulusan GCE pringkat ‘O’ dan ingin menjadi guru bahasa ibunda, diberi peluang untuk mengikuti kursus persediaan selama dua tahun sebelum melangkah untuk mendapatkan diploma di NIE kampus Yunnan Gardens. Kursus di sini memakan masa dua tahun. Lebih daripada 270 guru pelatih telah menjalani kursus ini setelah 6 tahun ia dimulakan. Di sini mereka didedahkan kepada pengajian menyeluruh mengenai bahasa, sastera, kesenian dan kebudayaan. Program ini boleh dianggap seperti MPSI (Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjong Malim, Perak) bagi guru-guru veteran.
  19. Rujuk buku Gema Temasek terbitan Majlis Pusat Singapura, 1983:242-244