Pendahulan

LEKSIKON Penulis Melayu Singapura merupakan idea yang diasaskan oleh Dr Masuri Bin Salikun, Ketua 1 Angkatan Sasterawan 50 (Asas 50) semasa satu mesyuarat eksekutif Asas 50 pada tahun 2003. Beliau agak perihatin akan ketiadaan sumber rujukan bagi penulis-penulis Melayu Singapura. Semasa lawatan beliau ke negara Nusantara yang lain, beliau agak kagum dengan jumlah penulis yang didaftarkan dalam buku-buku rujukan mereka. Menyedari hakikat bahawasanya usaha mendokumentasikan biodata penulis adalah penting bagi generasi akan datang dan bagi kegunaan sebagai bahan rujukan bagi penyelidik mahupun penggiat dan penggemar sastera tempatan mahupun luar negeri, Dr Masuri menyarankan agar pihak Asas 50 merealisasikan usaha pembukuan ini.

Banyak manfaat dapat diraih daripada usaha murni ini khususnya dalam memelihara dokumen persuratan negara dan mengembangkan maklumat mengenai dunia persuratan negara. Dr Masuri berhasrat menyatukan semua penulis Singapura dalam satu buku yang menjadi dokumen rujukan pada hari muka dan sebagai identiti bagi penulis hari ini. Beliau juga prihatin akan masa depan penulis karya Melayu Singapura dengan perubahan lanskap kehidupan di Singapura. Leksikon juga semakin penting dengan peningkatan dalam aktiviti persuratan Singapura yang semakin mendapat perhatian dan sokongan. Ini dibuktikan dengan penglibatan Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) dalam menghasilkan buku ini. Usahasama ini merupakan hasil memorandum kerjasama yang ditandatangani pada tahun 2003 antara Angkatan Sasterawan 50 dan Lembaga Perpustakaan Negara.

Nama penulis dalam Leksikon disusun mengikut abjat. Nama sebenar penulis digunakan dalam senarai nama penulis manakala nama pena mereka yang kerap digunakan akan diletakkan di bahagian indeks buku ini. Standardisasi seumpama ini dilakukan kerana tidak semua penulis menggunakan nama pena dan timbulnya kesedaran akan kepentingan merakamkan nama sebenar penulis agar mudah dijadikan bahan rujukan dan kajian kelak. Leksikon memberikan penerangan mengenai diri penulis dalam bentuk latarbelakang kehidupan penulis, sumbangannya dalam sebarang pergerakan, karya-karya utama yang pernah diterbitkan dan anugerah yang pernah diraih, seperti berikut:

Latar Kehidupan Penulis

  • Nama sebenar dan nama pena, singkatan atau samaran (jika ada)
  • Tarikh dan tempat dilahirkan
  • Tarikh meninggal (jika ada)
  • Pendidikan
  • Kelulusan
  • Pekerjaan
  • Pengalaman

Sumbangan dalam Kesusasteraan

  • Bidang penulisan
  • Sejarah kegiatan
  • Senarai karya sendiri, terbitan bersama mahupun antologi bersama
  • Anugerah dalam penulisan dan lain-lain bidang
  • Penyampaian dalam sejarah penulisan dan lain-lain bidang

Dalam menentukan penulis bagi leksikon, penulis yang pernah menerbitkan karya kreatif secara konsisten setiap tahun atau bagi sesuatu zaman, sejak tahun 1965 hingga kini akan diutamakan. Penulis tersebut sememangnya seorang yang bergiat aktif dalam pembangunan dan perkembangan dunia kesusasteraan Melayu moden Singapura. Pengaruh dan kesan penulisan mahupun pergerakan mereka amat ketara sekali. Penulis perlulah seorang warganegara Singapura yang menghasilkan karya dalam bahasa Melayu. Karya dirujuk sebagai semua bahan kesusasteraan kreatif mahupun kritikan. Penulis harus mempunyai karya yang telah diterbitkan khususnya dalam bentuk buku serta berpotensi menjadi penulis berwawasaan dan berkaliber. Selain itu, faktor seperti pemenang dalam Anugerah Persuratan anjuran Majlis Bahasa Melayu Singapura mahupun anugerah-anugerah lain, aktif dalam kegiatan persuratan atau anggota pertubuhan persuratan setempat adalah penambah nilai kepada penulis yang disenaraikan. Kriteria berikut menjelaskan:

Kriteria

  • Prolifik merentasi zaman atau zaman tertentu
  • Warga negara Singapura ketika Leksikon diterbitkan
  • Ada bahan penerbitan sama ada sendiri ataupun antologi bersama
  • Namanya wujud dalam antologi atau kumpulan karya penulis Singapura
  • Aktivis dalam persuratan Singapura
  • Merupakan ikon atau rujukan dalam dunia persuratan Singapura
  • Aktif dalam pertubuhan persuratan

Kriteria di atas sebenarnya mencerminkan gabungan panduan yang dimuatkan dalam kedua-dua buah buku iaitu buku Wajah Biografi Penulis terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, edisi Kedua (1988) dan buku Sepanjang Abad Sastrawan Sumatra Barat terbitan Balai Bahasa Padang Pusat Bahasa Departemen Pendidikan Nasional (2003. Bagi buku Wajah Biografi Penulis, misalnya antara kriteria yang dimuatkan ialah; “Pemilihan yang ditumpukan kepada penulis-penulis di dalam sesuatu zaman, adalah mereka yang sumbangannya memperlihatkan kesan serta pengaruh terhadap pertumbuhan dan perkembangan kesusasteraan Melayu moden.” (ms. xi). Manakala buku Sepanjang Abad Sastrawan Sumatra Barat pula mencatatkan kriteria seperti berikut: “Sastrawan yang telah menerbitkan buku, telah mempublikasikan karyanya dalam media cetak nasional, dan telah memperoleh penghargaan sastra; Sastrawan yang telah menerbitkan buku, telah mempublikasikan karyanya dalam media cetak nasional, tetapi belum memperoleh penghargaan sastra; Sastrawan yang telah menerbitkan buku, telah menerima penghargaan, tetapi belum menerbitkan buku; dan Sastrawan yang telah menerbitkan karyanya secara nasional dalam bentuk antologi (ms. 3)”

Para Penulis yang dimuatkan merupakan mereka yang masih aktif dalam dunia penulisan di Singapura pada tahun 1965 dan seterusnya hingga kini. Tahun 1965 dijadikan penentu dan pemula bagi penulis Singapura memandangkan pada zaman tersebut Singapura berpisah daripada Malaysia dari segi sempadan politik. Maka, pada saat tersebut penulis Melayu Singapura mula mempunyai identiti mereka tersendiri berlatarbelakangkan pembangunan yang rencam dan berbeza daripada Malaysia dari segi cabaran dan kematangan. Buku ini memuatkan para penulis yang masih merupakan warganegara Singapura ketika ia diterbitkan kerana buku ini menggambarkan para penulis yang masih dan terus mewarnai serta mempengaruhi pertumbuhan dan perkembangan sastera Melayu Singapura sama ada dari segi penulisan, pengajian, pengkajian, pengajaran dan seumpamanya, sesuai dengan tajuk buku ini iaitu direktori penulis Melayu Singapura.

Dari segi pengumpulan bahan untuk leksikon, terdapat penulis-penulis yang lebih banyak bahan yang dapat dimuatkan berbanding dengan beberapa penulis yang lain. Ini disebabkan oleh sumber mengenai penulis-penulis yang terlibat. Ada bahan diberikan oleh penulis sendiri dan ada pula yang didapati daripada bahan-bahan rujukan di perpustakaan. Keadaan ini menghasilkan profil penulis yang rencam dan tidak konsisten. Namun demikian, amat penting memasukkan seberapa banyak maklumat yang relevan dalam usaha menjadikan Leksikon bahan rujukan selengkap mungkin mengenai diri penulis. Bahan-bahan rujukan diperolehi daripada karya penulis, antologi, tesis, latihan ilmiah, jurnal, majalah dan wawancara.

Banyak usaha dan komitmen telah diberikan dalam melakarkan ‘Leksikon’ dan memastikan ianya komprehensif dari segi maklumat yang disediakan. Namun demikian, terdapat beberapa hal yang tidak dapat dielakkan. Misalnya, ada penulis yang tidak dimuatkan dalam buku ini kerana mereka mohon agar dikecualikan dan ada pula penulis yang tidak dapat dihubungi langsung serta kurangnya bahan rujukan mengenai diri mereka. Begitu juga ada penulis yang bukan lagi warga negara Singapura dan terpisah daripada perkembangan kontemporari persuratan Singapura.

Namun demikian, buku ini mampu memuatkan para penulis dan penggiat sastera mapan dan baru dalam jumlah yang menepati kesederhanaan perkembangan persuratan Melayu Singapura berbanding dengan buku yang sama yang diterbitkan bagi penulis Malaysia dan Indonesia. Bagi penulis di Malaysia, misalnya, terdapat buku Wajah Biografi Penulis edisi Kedua (1988) yang menyenaraikan 139 orang penulis (100 orang penulis sahaja bagi edisi pertamanya) manakala buku Sepanjang Abad Sastrawan Sumatra Barat (2003) menyenaraikan 120 orang penulis. Maka jumlah 70 orang penulis yang disenaraikan dalam buku ini bagi Singapura amatlah bersesuaian dan bertepatan dengan geologinya.

Seyogia dimaklumkan bahawa buku ini yang pertama diterbitkan di Singapura. Sebelum ini belum ada sebarang direktori penulis khas bagi persuratan sastera Melayu di Singapura. Demi masa, ia boleh dipertingkatkan dan disesuaikan bagi mengisi mana-mana bahagian yang mungkin diperlukan dalam merentasi arus pertumbuhan dan perkembangan sastera Melayu Singapura pada masa akan datang.

Editor