Pengantar

Leksikon merupakan hasrat Asas 50 merakamkan hayat, karya, sumbangan dan pencapaian para penulis karya sastera Melayu Singapura dalam satu bentuk pendokumentasian yang jati dan kekal. Hakikat ini dapat direalisasikan dengan adanya penerbitan bersama dengan pihak Lembaga Perpustakaan Negara (NLB). Buku ini bukan hanya menjadi rekod penulis Singapura malah ia merupakan bukti bahawa Asas 50 bukan hanya membela masyarakat melalui slogannya “Seni untuk masyarakat” tetapi membela kewujudan para penulis karya sastera Melayu Singapura khususnya yang sama-sama berjuang sejak berpisahnya Singapura daripada Malaysia pada tahun 1965 hingga hari ini.

40 tahun meruopakan jangka waktu yang sangat singkat bagi pembangunan sesebuah tamadun persuratan dan kesusasteraan. Namun demikian, bagi sebuah bandar kecil seperti kota Singa ini, ia tidak menjadi penghalang bagi para penulis untuk terus mengembangkan bakat dan potensi mereka dalam menghasilkan karya-karya sastera yang sesuai dengan pembangunan tamadun Melayu di sini setakat ini. Usaha gigih para penulis seumpama ini wajar dirakamkan agar menjadi mangkin pertumbuhan kesusasteraan Melayu Singapura selanjutnya.

Buku ini secara tidak langsung menjadi lambang kegigihan generasi pelapis yakni golongan muda Asas 50 dalam menjadikan kenyataan impian para pejuang mapan Asas 50 dan para penulis Melayu Singapura amnya untuk melahirkan sebuah dokumen yang bersejarah dan penuh bermakna seperti ini. Buku yang mengambil masa 2 tahun untuk disediakan ini adalah bukti komitmen golongan muda Asas 50 dalam mempertahankan prinsip Asas 50 dan memperkayakan khazanah pendokumentasian tempatan.

Usaha gigih seumpama ini juga membuktikan tekad Asas 50 dalam meningkatkan perjuangan dan kedudukannya di aliran nasional. Kerjasama dengan NLB bukan hanya memanfaatkan dunia sastera Melayu Singapura malah ia juga memanfaatkan dunia kesusasteraan Melayu di rantau ini. Buku ini merupakan yang kedua dilahirkan dalam gerakan kerjasama Asas 50 dan NLB melalui memorandum persefahaman yang ditandatangani pada tahun 2003 dalam satu majlis sempena Pertemuan Sasterawan Nusantara ke XII anjuran Asas 50.

Banyak perkembangan proaktif yang dapat dimanfaatkan melalui kerjasama dengan badan-badan nasional khususnya dalam memasyarakatkan sastera Melayu Singapura di bandar kosmpolitan ini. Berkat daripada pendedahan yang Asas 50 dapati melalui kerjasama seumpama ini, Asas 50 kini bergerak ke arah menasionalisasikan Sastera Melayu Singapura agar ia dapat dimanfaatkan oleh semua bangsa. Sesungguhnya, Seni Membina Manusia.

Dr Masuri Bin Salikun
Ketua 1
Angkatan Sasterawan 50