Ahmad Ja’Affar Bin Munasip

January 10, 2011 | Author: | Posted in A

AHMAD JA’AFFAR BIN MUNASIP atau A.Jaaffar Munasip, mempunyai nama pena seperti Arjuna, Adjana Syafiq dan anakjalanan (nama pena bagi alam siber). Beliau dilahirkan di Lorong Liput, Singapura pada 10 Februari, 1967. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Delta East dan Sekolah Rendah Mei Chin, sebelum ke Sekolah Menengah Queensway. Beliau kemudiannya melanjutkan pendidikan dalam bidang elektrikal di Institut Teknikal Singapura. Sekarang beliau bekerja sebagai Pegawai Teknikal di sebuah syarikat pengangkutan awam. Beliau berminat dalam bidang penulisan semenjak di bangku sekolah. Hasrat beliau dalam menceburi bidang penulisan tercapai apabila cerita pendeknya (satu dalam bahasa Melayu dan satu lagi dalam bahasa Inggeris) tersiar dalam majalah sekolah. Karya pertama beliau iaitu sajak Kisah Ombak diterbitkan pada 15 September 1985 di Berita Minggu. Cerpen pertama beliau Pulang diterbitkan di Mingguan Aneka pada 27 September 1987.

Jaaffar amat cenderung dengan karya-karya non-konvensional seperti dalam cerpen-cerpen Kisah Sang Unta (berbentuk satira) dan Perjalanan Ardjuna (berbentuk kembara rohani yang abstrak). Beliau juga pernah menulis esei dan skrip drama untuk kanak-kanak. Karya beliau pernah tersiar di akhbar Mingguan Aneka, Berita Minggu (Singapura) dan Dewan Sastera.

Jaaffar merupakan anggota KAMUS sejak awal tahun 90-an. Kini beliau adalah Setiausaha I KAMUS. Beliau terlibat dalam pergerakan persuratan Singapura seperti menganjurkan Pertemuan Penulis-Penulis Singapura, forum-forum Diskusi sastera yang melibatkan penulis-penulis dari dalam dan luar negara, pelancaran buku-buku sastera, di samping menyertai acara-acara Bulan Bahasa dan Anugerah Persuratan.

Karya

Salam Dari Amira (Antologi bersama).Kuala Lumpur: DBP, 1993; Kita Musafir Dalam Daerah Ini (Antologi bersama). Singapura: KAMUS, 2000; Anak Bumi (Antologi bersama) Singapura: Majlis Bahasa Melayu Singapura, 2003.

Pencapaian/Anugerah

Hadiah Penghargaan Peraduan Penulisan Saadon Ismail: Cerpen Opera Topeng (1993); Hadiah Penghargaan Sayembara Sastera sempena Anugerah Persuratan MBMS: Cerpen Menam Kwa Noi (1993); Anugerah Saadon Ismail: Cerpen Dari kepingan-kepingan mimpi yang berderai, kukutip dan kuarcakan buat inspirasi penerus hidup (1994); Hadiah Sastera (Penghargaan) MBMS: Cerpen Igau 12:03 Pagi (1995).

Author:

This author has published 42 articles so far. More info about the author is coming soon.

Leave a Reply