Blog / News

HADIAH SASTERA ASAS’50-NUS

Posted by:

HADIAH SASTERA ASAS’50-NUS
HADIAH SASTERA ASAS’50 – NUS
Kehadapan para penulis dan aktivis budiman yang amat kami hormati dan sanjungi,
Angkatan Sasterawan ’50 (Asas’50) dan Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Nasional Singapura (NUS), dengan berbesar hati mengumumkan satu usahasama untuk menganjurkan pemberian Hadiah Sastera kepada para penulis tempatan bermula tahun ini.
Usaha ini selaras dengan tujuan Asas’50 menggunakan seni sebagai alat membina manusia dan falsafah pendidikan NUS yang mendukungi ilmu untuk kemasyarakatan dan kemanusiaan. Fokus utama usahasama ini ialah membina penulis berilmu dengan fokus pengkaryaan bagi pembangunan kemanusiaan. Usaha ini mengharapkan dapat menghasilkan para penulis yang berpandangan universal dalam motif pengkaryaan mereka.
Objektif
  1. Memberikan pengiktirafan kepada karya-karya terbaik penulis Singapura.
  2. Memberikan motivasi kepada para penulis untuk terus berkarya.
  3. Menggalakkan penulis baharu untuk melibatkan diri dalam arena penulisan.
  4. Menyediakan ruang penilaian karya penulis Singapura sebagai platform meningkatkan lagi mutu penulisan.
  5. Menambah lagi ruang dan peluang pengiktirafan bagi penulis tempatan.
Bagi tahun ini, hadiah ini akan dibuka hanya kepada karya-karya terbitan Asas’50 yang termuat di dalam kumpulan sajak dan cerpen bagi tahun 2015 dan 2016 sahaja. Hadiah ini akan dikembangkan pada siri selanjutnya pada tahun 2019 kelak.
Keunikan Hadiah ini ialah ia tidak statik tetapi disesuaikan mengikut keperluan dan keadaan. Dalam lain ertikata ia dinamik atau berubah-ubah kerana ia mementingkan pemberian pengiktirafan kepada penulis.
Satu keistimewaan hadiah ini ialah ia melibatkan para penilai daripada negara Nusantara iaitu Singapura, Malaysia, dan Indonesia yang akan menilai kesemua karya. Ini bermakna semua karya penulis Singapura berpeluang mendapat pendedahan yang sewajarnya daripada semua penilai. Para penilai terdiri daripada para anggota akademik universiti yang juga merupakan pengkritik dan penulis.
Satu lagi keistimewaan hadiah ini ialah ia bukan hanya mengenalpasti 5 karya terbaik tetapi ia juga menyenaraikan 10 karya terbaik. Ini membantu para penulis melihat kedudukan mereka di dalam carta penulis terbaik Singapura dari segi nilai karya. Ini sekaligus memulakan tradisi Carta Karya Singapurasesuai dengan motif perjuangan Asas’50 hari ini iaitu meningkatkan “Prestij Penulis Singapura.”
Akhir sekali Hadiah ini juga mengenalpasti Aktivis Persuratan Singapura yang banyak berjuang untuk membangunkan dan menjana dunia persuratan tanah air.
Hadiah yang akan diberikan kali ini adalah bagi kategori Sajak dan Cerpen seperti berikut:
Hadiah Sastera
1 Penulis
Hadiah Kepujian
1 Penulis
Hadiah Merit
1 Penulis
Pengiktirafan Khas
2 Penulis
Hadiah Aktivis Persuratan Singapura
1 Aktivis
Setiap pemenang hadiah akan menerima wang tunai, trofi dan sijil. Selain itu, senarai 10 karya terbaik akan diumumkan.
Hadiah ini akan diberikan sempena dengan “Pertemuan Sastera Singapura”dan Majlis Pelancaran Buku Singapura 2017 berjudul“Gerimis di Kota Pelangi” yang akan berlangsung pada 23 September 2017 di Taman Warisan Melayu.
Selaku pihak pengajur, kami ingin mengumumkan bahawa semua karya asli yang diterbitkan di dalam buku “Di Bawah Langit Tanah Pertiwi” (2015) dan “Hempedu di Tasik Madu” (2016) akan dinilai bagi Hadiah Sastera Asas’50-NUS tahun ini.
ASAS-NUS LP 2017.002
0

Add a Comment