Blog / News

AOTM: Mohamed Latiff Mohamed

Posted by:

Mohamed Latiff Mohamed merupakan penulis kreatif paling prolifik di Singapura yang masih giat aktif dalam arena penulisan dan persuratan setelah lebih 4 abad. Beliau mula menulis pada usia 16 tahun dengan sajak pertamanya berjudul Kepincangan yang diterbitkan di majalah sekolahnya ialah sekolah Menengah Tun Seri Lanang pada tahun 1966. Sejak itu beliau terus menulis isu-isu masyarakat Melayu dan serantau dengan hasrat menjadikan negara-negara Nusantara yang lain sebagai perbandingan dengan keadaan masyarakat Melayu di Singapura. Beliau berhasrat menyedarkan bangsa Melayu tentang pentingnya membangunkan bangsa dengan mendedahkan kebobrokan masyarakat Melayu Singapura. Beliau memartabatkan bahasa Melayu melalui penggunaan kata-kata klasik dalam puisinya sekaligus menunjukkan kehebatan karya-karya klasik. Mohamed Latiff sering memaparkan tokoh-tokoh Nusantara di dalam puisinya dengan harapan memupuk kesedaran akan wujudnya insan yang meletakkan bangsa dan bahasa di puncak perjuangan mereka. Generasi masa kini terus dididik dengan penulisannya yang begitu terbuka dan penuh makna.

Setakat ini Mohamed Latiff telah menghasilkan lebih daripada 200 kuntum puisi. Beliau merupakan satu-satunya penyair mercu tanda Singapura setelah Masuri SN. Beliau pernah digelar Wordsworth Singapura oleh Prof. Wilen V. Sikorsky, Moscow State University, kerana persoalan-persoalan berteraskan bangsa yang dikemukakanya. Masuri SN juga mengganggap Mohamed Latiff sebagai penyair unik dengan pendekatan yang konsisten sepanjang zaman.

Pengiktirafan seumpama ini dapat dilihat dalam karya-karyanya. Kumpulan dramanya berjudul Raung Singa memuatkan satu urutan lengkap kewujudan bangsa Melayu Singapura daripada bermulanya sejarah Singapura hingga ke zaman kontemporari ini. Sifatnya yang sensitif kepada kesekitarannya menyebabkan beliau terdesak untuk merakamkan pemerhatiannya secara kritikal melalui penggunaan bahasa yang kuat, padat, dan penuh retorik serta disaluti puisi-puisi yang menjadikan drama-dramanya unik iaitu walaupun ia bersifat intelektual dan kritikal tetapi disampaikan dengan nada objektif penuh estetik.

Mohamed Latiff sangat mesra dengan dunia kepenyairan Singapura bukan hanya sebagai penulis atau penyair tetapi sebagai pengamat, pengkritik, pendidik, dan perancang masa depan kesusasteraan Melayu Nusantara. Pengamatannya yang telus dan tajam terhadap penulis dan kesekitaran Singapura menjadikan bukunya berjudul Alam Kepenyairan Melayu Singapura – Pengamatan dan Penciptaan suatu dokumen sosio-budaya yang wajar diperhalusi lagi. Manakala pemahamannya terhadap roh penulisan itu sendiri merupakan satu pemberian kepada alam penulisan yang wajar direalisasikan demi meningkatkan lagi mutu pengkaryaan Melayu Singapura dan Nusantara.

Sajak-sajak Mohamed Latiff pula adalah pelengkap kepada dasar bahasa Ibunda Singapura. Zaman ini menyaksikan pemerintah begitu beria-ia melaburkan jumlah wang dan komitmen yang besar terhadap pengajaran dan pembelajaran bahasa Ibunda di Singapura. Dasar pemerintah akan sia-sia sahaja sekiranya tiada para pejuang bahasa dan bangsa yang sanggup memartabatkannya. Sajak-sajaknya umpama satu peringatan kepada manusia yang lupa akan bahasa dan bangsanya. Sajak-sajaknya umpama metafora kepada peringatan pemerintah Singapura terhadap bangsa Melayu akan pentingnya membangunkan semula bahasa dan bangsa Melayu. Ini bukanlah isu lama tetapi isu yang malapsegar dan akan terus menghantui setiap anak Melayu yang dilahirkan di Temasik.  Sajak-sajak dalam koleksi ini dan yang pernah dihasilkan oleh Mohamed Latiff merupakan khazanah dokumen sejarah bangsa dan bahasa Melayu yang wajar dijadikan pedoman dalam mengkaji masyarakat Melayu. Atas kesedaran ini koleksi puisi sepanjang hayatnya telah diterbitkan semula dan diklasifikasikan sebagai Siri Koleksi Warisan Singapura. Karya-karya Mohamed Latiff yang memerikan falsafah bangsa, nasional, dan serantau.

0

Add a Comment