Blog / News

Perjalanan Hidup Insan Dijadikan Tema Antologi Cerpen Penulis Mapan

Posted by:

27 Dec 2012

Perjalanan hidup insan dijadikan tema antologi cerpen penulis mapan

Oleh

NUR’ADILAH MAHBOB

PERJALANAN hidup insan di dunia diwarnai pelbagai detik penting ­ daripada saat kelahiran sehinggalah saat­saat meniti usia senja.

Itulah yang menjadi tema buku kumpulan cerpen terbaru oleh penulis mapan, Encik A. Wahab Hamzah, yang dilancarkan baru­ baru ini.

Buku berjudul Detik­Detik Perjalanan itu memuatkan 15 buah cerpen yang bertemakan kerencahan kehidupan manusia dalam kota kosmopolitan hari ini.

Antologi cerpen itu dilancarkan sempena acara Petang Puisi anjuran Angkatan Sasterawan ’50 (Asas ’50) di Perpustakaan Bedok.

Acara itu turut dihadiri Duta Singapura ke Kenya dan Rwanda, Encik Yatiman Yusof.

Semasa dihubungi akhbar ini, Encik Wahab, guru pesara berusia 65 tahun, berkata beliau mengambil masa setahun itu melahirkan cerpen­cerpen tersebut dan menerbitkan karya itu.

“Seperti karya­karya saya sebelum ini, ia berputik daripada pemerhatian saya mengenai isu­isu sosial yang dihadapi masyarakat kita,” ujar bapa tiga anak dan datuk empat cucu itu.

Buku itu menggambarkan kemelut masyarakat masa kini ­ daripada masalah remaja yang terlanjur dan sanggup membuang anak hingga warga emas yang anak berjauhan dengan anak­anak.

Terdapat juga beberapa buah cerita yang berlandasan kekuatan iman dalam menghadapi dugaan dan cabaran meniti kehidupan moden hari ini.

Ia diterbitkan Asas ’50 dengan sokongan Majlis Seni Kebangsaan Singapura (NAC). Harganya ialah $10 senaskhah.

Mengenai rancangannya selepas ini, Encik Wahab berkata beliau berhasrat melancarkan buku kumpulan sajak pula tahun depan.

Antologi-­antologi cerpen yang pernah ditulis Encik Wahab sebelum ini termasuk Tuhan Masih Sayang (2002) dan Igau (1999).

 

0

Add a Comment