Blog / News

Cereka Sains Dinobat Karya Terbaik

Posted by:

Cereka sains dinobat karya terbaik

Cerpen tulisan jururawat diangkat sebagai pemenang pertama dalam Sayembara Noktah Putih 2011

Oleh
NUR’ADILAH MAHBOB

SOUVENIR dari Angkasa Lepas.

Itulah tajuk cerpen yang muncul sebagai karya terbaik dalam Sayembara Noktah Putih (SNP) 2011 bagi kategori cerpen terbuka.

Karya Encik Hassan Hasaa’ree Ali, 33 tahun, itu merupakan sebuah cereka sains mengenai kembara manusia ke angkasa lepas dan penemuan mereka dengan makhluk asing, yang mengirim sebuah cenderamata khas kepada penduduk bumi.

Keputusan pertandingan anjuran Angkatan Sasterawan (Asas) ’50 dan Darul Andalus itu diumumkan semalam.

Ketika dihubungi Berita Harian, Encik Hassan berkata beliau meraih inspirasi menulis cerpen itu setelah menonton sebuah dokumentari mengenai planet di angkasa lepas.

“Saya berharap cerpen ini akan mendorong penulis muda lain menceburi genre yang tidak kerap ditinjau penulis­penulis Melayu,” ujar Encik Hassan yang bekerja sebagai jururawat.

Namun, beliau akur penulisan genre cereka sains memerlukan kajian yang teliti bagi menghidupkan cerpen itu.

Beliau sendiri mengambil masa tiga bulan untuk mengkaji elemenelemen sains dalam karya itu seperti astronomi, kembara angkasa dan sebagainya.

Kerja kerasnya itu berbaloi akhirnya apabila beliau muncul sebagai pemenang pertama dalam kategori tersebut, lantas meraih hadiah wang tunai $1,000, sebuah piala dan sijil.

Hadiah kedua dan ketiga dalam kategori sama itu pula dimenangi oleh Cik Syahirah Nabila Salleh dan Encik Yazid Hussein, yang masing­masing menerima $700 dan $250 serta piala dan sijil.

SNP bertujuan mengenal pasti bakat­bakat baru dalam bidang penulisan serta memberi wadah kepada penulis mapan untuk terus menajamkan bakat penulisan mereka.

Selain kategori cerpen terbuka, SNP turut menampilkan kategori puisi terbuka dan puisi remaja.

Majlis penyampaian hadiah pertandingan itu diadakan sempena acara ‘Petang Puisi’ di Perpustakaan Bedok, semalam.

Ia turut dihadiri Duta Singapura ke Kenya dan Rwanda, Encik Yatiman Yusof.

Selain penyampaian hadiah SNP, majlis itu turut melancarkan buku penulis mapan, Encik A. Wahab Hamzah, berjudul Detik­ Detik Perjalanan.

Buku kumpulan cerpen keempatnya itu memuatkan 15 cerpen yang bertemakan rencah kehidupan manusia dalam kota kosmopolitan hari ini.

0

Add a Comment