Blog / News

Penyair Gen Z 2011

Posted by:

Penyair Gen Z 2011

Pendahuluan
Sebuah bengkel sastera, Penyair Gen Z, telah diadakan sekali lagi pada 28hb Mei 2011, bertempat di Perpustakaan Awam Geylang East, dari jam 10 pagi hingga 2:30 petang. Kali ini, sebanyak 60 peserta, yang diwakili oleh para pelajar dari tingkatan 1, 2 dan 3, telah mengambil bahagian dalam bengkel yang telah dijalankan sejak 2009.

Para pembimbing yang terlibat untuk sesi kali ini ialah pembimbing tetap Yazid Hussein, Ariff Rizwan Sahab dan Fariz Husna Sajani. Para pembimbing telah berjaya menyuntik minat peserta dengan memberi tunjuk ajar secara bertahap-tahap. Para peserta telah diajar tentang aplikasi serta apresiasi sajak. Pada peringkat awal, para peserta diajar cara untuk menghasilkan sajak. Sajak itu kemudiannya digunakan untuk menghasilkan karya Graftera dan akhir sekali dipentaskan dengan cara tersendiri mengikuti kreativiti masing-masing. Mereka telah dibimbing dengan lebih khusus dan secara perseorangan oleh para pemudah cara dari Sayap Belia Asas ’50.

Objektif
Bertunjangkan objektif utama untuk mendedahkan para pelajar kepada penulisan sajak, Penyair Gen Z telah mara ke hadapan untuk mendekati golongan remaja masa kini.

Para peserta yang mengambil bahagian dalam bengkel kali ini, telah diajar secara terperinci asas penulisan sajak seperti contoh dari segi bentuk, bahasa, tema dan perutusan. Mereka juga telah diperkenalkan kepada unsur sastera dari perspektif yang berlainan, yakni Graftera, sebuah gabungan sastera dan seni lukisan. Ia bertujuan untuk menarik minat mereka dalam bidang ini dan terus mencungkil kreativiti dalam menghasilkan karya sastera. Ia dipercayai akan menimbulkan keyakinan dalam setiap peserta untuk lebih cenderung dan meneruskan minat terhadap sastera Melayu.

Sesi deklamasi sajak pula diadakan untuk memberi pendedahan kepada para peserta tentang kepelbagaian cara untuk mendeklamasikan sajak. Ia juga bertujuan untuk meningkatkan kebolehan mereka dari segi deklamasi sajak menerusi penjiwaan serta cara sajak itu dipersembahkan agar memukau para pendengar.

Oleh itu, ia diharap akan dapat menggarap minat yang lebih mendalam terhadap dunia sastera dan menceburkan diri dalam penghasilan karya sastera agar menambahkan lagi jumlah karya sastera Melayu di dalam persada seni.

Penutup
Natijahnya, bengkel Penyair Gen Z yang diadakan di Perpustakaan Awam Geylang East telah dijalankan dengan lancar dan penuh manfaat. Para peserta telah diberikan cenderahati berupa penanda buku, lencana dan beberapa buku terbitan Asas ’50 seperti ‘Penyair Gen Z’, ‘Diari Hitam’ dan ‘Rama-rama Patah Sayapnya’.

Kuntuman sajak-sajak dan karya Graftera yang telah dihasilkan oleh para peserta pula menjangkau pelbagai tema seperti percintaan, kekeluargaan dan agama. Ini menunjukkan kepelbagaian tema yang berjaya dicungkil dan diutarakan melalui bengkel ini. Para peserta juga diberi kesempatan untuk mementaskan beberapa sajak yang terpilih melalui kaedah nyanyian, lakonan, deklamasi sajak seperti yang telah diberi tunjuk ajar oleh para pembimbing.

Secara keseluruhan, bengkel ini telah berjaya dijalankan dan dilihat sebagai pemula bagi golongan remaja untuk menyuntik minat dan meneruskan berkarya dalam dunia kesusasteraan.

Laporan Oleh:
Shaheda Salim, Siti Noraisha Mohamed Senin dan Sitti Maisarah Abu Bakar

 

0

Add a Comment