Blog / News

Asas ’50 terima geran $75,000 daripada National Arts Council

Posted by:

SINGAPURA

Asas ’50 terima geran $75,000 daripada NAC
Dana terbesar yang pernah diterima akan diguna bagi biayai pelbagai aktiviti dan pembaharuan tahun ini

Oleh
Shamsul Jangarodin
URL: http://cyberita.asia1.com.sg/msingapura/story/0,6879,185155,00.html

ANGKATAN Sasterawan ’50 (Asas ’50) akan menerima suntikan dana sebanyak $75,000 tahun ini – sumbangan terbesar yang pernah ia terima sejak ia ditubuhkan lebih 60 tahun lalu.

Dana daripada Majlis Seni Kebangsaan (NAC) itu ialah bagi menyokong pelbagai usaha yang dilakukan pertubuhan kesusasteraan Melayu itu sepanjang tahun ini.

Ia juga kali pertama Asas ’50 dianugerahi Geran Utama bagi tempoh setahun itu setelah dikenal pasti panel penilaian dan NAC sebagai sebuah pertubuhan kesusasteraan utama dalam pembangunan bidang tersebut di Singapura.
Geran Utama diperkenal NAC pada 2000.

Mengumumkan senarai penerima geran satu tahun itu, NAC dalam satu kenyataan media semalam mendedahkan $1.92 juta akan diagih kepada 16 pertubuhan, termasuk sebuah syarikat teater Melayu, Teater Ekamatra.

Setiap penerima akan diberi antara $48,000 dengan $227,500.

Jumlah agihan itu seperempat lebih banyak daripada tahun lalu. Ia tidak termasuk $3.27 juta yang diberi kepada 12 pertubuhan lain tahun lalu dalam bentuk Geran Utama dua tahun.

NAC turut memperuntuk $1.41 juta bagi Skim Perumahan Seni untuk membantu menampung sebahagian besar kos sewa premis bagi 20 penerima Geran Utama satu dan dua tahun.

Ketika dihubungi, pegawai eksekutif Asas ’50, Encik Hamzan Saad, berkata selain menyokong sekitar enam aktiviti dan peraduan sastera yang dirancang sepanjang tahun ini, dana itu akan digunakan bagi memulakan beberapa usaha pembaharuan.

Ia termasuk menampung sebahagian kos mempertingkat portal dalam talian badan itu, mendapatkan sebuah pejabat, menggajikan kakitangan tambahan dan menganjurkan sebuah persidangan serantau.

Asas ’50 bakal menjadi hos persidangan Persatuan Sasterawan Nusantara pada 21 dan 22 Mei – acara dwitahunan yang diadakan secara bergilirgilir antara persatuan sastera Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura.

‘Semua ini memerlukan banyak wang. Kami bersyukur dengan suntikan dana daripada NAC. Walaupun dana daripada NAC ini yang terbesar, ia belum mencukupi dan kami akan berusaha mendapatkan dana daripada pihak lain, termasuk sektor swasta,’ kata Encik Hamzan, 42 tahun.
Beliau satu-satunya kekitangan sepenuh masa dan bergaji Asas ’50.

NAC berkata dana tambahan yang diagih tahun ini bakal membawa manfaat kepada semua bentuk seni.

Daripada 16 pertubuhan seni yang menerima geran itu, empat adalah pertubuhan teater; tiga pertubuhan muzik; tiga pertubuhan tarian; dua pertubuhan opera Cina; dua pertubuhan seni sastera; dan dua pertubuhan seni visual.

Dalam pada itu, NAC bakal memulakan semakan asas terhadap rangka kerja bantuan geran bagi menangani pelbagai cabaran dan peluang baru dalam bidang seni.

NAC menambah ia akan mendapatkan maklum balas dan idea daripada masyarakat seni tempatan dan pihak berkepentingan bagi melakar rangka kerja baru dalam masa beberapa bulan mendatang.

0

Add a Comment