Blog / News

HIPOKRASI

Posted by:

Drama ‘waktu sesudah itu’ merupakan manifestasi hipokrasi dan watak-watak manusia yang hanya menyanjung nama dan pangkat. Sering yang hina itu dilupakan walaupun ia pernah pada satu waktu pejuang besar yang mendapatkan apa yang dinikmati ramai hari ini. Watak Hindon merupakan manifestasi watak sedemikian. Sifat hipokrasi ini pula wujud dalam pelbagai watak di dalam drama ini sehinggakan begitu ketara sekali. Sejauhmanakah persoalan yang dikemukakan ini ada kebenarannya dan sejauhmanakah ianya fiksyen semata. Tentunya dapat dibuktikan daripada keadaan dan perkembangan sosio-sejarah yang dipaparkan dalam drama tersebut.

10

Discussion

  1. Shahirah Samsudin  March 25, 2011

    Drama waktu sesudah itu telah memaparkan sifat hipokrisi dalam diri manusia. Sifat hipokrisi ini ketara dalam watak Bidin Dan Anak Hindun serta Isterinya. Pada pendapat saya, persoalan ini merupakan sesuatu yang Benar-benar berlaku dalam kehidupan seharian. Malah, saya merasakan persoalan ini menampakkan unsur realisme dalam drama ini. Mungkin sifat hipokrisi ini ada kalanya sedikit hiperbola namun demikian, saya sebagai pembaca percaya bahawa ini merupakan Cara penulis untuk menekankan persoalan ini. Secara peribadi saya berpendapat bahawa hipokrisi yang dipaparkan dalam drama ini lazim terjadi dalam konteks milieu. Contoh terbaik bagi konteks masyarakat Singapura ialah stereotaip. Ada kalanya, segelintir orang Akan membesar-besarkan sesuatu perkara yang dilakukan seseorang atau sekumpulan orang tetapi Tidak apabila orang lain atau kumpulan lain melakukan perkara yang sama. Contoh termudah ialah apabila melihat sekumpulan anak melayu melepak tentu saja kita Akan terfikir bahawa mereka tidak berpendidikan atau tidal Ada masa depan. Namun, jika sekumpulan orang Cina tidak pula terlintas perkara sedemikian.Peranan media massa di Singapura juga bertanggungjawab. Ada kalanya Caramereka menyusun berita tentang bangsa-bangsa yang berlainan memberi kesan kepada pembaca. Contohya, Ada kalanya pencapaian anak Melayu mendapat liputan yang amat minimal sedangkan bangsa lain mendapat lebih banyak Dari itu. Sifat sedemikian sama seperti yang ditunjukkan bidin kepada Hindun. Satu lagi persoalan yang amat real dalam drama ini ialah sifat orang-orang yang suka mengampu. Sifat ini merupakan sesuatu yang benar-benar terjadi walaupun ia tidak dapat dibuktikan secara sah. Sifat ini amat terserlah dalam orang kampung Hindun setelah mendapat tahu berita tentang keberadaan Hindun. Shahirah Samsudin S0900017Gsecara sah.

    (reply)
  2. Hairani Asri  March 25, 2011

    Persoalan utama yang dikemukakan dalam drama ‘Waktu Sesudah Itu’ menyentuh tentang sifat hipokrasi di kalangan manusia yang inginkan nama dan pangkat. Hal ini benar kerana satu daripada sifat manusia adalah hipokrasi. Contohnya, watak Bidin hanya berbuat baik kepada Hindun setelah mendapat tahu latar belakangnya yang sebenar. Malah, Bidin mengaku Hindun adalah makciknya (ms 265) dengan tujuan untuk mewarisi sebahagian daripada harta Hindun. Sebelum itu, Bidin mencaci (ms 250) dan menggunakan kekerasan terhadap Hindun (ms 256) kerana benci dan jijik melihat keadaannya yang sudah nyanyuk lagi tidak terurus. Berdasarkan perkembangan sosio-sejarah dalam drama tersebut pula, watak Bidin merupakan seorang yang kaya dan berharta (ms 264). Oleh itu, beliau menyalahgunakan kuasa dengan mempengaruhi orang-orang kampung supaya menghalau Hindun daripada kawasan setinggan yang didiaminya (ms 264). Walhal, Bidin tinggal di tapak tersebut walaupun mempunyai rumah mewah. Ini merupakan paparan sosial yang wujud di dalam masyarakat hari ini, iaitu bagaimana golongan susah ditindas oleh mereka yang kaya dan tamak.Di samping itu, watak Hasan, anak kepada Hindun yang tiba-tiba muncul setelah mendapat tahu tentang ibunya di suratkhabar (ms 282) juga dipaparkan oleh penulis sebagai seorang yang hipokrit. Sifat hipokrasi dalam dirinya semakin ketara terutamanya mengenai harta peninggalan Hindun. Hindun turut berasa hairan kerana semasa dirinya melarat, tidak ada seorang pun yang mahu mengaku diri mereka sebagai anaknya (ms 285). Bahkan, anak-anak yang tidak mempertanggunjawabkan ibu bapa masing-masing adalah satu masalah sosial yang sedang meruncing dalam masyarakat. Dalam konteks sosio-sejarah pula, masyarakat yang diketengahkan dalam drama ini tidak bersikap pasif, tetapi sebaliknya mengambil kesempatan terhadap situasi Hindun. Mereka tidak melindungi Hindun daripada watak-watak antagonis seperti Bidin dan Hasan meskipun dapat melihat sikap mereka yang sebenar. Ini mungkin disebabkan oleh golongan setinggan yang tidak berpendidikan dan miskin, lalu mengetepikan nilai kemanusiaan demi mendapatkan faedah dari sudut kewangan (ms 287).Maka itu, jelas bagaimana keadaan dan perkembangan sosio-sejarah berhubungkait dengan sifat hipokrasi yang wujud dalam diri manusia demi meraih darjat dan nama. Drama ini bersifat realisme kerana ia memaparkan keadaan masyarakat yang sebenar walaupun sifat hipokrasi itu merupakan manifestasi daripada pelbagai konteks.Hairani Bte AsriS0900006A

    (reply)
  3. Abdul  March 25, 2011

    Puas sudah ku menanam padiNanas juga ditanam orangPuas sudah ku menanam budi Emas juga dipandang orang Bertemakan kemanusiaan sejagat, drama “Waktu Sesudah Itu” mengutarakan watak Hindun yang miskin dan ditindas oleh segolongan masyarakat. Sebagai contoh, Hindun dihina sebagai anjing dan diusir oleh Bidin dari kedai kopinya kerana dianggap sebagai mengundang lalat. Sungguhpun begitu, masih ada yang berhati mulia menuntun dan mengambil berat terhadap Hindun yang kurang waras itu. Sebagai contoh, jiran Hindun, Bidin sering menghantar Hindun makanan dan membantunya dalam pelbagai aspek kehidupan. Namun demikian, keadaan berubah apabila Hindun telah dinobatkan sebagai serikandi Negara dan memenangi hadiah lumayan. Bidin yang begitu benci terhadap Hindun bertukar menjadi kasih dan sayang terhadapnya manakala anak Hindun yang tidak pernah endahkan kemaslahatan ibunya muncul secara tiba-tiba. Peristiwa ini jelas menunjukkan sikap haloba manusia yang akan menyanjung seseorang itu hanya kerana dia mempunyai harta dan pangkat. Pada pendapat saya, drama yang bersifat realisme ini memaparkan keadaan sebenar masyarakat yang hipokrit dan bertopeng. Sebenarnya, drama ini merupakan suatu sindiran kepada segolongan manusia yang sudah tentunya mengamalkan sikap sedemikian. Sikap hipokrasi memang sudah sebati dengan darah daging manusia kerana ia berbalik kepada sikap manusia yang ego dan pentingkan diri sendiri. Nilai hipokrasi ini jelas terpapar di kalangan negara-negara besar seperti Amerika Syarikat dan Australia yang sehingga hari ini enggan mematuhi Protokol Kyoto mengenai pemanasan sedunia yang berkuat kuasa Februari 2005.Sikap hipokrasi juga dilihat dalam peperangan. Sejarah dunia menunjukkan bahawa dalam setiap peperangan, kebanyakan golongan yang mati terdiri dari golongan rakyat kelas pekerja atau berpendapatan rendah. Ini adalah disebabkan kelas kaya dan golongan atasan biasanya tidak terlibat dalam perang kecuali untuk menyuruh rakyat jelata berperang bagi pihak mereka. Mengapa Bush sendiri tidak turun ke Kabul untuk menyerang Osama? Mengapa Osama dan Mullah Omar bersembunyi dan meminta anak-anak muda Taliban yang menjadi benteng peluru ganas tentera Amerika? Melalui peperangan, golongan yang pasti meraih kekayaan ialah pemilik-pemilik perniagaan peralatan perang, gergasi media massa dan pelbagai syarikat yang bergantung kepada perang untuk mengaut keuntungan yang banyak, termasuk firma gas, kimia dan racun. Bagi pemilik media massa seperti CNN yang dimiliki AOL Time Warner (korporat media terbesar di dunia), setiap tragedi di dunia adalah ‘wang’ semata-mata yang masuk ke dalam poket kapitalis.Maka itu, drama “Waktu Sesudah Itu” merupakan suatu sindiran pedas terhadap golongan manusia yang hanya pentingkan wang ringgit dan harta dunia sehingga sanggup menyingkirkan nilai kemanusiaan dalam diri mereka. Abdul Fattah Bin Abdul RahimS0900001E

    (reply)
  4. Ariff Rizwan Sahab  March 25, 2011

    Seorang penulis akan merakamkan reality kehidupan dalam penulisan mereka. Dalam drama ‘Waktu Sesudah Itu’, penulis berjaya memaparkan kisah seorang pejuang dan srikandi negara bernama Hindun yang perjuangannya tidak pernah diendahkan oleh masyarakat, sehingga suatu hari, seorang pegawai datang memberikannya anugerah, barulah masyarakat kampung mula mengambil endah akan diri Hindun. Hidun yang hidupnya melarat,dicaci,diherdik dan dihina oleh masyarakat kampungnya sehingga ada yang menggelar Hindun orang gila yang busuk dan ada juga golongan masyarakat yang biadap seperti Bidin yang ingin membakar rumahnya.Namun,kenerakaan hidup Hindun berakhir menjadi satu kepulauan syurga apabila dia dikenali dan diiktiraf sebagai srikandi negara. Masyarakat kampung yang mengerdik dan menghina dirinya secara tiba-tiba mengambil berat dan menyayangi diri Hindu. Penulis jelas memaparkan persoanlan hipokrasi dalam diri manusia melalui peristiwa ini. Hipokrasi Bidin yang dahulunya menghalau Hindun daripada kedai kopinya,kini memperhambakan maruahnya dengan membuat baik kepada Hindun sehingga sanggup membaiki atap bumbung rumah Hindun yang bocor. Sikap Bidin yang ibarat ingin menagguk di air yang keruh akhirnya tidak kesampaian kerana kemunculan Hasan yang mengaku dirinya anak kepada Hindun. Kemunculan Hasan adalah satu hipokrasi yang amat dasyat yang berjaya dipaparkan oleh penulis. Seorang anak yang meninggalkan ibunya puluhan tahun kerana ibunya tidak berharta adalah satu realiti kehidupan dalam masyarakat. Seperti Hasan, yang tidak pernah mengambil endah akan makan minum dan hidup mati Hindun tiba tiba muncul kerana kemarukkan harta setelah mendengar ‘ibunya’ akan mendapat anugerah dan wang tunai daripada kerajaan. Sikap hipokrasi masyarakat juga ketara ditonjolkan. Masyarakat kampung Hindun yang dahulunya ingin membakar rumah Hindun, kini menjual gambar dan cenderamata Hindun.Jelasnya, sikap hipokrasi yang ditonjolkan dalam drama ini bukan satu fiksyen, namun realiti kehidupan yang benar-benar berlaku untuk menyedarkan khalayak pembaca akan hipokrasi manusia. Ariff Rizwan SahabNS0900003K

    (reply)
  5. shashasha affan  March 25, 2011

    Persoalan yang dikemukakan sememangnya ada kebenarannya kerana kebanyakan watak-watak bagi drama ‘Waktu Sesudah Itu’ mempunyai sifat hipokrasi. Sifat tersebut lebih ketara apabila penduduk kampung mengetahui siapa sebenarnya Hindun. Watak-watak yang berubah (sikap benci kepada suka) terhadap Hindun seperti anaknya yang telah lama menghilangkan diri dan tiba-tiba muncul; Hasan, isterinya Limah, penjaga kedai kopi yang tidak mengizinkan Hindun menjejaki kedainya; Bidin dan Fauzi. Pelbagai cacian maki dan hinaan dilempar kepada Hindun. Akhirnya, semuanya cuba menghampiri Hindun dan berbuat baik kepadanya kerana inginkan hartanya. Mereka yang cuba menghalau Hindun daripada kampungnya juga datang untuk melawat dan memberikan layanan istimewa seolah-olah Hindun seorang Puteri.Hindun merupakan seorang pejuang yang gigih, ahli pidato dan pendidik yang cekap kerana telah banyak menyumbang kepada negaranya. Berdasarkan perkembangan sosio-sejarah yang dipaparkan dalam drama ini, Hindun telah terlibat dalam kempen menentang Malayan Union di Johor Bahru bersama Yang Berhormat dan telah menumpang di rumah ibu saudaranya ketika rusuhan Natrah di Singapura berlaku. Kedua-dua peristiwa ini sememangnya pernah berlaku lantas drama ini sememangnya bukanlah satu rekaan semata-mata. Penulis drama telah menggunakan aspek realisme dalam dramanya kerana mengaitkan masa silam atau sejarah di dalam isi dramanya. Lumrahnya, sifat manusia terhadap seseorang akan berubah sekiranya seseorang itu mempunyai pangkat, harta atau duit untuk diwarisi setelah peninggalannya. Perkara ini biasanya berlaku di kalangan orang-orang tua kerana mereka senang terperangkap oleh manusia yang mempunyai sifat hipokrit seperti Hasan, Limah, Bidin, Fauzi dan lain-lain lagi setelah Yang Berhormat menyiarkannya di media massa untuk mencari Hindun. Sesiapa yang dapat menjumpainya akan menrima duit, sebuah rumah dan saham serta mendapat rawatan percuma kelas pertama di hospital-hospital kerajaan dan bantuan kerajaan (ms 273). Setelah disiarkan, ramai orang berjumpa dengan Hindun sehingga membimbangkan Yang Berhormat dan Suratman. Nukilan di bawah boleh menjadi bukti kepada persoalan sedemikian. “Nampaknya, keadaan di kampung setinggan tu dah tak dapat dikawal lagi Yang Berhormat…orang-orang mula mengambil kesempatan untuk mendapatkan keuntungan dari pengistiharan kita itu.”(ms 290)Namun demikian, Hindun merupakan seseorang yang cerdik dan baik hati kerana telah menolak hadiah wang tunai seratus ribu ringgit dan sebaliknya mewakafkan ke rumah orang-orang tua dan anak yatim. Hipokrit-hipokrit tersebut tidak mendapat satu sen pun daripada Hindun. Jasa yang cuba dikenang Yang Berhormat sebenarnya sudah terlambat kerana Hindun sudahpun tua dan tidak perlukan harta tersebut.Shahirah Bt. AffanS0900018D

    (reply)
  6. shahedabintalib  March 25, 2011

    Realitinya, hipokrasi telah menjadi sebahagian daripada kehidupan seseorang. Kadang kala, hipokrasi menimbulkan pelbagai keraguan serta salah sangka yang tidak diingini kerana dengan wujudnya hipokrasi, kejujuran kian terhakis.Hipokrasi atau istilah yang lebih dekat dengan orang Melayu iaitu bermuka-muka merupakan satu istilah yang kian berleluasa. Sifat ini adakalanya tercetus secara paksaan yakni keadaan memaksa seseorang untuk turut sama menyemarakkan sifat hipokrasi ini ataupun mereka sememangnya seorang hipokrit. Namun demikian, dalam drama ‘Waktu sesudah itu’, kita dapat melihat paparan hipokrasi yang menjijikkan melalui watak-watak yang sememangnya menilai manusia dari segi ketinggian darjat, pangkat, kedudukan, kekayaan dan harta benda.Persoalan pertama yang jelas ialah perubahan sikap Bidin setelah mengetahui bahawa Hindun sebenarnya seorang srikandi negara. Watak Bidin yang jelas berubah setelah mendapat tahu kedudukan darjat Hindun amat menjijikkan. Selain itu, orang kampung juga memaparkan hipokrasi melalui tindakan mengerumuni rumah Hindun dan mendagangkan gambar-gambar Hindun (ms 287). Peristiwa ini jelas ada unsur realisme yang tidak dapat dinafikan lagi. Orang berpangkat seringkali disanjung-sanjung dan dimegah-megahkan. Lihat sahaja betapa hebohnya orang kampung menjual barangan yang mengandungi gambar Hindun. Ini juga dapat kita lihat secara realiti. Yang berhormat di Malaysia seringkali disambut dengan meriah. Wang dihabis dan dileburkan pada hiasan yang tidak diperlukan. Oleh itu, penulis telah berjaya membangkitkan unsur realisme dan kebenaran kepada karyanya. Watak Hasan juga yang mengaku-ngaku bahawa beliau amat merindui ibunya yang selama ini tidak ditemui atau ditanyakan khabar. Senario ini sememangnya wujud dalam dunia realiti. Kita dapat lihat senario segolongan anak Melayu yang tidak menghiraukan ibu bapa mereka tetapi jika tentang pembahagian harta atau jika ibu bapa baru mendapat wang CPF, mereka tanpa lengah-lengah berjumpa ibu bapa mereka. Pada zaman 80-an lagi, orang tua telah mula diabaikan, dipergunakan dan sebagainya. Oleh itu, penulis bijak menyelitkan watak-watak yang berunsurkan realisme bagi menyedarkan masyarakat tentang hipokrasi yang sememangnya meluatkan namun manusia masih mempraktikkan sifat tersebut.

    (reply)
  7. Sitti Maisarah  March 25, 2011

    Banyak watak dalam sejarah masyarakat Melayu dapat diperolehi dalam drama Waktu Sesudah Itu. Ia mengisahkan watak yang pernah menyumbang kepada masyarakat apatah lagi negara tetapi tidak diberi nama dan tidak dilayan dengan baik. Hipokrasi pula mula timbul setelah watak yang dihina mendapat nama dan harta yang melimpah ruah, mengaku diri sebagai saudara.Ini berlaku sama seperti Allahyarham P. Ramlee. Beliau diberi pangkat Dato' hanya selepas beliau mati dan beliau benar-benar dihargai dan disanjungi setelah dia ke alam kubur. Ini merupakan layanan kepada mereka yang benar-benar ikhlas berjuang untuk negara dan masyarakat.Hipokrasi. Hipokrasi adalah sesuatu perkara yang lazim ada dalam diri tiap-tiap seseorang. Ada orang yang hipokrasi kerana tidak mahu kehilangan kawan dan dalam menghormati orang yang tidak disukainya itu, dia terpaksa pura-pura menyukai orang itu agar tidak menyakiti hati orang tersebut. Ada juga orang yang bersifat hipokrasi hanya untuk mendapat kebaikan dan manfaat diri sendiri daripada orang tersebut. Justeru, persoala hipokrasi dan plot drama Waktu Sesudah Itu merupakan satu realisme dalam kehidupan dan ia berjaya dipaparkan dalam drama tersebut. Realiti kehidupan bukan semuanya indah dan baik.Sitti Maisarah binte Abu BakarS0900021A

    (reply)
  8. sally  March 25, 2011

    Hipokrasi telah menjadi lumrah kepada bangsa Melayu zaman ini. Hiprokasi atau perbuatan berpura-pura baik adalah satu sikap manusia di dalam diri mereka sendiri kerana mereka ada tujuan atau motif tertentu untuk mendapat sesuatu yang mereka inginkan.Seperti di dalam drama 'Waktu Sesudah Itu', memaparkan seorang wanita tua yang bernama Hindun. Dia mempunyai sifat kegila-gilaan dan agak nyanyk, tetapi beliau masih waras. Contohnya adalah beliau sering mengutip puntung rokok untuk diadun semula menjadi sebatang rokok yang baharu. Perbuatan gigik ini membuat orang seperti Bidin menggangap Hindun kotor. Hindun ingin mencabar fikiran orang Melayu bahawasanya orang ramai boleh terima dengan perbuatannya itu. Walaupun begitu, Karim berhati baik dan tetap menghormati Hindun tanpa mengira keadaan serta perubahan nasib Hindun itu.Walau bagaimanapun, Karim tahu bahawa Hindun adalah seorang wira yang terkenal daripada gambar yang diberikan oleh Yang Berhormat. Hindun juga adalah seorang yang kaya dalam harta serta ilmu pengetahuan. Selepas Bidin mendapat tahu hal sebenar tentang Hindun yang sebenar, Bidin tiba-tiba bersikap baik terhadap Hindun. Tujuan Bidin adalah untuk mendapatkan harta-benda Hindun. Walau bagaimanapun, Hindun tahu perubahan sikap Bidin terhadapnya tetapi beliau tidak menghiraukannya. Persoalan yang dikemukakan ini adalah benar kerana drama ini mengenai kemanusiaan sejagat. Ia dapat dilihat bahawa manusia yang miskin akan dihina oleh segolongan anggota masyarakat. Namun demikian, masih ada juga yang berhati mulia untuk menolong insan yang tidak berdaya. Selain itu, Hindun telah dihina sebagai “anjing” ketika hidup miskin dan melarat. Dia pernah diusir oleh Bidin dari kedai kopinya itu. Sikap Bidin berubah dan menggangap Hindun sebagai emak saudaranya agar pengiktirafan dan hadiah lumayan. Penulis ingin pembaca tahu bahawa hal hipokrasi ini memangnya berlaku. Penulis juga ingin menggambarkan cerminan masyarakat Melayu yang sebenar agar orang-orang lain berwaspada bahawa orang seperti Bidin pun wujud di muka bumi ini.Siti Salmah Binte HamidS0900020D

    (reply)
  9. Nur Syazwani♥  March 25, 2011

    “Money makes the world go round.”Seperti pepatah Inggeris di atas, sesungguhnya, manusia ini tamak dan haloba. Kita dipenuhi dengan nafsu yang senantiasa tidak puas. Apabila tahap ketidakpuasan itu sampai ke suatu tahap yang berlebihan, ianya membuat manusia lupa akan nilai kemanusiaan itu sehingga sanggup berbuat apa sahaja demi mendapatkan sesuatu yang diingini. Ini termasuk membunuh dan sebagainya.Sama seperti drama ‘Waktu Sesudah Itu’, watak-watak yang hipokrit ini, adalah jenis manusia yang wujud dalam alam nyata yang sanggup bertopengan di hadapan orang ramai semata-mata kerana keinginan mereka yang melampaui batas nilai kemanusiaan. Jenis manusia yang hipokrit ini seringkali mempunyai sifat mementingkan diri sendiri yang teramat banyak sehingga kesengsaraan orang menjadi kesenangan di mata mereka.Manusia sebegini patut dihina dan dikecam kerana kejayaan mereka bermula daripada penipuan dalam diri mereka sendiri. Sejujurnya, drama ini adalah realiti. Inilah yang berlaku pada zaman kini terhadap golongan tua yang mempunyai atau meninggalkan harta di belakang hari. Wang seperti menggelapkan mata manusia akan kepentingan kasih dan sayang serta sifat keperimanusiaan.Hakikatnya, watak Hindun, anak Hindun dan Bidin, adalah contoh jenis manusia yang wujud dalam dunia Melayu ini. Semua hanya mengejarkan kesenangan sehingga alpa akan erti nilai kemanusiaan itu sehingga menanam sikap hipokrasi bagi mendaki tangga kejayaan. Justeru itu, dapat dirumuskan bahawa setiap karya bertujuan memaparkan isu sebenar yang sedang berlaku dalam dunia realiti dan sesungguhnya drama fiksyen ini adalah tafsiran dan penceritaan daripada alam realisme itu sendiri.Nur Syazwani Binte ShaibaniS0900012L

    (reply)
  10. sitinoraishasenin  March 25, 2011

    Daripada Kamus Dewan edisi keempat, hipokrit membawa maksud (orang yg) berpura-pura berperangai (berkelakuan, bersifat, dll) baik, (orang yg) memperlihatkan keadaan diri yg berlainan drpd yg sebenarnya, munafik. "Dan Allah mengetahui bahwa sesungguhnya orang-orang munafik itu benar-benar orang pendusta" (63:1)Isu mengenai hipokrasi dan kemunafikan sudah pun terdapat dalam Al-Quran, lantas menjadikannya sesuatu yang nyata. Mengenai sejauhmana persoalan dalam drama "Waktu Sesudah Itu" merupakan sesuatu yang nyata dapat dilihat pada perubahan sikap watak Bidin terhadap Hindun. Manusia boleh mengubah sikap dengan sekelip mata oleh kerana tamakkan harta dan darjat. Bidin yang pada mulanya amat benci dengan Hindun sehingga menghalau Hindun keluar dari kedai kopinya tiba-tiba berubah menjadi baik kepada Hindun setelah mengetahui Hindun merupakan srikandi negara dan akan dikurniakan darjat dan harta yang banyak. Sikap hipokrit ini begitu ketara dalam drama ini. Selain Bidin, watak anak Hindun, Hassan turut merupakan watak hipokrit yang mana dia mengaku bahawasanya dia merupakan anak Hindun hanya setelah mengetahui Hindun akan dianugerahkan harta yang banyak. Penduduk setinggan di kawasan perumahan Hindun turut merupakan golongan hipokrit. Pada mulanya, ramai yang menyokong tindakan Bidin untuk membakar rumah Hindun tetapi setelah Hindun dicam sebagai srikandi negara, mereka menyanjungi Hindun. Perubahan sikap ini jelas diperlihatkan dalam drama "Waktu Sesudah Itu". Hipokrasi ini turut dapat dilihat dalam keadaan sehari-harian, lantas menjadikannya sesuatu yang yang berlandaskan realiti. Sebagai contoh, Allahyarham P.Ramlee yang pada masa hidupnya, beliau dikecam oleh orang media di Kuala Lumpur sehingga beliau menghasilkan lagu "Airmata di Kuala Lumpur". Namun demikian, hanya setelah kematiannya, beliau diberikan darjat dan dialu-alukan sebagai seniman agung di Malaysia. Siti Noraisha Mohamed SeninS0900019A

    (reply)

Add a Comment