Blog / News

PENULIS AGUNG

Posted by:

Tokoh-tokoh besar persuratan zaman pramodern merupakan orang-orang yang mementingkan khazanah bangsa dari sudut penulisan mahupun pemikiran. Mereka lahirkan banyak karya yang menyorot susurgalur dan psikologi bangsa. Kitab sejarah Melayu misalnya padat dengan isi yang penuh hikmah jika dikaji dan diselongkar. Di dalamnya terkandung strategi perang, diplomasi, penciptaan, penulisan fiksyen dan kreatif non-fiksyen serta susurgalur raja-raja Melayu. Penulis sangat bijak mengolahkan sebuah kitab sejarah dengan sisipan pemikiran kritikal dan kreatif. Kitab Pelayaran Abdullah pula padat dengan kritikan terhadap feudalisme dan tabiat masyarakat Melayu ketika itu. ia begitu mendalam hinggakan aspek bahasa juga disentuh. Begitulah penghasilan khazanah lama yang malapsegar hingga ke hari ini isinya tetap mendatangkan tafsiran baharu. Bagaimana pula dengan karya-karya modern zaman ini yang dihasilkan oleh para penulis yang kita gelar penulis agung.

10

Discussion

  1. Ariff Rizwan Sahab  March 24, 2011

    Satu fenomena yang menarik adalah karya-karya agung ini bersifat malar segar dan boleh mendatangkan tafsiran baharu. Begitu juga dengan bidang hiburan, filem dan lagu-lagu P. Ramlee yang sentiasa hidup di hati penonton dan pendengar. Dalam sastera barat pula, tokoh seperti Williams Shakespeare dianggap penulis agung kerana karyanya yang tidak mati ataupun luput dek zaman.Antara karya-karya agung Melayu yang dikenali adalah, Bustan al-Katibin, Cerita Jenaka Melayu, Cerita Lipur Lara, Hikayat Abdullah, Hikayat Aceh, Hikayat Hang Tuah, Hikayat Inderaputra, Hikayat Merong Mahawangsa, Hikayat Panji Jayeng Kusuma, Hikayat Raja Pasai, Pantun Melayu – Bingkisan Permata, Sulalat as-Salatin, Syair Ken Tambuhan, Tuhfat an-Nafis dan Undang-Undang Melaka dan Undang-Undang Laut.Penulis-penulis dahulu dianggap sebagai penulis agung disebabkan karya yang mereka dihasilkan. Antara beberapa sebab adalah, karya yang dihasilkan adalah atas titah raja dan sultan Melayu, oleh itu, karya mereka ini diangkat sebagai karya agung kerana karya dihasilkan adalah atas daripada titah sultan. Selain itu, karya yang dihasilkan juga merupakan titik sejarah ratusan tahun dahulu, disebabkan ini juga, masyarakat Melayu mengagung-agungkan karya yang dihasilkan kerana mereka mengagung-agungkan sejarah bangsa mereka sendiri. Disebabkan beberapa faktor ini, maka karya-karya yang disebut di atas dianggap sebagai karya agung.Pada hari ini, sukar untuk kita mendapatkan karya agung kerana karya yang dihasilkan bukanlah daripada titah sultan mahupun ungkapan sejarah ratusan dahulu. Karya moden hari ini yang ada adalah mengenai sejarah zaman Jepun, seperti terungkap dalam Novel Salina dan sajak-sajak Masuri SN. Sejarah Singapura pada tahun 1950an juga diungkapkan dalam Novel Batas Langit oleh Mohamed Latiff Mohamed. Pada pendapat saya, para penulis moden hari ini belum lagi wajar digelar sebagai penulis agung kerana keagungan karyanya mereka masih belum dapat dilihat.Satu soalan untuk menguji minda kita adalah apakah Abdullah Munsyi dianggap penulis agung oleh masyarakat sezaman dengannya semasa beliau menulis Hikayat Abdullah, ataupun generasi-generasi selepasnya yang menganggap Abdullah sebagai penulis agung? Jikalau generasi selepasnnya yang menganggap Hikayat Abdullah sebagai karya agung, maka tidak mustahil dalam jangka masa 100 tahun daripada sekarang, Novel Salina, Novel Batas Langit dan sajak-sajak Masuri SN dapat dianggap sebagai karya agung kerana ia mengungkap sejarah Malaya seratus tahun dahulu.Ariff Rizwan SahabNS0900003K

    (reply)
  2. Shahirah Samsudin  March 24, 2011

    Lain zaman mempunyai keperluan yang berbeza. Dan ini Akan dicerminkan dalam karya-karya yang dihasilkan pada zaman itu. Zaman Abdullah Munsyi merupakan zaman pengaruh penjajahan Inggeris yang begitu ketara. Oleh itu karya-karya yang dihasilkan beliau pada zaman tersebut banyak mengandungi ajaran-ajaran untuk mempengaruhi pemikiran orang Melayu supaya bangkit. Conthonya ajaran positif Dari Kitab Kristian diterjemahkan Demi pembacaan orang Melayu. Karyanya bersifat didaktik Dan benar, sehingga hari ini ia masih boleh mendatangkan banyak tafsiran baharu.Begitu juga zaman moden yang memiliki keperluan dan kemahuan atau demand pembaca yang berbeza. Namun demikian saya berpendapat bahawa karya-karya moden turut memiliki ciri-ciri khas yang pastinya Akan kekal pada masa hadapan Dan ia juga akan mengundang banyak tafsiran baharu pada waktu itu. Bagi saya, penulis-penulis agung yang menghasilkan karya moden banyak menyalurkan pemikiran yang juga bersifat didaktik. Namun demikian, cara penyampaian mereka berbeza yakni menerusi kata-kata puitis di dalam sajak atau menerusi jalan-jalan cerita yang kompleks dalam cerpen atau novel mereka.Cerminan keadaan masyarakat ketika itu disalurkan menerusi karya kreatif yang saya pasti akan menjadi satu bahan yang penting pada masa hadapan. Apa yang menarik ialah Cara penulis mengkritik Dan menilai sesebuaj masyarakat dalam karyanya. Karya-karya mereka juga Ada kalanya menggabungkan beberapa genre. Contohnya cerita bersifat komedi juga boleh mengandungi unsur agama. Walaubagaimanapun, saya berpendapat bahawa penulis-penulis agung tidak berani mencuba perkara-perkara yang baru yakni menulis karya-karya kreatif yang lain Dari yang lain. Menggabungkan elemen bukan Melayu ke dalam dunia Melayu. Contoh termudah ialah karya sci-fi. Penulis-penulis agung di Singapura khususnya tidak pernah menghasilkan karya-karya sedemikian. Antologi cerpen sci-fi, SCRINIK merupakan usaha ASAS'50 untuk menggalakkan penulisan cerpen sci-fi Dan ini direalisasikan oleh para belia. Apakah ia tanggungjawab para belia untuk mencuba perkara Baru sementara penulis-penulis yang agung boleh teruskan dengan konsep lama mereka ?Shahirah samsudinS0900017G

    (reply)
  3. Nur Syazwani♥  March 24, 2011

    Penulis-penulis Singapura merupakan pelapis untuk menunjangi sastera Melayu. Penulis-penulis mapan seperti Muhammad Ariff Ahmad, Suratman Markasan, Masuri S N dan Harun Aminurrashid yang telah menerima anugerah tertinggi tempatan seperti Anugerah Tun Seri Lanang dan juga anugerah persuratan serantau seperti SEA Write Award, telah banyak menyumbang kepada perkembangan sastera Melayu Singapura. Mereka sudah pun di peringkat serantau dan dunia dan karya-karya seperti Mail Mau Kahwin, Batas Langit, Subuh Hilang Senja, Awan Putih dan Darah Kedayan merupakan karya-karya yang terhasil mengikut zaman. Karya-karya yang dihasilkan adalah cerminan pada zaman dan ketika itu. Mungkin pada zaman kini, karya sebegini tidak dipandang seagung yang dahulu seperti Hikayat Abdullah, terbitan Singapore Mission Press, (1849). Iaitu sebuah autobiografi yang ditulis oleh Munsyi Abdullah, juga dikenali sebagai pelopor persuratan moden dan bapa kesusasteraan moden. Ini dsebabkan oleh zaman tersebut sendiri. Jika diteliti, karya-karya oleh penulis mapan kita masih lagi ‘baru’ dari segi konteks zaman. Sesungguhnya, datuk nenek moyang kita adalah generasi tersebut yang pernah melalui peristiwa-peristiwa yang pernah ditulis oleh penulis kita. Misalnya, zaman penjajahan, zaman Jepun dan sebagainya. Justeru itu, apabila karya-karya tersebut sudah tiada kaitan lagi dengan masalah sosial dan zaman kini, ianya akan berubah menjadi sastera yang klasik sekaligus menempatkan nama sebagai karya yang agung kerana pelapis muda yang tiada mengenali sejarah 100 tahun yang dahulu akan menggunakan karya-karya penulis mapan kini bagi kajian mereka untuk mengenali zaman 40an dahulu dan sebelumnya.Nur Syazwani Binte ShaibaniS0900012L

    (reply)
  4. shahedabintalib  March 24, 2011

    Menurut lelaman Yayasan Karyawan, karya agung merupakan karya klasik yang telah meninggalkan kesan budaya, pemikiran, pandangan dan falsafah hidup yang berkekalan dalam ingatan bersama sesuatu bangsa. Karya itu dapat dianggap sebagai pembentuk dan cermin budaya dan tamadun bangsa yang melahirkan karya itu. Ia melambangkan keunggulan daya cipta bangsa itu untuk membentuk tradisi dan identitinya yang tersendiri. Karya agung Melayu juga yang melambangkan keunggulan daya cipta seniman, penulis dan pemikir bangsa Melayu dahulu kala dalam menggambarkan idealisme, nilai, pandangan hidup, adat, budi, kesedaran moral dan visi bangsa dan masyarakatnya melalui bentuk sastera dan seni yang tinggi nilainya sehingga kesan seni, budaya dan falsafah kekal sepanjang zaman dalam minda kolektif bangsa Melayu. Tamadun Melayu sepanjang zaman banyak sekali dibentuk dan diwataki oleh tradisi sastera ini.Melalui definisi di atas, pada pendapat saya, karya-karya melalui penulis-penulis kita pada zaman moden ini boleh diterima sebagai karya agung. Karya-karya oleh penulis pada zaman 1950-an merupakan dokumentasi sosiobudaya masyarakat Melayu dari zaman ke zaman. Mereka menyelitkan pelbagai falsafah hidup dan kesedaran moral dalam penghasilan karya-karya tersebut sebagai sandaran dan juga pegangan yang diharap akan dapat dimanfaatkan oleh generasi seterusnya.Seperti contoh, melalui karya daripada penulis mapan seperti Masuri S.N, kita dapat cungkil kekejaman pihak tentera Jepun dan layanan mereka terhadap masyarakat di Malaya waktu itu dengan kuntuman kata-kata puitis yang boleh menghasilkan pelbagai tafsiran oleh para pengkaji. Selain itu, Mohammed Latiff Mohamed juga menyuarakan ketidakpuasan hati beliau tentang kepimpinan orang Melayu menerusi karya kreatif yang dihasilkan seperti cerpen dan juga sajak sebagai kesedaran moral untuk bangsa Melayu. Mohammed Ariff Ahmad pula menampilkan idealisme tentang kepimpinan Singapura yang boleh dijadikan cerminan keadaan waktu itu kepada generasi kini. Karya mereka telah wujud melalui pengamatan serta pengalaman yang dilalui sebagai pembentuk dan cermin budaya bangsa pada zaman itu.Oleh itu, berpegangkan definisi yang telah diberikan, seseorang itu mampu digelar sebagai penulis agung jika prinsip yang dinyatakan berjaya diperapkan dalam karya-karya mereka.Shaheda SalimS0900016K

    (reply)
  5. shashasha affan  March 24, 2011

    Terdapat jurang perbezaan yang amat luas antara penulisan zaman pramoden dan zaman kini. Penulis-penulis mengarang sesuatu mengikut sesuatu zaman dan biasanya pengalaman yang dialami. Penulis-penulis zaman pramoden telah menyaksikan dan mengalami pelbagai peristiwa seperti peperangan, sistem feudal dan seumpamanya lantas dapat menghasilkan gambaran sedemikian secara terperinci. Sekadar mempunyai minat yang mendalam terhadap penulisan tidak mencukupi. Jika kita perhatikan, kebanyakan karya yang dihasilkan zaman ini merupakan penulisan fiksyen lantas kajian yang terperinci terhadap bahasanya mahupun isi ceritanya tidak boleh dikupas kerana ia merupakan ciptaan imaginasi dan fantasi semata-mata. Tafsiran baharu juga tidak dapat dihasilkan melainkan mengikut ciri-ciri penulisan seperti mesej dan pengajaran, plot dan seumpamanya.Tujuan penulis mengarang sesuatu berbeza daripada zaman pramoden. Kemungkinan besar mereka hanya menganggap penulisan sebagai kerja sambilan. Dalam erti kata lain, mereka menulis untuk mencari nafkah lantas tidak komited. Justeru, penulisan mereka secara ala kadar sahaja. Oleh yang demikian, penghasilan karya pada zaman pramoden lebih menarik kerana mereka bukan sahaja mendapat ilham unutk menulis menerusi pengalaman, malah mereka juga bertujuan untuk menyampaikan mesej tertentu kepada generasi seterusnya. Bahasa yang digunakan dalam penulisan zaman ini begitu berbeza kerana bahasa bukanlah sesuatu yang statik dan seringkali berubah mengikut zaman dan penggunaan kata-kata. Pelbagai pengaruh asing juga telah membawa kepada perbezaan penggunaan bahasa. Misalnya, kebanyakan perkataan-perkataan bahasa Melayu telah diterjemahkan daripada bahasa Inggeris; static-statik.Natijanhya, pengalaman, tujuan penulisan dan bahasa yang seringkali berubah telah membawa kepada perubahan penulisan zaman pramoden dan zaman kini.Shahirah Bt. AffanS0900018D

    (reply)
  6. sally  March 24, 2011

    Perkataan agung itu sangat berat kerana ia merupakan satu pangkat yang tinggi serta mulia. Selalunya, penulis-penulis zaman dahulu yang berjaya untuk melakukan satu sistem kemasyarakatan yang dikuasai oleh kaum bangsawan lalu memperlekehkan orang-orang marhean dengan karya-karya itu. Walau bagaimanapun, karya-karya modern zaman ini boleh digelar penulis agung jikalau karya-karya berteraskan kepada sejarah, sikap dan sifat mencerminkan masyarakat Melayu dan karya mereka begitu kritikal ataupun kreatif. Karya-karya ini membuat pembaca lebih memahami sejarah masyarakat Melayu yang sebenar ketika membaca sebuah karya itu. Penulis seperti Suratman Markasan, Mohamad Latiff Mohamad, Mohammad Ariff Ahmad dan sebagainya.Buku-buku seperti anugerah persuratan, Batas Langit, Mail Mau Kawin dan sebagainya adalah beberapa buku sejarah yang menceritakan sikap dan pemikiran orang Melayu yang sebenar agar masyarakat Melayu tahu apa yang sedang berlaku kepada bangsa kita ini. Usur sejarah juga ada dalam buku ini yang memberi pembaca satu gamabaran tentang masyarakat Melayu.Selain daripada melihat kepada aspek penulisan, bangsa Melayu juga boleh masuk ke arah hiburan. Ramai kenal seorang seniman yang terkenal dalam teater Melayu adalah Allahyarham P. Ramlee. Allahyarham P. Ramlee terkenal sebagai paling tinggi kedudukannnya dan ramai memuji dengan perbuatannya serta pemikirannya. Orang Melayu menggangap beliau sebagai Agung P. Ramlee kerana pada saat ini, tiada sesiapapun yang boleh mengikut jejak P.Ramlee.Oleh itu, penulis-penulis yang dianggap baharu boleh melihat contoh daripada khazanah lama untuk dijadikan tafsiran baharu kepada mereka kerana mereka tidak melalui proses pada zaman dahulu. Ia merupakan satu hal yang segar pada minda mereka. Dengan adanya bahan-bahan khazanah lama, penulis baharu dapat menulis mengikut zaman mereka sekarang agar generasi baharu dapat memberi gambaran masyarakat Melayu sekarang. Siti Salmah Binte HamidS0900020D

    (reply)
  7. Sitti Maisarah  March 24, 2011

    Setiap penulis menulis mengenai sesuatu yang terjadi dalam masyarakat mereka pada waktu itu. Oleh sebab itu, setiap peristiwa dan pengalaman yang ditulis dianggap sebagai refleksi masyarakat pada masa itu lantas, ia merupakan khazanah bangsa oleh sebab ia penting untuk generasi seterusnya mengetahui mengenai sejarah, latar belakang, keagungan, kesilapan dan kelemahan bangsa dan masyarakat Melayu.Melihat sejarah sastera, terdapat beberapa genre karya-karya yang dihasilkan oleh penulis yang cliche iaitu serupa. Misalnya, pada tahun 1980an, tema penulisan karya-karya yang didapati ialah Singapura yang terus bergerak ke arah kemerdekaan. Pada tahun 1990an pula, tema penulisan karya-karya yang didapati ialah keagamaan. Pada tahun 2000an pula, temanya ialah arus globalisasi yang paling deras.Justeru, melihat bahawa tiap-tiap jangka tahun ada tema-temanya, ia dijadikan sebagai khazanah dan sejarah penting yang berlaku dalam sastera Melayu. Natijahnya, tiap-tiap penulis ada pengalaman sendiri yang akhirnya berubah menjadi khazanah bangsa dan masyarakat.Sitti Maisarah binte Abu BakarS0900021A

    (reply)
  8. Abdul  March 24, 2011

    Sastera sebagai cerminan masyarakat wujud semenjak zaman Abdullah Munsyi lagi apabila penjajahan Barat oleh Inggeris ke atas Tanah Melayu telah menyebabkan kuasa golongan feudal mulai merosot dan ketika inilah Abdullah Munsyi tampil sebagai penulis yang membawa perubahan. Ini dapat dibuktikan melalui karya-karya yang dihasilkan beliau seperti Kisah Pelayaran Abdullah (1838) yang mengutarakan pengalaman beliau semasa mengikuti rombongan penjajah Inggeris ke negeri-negeri pantai Timur. Olahan cerita yang disampaikannya juga menarik serta terperinci. Idea dan pemikiran dalam karya-karyanya yang berbentuk autobiografi seperti Syair Singapura terbakar (1830) dan Kisah Pelayaran Abdullah (1838) membuktikan beliau berbakat dalam bidang penulisan yang melayakkannya berada dalam zamannya sendiri.Begitu juga dengan dunia penulisan Singapura yang turut menampakkan keadaan dan kehidupan masyarakat pada zaman-zaman tertentu. Misalnya, sajak “Melayuku Melayumu” oleh Mohamed Latif Mohamed merupakan perbandingan keadaan masyarakat Melayu Singapura dan Malaysia setelah perpisahan. Novel Mail Mau Kawin oleh Ariff Ahmad pula mengetengahkan masalah bangsa Arab yang pentingkan sikap perkufuan dan perkauman sehingga sanghup memusnahkan masa hadapan anak-anak perempuan mereka. Jelas sekali dalam hal ini penulis merupakan seorang pengkaji yang menggali masalah-masalah sosial dengan tujuan menjadikannya sebagai suatu iktibar dan pedoman hidup, sama seperti karya-karya agung yang dihasilkan pada zaman Abdullah Munsyi. Maka itu, tidak hairanlah jika karya-karya yang dihasilkan oleh penulis moden akan dianggap sebagai sebuah karya agung seratus tahun dari sekarang walaupun karya-karya dihasilkan tanpa titah raja. Abdul Fattah Bin Abdul RahimS0900001E

    (reply)
  9. Hairani Asri  March 24, 2011

    Hakikatnya, karya-karya moden hari ini tidak sehebat seperti yang dihasilkan oleh para pemikir pada zaman pramoden seperti Abdullah Munsyi. Hasil pengkaryaan pada zaman tersebut jauh berbeza dengan hari ini. Namun demikian, kita juga harus mengkaji masyarakat pada zaman pramoden dan kini. Penulis pramoden dianggap agung bukan sahaja berdasarkan hasil pengkaryaannya yang sungguh halus dan mendalam, tetapi juga disebabkan oleh masyarakat pada zaman itu yang tidak berpelajaran dan masih belum berani mempersoalkan hal-hal berkaitan raja atau masyarakat. Lantas, penulis yang dapat mengolahkan sesuatu yang baharu dan berani memperkatakan tentang raja terutamanya, dianggap sebagai penulis agung pada zaman tersebut. Dalam pengertian lain, istilah ‘agung’ itu ibarat darjat yang diberikan kepada para penulis pada zaman tersebut kerana ilmu dan sumbangannya kepada masyarakat.Zaman hari ini pula jauh berbeza kerana para penulis lebih gemar isu-isu sensasi yang dapat menarik minat masyarakat untuk membacanya. Malah, para penulis hari ini mementingkan nilai komersil daripada menitikberatkan kualiti dan bahasa yang terdapat pada kandungan pembacaan. Walau bagaimanapun, tidak bermakna bahawa setiap karya moden bersifat sedemikian kerana terdapat juga yang mengupas isu masyarakat tetapi tidak sedalam hingga menyentuh tentang aspek bahasa. Oleh itu, istilah ‘agung’ dalam konteks zaman moden ini merujuk kepada jumlah karya yang telah dihasilkan oleh si penulis. Kesimpulannya, karya-karya hari ini juga tidak harus bersifat terlalu berat kerana sukar bagi golongan para pembaca hari ini menerima maksud yang hendak disampaikan. Setiap penulis yang digelar penulis agung mungkin tidak memiliki kehebatan seperti para penulis pramoden, tetapi tidak bermakna bahawa karya-karya mereka tidak berkualiti. Pentingnya, karya-karya mereka mampu memupuk tabiat membaca di kalangan masyarakat Melayu yang semakin kurang berbuat demikian.Hairani Bte AsriS0900006A

    (reply)
  10. sitinoraishasenin  March 24, 2011

    Karya sastera merupakan dokumen sosiobudaya sesebuah masyarakat pada sesuatu masa itu. Karya-karya agung seringkali menampakkan keadaan masyarakat pada zaman ia dihasilkan. Kritikan terhadap pemerintahan raja atau kuasa-kuasa luar turut disisipkan dalam karya-karya berikut. Unsur-unsur ini juga dapat dilihat dalam hasil penulisan para penulis moden. Malah, kritikan masyarakat dan pemimpin merupakan sesuatu yang agak lazim dilihat dalam karya moden seperti dalam sajak dan hasil cerpen oleh Masuri S.N, Noor Hasnah Adam dan Mohamed Latiff Mohamed. Apa yang menjadikan karya moden separa dengan karya-karya agung pada zaman bahari terletak pada penerimaan para pembaca dan pengkaji. Dalam jangka masa seratus tahun lagi, karya-karya moden ini akan dianggap sebagai khazanah agung kerana aspek dokumentasi yang terdapat dalamnya.Siti Noraisha Mohamed SeninS0900019A

    (reply)

Add a Comment