Blog / News

MEMPERSOALKAN SIFAT KEIBUAN

Posted by:

Ibu adalah seorang manusia yang sangat mulia kerana dia yang melahirkan dan membesarkan anak yang dikandungnya. Naluri keibuan tentunya tidak dapat dipertikaikan lebih-lebih lagi apabila anaknya berdepan dengan keadaan yang tidak menentu mahupun bahaya. Biasanya kita dengar nukilan bahawa ibu sanggup berkorban untuk kebaikan anaknya walaupun dirinya sendiri dilingkungi kesusahan.

Namun demikian, dalam konteks novel Restu karya Ismail Kassan, sifat keibuan seumpama ini gugur apabila ibu Yazid sanggup menggadaikan kepentingan anak-anaknya untuk orang lain. Dia sanggup berkahwin dengan seorang lelaki tua yang ramai anaknya lalu memikul beban menjaga anak-anak lelaki itu tanpa sedikitpun memikirkan tentang anak-anaknya yang masih muda dan sangat-sangat memerlukan belaian, bimbingan dan kasih sayang seorang ibu. Dia meninggalkan Yazid dan adiknya untuk hidup sendiri sehinggakan Yazid terpaksa menguruskan makan pakai adiknya sambil menguruskan ladangnya untuk mendapatkan belanja dan ke sekolah untuk hari mukanya.

Yang menarik lagi saudara maranya yang sanggup menjodohkan ibu Yazid dengan orang tua itu tanpa memikirkan tentang keadaan keluarga Yazid. Saudara maranya nampaknya berkomplot untuk menjadikan ibu Yazid pemikul beban agar mereka semua terlepas daripada tanggungjawab sedemikian.

Adakah peristiwa ini benar atau hanya khayalan penulis semata untuk menduga hati pembaca. Jika ianya benar, maka wajarkah wanita itu digelar ibu? Dan jika ia benar, maka saudara mara Yazid itu adalah manusia yang paling zalim di muka bumi ini. Nilaikan.

10

Discussion

  1. Hairani Asri  March 23, 2011

    Berdasarkan penilaian saya, peristiwa ini hanyalah khayalan penulis semata. Hakikatnya, penulis menggunakan teknik penulisan sedemikian untuk menimbulkan emosi di kalangan para pembacanya. Di sini, terbukti bahawa penulis berjaya kerana ada di antara pembacanya yang merasakan bahawa ibu Ikram kejam dan tidak bertanggungjawab terhadap anak-anaknya. Watak Ikram sendiri boleh disifatkan sebagai seorang wira (superhero) kerana terdapat pelbagai peristiwa di dalam novel ini yang dianggap sebagai tidak masuk akal. Lantas, perbuatan ibu Ikram boleh dipersoalkan sifat keibuannya kerana ia juga tidak logik. Hakikatnya, setiap ibu mempunyai naluri keibuannya yang tersendiri. Tambahan, penulis mungkin ingin menyelitkan unsur pengajaran dengan memaparkan perbuatan ibu Ikram dan saudara-maranya yang tidak bertanggungjawab. Inilah yang dinamakan sebagai pendekatan 'reverse psychology'. Natijahnya, setiap penulis mempunyai teknik penulisan yang berbeza-beza, tetapi tujuannya sama sahaja, iaitu untuk meninggalkan impak pembacaan yang mendalam di kalangan para pembaca. Jelasnya, setiap pembaca novel Restu akan terkesan dengan peristiwa-peristiwa tertentu. Antaranya, bersatunya Hasnah dan Ikram meskipun telah terpisah buat sekian lama, kejayaan Ikram walaupun melalui pelbagai cabaran dan dugaan dan seumpamanya. Hairani Bte AsriS0900006A

    (reply)
  2. shahedabintalib  March 23, 2011

    Naluri ibu dan anak tidak dapat diungkapkan mahupun dijelaskan dengan kata-kata. Walaupun kadang-kala menyakitkan, seorang ibu tidak akan sanggup melukakan atau menyakiti anaknya tanpa alasan mahupun sebab. Walaupun seorang ibu memarahi anaknya, tidak bermaksud mereka membenci anaknya. Marah tandanya sayang. Pada pendapat saya, ia hanyalah khalayan dan hiperbola yang diada-adakan oleh Ismail Kassan bagi menimbulkan dan menerbitkan rasa belas dalam diri pembaca terhadap watak Ikram.Ibu Ikram sama seperti ibu-ibu yang lain. Jika kita lihat dari perspektif kehilangan Yazid dalam babak 10, kita dapat lihat kesengsaraan ibunya yang seperti sudah jatuh ditimpa tangga. Kehilangan Yazid telah membuat ibu Ikram berlinangan air mata siang dan malam apabila terkenangkan anak sulungnya itu (ms 97). Selain itu, ibu Ikram berubah menjadi orang yang tidak bermaya dan putus harapan seperti yang terdapat di dalam nukilan di bawah.“Akibat dari kesedihannya yang tidak terbendung itu, emak sering jatuh sakit. Perasaan sepi, sayu, pilu, hiba dan jauh hati bergumpal menjadi satu. Emak benar-benar kecewa dan putus harapan.” (ms 97)Jika beliau tidak mempunyai naluri sebagai seorang ibu, beliau tidak akan terjejas teruk dengan pemergian anaknya malah beliau tidak akan jatuh sakit akibat perasaan rindu yang tidak dapat dibendung.Selain itu, beliau telah mengahwini Pak Leh atas dasar belas kasihan (ms 98). Kemungkinan besar, ibunya melihat bahawa Pak Leh mampu meniupkan semangat kepadanya untuk membesarkan anak-anaknya daripada terus-menerus hilang arah dan berputus asa. Selain itu, sifat keibuannya amat ketara apabila beliau setuju akhirnya untuk mengahwini Pak Leh kerana memikirkan anak-anak Pak Leh yang akan dibesarkan tanpa belaian seorang ibu. Oleh itu, ibu Ikram wajar digelar ibu.Akhirnya, persoalan meninggalkan Ikram serta adiknya tidak boleh dijadikan satu tuduhan bahawa ibu Ikram tidak peduli akan anaknya. Beliau mempunyai sebab mengapa mereka perlu ditinggalkan kerana atas alasan yang tidak dapat dielakkan. Sekiranya Yazid kembali ke kampung tersebut, beliau masih dapat disambut oleh Ikram dan adiknya daripada tidak mengetahui keberadaan keluarganya. Oleh itu, amat jelas bahawa ibu Ikram layak digelar seorang ibu namun wataknya dihiperbolakan bagi meningkatkan rasa belas dalam diri pembaca terhadap watak utama. Shaheda SalimS0900016K

    (reply)
  3. Ariff Rizwan Sahab  March 23, 2011

    “All true proverbs are metaphorical. They require that their users and hearers make a connection between the proverb and some situation in life to which its images refer… .” – Ismet Fanany dan Rebecca Fanany (2003).Metafora peribahasa yang berbunyi “kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan” menunjukkan weltanschauung dan realiti kehidupan masyarakat Melayu suatu zaman dahulu. Oleh itu, dalam konteks Novel Restu oleh Ismail Kassan, peristiwa ibu Ikram meninggalkan anak-anaknya dan berhijrah bersama suami barunya bukanlah suatu peristiwa yang memeranjatkan kerana sudahpun diungkapkan dalam peribahasa yang disebut diatas.Peristiwa ibu Ikram meninggalkan anak-anaknya ini bukanlah khayalan penulis Ismail Kassan, malah penulis ingin menunjukkan realiti masyarakat Melayu yang sebenar. Ibu ikram ibarat ‘menyusukan kera di hutan’ kerana sanggup menjaga anak-anak suami barunya manakala Ikram dan adiknya ibarat “anak di rumah mati kelaparan”. Pada pendapat saya, kemungkinan besar saudara-mara Ikram memberikan janji-janji manis kepada ibu Ikram mengatakan bahawa mereka akan menjaga Ikram dan adiknya. Disebabkan ini, ibu Ikram bersetuju untuk meninggalkan anaknya. Jikalau inilah situasinya, ibu Ikram wajar digelar ibu kerana berkorban demi anak-anaknya.Hakikatnya, saudara-mara Ikram adalah manusia yang paling zalim di muka bumi. Ini disebabkan mereka menyuruh ibunya kawin baru supaya mereka bebas daripada tanggungjawab mereka. Kedua, mereka gagal untuk memastikan bahawa Ikram dan adiknya terjaga akan makan dan minum mereka. Kesimpulannya, naluri seorang penulis adalah memaparkan realiti kehidupan sebenar. Isu ibu Ikram meninggalkan anaknya demi kebahagian dirinya sendiri adalah satu realiti. Lihat sahaja disekeliling kita pada hari ini, ramai sang isteri yang sanggup meninggalkan anak dan suami demi mencari harta, kekayaan dan kebahagiaan dunia. Oleh itu, tidak mustahil hal ini juga serupa dengan ibu Ikram. Jelasnnya, peribahasa Melayu yang dicipta kurun lama juga mengesahkan fenonema ini.

    (reply)
  4. Nur Syazwani♥  March 23, 2011

    Seorang ibu, walau bagaimanapun keadaan beliau, tidak akan sampai hatinya untuk meninggalkan anaknya. Naluri ibu terhadap anak-anaknya terlalu kuat untuk dipisahkan. Dalam novel Restu ini, sesungguhnya watak ibu Ikram adalah sama seperti sifat-sifat ibu lain yang prihatin terhadap anak-anak dan pelajaran mereka. Seperti semua ibu, ibu Ikram juga mempunyai harapan untuk melihat anaknya Ikram berjaya dalam kehidupan agar dapat membantu keluarganya keluar daripada kesusahan dan kemiskinan hidup. Hanya disebabkan suatu peristiwa yang boleh dianggap tidak realistik, ibu Ikram menjadi watak yang begitu dikecam oleh para pembaca. Emosi yang timbul daripada peristiwa beliau bernikah lagi dengan seorang duda beranak ramai, jelas memaparkan kejayaan penulis dalam menimbulkan emosi amarah dan ketidakpuasan hati dalam diri pembaca.Sesungguhnya, novel ini boleh dikatakan suatu cereka sahaja yang berlatarkan cerita benar. Teknik hiperbola dalam jalan cerita novel Restu dapat dilihat dalam beberapa peristiwa yang berkaitan dengan Ikram, watak utama itu sendiri. Watak Ikram yang disifatkan sebagai ‘sempurna’ dengan mempunyai sifat-sifat kemanusiaan yang tiada tandingan dengan manusia lain jelas menunjukkan penulis hanya ingin menggambarkan Ikram sedemikian agar menarik dan memancing emosi pembaca dengan lebih dalam. Sama juga dengan rentetan peristiwa percintaan antara Hasnah dan Ikram yang seperti ‘ditakdirkan’ berjumpa kembali dan menyambung ‘sesuatu yang patah’. Ianya begitu penuh dengan unsur fantasi daripada realiti.Justeru itu, dapat dirumuskan dengan menyingkap peristiwa ibu Ikram bernikah lagi walaupun berkeadaan daif sedemikian, hanya rekaan semata-mata agar pembaca terus dilanda lontaran emosi yang kuat supaya lebih mendalami novel tersebut dengan penuh perasaan dan penilaian sendiri.Nur Syazwani Binte ShaibaniS0900012L

    (reply)
  5. Sitti Maisarah  March 23, 2011

    Gelaran ibu itu memang tidak boleh dinafikan selagi terdapat gelaran seorang anak. Namun demikian, wujud beberapa maksud ibu itu seperti ibu kandung, ibu susuan, ibu angkat, ibu tiri dan sebagainya. Dalam konteks novel Restu, ibu Ikram dianggap ramai sebagai ibu kandung Ikram tetapi tindakan yang dilakukan oleh ibu Ikram itu tidak masuk akal kerana ia meninggalkan anaknya sendirian agar menampung kehidupannya sendiri manakala dirinya berseronok dan bersenang-senang dengan lelaki lain.Akan tetapi, dalam konteks zaman kini, ramai ibu-ibu, termasuk ibu kandung, sanggup membuang anak sendiri untuk mendapat kehidupan yang senang demi diri sendiri dan bukankah perbuatan itu lebih zalim daripada tindakan yang dilakukan daripada ibu Ikram? Seburuk-buruk ibu Ikram, kiriman dan hantaran surat masih lagi dijalankan dan keprihatinannya terhadap anak-anaknya masih wujud.Natijahnya, jika ianya benar, maka wajarlah wanita itu digelar ibu dan jika ia benar, maka saudara mara Yazid itu adalah antara manusia-manusia yang zalim di muka bumi ini.Sitti Maisarah binte Abu BakarS0900021A

    (reply)
  6. Shahirah Samsudin  March 23, 2011

    Berdasarkan pembacaan dan penilaian saya, peristiwa ibu Ikram meninggalkan dirinya serta adiknya itu merupakan satu hiperbola yang sengaja diselitkan dalam jalan cerita tersebut untuk memburukkan lagi keadaan kehidupan Ikram sekeluarga. Saya menilai jalan cerita ini dari sudut logik dan pragmatisme. Berdasarkan logik, sungguh tidak munasabah bagi seseorang ibu meninggalkan anak-anaknya yang masih kecil dalam keadaan sedemikian. Apatah lagi, dia meninggalkan keluarganya untuk bersama dengan Pak Salleh iaitu seorang duda yang juga mempunyai anak-anak yang perlu disara. Keadaan ini diburukkan lagi dengan pekerjaan Pak Salleh iaitu sekadar seorang nelayan. Ibu yang meninggalkan anak sebatang kara memang wujud. Namun demikian, lazimnya mereka lari untuk mencari kehidupan yang lebih senang dan bahagia. Sifat pentingkan diri sendiri ini terserlah jika seseorang ibu berbuat sedemikian. Namun demikian, dalam hal ini, ibu Ikram bukannya pergi mencari kehidupan yang lebih senang malah dia pergi kepada kehidupan yang sama atau mungkin lebih daif berbanding dengan keadaan sekarang. Di mana logiknya? Dia juga pergi membawa adik Ikram yang paling kecil iaitu Jamil. Mengapa ditinggalkan Kamal dan Ikram? Buku ini menggunakan kepulangan Yazid (yang sememangnya tidak akan terjadi) sebagai alasan supaya Ikram tinggal di situ. Kamal juga ditinggalkan sebagai teman untuk Ikram. Di sini, mungkin boleh diselitkan konsep naluri ibu yang disebutkan Shaheda tadi. Mungkin Ibu Ikram yakin Yazid akan pulang. Namun demikian, itu TETAP tidak bererti dia boleh pergi tinggalkan anak-anaknya. Bukan dengan harta tetapi sebatang kara. Jika kita menggunakan logik, sekiranya ibu Ikram tetap ingin berkahwin dengan Pak Leh, Ikram sekeluarga boleh pergi berpindah ke Mersing dan sekiranya Yazid pulang, mereka boleh meminta bantuan orang-orang kamoung terutama sekali Pak Usop dan Imam untuk memberitahu Yazid alamat mereka di Mersing. Oleh sebab itu, alasan 'Yazid mungkin akan pulang; sudah tidak boleh digunakan lagi. Berdasarkan penjelasan ini, tindakan ibu Ikram, pertama, bertukar kepada kehidupan yang lebih daif dan kedua, meinggalkan Ikram dan Kamal atas sebab yang tidak kukuh boleh dikatakan sebagai tidak logik, tidak patut dan begitu hiperbola sekali. Ibu Ikram sama sekali tidak pragmatik dalam menentukan jalan kehidupannya dan anak-anaknya. Sama ada beliau berhak digelar ibu merupakan perkara yang subjektif dan tidak dapat dibahaskan kerana seperti yang disebutkan Shaheda, naluri ibu dan anak tidak dapat diungkapkan. Kemungkinan penulis juga menggunakan konsep ini dan mengambil kesempatan menggunakan konsep ini untuk menyelitkan jalan cerita yang tidak masuk akal ini. Peranan saudara mara pula digunakan penulis sebagai faktor sampingan untuk menutup kebodohan Ibu Ikram. Penulis menampakkan seolah-olah saudara-maralah yang telah memaksa ibunya. Namun demikian, setiap orang terutama sekali seorang ibu berhak mmbuat keputusan sendiri.SUara Ikram dan Kamal juga tidak didengari mengenai perkara ini.Ini menunjukkan bahawa bahagian ini sangat tidak masuk akal dan sengaja diada-adakan penulis untuk tujuan hiperbola. SHAHIRAH SAMSUDINS0900017G

    (reply)
  7. sally  March 23, 2011

    Seorang ibu itu harus sentiasa membimbing dan ada bersama anak-anaknya walau apapun keadaan itu. Tanggungjawab sebagai seorang ibu itu penting kepada anak-anaknya dari segi menjaga anak itu sehingga beliau sudah besar dan melakukan semua kerja rumah yang ada di rumah supaya anak-anak itu lebih fokus dalam mata pelajarannya di sekolah. Oleh itu, saya berpendapat bahawa peristiwa itu hanya khayalan penulis semata-mata untuk mengugat hati pembaca tentang sikap ibu Ikram yang tidak mengambil kisah tentang anak-anaknya itu. Perkara ini dapat membuat pembaca untuk memikirkan dua kali terutama sekali jikalau pembaca itu adalah seorang wanita yang sudah memepunyai anak. Penulis ingin pembaca untuk menilai watak ibu Ikram yang mementingkan hal dirinya untuk berkahwin dan melepaskan tanggungjawabnya sebagai ibu Ikram. Walaupun penulis menganggap bahawa watak ibu Ikram sebagai watak sampingan tetapi impak terhadapnya untuk berkahwin dengan Pak Leh, yang ramai anaknya itu adalah satu isu penting di dalam Novel Restu itu. Oleh itu, penulis ingin mengatakan bahawa jikalau ibu Ikram tidak berkahwin dengan Pak Leh, Ikram Kamal tidak perlu mengendahkan tentang kerja rumah serta makan minum di rumah. Natijahnya, setiap penulis ingin pembaca untuk membuat penilaian sendiri tentang isu-isu yang telah dibincangkan di dalam Novel Restu itu. Cara ini membuat novel itu lebih menarik dan membuat pembaca untuk membaca supaya beliau akan mendapat ‘the gist of the whole story’.Siti Salmah Binte HamidS0900020D

    (reply)
  8. shashasha affan  March 23, 2011

    Seorang ibu mempunyai pertalian yang sangat erat dengan anaknya sejak di dalam kandungan lagi dan sememangnya tidak boleh dipersoalkan mahupun diungkapkan dalam beberapa perkataan.Berdasarkan novel Restu karya Ismail Kassan, saya berpendapat bahawa peristiwa ibu Ikram meninggalkannya dan adiknya hanya satu rekaan semata-mata untuk menghidupkan watak hero pada diri Ikram. Ikram merupakan watak utama dan untuk menggerakkan plot novel tersebut, penulis seharusnya mereka peristiwa-peristiwa yang dapat menggelarkan Ikram sebagai watak hero. Oleh yang demikian, barulah pembaca tertarik untuk mengetahui alur cerita tersebut dengan lebih mendalam lagi.Misalnya, apabila penulis mengarang tentang kehidupan Ikram dan adiknya yang hidup dalam kemelaratan, pembaca melahirkan rasa belas kasihan terhadap mereka. Namun demikian, Ikram tetap dapat mencari nafkah kerana dia bekerja di kebun. Pada masa yang sama, dia juga harus ke sekolah dan kadangkala terpaksa ponteng kerana musim buah nenas. Watak hero yang digambarkan dalam novel ini ialah apabila Ikram tetap lulus peperiksaannya dan muncul sebagai pelajar terbaik di sekolahnya. Sememangnya, ini adalah satu hiperbola kerana tidak mungkin Ikram digelar pelajar terbaik dalam waktu yang singkat sedangkan pelajar-pelajar lain telah bertungkus-lumus mengulangkaji pelajaran setiap hari. Ikram pula hanya perlu seminggu untuk belajar di masjid.Natijahnya, penulis hanya ingin mengkhayalkan pembaca dengan peritiwa ibu Ikram meninggalkannya di kampung untuk menghidupkan ciri-ciri watak hero. Watak sedemikian tidak mempunyai cacat-cela dan seringkali berjaya dalam apa jua sahaja.Shahirah Bt. AffanS0900018D

    (reply)
  9. Abdul  March 23, 2011

    Pengakuan Encik Ismail Kassan tempoh hari bahawa watak Ikram dalam novel Restu mencerminkan kehidupannya yang sebenar menjadikan novel Restu sebuah novel bersifat realisme. Berlatarkan kehidupan masyarakat di kawasan pendalaman, novel Restu bertujuan menjadi tunjang kepada pelajar miskin luar bandar akan kepentingan ilmu pendidikan demi meraih kejayaan hidup. Tambahan pula, nilai-nilai positif yang diterapkan seperti rajin belajar, cekal, tabah, tidak mudah putus asa dan sebagainya meniupkan semacam semangat dalam diri pembaca untuk rajin berusaha dan sedar bahawa kunci kejayaan hidup bergantung kepada ketekunan masing-masing . Keberkesanan novel Restu sebagai wadah membekalkan nilai-nilai kemanusiaan juga ditonjolkan melalui sikap keperwiraan Ikram yang tidak pernah kenal erti kalah dalam mengharungi kerencaman masalah yang melilit diri dan keluarganya. Namun demikian, novel Restu mempunyai sedikit kelonggaran dari segi perkembangan plotnya, iaitu apabila ibu Ikram tergamak meninggalkan Ikram dan adiknya Kamal begitu sahaja hanya untuk berkahwin dengan seorang duda anak lima. Saya berpendapat bahawa peristiwa ini sama sekali tidak dapat diterima akal kerana kelakuan sedemikian telah menzalimi diri Ikram dan Kamal, lebih-lebih lagi apabila ibunya sanggup memikul beban menjaga lima orang anak suaminya itu manakala anak-anaknya sendiri diabaikan. Memandangkan novel ini sebuah novel realisme berlandaskan pengalaman penulis, ibu Ikram harus sedar akan tanggungjawabnya membesarkan dan menjaga keperluan seharian anak-anaknya sehinggalah mereka sampai ke suatu tahap kematangan yang membolehkan mereka untuk berdikari. Bagi saudara mara ibu Ikram pula, mereka mungkin berpendapat bahawa berkahwin merupakan suatu jalan mudah agar ibu Ikram dapat tanggunggan nafkhah. Pada pendapat saya, saudara mara ibu Ikram tidak wajar dipersalahkan dalam hal ini kerana mereka hanya mengutarakan saranan semata-mata dan mungkin tidak berniat sama sekali untuk memburukkan keadaan. Sebaliknya, yang harus dipersalahkan dalam hal ini ialah ibu Ikram kerana kegagalannya membuat keputusan yang baik dan memanfaatkan bagi keluarganya. Pepatah “binatang juga sayangkan anaknya” dan “segarang-garang harimau tidak akan membaham anaknya sendiri” menunjukkan betapa murninya nilai kasih sayang sesama haiwan apatah lagi manusia. Oleh itu, perbuatan ibu Ikram meninggalkan anak-anaknya begitu sahaja merupakan suatu perbuatan yang zalim dan hina sekali.

    (reply)
  10. sitinoraishasenin  March 23, 2011

    'Fact is stranger than fiction'. Ayat ini melambangkan bahawasanya sesuatu yang mungkin tidak boleh diterima oleh akal sebenarnya adalah sesuatu keadaan yang benar-benar berlaku. Daya kreativiti seseorang manusia hanya mampu mencapai kepada sesuatu tahap tetapi apa yang ditentukan Tuhan melampaui kebolehan manusia untuk menjangkakannya. Oleh yang demikian, peristiwa ibu Ikram meninggalkan kedua-dua anaknya untuk menguruskan kehidupan sendiri pada usia yang muda tanpa bimbingan dan kasih sayang seorang ibu boleh merupakan peristiwa yang benar-benar berlaku. Persoalan jika ibu Ikram layak digelar ibu merupakan sesuatu yang subjektif. Tanggapan para pembaca mengenai tanggungjawab seseorang ibu berbeza antara satu sama lain. Ada yang melihat peninggalan ibu Ikram sebagai sesuatu yang terpaksa dilakukan kerana seseorang wanita itu memerlukan pasangan hidup untuk bersama-sama mengharungi kehidupan yang penuh pancaroba. Ada pula yang menyifatkan peninggalan ibu Ikram sebagai sesuatu yang mementingkan diri sendiri. Namun demikian, untuk terus menyahkan gelaran ibu terhadap ibu Ikram adalah agak ekstrim. Dalam novel Restu, dapat dilihat pengorbanannya dalam menyara kehidupan anak-anaknya setelah kematian suami tercinta. Ibu Ikram turut sering menggalakkan Ikram untuk mencapai kecemerlangan dalam pelajaran. Ini sendiri memperlihatkan sifat keibuannya terhadap anak-anaknya. Malangnya, manusia tidak dapat melawan suratan takdir dan mengelakkan diri daripada membuat keputusan yang kurang tepat. Inilah yang terjadi kepada ibu Ikram sehinggakan anak-anaknya terpaksa melalui masa-masa sukar tanpa kehadirannya di sisi. Mungkin perkara sedemikian tidak masuk di akal tetapi realiti kehidupan merupakan sesuatu yang di luar kuasa dan dugaan manusia. Siti Noraisha Mohamed SeninS0900019A

    (reply)

Add a Comment