Blog / News

HIPOTESIS BAHASA WAHYU

Posted by:

Bahasa ibunda melambangkan dinamisme bangsa yang telah berakar umbi sejak individu itu dilahirkan. Maka bahasa yang tentunya dekat di hati yang menjadi bahasa “wahyu” individu itu adalah bahasa yang ibu-ayahnya tuturkan kepadanya sejak di dalam rahim ibu lagi. Tentunya bahasa itu amat berkesan kepadanya kerana ia dibangunkan senadi dengan pembangunan roh dan jasadnya sejak ia mula dihasilkan. Maka ibu bapa yang bertutur dalam satu bahasa tentunya melahirkan anak yang mono bahasa. Ibu bapa yang berdwi bahasa bakal melahirkan anak yang dwibahasanya.

Namun demikian, proses sebenar pemupukan bahasa itu berlaku tatkala anak itu dilahirkan ke bumi dan mula melalui proses pembesaran. Di sinilah masa yang sangat penting dan masa anak itu benar-benar selesa dengan bahasa yang dituturkan kerana bahasa itu juga membesar dengannya dan mengikut rentak pembentukan gusi, gaham, tekak dan mulut anak itu. Anak mula mengikut rentak bahasa yang ibu-ayah gunakan di rumah sekaligus menanam rasa selesa atau kekoknya menggunakan sesuatu bahasa.

Rasa kekitaan bahasa pula berlaku tatkala anak itu mula melalu proses sosialisasi. Anak itu mula bertemu dengan kawan-kawan dan menggunakan bahasa yang senadi dengan kawan-kawannya langsung mula memerikan citra trend bahasa yang sewaktu dengannya. Di sini anak mula mengasah kemampuan bahasa kerana banyak interaksi berlangsung dengan kawan-kawan berbanding dengan ibu-ayah.

Namun demikian, proses yang akan menjadikan anak-anak itu cinta atau benci sesuatu bahasa itu berlaku tatkala anak-anak melalui proses persekolahan. Sikap guru terhadap bahasa menjadi kunci kekal-matinya bahasa di dalam jiwa anak itu kerana sikap guru menjadi ukur tara anak yang dahagakan ilmu. Jika guru tiada jiwa kepada bahasa sekadar melaksanakan tugas mengajar memenuhi keperluan kurikulum sekolah maka anak itu juga akan belajar bahasa memenuhi keperluan peperiksaan. Jika guru mengajar bukan kerana kurikulum semata tetapi mahu menyulamkan kesucian bahasa ke dalam jiwa anak itu dengan guru sendiri sebagai contoh pengguna, penggerak, pencari ilmu bahasa, maka anak itu tentunya akan cinta kepada bahasa itu kerana ia akan datang umpama “wahyu” bukan lagi sebagai satu proses pengajaran dan pembelajaran.

Sejauhmanakah ia benar – tinjau pengalaman masing-masing.
10

Discussion

  1. sitinoraishasenin  March 22, 2011

    Secara peribadi, penggunaan Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu sudah diamalkan sejak saya kecil lagi. Tidak pernah sesuatu bahasa itu digunakan secara berterusan tanpa adanya penggunaan bahasa yang lain. Lantaran itu, saya sudah terbiasa dengan penggunaan dwibahasa kerana apabila bertutur dengan ibu seringkali berbahasa Inggeris dan Melayu tetapi apabila bertutur dengan Allahyarham ayah saya, lazimnya Bahasa Melayu sahaja digunakan. Pendedahan kepada kedua-dua bahasa ini pada usia yang muda telah membangkitkan keserasian dalam mengekspresikan diri saya dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu. Namun demikian, pergaulan saya dengan rakan-rakan di sekolah telah membuat saya cenderung kepada penggunaan Bahasa Inggeris. Ini kerana kebanyakan rakan saya merupakan mereka yang berbangsa Cina dan Nepal. Oleh itu, pertuturan Bahasa Melayu saya hanya digunakan apabila perlu sahaja. Persekitaran turut memberi kesan terhadap bahasa yang saya gunakan dan sebati dengan diri saya. Dengan pendedahan kepada bahan-bahan berbahasa Mandarin seperti drama-drama di Saluran 8, saya turut mempelajari Bahasa Mandarin agar dapat bertutur dengan rakan-rakan berbangsa Cina. Malah, penggunaan Bahasa Mandarin, Bahasa Hangul (Korea), Bahasa Hindi, Bahasa Jepun, Bahasa Perancis merupakan sesuatu yang lazim dalam kehidupan sehari-harian saya memandangkan adik saya turut memahaminya. Pendedahan bahan-bahan media telah membuka saluran bagi penyerapan bahasa-bahasa ini ke dalam diri. Peranan guru Bahasa Melayu saya ketika di bangku sekolah lebih cenderung kepada pencapaian kejayaan akademik. Dari segi praktikal dan penyulaman budaya dan Bahasa Melayu tidak begitu dititikberatkan. Kesannya, secara lisan, saya agak kekok berbahasa Melayu tetapi mampu mencapai matlamat akademiknya. Siti Noraisha Mohamed SeninS0900019A

    (reply)
  2. Nur Syazwani♥  March 22, 2011

    Keluarga saya tergolong dalam keluarga yang amat fasih berbahasa Melayu dan keadaan sekeliling penuh dengan tradisi Melayu. Misalnya, kedua-dua datuk saya, memelihara tradisi Melayu itu dengan penuh semangat seperti menyimpan keris-keris lama, manakala datuk saya yang sebelah ibu pula, datangnya daripada Jawa. Bahasa Jawanya amat pekat begitu sukar untuk difahami oleh telinga orang Melayu biasa. Namun demikian, apabila sudah duduk sebumbung, segala loghat senang difahami, cuma sukar ditutur sahaja. Selain itu, saya mempunyai seorang ibu yang sememangnya pelajar cemerlang dalam bahasa Melayu tatkala di sekolah rendah dan di sekolah menengah, mungkin ada kaitannya dengan minat dan keputusan yang seringkali saya dapat dalam peperiksaan bahasa Melayu. Semenjak kecil lagi, telah dipupuk minat membaca segala buku cerita, tidak kira Inggeris ataupun Melayu. Ibu juga pendorong utama yang mendidik cara-cara dan silap-silap untuk menjadi pelajar cemerlang dalam bahasa Melayu kerana sesungguhnya, bahasa Melayu itu senang, jika jiwa cinta akan bahasa itu.Selain itu, keadaan sewaktu saya di sekolah rendah dahulu, amat memberangsangkan. Sewaktu darjah satu sahaja, saya mendapat seorang guru yang agak tua usianya untuk mengajar bahasa Melayu dan ianya amat efektif kerana cara pengajarannya penuh pengalaman dan amat menarik. Beliau banyak mendedahkan kami dengan irama seloka lama dan puisi-puisi lama. Seawal darjah satu, pelbagai kosa kata yang telah saya pelajari dan saya masih ingat pengajaran pertamanya adalah menyanyikan kita lagu ‘Ikan Kekek’. Tidak sesekali kami pelajar merasa bosan ketika bahasa Melayu, malahan, murid-murid amat gemar ketika ianya adalah waktu bahasa Ibunda. Tambahan lagi dengan keputusan bahasa Melayu yang cemerlang, motivasi itu timbul dengan sendirinya untuk sering mendapat tempat pertama dalam bahasa Melayu. Ini berterusan sehingga saya berusia 10 tahun, darjah 4. Seorang lagi guru bahasa Melayu mengambil alih dan mengajar kita. Sejujurnya, beliaulah guru yang telah memberi makna kepada bahasa Ibunda itu. Beliaulah yang membuat saya cinta akan bahasa Melayu sehingga saya gemar berkarya dan membuat karangan dengan matlamat untuk menghasilkan sebuah buku kecil yang mempunyai cerita-cerita rekaan saya. Pujiannya atas kerja karangan saya yang telah memotivasikan saya untuk menjadi sepertinya. Beliaulah sebab saya ingin menjadi seorang guru yang cinta akan bahasa Ibunda sendiri.Justeru itu, kepentingan keadaan sekeliling dan guru, memainkan peranan yang penting dalam tumbesaran anak-anak muda kini. Mencintai bahasa itu harus dimulakan dari usia yang muda kerana ianya akan mula sebati dalam kehidupan mereka. Namun demikian, ibu bapa kini, tidak melihat akan kepentingan bahasa dan ini menjejas pemahaman anak mereka sendiri terhadap kepentingan bahasa Ibunda dan keperluan bahasa Ibunda itu sendiri. Lantas, mengakibatkan kejatuhan bahasa Melayu.Nur Syazwani Binte ShaibaniS0900012L

    (reply)
  3. Ariff Rizwan Sahab  March 22, 2011

    Pengalaman Peribadi Rasa cinta saya kepada Bahasa Ibunda, yakni Bahasa Melayu sudah mula disemai semenjak di bangku sekolah rendah. Ia bermula daripada melihat markah peperiksaan. Seorang anak bandar yang asal persekolahannya di Malaysia, berhijrah ke Singapura dan mengambil peperiksaan Inggeris dan Bahasa Melayu, sudah pasti Bahasa Melayunya jauh lebih hebat daripada Bahasa Inggeris. Ini yang membuat saya cinta akan Bahasa Melayu kerana ia terlalu mudah untuk mendapat keputusan cemerlang.Rasa cinta terhadap Bahasa Melayu terbawa-bawa ke sekolah menengah. Namun di sekolah menengah pula, guru mula menyemai benih kesusasteraan dalam diri saya. Di sekolah menengahlah timbul rasa cinta terhadap kesusasteraan. Novel pertama yang guru saya perkenalkan ialah Novel Salina, karya A. Samad Said. Di suruh saya baca novel itu dan di bawah ke meja perbincangan bersama guru. Di sini mulanya minat untuk membaca buku-buku bahasa Melayu. Novel seterusnya merupakan novel bersiri Rohani Din, berjudul Diari Bonda dan lain-lain lagi. Jelasnya, guru memainkan peranan dalam menyemai sesuatu ke dalam diri pelajar. Benih cinta terhadap sastera Melayu membuat saya melanjutkan pendidikan ke maktab rendah untuk mengambil subjek H2 Bahasa Melayu dan Sastera. Namun, guru yang berwibawa di maktab rendah telah berjaya menyuburkan benih kesusasteraan dengan aspek-aspek yang ada dalam sesebuah karya sastera. Diajarnya tema, persoalan, watak dan lain-lain. Namun, ilmunya tidak hanya terhenti disini sahaja. Guru yang berwibawa juga telah menggerakkan saya aktif dalam menghaslkan program Bahasa Melayu. Di sini mulanya minat yang mendalam untuk bergiat aktif menghasilkan program bagi bangsa Melayu. ‘Pesona Kaleidoskop’ menjadi tema utama, yakni sebuah pertandingan deklamasi sajak bagi pasca sekolah menengah.Setibanya di Special Training Programme, diperkenalkan pula dengan guru-guru yang sarat ilmunya. Bertuah saya diperkenalkan dengan ilmu teori yang ada di muka dunia. Disini mulanya rasa cinta terhadap kritikan karya belandaskan teori-teori tertentu. Diperkenalkan juga tentang sejarah asal usulnya bahasa dan bangsa. Disini mulanya juga cinta untuk mendalami dan mengetahui bangsa kita. Disini juga mulanya semangat seni untuk masyarakat dan sastera bina manusia. Diberikan peluang untuk menjalankan program, mulanya sebagai fasilitator, dan kini seorang ketua. Disini juga kami menyelami lautan ilmu. Dan terpaksa juga saya akur, disini juga mulanya budaya mengisi almari yang dahulunya kosong, kini ditimbuni buku, dan tidak mustahil, rumah yang didiami ini menjadi pustaka ilmu suatu hari nanti.Tidak perlu disebut lagi akan peri-pentingnya peanan sebagai seorang guru. Jelasnya guru sememangnya memainkan peranan yang penting dalam menyemai benih cintakan bahasa. Harap di peringkat universiti nanti, pensyarah-pensyarah bukah sahaja ibatat melepaskan batuk di tangga. Insyallah.Ariff Rizwan BMESS0900003K

    (reply)
  4. Hairani Asri  March 22, 2011

    Setiap proses yang berlaku dalam pemupukan bahasa dalam diri, khususnya yang berlaku antara seorang anak itu dengan gurunya adalah tepat. Hubungan sebab-akibat ini adalah antara penyebab utama mengapa ramai pelajar Melayu hari ini tidak senadi dengan bahasa Melayu. Sebagai seorang yang pernah melalui fasa tersebut, guru yang mematikan minat pelajar terhadap bahasa Melayu masih wujud dan akan terus bertambah bilangannya. Berdasarkan pengalaman saya, guru yang lebih berumur lazimnya baik dari segi pengajarannya tapi tidak pernah menggalakkan kreativiti di kalangan pelajar. Bagi guru-guru muda pula, mereka tidak tahu teknik-teknik untuk menyulam kesucian bahasa ke dalam diri para pelajar kerana tidak pernah meminati bahasa Melayu.Saya beruntung kerana mendapat beberapa guru bahasa Melayu yang bukan sahaja mencintai bahasa tersebut, malah ‘menurunkan’ segala ilmu yang pernah mereka warisi kepada kami. Satu daripadanya adalah Cikgu Siti Shahrina Rahmat, guru bahasa saya semasa di darjah enam. Beliau tidak pernah berasa malu memanggil dirinya seorang pejuang bahasa Melayu dan selalu menggunakan teknik pembelajaran yang menarik untuk menggalakkan kreativiti dalam kelas. Berpantun, melakonkan drama, bernyanyi, menggunakan teknologi dan muzik semasa mengajar. Beliau juga pernah menjelaskan setiap patah perkataan yang terdapat dalam senarai peribahasa (supaya kita dapat melihat keindahan bahasa dalam peribahasa dan memahaminya, bukan sekadar menghafal), memperkenalkan sedikit sebanyak tentang dunia penulisan Singapura dan sebagainya. Kini, giliran saya pula mengikuti jejak langkahnya. Hairani Bte AsriS0900006A

    (reply)
  5. Shahirah Samsudin  March 22, 2011

    Pendapat yang dikeutarakan diatas benar sekali. Ini juga bersangkut paut dengan pengalaman saya ketika di sekolah rendah dahulu. Saya melalui dua fasa di sekolah rendah. Fasa pertama, 'bahasa Melayu paling membosankan sekali dalam dunia'. Fasa kedua pula, 'Bahasa Melayu paling menyeronokkan sekali dalam dunia.'Guru yang mengajar fasa pertama merupakan seorang guru yang sudah lama mengajar. Umurnya mungkin dalam lingkungan lewat 40an. Beliau memiliki satu rutin yang standard untuk setiap kelas bahasa Melayu yang tidak silap saya tiga atau empat kali seminggu. Kelas akan dimulakan dengan sesi bacaan selama sepuluh minit. Kami perlu membaca buku cerita Melayu. Ini diteruskan dengan bacaan teks di buku teks atau ujian ejaan dan imlak, seterusnya latihan di buku kerja sama ada di kelas atau sebagai kerja rumah. Tempoh waktu ini membuat saya rasa rimas, bukan dengan bahasa Melayu tetapi dengan kelas bahasa Melayu. Malah ia membuat saya dan teman-teman rasa malas bila tiba waktu untuk kelas bahasa Melayu. Memang tidak dinafikan, gred kami ketika itu tidaklah teruk, namun kelas cukup membosankan kami.Guru yang mengajar fasa kedua pula ialah guru muda tetapi banyak pengalamannya. Cikgu Noorsiah. Beliau seorang guru yang kaya dengan idea-idea baru. Belia mengajar pada darjah 5 and 6. Kelas pada darjah 6 tentunya lebih intensif disebabkan peperiksaan PSLE. Namun demikian,pada tahun sebelumnya yakni darjah lima. Kami melakukan banyak aktiviti menarik. Antaranya beliau menyuruh kami mereka permainan bahasa untuk rakan-rakan kelas yang lain. Saya masih ingat lagi kumpulan saya mereka permainan kad peribahasa ala SNAP. Kad-kad dibahagikan kepada peribahasa dan makna. Ia dicampur dandiedarkan kepada empat pemain. Keempat pemain itu harus melengkapkan koleksi kad peribahasa dan makna mereka. Sekiranya mereka tidak ada makna bagi satu-satu kad peribahasa mereka harus meminta dari pemain lain. Contohnya "boleh saya minta kad bagi makna buah tangan?"Pemain akan keluarkan makna buah tangan tapi sebelum itu,"Apakah makna bagi buah tangan?" Jika pemain pertama menjawab dengna betul, maka dia akan mendapatkan kad itu. Pemain yang memiliki paling banyak koleksi lengkap akan menang. Aktiviti ini telah menarik perhatian saya kepada bahasa Melayu. Tiba-tiba saya menjadi minat dengan bahasa Melayu malah semakin cenderung dengan benda-benda Melayu.Saya berpendapat semua ini tidak akan tercapai sekiranya guru saya tidak merubah pemikiran kami tentang bahasa Melayu. Jika saya boleh ingat apa yang saya lakukan hampir 8 tahun dahulu, tentunya ia merupakan sesuatu yang benar-benar meninggalkan kesan sehingga hari ini.Itulah azam saya. Memberi inspirasi kepada pelajar saya pada masa hadapan. Merubah konsep belajar kepada sesuatu yang tidak membebankan malah menyeronokkan. Seperti guru saya, mungkin saya juga akan menerima kritikan seperti 'terlalu banyak main-main dengan pelajar'. Namun saya percaya, di sebalik aktiviti 'main-main' ini, saya akanmeninggalkan satu kesan yang mendalam kepada mereka.SHAHIRAH SAMSUDINS0900017G

    (reply)
  6. shahedabintalib  March 22, 2011

    Semasa saya kecil lagi, bahasa ibunda merupakan subjek kegemaran saya. Sebagai seorang murid, saya mencintai subjek tersebut kerana ia merupakan salah satu subjek yang saya boleh pastikan akan mendapat gred ‘A’. Saya tidak pernah jemu atau tertekan apabila menghadiri kelas bahasa Melayu kerana ia merupakan satu subjek yang mudah untuk dikuasai. Tidak dinafikan, guru memainkan peranan penting dalam memupuk minat semasa pembelajaran dijalankan. Saya masih ingat lagi guru saya sewaktu di zaman sekolah menengah. Cikgu Suraidi Sipan merupakan seorang guru yang boleh dilihat sebagai pecinta kepada bahasa dan dunia Melayu. Setiap kali sebelum bermula pengajaran bahasa Melayu atau setengah jam sebelum tamat waktu bahasa Melayu, beliau akan menceritakan sedikit sebanyak tentang sejarah Melayu, tentang khazanah Melayu dan tidak ketinggalan tentang orang Melayu. Saya masih ingat lagi bagaimana beliau sanggup membawa pelbagai jenis keris yang diperolehinya untuk menarik minat kami tentang khazanah orang-orang Melayu. Beliau dengan penuh semangat memberikan penjelasan tentang perbezaan keris serta kegunaannya masing-masing. Pengalaman serta pengetahuan beliau dalam dunia Melayu seringkali dicurahkan dan diselitkan pada setiap waktu pembelajaran bahasa Melayu. Melihat senario kini, rata-rata, bahasa ibunda kini kian diperlekehkan. Ibu bapa lebih berbangga jika anak mereka berjaya bertutur dalam bahasa Inggeris dengan sempurna berbanding dengan bahasa Melayu. Mengikut realiti, bahasa Inggeris lebih diperlukan namun demikian bahasa ibunda harus dipertahankan juga.Kini, anak saudara saya yang berusia satu tahun didedahkan kepada kedua-dua bahasa. Yakni, abang saya akan bertutur dalam bahasa Melayu dan kakak ipar saya pula dalam bahasa Inggeris sepenuhnya. Saya sendiri menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dengannya kerana beliau telah terdedah dengan bahasa Melayu oleh kedua ibu bapa saya. Alhamdulilah, kini beliau mampu mengucapkan perkataan Inggeris dengan jelas serta bahasa Melayu. Semoga cara ini berkesan kerana kedua-dua bahasa sama kepentingannya bagi penakatan di Singapura. Shaheda SalimS0900016K

    (reply)
  7. sally  March 22, 2011

    Pengalaman saya semasa saya masih kecil lagi:Keluarga saya akan berbual dalam bahasa dialek seperti bahasa Boyan dan bahasa Melayu serta bahasa Inggeris. Nenek dan kedua ibu bapa saya seringkali berbual dalam bahasa Boyan dan bahasa Melayu manakala saya akan berbual dengan adik-beradik saya dalam bahasa Melayu. Ketika dalam proses pembesaran, saya telah belajar pelbagai bahasa yang sukar saya ikuti.Selain daripada itu, saya juga bergaul dengan jiran saya yang bukan rakan Melayu. Jiran-jiran saya yang sering saya bermain dengan mereka akan mengajar saya berbual dalam bahasa mereka seperti bahasa Cina. Oleh sebab pergaulan dengan rakan yang bukan bangsa Melayu, saya lebih fasih dengan berbual dalam bahasa mereka lalu abaikan bahasa Melayu. Saya hanya berbual dalam bahasa Melayu di rumah atau di kelas bahasa Melayu sahaja. Cinta pada bahasa Melayu tiada dalam jiwa saya semasa saya masuk sekolah rendah. Guru yang mengajar saya tidak pernah memberangsang saya untuk cinta pada bahasa Melayu. Malah, beliau asyik memarahi dan mencaci saya kerana saya tidak mendapat cemerlang dalam subjeknya. Beliau hanya sayang kepada pelajar yang mendapat cemerlang. Pelajar-pelajar yang tidak ada ‘A’ dalam bahasa Melayu akan menganggap mereka sebagai sampah. Saya adalah satu-satunya pelajar yang dianggap sampah di matanya. Walau bagaimanapun, semasa saya di sekolah menengah, guru bahasa Melayu saya sentiasa membantu dan mengajar saya dengan mengajar pelbagai cara untuk mendapat cemerlang dalam subjek Ibunda. Saya sangat berbesar hati untuk mencintai bahasa Melayu dan belajar bersungguh-sungguh dalam bahasa Melayu. Saya ingin berterima kasih kepada Cikgu Zainal Bin Abiddin untuk membimbing saya ketika saya ada masalah dalam subjeknya. Oleh sebab ketika saya mendapat masuk ke STP, saya harus bersedia untuk bekerja lebih keras agar saya layak untuk masuk ke kursus ini. STP juga telah mengajar saya banyak perkara tentang bahasa Melayu daripada bimbingan Cikgu Pitchay Gani.Daripada pengalaman saya, saya dapati bahawa guru saya bermain peranan penting untuk mendidik serta mencintai bahasa itu. Keluarga dan rakan-rakan juga mengambil bahagian dalam proses pembesaran individu itu. Setiap individu seringkali akan berbual dalam bahasa yang telah dipelajari dan dicintai olehnya serta menggunakan bahasa yang sering didengar. Persekitaran dan pergaulan pun termasuk dalam proses pembesaran setiap individu. Siti Salmah Binte HamidS0900020D

    (reply)
  8. Abdul  March 22, 2011

    Peranan guru dalam memupuk minat pelajarnya terhadap bahasa Ibunda merupakan suatu tanggungjawab mutlak yang sesungguhnya tidak dapat dipertikaikan. Pengalaman saya sebagai seorang pelajar Melayu menyedarkan saya bahawa hampir kesemua guru bahasa Melayu di sekolah menengah saya telah gagal untuk memupuk minat dan rasa cinta terhadap bahasa Ibunda. Masalah seumpama ini timbul apabila guru tersebut gagal menggunakan pendekatan pengajaran yang berbeza dan dianggap menarik oleh pelajar. Setahu saya, guru saya hanya akan mengajar menggunakan buku teks yang telah dilakarkan oleh kementerian pendidikan serta latihan tubi kertas peperiksaan yang berterusan sehinggalah menjelangnya peperiksaan peringkat ‘O’. Perbuatan sedemikian tentu sekali telah mematikan semangat saya serta rakan-rakan lain untuk menghalusi keupayaan dan kemahiran masing-masing menggarap bahasa Melayu. Jujur saya katakan saya tidak pernah sedar akan kepentingan dan keindahan bahasa Melayu sehinggalah saya mendapat peluang keemasan mendalami bahasa Melayu di STP. Tentu sekali, pendekatan yang berbeza serta semangat kemelayuan yang wujud di STP telah merubah minda saya terhadap “wahyu” yang pernah sekali saya pinggirkan dan memperlekehkan. Sekarang ini barulah saya sedar akan tugas sebenar seseorang guru yang bukan sahaja sekadar mengajar di kelas supaya anak didiknya lulus peperiksaan dengan cemerlang malah tanggungjawab sebenar seorang guru ialah keupayaan meniupkan semangat dan rasa kekitaan terhadap bahasa Ibunda supaya bahasa kita tidak jadi seperti melukut di tepi gantang. Mungkin ramai yang berpendapat bahawa menjadi guru bahasa Ibunda merupakan suatu tugas yang muda dan guru bahasa Melayu hanya makan “gaji buta” di sekolah. Namun demikian, tanggapan seumpama itu salah sama sekali apatah lagi dengan ledakan globalisasi yang semakin menjejas mutu dan jenis bahasa Melayu yang digunakan. Tambahan pula, budaya negatif barat semakin terserlah dan ditonjolkan secara rancak melalui media massa. Dalam hal ini, siapakah yang wajar dipersalahkan? Dari perspektif yang lain pula, ibu bapa juga turut memainkan peranan penting dalam menekankan kepentingan bahasa Ibunda terhadap anak-anak mereka, iaitu bahasa sebagai penatar budaya dan bukan setakat sarana komunikasi. Bahasa merupakan wadah yang mencerminkan jiwa dan jati diri masyarakat dan penghapusan terhadap bahasa Ibunda akan bermakna masyarakat Melayu sama sekali tidak wujud lagi di alam ini. Maka dengan itu,saya sarankan bahawa untuk memastikan bahasa Melayu terus menakat dan digunakan secara megah, guru-guru harus menghalusi cara pengajaran mereka dengan menggunakan pendekatan-pendekatan yang lebih hidup dan berwarna. Abdul Fattah Bin Abdul RahimS0900001E

    (reply)
  9. shashasha affan  March 22, 2011

    Sekiranya sesuatu bahasa itu seringkali ditutur oleh seseorang dan digunakan dalam kehidupan seharian, maka biasanya, dia telah dibesarkan dalam persekitaran sedemikian. Hipotesis bahasa wahyu mempunyai 2 faktor yang sememangnya benar dan boleh dikupas dengan lebih mendalam lagi. Pertama sekali, proses pembesaran kanak-kanak memainkan peranan sekiranya ibu bapa mahu memupuk sesuatu bahasa itu dalam diri anak-anak mereka. Beberapa kajian telah dijalankan dan terbukti, proses intelektual kanak-kanak bermula daripada umur 2 hingga 4 tahun yang juga dinamakan fasa Preoperational. Menurut lelaman ini; http://www.childdevelopmentinfo.com/development/piaget.shtml, fasa tersebut menunjukkan penggunaan bahasa dan perbendaharaan kata yang semakin bertambah dan kanak-kanak hanya perlu menggunakan bahasa yang diajarkan kepadanya jika dia mahukan sesuatu. Oleh yang demikian, pengucapan bahasa oleh ibu bapa memainkan peranan dalam diri anak mereka. Sekiranya ibu bapa hanya menggunakan bahasa Inggeris untuk berkomunikasi dengan kanak-kanak ketika dia berumur 4 tahun ke bawah, maka dia akan dibesarkan dalam suasana bahasa Inggeris. Misalnya, saudara saya yang dibesarkan oleh ibu bapanya dalam persekitaran sedemikian kini lebih cenderung dalam bahasa tersebut lantas apabila dia memasuki sekolah rendah, dia menghadapi masalah dalam subjek bahasa Melayu kerana bahasa tersebut tidak digunakan di rumah. Dia tidak boleh berbual dengan ayat yang lengkap dalam bahasa Melayu. Apa yang merumitkan lagi keadaaan ialah dia mempunyai ramai kawan yang berbangsa Cina. Justeru, proses sosialisasi juga memainkan peranan kerana seringkali kita berjumpa dan meluangkan masa dengan kawan-kawan di sekolah. Faktor kedua yang boleh dikupas ialah sikap guru terhadap bahasa akan menentukan dan melahirkan pelajar-pelajar sedemikian. Pengalaman saya pula sewaktu di sekolah menengah, saya mempunyai dua guru bahasa Melayu yang sangat mencintai bahasa Ibunda sehingga melarang murid-muridnya berbual sepatah pun dalam bahasa Inggeris dan menggalakkan penggunaan 100% bahasa Melayu. Mereka juga mahu melihat Kamus Dewan di atas meja setiap murid sebelum kelas bahasa Melayu dimulakan. Sekiranya kami menghadapi masalah menterjemahkan perkataan Inggeris kepada bahasa Melayu, kami akan diberi kerja rumah dan menulis perkataan itu sebanyak 20 kali sebagai hukuman. Suratkhabar Melayu juga digunakan untuk menggalakkan pembacaan dan menambahkan perbendaharaan kata-kata Melayu. Sememangnya, cara ini amat efektif kerana ia memberi pelajar mengingati apa yang telah dipelajrinya lantas menggunakannya dalam penulisan karangan.Proses sosialisasi sememangnya membantu seseorang itu lebih cenderung dalam sesuatu bahasa. Bagi diri saya, saya mempunyai ramai kawan-kawan Melayu kerana menghadiri sekolah kejiranan. Lantas, bahasa Melayu yang seringkali digunakan ketika berkomunikasi bersama mereka.Natijahnya, sekiranya ibu bapa mahu anak-anak mereka fasih dalam sesuatu bahasa, maka mereka perlulah mengorak langkah untuk memberi persekitaran sedemikian.Shahirah Bt. AffanS0900018D

    (reply)
  10. Sitti Maisarah  March 22, 2011

    Bahasa merupakan wahyu yang diberikan kepada seorang bayi dengan melihat keupayaan ibu bapa mereka dalam berbahasa. Namun demikian, hal yang dianggap baik itu boleh jadi sesuatu yang negatif kerana melihat zaman yang Moden dan semakin maju ini, ramai yang sudah mengabaikan bahasa Ibunda dan mula berbahasa Inggeris oleh sebab ia dilihat sebagai satu bahasa yang agak profesional. Tidak boleh dinafikan bahawa bahasa itu wahyu yang diturunkan kepada bayi yang dikandung si ibu tetapi si ibu juga memainkan peranan yang penting dalam memastikan kebolehan si bayi itu untuk berbahasa dalam berdwibahasa. Secara peribadi, saya mengalami peristiwa seperti demikian. Terdapat si ayah yang berbangsa Melayu Islam dan si ibu yang berbangsa cina dan tukar agama memeluki agama Islam. Mendapat si anak, ibu dan ayahnya berbahasa Inggeris dan Cina dan tidak langsung menggunakan bahasa Melayu di rumah, hanya beberapa kata sahaja ala-ala Singlish. Oleh sebab banyak pekerjaan yang menyediakan keperluan untuk pekerja berbahasa Mandarin, si ayah pun galak belajar bahasa Mandarin dari si ibu. Kini, amat menyedihkan melihat orang Melayu kita yang sudah tidak mengendahkan bahasa Melayu mereka malah melihatnya sebagai punca adanya Singlish dan memandang tinggi terhadap bahasa Inggeris. Natijahnya, bahasa yang 'diwahyukan' kepada seseorang bayi itu tidak semestinya kepada bangsa si ibu dan ayah tetapi kekerapan mereka dalam bertutur satu bahasa. Sitti Maisarah Binte Abu BakarS0900021A

    (reply)

Add a Comment