Blog / News

Launching of eBook : Asas’50 Dalam Esei Dan Kritikan

Posted by:

Asas'50 Dalam Esei & Kritikan

Perkembangan bahasa dan persuratan dewasa ini menghadapi banyak cabaran kerana perubahan iklim sosio-politik kemanusiaan. Sebuah kawasan Melayu yang luas dan penuh dengan khazanah sumber alam dan intelektual semakin mengecut kerana kurang penyelidikan. Kedudukan bahasa Melayu sering tergugat di rantau ini dengan ledakan globalisasi. Namun demikian, globalisasi juga membawa banyak kebaikan sekiranya ia dimanfaatkan dengan sewajarnya.

Segala cabaran dan cengkaman terhadap kedudukan dan upaya bahasa dan persuratan sebenarnya boleh ditangani dengan berkesan sekiranya diikhtiarkan dengan cara yang proaktif dan membina. Ini merupakan pendekatan yang diambil Asas ‟50 dalam alaf baru ini. Kini Asas ‟50 bergerak sebagai sebuah badan nasional yang mementingkan bukan hanya pembangunan bahasa dan persuratan Melayu tetapi juga gerakan nasional. Ini bermakna Asas ‟50 mengadakan satu anjakan paradigma bermula 2005 dengan menganggap pertubuhan ini sebagai sebuah pertubuhan nasional atau milik negara yakni ia bergerak senadi dengan keperluan negara tanpa kompromi terhadap keperluan bangsa. Dengan cara ini, Asas ‟50 disegani oleh setiap kelompok masyarakat nasional kerana ia tidak berbau perkauman tetapi kenegaraan.

Pendekatan seumpama ini sering mendapat cengkaman daripada golongan-golongan yang menganggap diri mereka sebagai pencinta bangsa dan bahasa. Mereka melihat gerakan Asas ‟50 alaf ini dalam aliran nasional sebagai satu templakan terhadap usaha para pemuka Asas ‟50 pada zaman awal penubuhannya khususnya pada zaman Kongres Bahasa dan Persuratan pada tahun 50-an. Malangnya, mereka lupa bahawa zaman telah berubah dan keperluan juga berubah. Sekiranya Asas ‟50 terus mengikut strateginya yang lama sudah tentu ia akan kekal sebagai sebuah pertubuhan Melayu tempatan yang bermain dalam gelanggang Melayu sahaja. Dalam konteks Singapura pada hari ini, gelanggang ini sudah tiada nilainya malah semakin mengecut dan menipis maruahnya dek gelombang kosmopolitan yang semakin melanda hebat. Demikian nasibnya pertubuhan gasing Singapura yang terpaksa tutup kerana gagal merelevankan kewujudannya. Begitu juga dengan puluhan pragmatisme sehingga mereka gagal menerima hakikat perubahan atau evolusi. Mereka masih berpeluk tubuh di dalam alam Melayu purbakala sedangkan teknologi sudah jauh memamah khazanah bangsa. Atas dasar ini juga Asas ‟50 terus menggerakkan mekanisme portalnya dengan membina satu infrastruktur portal sumber Melayu yang tercanggih untuk memenuhi keperluan semua lapisan pengguna. Asas ‟50 akan membawa khazanah bangsa ke satu kedudukan yang mulia dan penuh wibawa. Itulah visi Asas ‟50 alaf baru yakni menjadi sebuah institusi wibawa dan penuh komitmen kepada bangsa dan negara.

Satu perkara yang tidak pernah berubah ialah Asas ‟50 digerakkan oleh para sukarelawan yang setia berkhidmat dengan penuh komitmen.

Sempena dengan sambutan 60 tahun Asas ‟50, buku ini yang bertajuk „Pragmatisme Menjana Persuratan Alaf Baru – Asas ‟50 Dalam Esei Dan Kritikan‟ merupakan satu usaha murni Asas ‟50 untuk merakamkan dan membuktikan bahawa Asas ‟50 adalah satu gerakan pragmatik sejak ia dimulakan pada tahun 1950 dan mula matang setelah enam dekad ber-gelumang dengan seismograf kehidupan.

Asas’ 50 Dalam Esei Dan Kritikan

0

Add a Comment