Blog / News

Posted by:

MEDIA DAN ETIKA – COCA COLA MINUMAN HARIAN MELAYU

Media merupakan satu wadah berpengaruh dan dapat merubahn serta mencipta trend. Banyak kajian retoriks media telah dijalankan dan ia membuktikan bahawasanya media memang merupakan wadah terbaik untuk mempromisikan barangan mahupun ideologi. Cuba ingat kembali nombor telefon ini; 2353535, semua orang di Singapura akan tahu secara spontan bahawa ia adalah KFC delivery. Ia lebih cepat ditangkap kerana diulang berkali-kali di media massa setiap minit. Maka tanggungjawap media massa ialah memastikan bahawa iklan yang dihasilkan perlulah penuh etika dan memanfaatkan pengguna bukan sebaliknya. Sehubungan perkara ini, radio Warna di sepanjang bulan Ramadhan ini ada memainkan iklan yang etika pengiklanannya boleh dipersoalkan malah boleh dianggap tidak selaras dengan dasar negara dan agama.

Iklan mengenai COCA COLA yang dimainkan setiap malam selepas sahaja azan magrib berkumandang dan umat Islam seluruh Singapura sedang berbuka puasa. Ringkasnya, iklan tersebut mengenai dua orang anak yang baru pulang ke rumah dan mengatakan letih dan lapar kerana berpuasa. Bukankah ini melambangkan satu sikap negatif terhadap ibadah puasa sekaligus memberikan gambaran serong kepada masyarakat lain mengenai kebaikan ibadah puasa. Adakah puasa itu membebankan? Ini tidak selaras dengan dasar agama.

Kedua si ibu memberikan keluarganya minuman COCA COLA untuk berbuka puasa. Air gas diminum untuk mengisi perut kosong. Memandangkan anak-anaknya menjadi bertenaga dan aktif setelah minum COCA COLA, si ibu pun bertekad untuk memberikan minuman itu setiap hari. Perbuatan minum air bergas sedemikian setiap hari sangat merbahaya dan memudaratkan. Masyarakat Melayu di Singapura ternyata mempunyai masalah kencing manis yang sangat serius, maka perbuatan radio menggalakkan mereka meminum air bergas sedemikian akan memburukkan lagi keadaan. Ini langsung tidak selaras dengan dasar kesihatan negara malah merosakkan lagi. Perbuatan ini juga merupakan sesuatu yang boleh membingungkan pendengar kerana pihak radio juga sibuk mempromosikan baranga-barangan kesihatan dan menggalakkan para pendengar supaya mengikuti gaya hidup sihat. Perbuatan seumpama ini hanya akan mengelirukan masyarakat Melayu yang sangat-sangat memerlukan bimbingan.

Dalam konteks ini, pihak media harus sedar dan akur bahawa tidak semua orang boleh membuat penilaian secara logikal. Malah ramai yang mudah termakan dengan iklan di media massa. Jika tidak mana mungkin iklan menjadi sumber kewangan terunggul media massa dan mana mungkin para peniaga mahu melaburkan jutaan dolar untuk iklan?
12

Discussion

  1. abdul  September 7, 2010

    Media massa sememangnya memainkan peranan penting bagi mendidik masyarakat untuk membuat pilihan berdasarkan keperluan masing-masing. Istilah Inggerisnya lebih dikenali sebagai ‘consumer needs’. Namun demikian, media massa ada kalanya menyalahgunakan kuasa yang diraih supaya dapat terus menarik perhatian para peniaga untuk melabur dalam iklan. Hakikat ini memastikan penakatan media massa dalam bidang pengiklanan. Dalam hal ini, bukan sahaja masyarakat Melayu yang akan terjejas malah mereka yang berlainan bangsa dan agama akan turut termakan dan terpengaruh oleh ‘pujuk rayu’ iklan-iklan sedemikian. Sebagai contoh, cawangan-cawangan yang memerikan khidmat untuk menghilangkan berat badan yang berlebihan seperti Marie France Bodyline dan London Slimming Centre akan menggunakan pragawati yang rupawan serta memiliki bentuk badan yang menarik untuk mempengaruhi orang ramai supaya menggunakan khidmat mereka walhal tidak semua orang yang akan mendapat bentuk badan yang sedemikian selepas menjalani rawatan. Oleh yang demikian, seseorang itu harus lebih peka dan berhati-hati serta tahu membuat pilihan yang bernas apabila mendengar sesuatu iklan yang cuba mempromosikan barangan dengan menggunakan taktik-taktik yang dianggap melewati etika yang sebenar.

    (reply)
  2. sitinoraishasenin  September 7, 2010

    Media massa adakalanya melewati garisan-garisan etika dan budaya semata-mata untuk meraih keuntungan. Apa yang dipentingkan adalah penglarisan produk-produk yang diiklankan supaya tampak efektif dan secara langsung menggalakkan lebih ramai syarikat-syarikat untuk menggunakan wadah media massa bagi keperluan pengiklanan mereka. Sikap kapitalis yang didukung media massa akan memudaratkan keadaan sosial masyarakat. Orang Melayu Singapura mudah dipengaruhi oleh iklan-iklan di media massa. Oleh sebab media massa bersangkut-paut dengan hiburan, orang Melayu Singapura akan lebih terdedah dengan iklan-iklan yang diselingkan dengan lagu-lagu dan program-program di radio mahupun televisyen. Iklan oleh Kedai Emas Kampung Melayu yang disiarkan saluran televisyen Suria menggalakkan orang Melayu Singapura untuk berhutang. Walhal, sebagai Muslim, kita tidak digalakkan untuk berhutang apalagi untuk perkara seremeh seperti perhiasan diri. Aksi dalam iklan yang menunjukkan Mastura Ahmad malu dengan keadaannya yang tidak mempunyai emas untuk dipakai memberikan penonton pemikiran bahawasanya emas adalah suatu keperluan kerana jika tidak mempunyai perhiasan emas, seharusnya seseorang itu berasa malu. Mesej yang disalurkan ini akan hanya menambahkan sikap materialistik di kalangan orang Melayu Singapura. Saya fikir satu badan pemantau perlu ditubuhkan untuk memantau iklan-iklan yang akan disiarkan dalam media massa.Siti Noraisha Binte Mohamed SeninS0900019A

    (reply)
  3. shahedabintalib  September 7, 2010

    Tidak dinafikan, media massa banyak mempengaruhi pemikiran masyarakat umum dari pelbagai sudut. Radio, umpamamnya, berjaya menjadi wadah untuk menyampaikan mesej ataupun pengiklanan. Seperti contoh, di dalam bulan Ramadan ini, kita dalam mendengar pelbagai jenis iklan yang tidak putus-putus diudarakan setiap hari. Baru-baru ini pula, radio Ria telah mengudarakan sebuah iklan yang bertujuan untuk menyeru mereka yang telah pergi merantau ke luar negara untuk pulang dan beraya bersama keluarga di Singapura. Ringkasnya, iklan itu berkonsepkan mini sketsa komedi mengenai seorang bapa yang telah menipu anak-anaknya, dengan menggunakan alasan bahawa beliau akan bercerai dengan ibu mereka. Bapa itu berharap agar anak-anaknya akan kembali untuk beraya bersama. Akhirnya, anak-anak beliau yang sememangnya tidak ingin ibu bapanya bercerai telah mengambil keputusan untuk kembali ke Singapura. Natijahnya, ia telah dilakukan agar anak-anaknya yang telah merantau, kembali dan dapat bersama di pagi raya. Sememangnya, mesej yang ingin disampaikan ialah supaya ingin menggalak mereka yang telah pergi merantau sama ada atas alasan kerja ataupun menyambung pelajaran untuk kembali ke pangkuan keluarga kerana beraya tanpa anak-anak yang tersayang amat menyedihkan dan tidak meriah. Namun demikian, dengan menggunakan alasan penceraian memaparkan bahawa ia merupakan sesuatu yang boleh diambil ringan dan dijadikan bahan untuk dipersendakan. Walhal, agama amat menitikberatkan isu penceraian dan ini tidak boleh dijadikan bahan untuk dipermainkan. Kata bercerai atau penceraian amatlah sensitif. Akhir sekali, kita tidak boleh sewenang-wenangnya menggunakan kata-kata seperti bercerai untuk menagih perhatian daripada orang yang tersayang kerana ia merupakan satu doa yang mungkin akan menjadi kenyataan suatu hari nanti. Shaheda Bte SalimS0900016K

    (reply)
  4. Hairani Asri  September 7, 2010

    Etika dalam media massa hari ini sudah jauh berbeza berbanding dengan masa lalu. Dewasa ini, media massa semakin bersifat kapitalis,(seperti yang telah disebutkan oleh Aisha) dan iklan-iklan yang mempromosikan nilai-nilai positif sudah berkurangan. Hakikatnya, lumrah manusia yang mudah tertarik kepada perkara-perkara yang menarik menjadikan media massa satu wadah yang amat berpengaruh. Ini secara tidak langsung menyumbang kepada gejala sosial dalam masyarakat atau memburukkan lagi keadaan sosial yang sedia ada, terutamanya di kalangan masyarakat Melayu.Antara komersil yang amat menarik bagi saya adalah iklan tentang 'Brain Booster' di radio dan televisyen Melayu setempat. Produk tersebut merupakan sejenis minuman khas yang dikatakan dapat meningkatkan kecerdasan dan kecergasan anak-anak. Ibu bapa yang ditemuramah akur bahawa produk tersebut telah membantu anak-anak mereka yang lemah dalam pelajaran. Sebagai contoh, si polan menyatakan bahawa anak lelakinya mendapat Gred A setelah sekian lama mendapat Gred F dalam salah satu mata pelajarannya dan hal ini berlaku selepas anaknya diberikan minuman Brain Booster tersebut! Sememangnya, tidak dapat dinafikan bahawa minuman tersebut mengandungi zat yang diperlukan oleh si anak untuk meningkatkan tahap kecerdasan dan kecergasannya, namun ibu bapa harus sedar bahawa pretasi anak-anak dalam pelajaran tetap bergantung kepada sikap rajin berusaha dan mengulangkaji pelajaran, bukan kerana minuman 'Brain Booster' semata.

    (reply)
  5. Ariff Rizwan Sahab  September 7, 2010

    Iklan Coca-cola yang dimainkan di colong radio stesen Warna selepas azan Maghrib berkumandang mengajar umat Islam supaya berbuka puasa dengan minuman berkarbonat Coca-cola. Ini sama sekali bertentangan dengan sunnah Rasulullah (s.a.w) yang berbuka puasa dengan buah kurma. Hyperliberalisme yang berleluasa pada hari ini tidak bermakna sunnah Rasulullah (s.a.w) boleh diketepikan. Badan-badan Islam khususnya Muis harus mainkan peranan untuk memantau hal-hal sedemikian bagi memastikan kesucian sunnah Rasulullah (s.a.w) tidak tercemar.

    (reply)
  6. shashasha affan  September 7, 2010

    Tujuan utama pengiklanan adalah untuk mempengaruhi minda pembeli agar membeli produk mereka. Sebuah iklan seharusnya dapat menangkap perhatian pembeli agar melihat atau mendengarnya. Oleh kerana itu, bahasa yang digunakan dan imej yang digambarkan memainkan peranan penting kepada manusia sejagat. Dengan cara ini, barulah ia dapat meyakinkan pembeli untuk membeli produk tersebut. Namun demikian, iklan juga membawa kesan yang negatif kepada semua lapisan masyarakat. Sepanjang bulan Ramadhan ini, radio tempatan 94.2 FM menyiarkan pelbagai iklan yang boleh membawa kesan jangka panjang yang negatif kepada masyarakat Melayu Islam. Seperti contoh, iklan kedai Aniz(baju) menarik pelanggan dengan mengatakan harga baju raya yang dijual sangat murah. Apa yang sangat menyakitkan telinga ialah apabila kedengaran suara seorang kanak-kanak mengatakan “murah gila”. Istilah ‘gila’ itu sebenarnya dalam konteks bahasa Melayu adalah bahasa kasar tetapi ia tetap digunakan dalam iklan tersebut dan lebih-lebih lagi, seorang kanak-kanak terlibat dalam iklan tersebut. Apakah objektif yang sebenarnya hendak disampaikan oleh iklan tersebut? Menarik pelanggan membeli baju atau menggambarkan masyarakat Melayu Islam yang sudah leka dengan bahasa Melayu? Walhal, perkataan ‘gila’ boleh digantikan dengan pelbagai perkataan seperti sangat murah atau sungguh murah. Sememangnya, kosa kata bahasa Melayu lebih luas daripada itu dan sesebuah bahasa seharusnya digunakan dengan sebaik-baiknya.Sememangnya, media massa memikul tanggungjawab yang berat kerana menyiarkan iklan di tv mahupun di radio. Sudah pasti di Bulan Ramadhan ini, ramai yang mendengar radio sebelum sahur dan berbuka puasa. Iklan sedemikian hanya akan mempengaruhi kanak-kanak untuk mengikut apa yang telah didengar atau dilihat mereka. Oleh kerana itu, iklan sememangnya memberi pengaruh yang mendalam kepada setiap individual. Jikalau apa yang disiarkan memberikan kesan yang negatif, maka ia bukan sahaja akan merosakkan bahasa tetapi juga sesebuah masyarakat.SHAHIRAH BT. AFFANS0900018D

    (reply)
  7. Sitti Maisarah  September 7, 2010

    Saya setuju bahawa iklan-iklan yang sering dimainkan di radio memang melanggar etika periklanan. Iklan Coca Cola seperti tertera di atas bukan sahaja melanggar dasar agama dan membawa kepada penyakit malah, ia juga dapat mempengaruhi pemikiran kanak-kanak. Iklan sedemikian dapat memberi ideologi kepada kanak-kanak bahawa puasa itu sesuatu yang memenatkan dan meletihkan lantas, mereka akan rasa bahawa puasa itu sebuah perkara yang membebankan dan memudaratkan tetapi menurut agama Islam, ia bukan sesuatu yang memudaratkan malah, ia membantu sistem pemakanan dalam badan kita untuk rehat dan berfungsi dengan sempurna. Kajian menunjukkan bahawa puasa itu merupakan suatu perkara yang sihat dan dapat menghilangkan beberapa penyakit. Doktor-doktor kini, samada Islam ataupun tidak, menyarankan dan bersetuju bahawa puasa itu dapat membantu sistem penghadaman dengan sempurna. Oleh sebab itu, terlahirlah konsep diet.Sitti Maisarah bte Abu BakarS0900021A

    (reply)
  8. sally  September 7, 2010

    Media Massa telah merosakkan dan mempengaruhi ramai orang Melayu untuk melakukan perkara-perkara negatif. Seperti yang dikatakan di atas, warna 94.2 FM sentiasa mengudarakan iklan untuk minum air Coca-Cola selepas buka. Ia menunjukkan tanda buruk kepada umat Islam untuk minum air yang bergas itu untuk buka. Bahan di dalam air bergas itu mengangdungi bahan yang tidak sihat kepada badan kita. Oleh itu, mengapa orang Melayu masih mahu minum air yang tidak menyihatkan badan kita?Warna 94.2FM juga telah mengudarakan iklan yang baik seperti yang sering didengar iaitu, iklan untuk berhenti merokok. Seorang anak telah merayu kepada bapanya untuk berhenti merokok. Walau bagaimanapun, bapanya tidak mahu mendengar kata anaknya kerana anaknya masih mudah dan tidak tahu apa-apa. Namun, anaknya lebih pandai daripada bapanya kerana rokok mengangdungi bahan yang boleh merosakkan organ di dalam badan kita.Hal ini menunjukkan bahawa orang Melayu ada hak untuk membuat pilihan yang wajar. Jikalau seseorang itu memilih untuk melakukan perbuatan yang buruk, akibatnya kemungkinan terpengaruh dengan media massa dan juga mengikut kepada nafsunya sendiri. Jikalau seseorang itu memilih yang sebaliknya, dia adalah seorang yang berfikiran rasional dan tidak mudah dipengaruhi dengan media massa.Siti Salmah Binte HamidS0900020D

    (reply)
  9. Nur Syazwani♥  September 7, 2010

    Media massa mempunyai banyak pengaruh terhadap para pendengar, penonton dan khalayak sejagat. Sememangnya, iklan-iklan yang disiarkan di radio atau sebagainya, sedikit sebanyak mempengaruhi khalayak mereka dan ini dapat dibuktikan dengan pelbagai produk yang popular di kalangan masyarakat kerana pengiklanan sebegini. Misalnya, iklan pengutipan dana bagi TAA sering disiarkan di radio. Suara-suara anak kecil digunakan bagi mengumpan simpati orang ramai dengan mengetengahkan kesusahan yang mereka alami. Ianya amat negatif kerana anak Melayu kecil ini harus menjadi bahan perwatakan mereka bagi mengumpul dana. Secara tidak langsung, ia juga telah menonjolkan masalah orang Melayu selama ini, iaitu, pengangguran dan kemiskinan kerana sifat malas atau sebagainya.Nur Syazwani ShaibaniS0900012L

    (reply)
  10. Shahirah Samsudin  September 7, 2010

    "Kamu boleh buat pilihan kamu sendiri; Kami hanya mengiklankan produk tersebut." Itulah alasan yang sering sahaja diberikan pihak media massa setiap kali ada yang membahaskan iklan-iklan yang kurang sesuai. Namun demikian, mereka tidak sedar bahawa mereka merupakan satu media yang sangat mempengaruhi. Ya, memang setiap pendengar atau penonton perlu bertanggungjawab atas pilihan masing-masing tapi PERLUKAH iklan-iklan itu dimainkan? Kedua, saya sebagai pendengar atau penonton sedar tentang kepentingan media sebagai ruang atau platform untuk mempromosikan atau mengiklankan sesuatu. Tanpa iklan, sesuatu produk itu mungkin tidak akan mendapat perhatian dan ini akan menjejaskan perniagaan dan sebagainya. Namun demikian, saya berpendapat bahawa terdapat pelbagai cara alternatif yang juga menarik yang boleh digunakan untuk mengiklankan sesuatu. Contoh, Iklan tentang seorang suri rumah yang impikan membeli barang kemas sedangkan suaminya sedang menganggur itu tidak praktikal. Tujuan Iklan Itu :Memberitahu masyarakat Melayu bahawa mereka masih lagi ada harapan untuk memiliki barang kemas sekiranya mereka tidak mampu kerana khidmat pakai dulu bayar kemudian boleh digunakan. Kesan Iklan itu :Suri-suri rumah atau orang-orang yang tidak berkemampuan akan mula tertarik dengan tawaran tersebut dan akan mula terjebak dengan gejala hutang piutang pula. Orang-orang akan mula berfikiran bahawa keadaan mereka yang susah itu tidak perlu dirisaukan lagi kerana wujud khidmat-khidmat sedemikian.Cara Alternatif:Mungkin iklan itu boleh menekankan diskaun atau promosi harga murah di kedai emas itu menerusi senario yang berbeza. Senario seorang suami yang ingin membelikan isteri hadiah ulangtahun perkahwinan yang sudah lama tidak disambut boleh digunakan. Dalam iklan ini, lelaki itu sedih kerana sudah lama tidak memberi sesuatu yang istimewa kepada isteri. Di situlah, tawaran atau promosi harga hebat kedai emas itu diwawarkan kepadanya mungkin menerusi seorang teman. Kesan cara alternatif :Kesan dasarnya tetap sama iaitu mempengaruhi pendengar tentang promosi harga hebat itu. Tetapi kesannya terhadap pemikiran dan persepsi masyarakat berbeza. Iklan ini mempromosikan tawaran harga hebat itu menerusi satu cara yang praktikal. Ia tidak menonjolkan mana-mana idea-idea yang salah atau songsang seperti sanggup membeli barang kemas walaupun hidup susah. Ia sekadar menunjukkan seorang suami yang mahu membelikan hadiah istimewa untuk isteri tapi tidak tahu apa dan di mana. Saya setuju bahawa setiap pendengar bertanggungjawab atas pilihan sendiri. Namun demikian, saya juga berpendapat bahawa media massa harus menghadkan pengaruh NEGATIFNYA terhadap masyarakat Melayu.Masyarakat Melayu sangat naive dan senang terpengaruh dan dengan kewujudan masalah-masalah dalam masyarakat Melayu, media massa sepatutnya membantu menyelesaikan masalah ini dan bukan menambahnya.SHAHIRAH SAMSUDINS0900017G

    (reply)
  11. IAN SIRNA AZALI  September 8, 2010

    Sepanjang bulan Ramadhan, pelbagai iklan dan program baru yang dapat kita dengar melalui radio dan televisyen. Radio khususnya, telah memainkan peranan yang amat luas sekali dalam penyebaran matlumat. Antara matlumat yang disebarnya ialah iklan-iklan produk yang ada dipasaran serta ilmu pengetahuan umum, ‘general knowledge’. Selain itu dapat dilihat kerakusan pihak pemasaran untuk meraih keuntungan besar daripada produk yang dijualnya. Lantas apa yang ingin dikatakan ialah marcapada ini mementingkan harta dan wang sehingga segala maruah sanggup digadai.Setiap hari dan hapir pada setiap jam, akan terdengar iklan-iklan produk seperti minuman Coca-cola dan juga barangan emas seperti yang giat dipromosikan oleh Kedai Emas Kampung Melayu. Tindak laku Kedai Emas Kampung Melayu untuk mempromosikan barangan emas dengan memberi matlumat tentang emas, seperti datangnya emas, kegunaan emas, nilai emas dan sebagainya adalah cara yang boleh dilihat sebagai sesuatu yang positif dan boleh diterima akal. Ini adalah kerana iklan seperti ini mendidik para konsumer dalam hal-hal ilmu pengetahuan umum agar seseorang itu akan dapat menilaikan lagi barangan emas. Namun demikian, walaupun iklan seperti ini adalah baik, ia sebenarnya menggunakan dekatan psikologi yang mampu menarik perhatian seseorang itu. Pihak pemasaran agak bijak untuk menggunakan ‘marketing psychology’ atau psikologi pemasaran serta ‘reverse psychology’ untuk menarik perhatian serta keinginan pendengar. Perhatian atau keinginan dapat diperangkap melalui cara pihak pemasaran dan pengiklanan yang mampu membuat seseorang itu berfikir bahawa barangan emas sebenarnya bernilai tinggi dan elok untuk dibeli dan disimpan sebagai koleksi harta yang bernilai. Lalu, dapatlah dikatakan bahawa pengiklanan yang berunsur didikan ini sebenarnya mampu menyelewengkan tanggapan atau firasat pendengar mengenai produk emas yang dipromisikan oleh pihak media.

    (reply)
  12. IAN SIRNA AZALI  September 8, 2010

    Selain dari itu, agak janggal sekali jika pada bulan Ramadhan, melalui radio Melayu Islam, tidak kedengaran laungan azan atau pengumuman waktu berbuka puasa. Hal ini dapat ditelitikan pada saluran radio Mediacorp, RIA, yang tidak melakukan seperti mana yang diperkatakan tadi. Pada suatu sesi berdialog dan kunjungan ke Mediacorp Radio yang diadakan pada awal tahun ini, pernah disoalkan mengapa pihak Radio RIA tidak menonjolkan perkara yang berkaitan agama. Semestinya, jawapan yang diberi oleh penyampai radio ketika itu mengatakan bahawa mereka diberi masa yang terhad untuk mempraktikan segala yang bersangkut-paut dengan agama oleh Pengerusi Mediacorp, dan hanya Radio WARNA sahaja merupakan saluran radio yang dibenarkan untuk memutarkan program-program berbentuk keagamaaan. Malangnya, pihak Radio RIA tidak mengambil inisiatif yang molek untuk sekecil-kecilnya membuat pengumuman tentang waktu berbuka puasa. Pada pendapat saya, pengumunan seperti ini tidaklah akan mengambil masa yang terlampau daripada program asal Radio RIA dan juga tidak menekankan apa-apa bersangkutan dengan agama. Sungguh malang sekali dalam sepanjang bulan Ramadhan, Radio RIA memainkan lagu-lagu yang terus akan mengkhayalkan para pendengar akan ketibaan waktu-waktu solat, khususnya waktu berbuka.Ketika mendengar radio saluran RIA khusunya pada 4 September 2010, pada rancangan yang dikendalikan oleh penyampai radio Nity Baizura sekitar jam enam hingga sepuluh malam, penyampai radio ini telah dengan sengaja atau tidak mempromosikan perlakuan tidak moral kepada pendengarnya yang rata-rata pelajar semuanya. Hal ini diketahui ketika penyampai radio itu membacakan sebuah emel daripada seorang pelajar yang telah mengatakan bahawa dia sedih kerana kehilangan talipon bimbitnya dan ingin melaporkan kehilangan talipon bimbitnya itu dibalai polis selepas itu. Nasihat yang diberi oleh penyampai radio ini dianggap telah melanggar etika. Penyampai radio bagai sengaja mempromosikan kelakuan tidak moral itu. Dia menasihati bahawa agar kita harus memastikan bahawa tiada gambar-gambar atau video-video yang sensasi yang terdapat dalam talipon bimbit kita kerana kalau talipon bimbit itu hilang, pastinya akan tersebar kandungan sensasi itu. Yang dikatakan tidak bermoral dan beretika ialah apabila dia mengatakan bahawa kalau pelajar ingin mengambil gambar sensasi, boleh tetapi pastikan untuk ‘delete’ daripada simpanan di talipon bimbit itu. Dengan menyatakan sedemikian, penyampai ini telah mengatakan kepada semua pendengar remaja yang melakukan perkara-perkara yang dikatakan sumbang, tidak bermoral, melanggar aqidah dan perlakuan seksual, dibenarkan dan boleh dilakukan. Ini adalah kerana dia menekankan yang kalau seseorang itu ingin mengambil gambar seperti ini sememangnya boleh tetapi perlu dihakis dari simpanan atau dari memori talipon bimbit mereka selepas itu. Nyata di sini, bahawa ketika dalam bulan yang mulia ini, terdapat penyampai radio yang hanya berkata kosong dan tidak berunsurkan ilmu yang baik. Lantas, dapatlah dilihat dari sini yang bangsa Melayu akan rosak akibat pengaruh media yang dianggap ganas dan rakus. Akibat daripada keinginan untuk mengkorporatkan demi keuntungan wang-ringgit, maruah, tata-susila, pekerti dan kesantunan habis tergadai. Eloklah jika pihak media saluran radio Melayu Islam, cuba memperjuangkan sedikit kebaikan dalam bahan-bahan yang disampaikan.Mohd.SophianS0900011C

    (reply)

Add a Comment