Blog / News

Posted by:

Dalam sejarah Melayu, zaman kegemilangan dan keemasan Melayu berlaku semasa zaman kerajaan Melaka. Pada zaman itu bermula dengan kepimpinan Sultan Muzafar Shah, bendahara Tun Perak dan Laksamana Hang Tuah, kerajaan Melaka terus tersebar luas, gagah dan penuh kekayaan. Namun demikian, keadaan berubah setelah kehilangan para pemimpin perkasa ini. Kerajaan Melaka terus hancur, hilang dan tiada lagi di muka bumi ini. Tiada langsung tinggalan sejarah yang dapat membuktikan adanya satu kerajaan berkuasa ini kecuali dalam kitab-kitab sejarah. Dua pengajaran yang boleh didapati dari sini ialah: Kepimpinan dan pendokumentasian.
11

Discussion

  1. Sitti Maisarah  July 14, 2010

    Kepimpinan itu biasanya suatu jawatan bagi seseorang yang dipercayai dan diberi tanggungjawab yang amat berat sekali. Kepimpinan yang dikemukakan dalam teks tersebut menunjukkan keupayaan pemimpin-pemimpin Melaka pada masa dahulu yang gagah dalam menangani sebuah negara. Kepimpinan seringkali dipersoalkan kepentingan terhadap sesebuah negara, masyarakat dan sebagainya. Ternyata ia menunjukkan bahawa orang yang dipilih untuk menjadi pemimpin haruslah bersifat tanggungjawab dan ada perasaan kewajiban dalam melaksanakan sesuatu untuk negara dan masyarakat.Pendokumentasian merupakan satu bahan yang dapat dijadikan bukti bahawa sesuatu perkara pernah terjadi. Kebaikan pendokumentasian ialah ia membolehkan seseorang untuk mempelajari dan meneladani dalam menangani masalah-masalah yang timbul pada masa lalu supaya masalah yang sama tidak akan timbul kembali.Pendokumentasian boleh termasuk penulisan rekod mengenai sesuatu masyarakat pada zaman tradisional ataupun mengumpulkan khazanah-khazanah yang boleh dijadikan warisan untuk membuktikan bagi generasi yang bakal mewarisi budaya dan bangsa masyarakat Melayu.Sitti Maisarah bte Abu BakarS0900021A

    (reply)
  2. ¡Mþ€rf€çt£¥ ߀åût¡Fü£♥  July 14, 2010

    Sesungguhnya, seorang pemimpin itu memainkan peranan yang terpenting dalam mentadbirkan sebuah negara untuk menjadi sebuah negara yang makmur dan gemilang. Kepimpinan yang lemah akan menyebabkan kejatuhan suatu negara itu, lantas, menjejaskan kehidupan rakyatnya.Kejadian yang berlaku ke atas Melaka ini tidak dapat dibuktikan kerana ketiadaan pendokumentasian yang menyatakan bahawa ia pernah menjadi negara yang makmur dan berjaya dalam segi kepimpinannya. Oleh sebab ini, pendokumentasian itu amat penting kerana tanpa catatan atas hitam dan putih, semuanya tidak boleh dipercayai.Sayang sekali, kerana kebanyakan khazanah dan sejarah Melayu dipercayai tidak wujud. Jikalau dokumentasi ada bagi setiap sejarah dan kejadian di alam Melayu ini, tentu sekali khazanah Melayu akan menjadi lebih kukuh dan kewujudan orang-orang seperti Hang Tuah, Hang Jebat dan sebagainya tidak menjadi sebuah tanda tanya di kalangan pengkaji.Oleh itu, secara keseluruhan, saya berpendapat bahawa kepimpinan dan pendokumentasian itu sama penting dalam erti kata menyemai dan mengukuhkan sesuatu. Kepimpinan penting bagi pentadbiran sebuah negara dan pendokumentasian penting bagi menyimpan segala kejadian dahulu di alam melayu sebagai bukti adanya sesuatu perkara yang penting dan signifikan pernah berlaku.

    (reply)
  3. shahedabintalib  July 14, 2010

    Kepimpinan dan pendokumentasian merupakan dua faktor yang penting yang perlu dititikberatkan. Kejatuhan pemerintahan Melaka perlu dijadikan ikhtibar kepada masyarakat Melayu agar sejarah itu tidak berulang lagi. Namun demikian, malangnya, masyarakat Melayu masih belum sedar lagi bahawa kesilapan besar yang dilakukan sejak awal tamadun telah menyebabkan orang Melayu kita dipandang hina dan terumbang-ambing kini tanpa bukti sejarah yang mampu kukuh yang mampu dibanggakan mahupun dimegahkan. Kepimpinan merupakan kelemahan utama orang-orang Melayu. Ini jelas dapat dilihat dan diteliti dalam kebanyakan karya-karya yang dituliskan oleh penulis-penulis mapan kita seperti Mohamad Latif Mohamad dan Suratman Markasan. Tema utama yang sering diketengahkan ialah masalah kepimpinan. Baik dari segi kepimpinan dalam sesebuah organisasi mahupun sebuah pertubuhan, orang Melayu seringkali gagal untuk menjadi seorang pemimpin yang mampu melaksanakan tanggungjawab dengan baik dan sempurna. Sikap ini harus diubah. Kita harus belajar dari kesilapan yang lalu daripada mengulangnya kembali.Orang Melayu juga telah gagal untuk mempertahankan khazanah-khazanah Melayu yang telah dihasilkan oleh pujangga-pujangga zaman terdahulu. Kini, sejarah Melayu sedang dipersoalkan kerana kita hanya mempunyai beberapa kitab-kitab sejarah untuk membuktikan kewujudan tamadun Melayu seperti Hang Tuah dan Hang Jebat. Oleh yang demikian, orang Melayu seharusnya bangkit dan sedar bahawa pendokumentasian itu penting agar zaman akan datang akan dapat mengenali sosiobudaya orang Melayu pada zaman yang tertentu. Usaha yang ditunjukkan oleh ASAS ’50 dalam memperkembangkan persuratan Melayu harus dicontohi dan diikuti agar khazanah Melayu kian bertambah dan terus dapat dijadikan bahan dokumentasi untuk pengamatan generasi seterusnya.-Shaheda-

    (reply)
  4. Shahirah Samsudin  July 14, 2010

    Peristiwa kerajaan Melaka ini merupakan satu tamparan bagi kedua-dua dunia kepimpinan dan dunia pendokumentasian sejarah. Pendokumentasian sejarah merupakan aspek yang amat penting. Walaupun nilainya pada ketika itu belum jelas kelihatan sebagai penting, nilai ini akan terus meningkat demi masa. Pendokumentasian boleh dilakukan menerusi pelbagai cara. Antaranya penulisan. Pendekatan karya sastera sebagai bahan dokumentasi sosiobudaya menunjukkan kepentingan untuk merakam sesuatu hal. Salah satu kepentingannya adalah untuk catatan sejarah. Menerusi pendokumetasian, satu-satu hal yang dikatakan pernah berlaku boleh dibukti menerusi bahan-bahan ini. Kedua, pendokumentasian boleh menjadikan sejarah sebagai guru kehidupan. Kewujudan pendokumentasian sejarah akan menunjukkan kesalahan dan kejayaan seseorang. Dari situ, seseorang dapat mempelajari dan mengambil iktibar dari pengajaran itu. Tanpa bahan-bahan dokumentasi, tempat atau negara itu boleh dikatakan seperti tidak ada sejarah kerana tidak ada bukti. Sejarah itu seperti terbuang. Oleh itu, masyarakat kini digalakkan menulis, merakam, melukis dan sebagainya supaya bahan-bahan ini boleh dijadikan bahan dokumentasi pada masa hadapan. Ini merupakan salah satu kepentingan dunia penulisan dan persuratan. Satu lagi aspek iaitu kepimpinan itu penting dalam satu-satu masyarakat. Namun demikian, perlukah masyarakat itu bergantung sepenuhnya kepada pemimpin itu ? Seharusnya tidak. Sifat terlalu bergantung kepada seseorang Akan menjadikan seseorang itu malas untuk berusaha sendiri. Pada jangka masa panjang, sifat ini Akan menjadikan seluruh masyarakat itu bebal. Dan sampai masa sesuatu terjadi kepada pemimpin itu, masyarakat itu terasa kehilangan satu tunggak penting dalam kehidupan mereka. Ini menyebabkan mereka hilang harapan kerana merek terlalu bergantung kepada seseorang itu. Pada masa kini, adalah penting untuk menekankan kepentingan berdikari walaupun masih mengikuti asas-asas pemerintah. Jika pemimpin itu hilang, sekurang-kurangnya mereka masih boleh meneruskan kehidupan kerana sudah biasa hidup berdikari. Shahirah SamsudinS0900017G

    (reply)
  5. Ariff Rizwan Sahab  July 14, 2010

    Saya bersetuju dengan pandangan yang diberikan Cik Maisarah, iaitu pemimpin memikul tanggungjawab yang berat sekali. Namun, jikalau kita lihat pada hari ini, isu kepimpinan wajar diperdebatkan. Persoalannya, siapakah yang layak menjadi seorang pemimpin? Ada negara memilih pemimpin mengikut meritokrasi, ada negara pula memilih pemimpin yang mempunyai retorik dalam hujah-hujahnya dan tidak dapat dinafikan, ada juga pemimpin yang dipilih secara pilih kasih dan tidak adil.Nilai seorang pemimpin itu berbeza mengikut konteks sosiobudaya dalam sesebuah negara atau zaman. Seperti contoh, pada zaman pasca perpisahan, seorang pemimpin itu dipilih berdasarkan sistem demokrasi, oleh itu, jikalau seseorang itu mempunyai keyakinan tinggi dan mempunyai kebolehan untuk meyakinkan, maka dia akan dipilih sebagai pemimpin. Oleh itu, persoalan siapa yang layak menjadi seorang pemimpin masih menjadi tanda tanya sehingga hari ini.Zaman kegemilangan Melaka yang diagung-agung selama ini telah menjadi satu perdebatan yang menarik. Jikalau kita lihat Hikayat Hang Tuah, Sultan Melaka pada zaman itu dikatakan telah membina sebuah jambatan emas dari Istana ke Gunung Ledang. Namun, perdebatannya adalah, jikalau benar jambatan emas itu dibina dan zaman kegemilangan Sultan Melaka wujud, apakah ada bukti atau artifek yang sudah dijumpai? Jikalau Hang Tuah benar-benar wujud, dimanakah makamnya? Oleh itu, dapat dirumuskan bahawa pendokumentasian Sejarah Melayu karangan Tun Seri Lanang boleh dipertikaikan akan kebenaran faktanya.Wallahualam bissawab.

    (reply)
  6. Hairani Asri  July 14, 2010

    Setiap pemimpin mempunyai gaya kepimpinan yang berbeza. Walau bagaimanapun, faktor yang menentukan keberkesanan seorang pemimpin itu terletak pada pembangunan yang berlaku dalam sesebuah tamadun atau bangsa itu di bawah kepimpinannya. Oleh sebab itu, pendokumentasian memainkan peranan yang penting kerana ia membolehkan penyelidik atau generasi akan datang membezakan kemampuan pemimpin masa kini dengan yang lalu. Pada masa yang sama, ia membuktikan kewujudan tamadun dan pemimpinnya pada waktu itu.Sebagai contoh, kepimpinan Firaun yang bersifat perhambaan dan kekejaman sehingga akhirnya dibasmikan oleh kuasa Tuhan telah didokumentasikan dalam kitab Al-Quran. Maka, kewujudan pemerintahan Firaun pada masa lampau sememangnya benar.Hakikatnya, pendokumentasian adalah pemangkin kepada perkembangan sejarah dan secara tidak langsung membantu generasi pemimpin akan datang meraih manfaat dan pengajaran daripada rakaman sejarah tersebut. Dengan cara sedemikian, ia dapat membangunkan masyarakat supaya tidak tertakluk di takuk lama.Hairani

    (reply)
  7. shashasha affan  July 14, 2010

    Seorang pemimpin memainkan pelbagai peranan. Tanpa mereka, maka kucar kacirlah keadaaannya bak pepatah 'patah kemudi perahu hanyut'.Pemimipin mempunyai tanggungjawab yang besar kerana dia harus menjaga rakyatnya dan pada masa yang sama, mengharumkan nama baik negaranya. Kerajaan Melaka sememangnya telah berjaya melakukan sedemikian dengan bukti nama-nama mereka yang terpahat dalam sejarah Melayu. Hingga hari ini, mereka masih diingati dan disanjungi kerana telah memimpin negara mereka ke arah kemajuan. Zaman keemilangan dan keemasan merupakan bukti bahawa kerajaan Melaka telah berjaya melaksanakan tanggungjawab mereka.Namun demikian, sekiranya sejarah sedemikian tidak didokumentasikan ke dalam buku, maka hilanglah peristiwa-peristiwa yang pernah dilalui setiap zaman. Orang-orang yang terlibat dalam peristiwa itu juga tidak dapat didokumentasikan kerana sebaik sahaja kehilangan seorang pemimpin, keadaan dalam negara tersebut tidak tentu arah. Kuasa diturunkan kepada sesiapa sahaja yang layak setelah kehilangan pemimpin tersebut. Kepentingan pendokumentasian boleh dilihat daripada perspektif ini. Sekiranya tiada yang mahu mengambil inisiatif untuk mengumpul, menyusun dan merakamkan sejarah yang pernah dilalui datuk nenek moyang mereka, maka hilanglah khazanah budaya/bangsa mereka.Oleh kerana itu, penghasilan buku-buku tentang sesebuah bangsa sangat penting. Usaha ASAS '50 untuk menghasilkan buku-buku dalam pelbagai tema seperti kritikan esei, cerpen-cerpen dan sebagainya merupakan satu usaha yang harus dicontohi oleh pertubuhan-pertubuhan Melayu/Islam di Singapura. Dengan cara ini, sejarah dapat dikekalkan dan diturunkan kepada generasi seterusnya.Shahirah Affan S0900018D

    (reply)
  8. abdul  July 14, 2010

    Saya setuju dengan Hairani bahawasanya seorang keberkesanan seorang pemimpin itu terletak pada pembangunan yang berlaku dalam sesebuah tamadun atau bangsa itu di bawah kepimpinannya.Contoh yang paling baik dalam hal ini ialah penyebaran agama Islam. Agama Islam merakamkan setiap peristiwa yang berlaku kepada nabi-nabi dengan tujuan untuk mendidik serta memberi pengajaran kepada penganut agama Islam. Dengan ini, agama Islam telah berjaya mendokumentasikan sejarah nabi-nabi untuk menjadikan pedoman hidup untuk menghindarkan malapetaka yang serupa yang menimpa kaum Luth umpamanya. Hakikatnya, dokumentasi merupakan cara terbaik bagi golongan manusia yang hidup pada sesebuah zaman untuk membangunkan kehidupan mereka.

    (reply)
  9. sitinoraishasenin  July 14, 2010

    Sultan Muzafar Shah, bendahara Tun Perak dan Laksamana Hang Tuah merupakan para pemimpin yang mempunyai nilai-nilai kepimpinan yang hebat. Buktinya adalah kemajuan kota Melaka itu sendiri. Di sini dapat dilihat bahawasanya para pemimpin yang berkaliber dan mempunyai semangat untuk memperjuangkan bangsa boleh membawa bangsa dan masyarakat mereka kepada kejayaan. Seperti yang dinyatakan oleh Encik Ariff, bukan calang-calang orang perlu diberikan kepercayaan untuk menjadi seseorang pemimpin. Ini kerana kejayaan sesebuah masyarakat atau bangsa itu terletak kepada kepimpinan pemimpin itu sendiri. Oleh itu, keadaan masyarakat adalah cerminan kepada keberkesanan kepimpinan seseorang itu. Jika masyarakat atau bangsanya mempunyai pelbagai masalah dan tidak mengecapi kejayaan, maka pemimpinlah yang tidak efisien, begitu juga jika hal sebaliknya berlaku.Pada pendapat saya, niat yang tulus dan ikhlas dalam menjalankan tugas sebagai seorang pemimpin adalah perlu. Mereka yang hanya menginginkan pengiktirafan sebagai ketua tidak layak memegang jawatan pemimpin. Mengenai pendokumentasian pula, ia menjadi suatu kesilapan orang-orang terdahulu kerana tidak merakamkan kemajuan kota Melaka secara faktual. Hanya kekata daripada karya-karya sastera yang dilihat sebagai bersifat fiksyen yang dikarang. Lantaran itu, bukti kejayaan kota Melaka dipertikaikan oleh beberapa pihak yang skeptikal. Oleh itu, segala kejayaan sesebuah bangsa, negara atau individu sekalipun perlu didokumentasikan sebagai bukti pada masa hadapan.Siti Noraisha Binte Mohamed SeninS0900019A

    (reply)
  10. IAN SIRNA AZALI  July 14, 2010

    Selain daripada isu kepimpinan dan pengdokumentasian yang penting juga dalam memastikan kestabilan tamadun sesuatu bangsa ialah kepuasan dan kesatuan. Apa yang dapat dipelajari daripada sejarah mengenai kejatuhan sesuatu kaum atau tamadun bangsa ialah manusia seringkali tidak merasakan puas dengan apa yang mereka miliki. Hal ini dapat dilihat dalam kisah firaun di mana setiap firaun inginkan piramid yang lebih agung daripada apa yang pernah dibina oleh firaun yang sebelumnya. Nyata dapat dilihat kesan kepimpinan yang zalim atas umatnya yang dimurkai tuhan.Selain dari itu, peristiwa dalam sejarah MElayu menyatakan bahawa kejatuhan SIngapura/Temasek disebabkan perasaan hasad dengki. Sikap Sang Rajuna Tapa yang secara sengaja membuka pintu kota agar tentera Majapahit dapat masuk untuk menyerang. Dan Singapura dikalahkan Majapahit sehingga Raja Iskandar Syah melarikan diri. Hal ini telah menunjukan bahawa kesatuan rakyat atau masyarakat amat diperlukan agar tiada sembarang kekecohan atau perampasan kuasa.Dari kedua contoh ini, ia menegaskan bahawa kepimpinan amat diperlukan. Selain itu jalinan atau hubungan yang baik antara pemimpin dengan rakyatnya perlu ada agar tidak terjadi perselisihan faham.Dokumentasi pula adalah perkara yang kurang dipraktikan oleh masyarkat Melayu. Ini mungkin kerana beberapa perkara seperti kekurangan wang, tidak peka akan keperluannya, dan kurang berpendidikan. Hal kurang pendidikan dan kepekaan dapat dilihat dalam sejarah di mana hanya golongan bangsawan sahaja yang terpelajar dan boleh menulis. Hanya bangsawan sahaja yang dikatakan bijak untuk memberi nasihat, menyelesaikan hal-hal persuratan dan sebagainya. masyarakat biasa pula tidak mempunyai peluang untuk belajar dan menulis. Lantas dapat dilihat yang karya-karya seperti syair dan gurindam serta undang-undang dan sebagainya dari istana dapat disimpan kerana ada didokumenkan. Karya-karya rakyat hilang begitu sahaja dan sering dipertikaikan kesahihannya kerana tiada dokumen mengenainya.Lalu, perlulah sesuatu khazanah atau persuratan itu didokumenkan agar dapat dikesah dan dirujuk oleh sesiapa sahaja.Sophian

    (reply)
  11. sally  July 15, 2010

    Kepimpinan adalah perbuatan yang dilakukan oleh seseorang yang berupaya untuk memimpin manakala pendokumentasian adalah proses mengusahakan seperti mengumpul, merakamkan data-data yang penting lalu dijadikan sebabgai dokumentasi.Dalam setiap negara yang ingin maju, mereka harus ada tenaga manusia yang berupaya untuk memimpin dengan baik. Sebagai contoh, di negara Singapura pemimpin-pemimpin kita prihatin tentang semua perkara terutama sekali dari segi ekonomi negara ini. Pemimpin yang baik akan memikirkan cara-cara serta memberikan bimbingan yang banyak untuk melakukan sesuatu kepada warganya. Wal hal, pendokumentasian ini merujuk kepada sejarah negara tersebut dan bagaimana pemerintah memimpin negara tersebut. Dari situ, pemerintah sekarang dapat menilai mengaplikasikan hal-hal yang efektif sahaja. Justeru, kita dapat tahu cara pemimpin di suatu negara itu melaksanakan pekerjaannya. Sebagai contoh, negara Cina mengamalkan komunisme tetapi negara Singapura mengamalkan demokrasi. Oleh itu, setiap pemerintah ada pebagai cara untuk memimpin sebuah negara.Siti SalmahS0900020D

    (reply)

Add a Comment