Blog / News

Upsi, Asas 50 jalin kerjasama

Posted by:

UPSI

UNIVERSITI Pendidikan Sultan Idris (UPSI)  menandatangani Perjanjian Persefahaman  (MoU) dengan persatuan penulis terkenal di  Singapura, Angkatan Sasterawan 50 (Asas 50)  bagi menggerakkan kegiatan kedua-dua pihak  dalam usaha memartabatkan kesusasteraan  Melayu.

Naib Canselor Upsi, Prof Datuk Dr Aminah  Ayob ketika menandatangani MoU di Bangunan  Canselori, 2 April lalui berkata, Upsi akan meneruskan hubungan kerjasama dengan Asas 50 bagi menyemarakkan kegiatan kesusasteraan walaupun perjanjian persefahaman dimeterai untuk tempoh tiga tahun.

“Wakil Asas 50 akan terus dijemput untuk menyertai aktiviti sastera anjuran Upsi. Universiti ini akan sentiasa berusaha melipatgandakan kegiatan seni sastera seperti forum serta seminar termasuk dengan media seperti Malam Puisi Riong yang diadakan dengan kerjasama Berita Harian dan Kesatuan Koperasi Guru-guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB),” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Pada pertemuan dan kunjungan itu , Asas 50 diwakili Mohd Riche Ghazali dan Masran Sabran (bekas penuntut MPSI), manakala turut hadir mewakili Upsi antaranya Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dr Mohd Mustamam Abdul Karim; Pendaftar, Datuk Rusley Taib; Pengarah , Institut Peradaban Melayu, Prof Emeritus Dr Abdullah Hassan dan Ketua Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Datuk Paduka Dr Mohd Rosli Saludin.

Asas 50 kini giat merancang dan melaksanakan hala tuju baru kesusasteraan Melayu di Singapura dan Cikgu Masran (bekas penuntut MPSI) bertindak sebagai penghubung Asas 50 bersama-sama rakan sastera Melayu di seluruh rantau ini terutama Upsi.

“Golongan belia kini begitu kuat menyokong aktiviti Asas 50 di Singapura sebagai usaha menyemarakkan aktiviti sastera Melayu untuk dikembangkan kepada golongan muda di Singapura,” kata Masran.

Pada tahun lalu, Asas 50 berjaya menerbitkan 15 penerbitan sastera dan kegiatan lain termasuklah konsert bantuan Mangsa Gempa di Haiti bertema Voice of Angel serta mementaskan Bisikan Nadim berdasarkan karya buku terbitan Asas 50.

Posted on 2010/05/11
Berita Harian Online, Malaysia

0

Add a Comment