Blog / News

Perbincangan Isu

Posted by:

Berikan pandangan kamu mengenai isu bahasa Ibunda yang melanda Singapura. Setujukan kamu dengan hasrat MOE mengurangkan pemberatan bagi bahasa Ibunda di peringkat PSLE? Apakah kesan jangka panjang sekiranya hasrat ini menjadi realiti? Bincangkan dalam 200 patah perkataan sahaja.
12

Discussion

  1. IAN SIRNA AZALI  June 7, 2010

    Suatu isu yang dihujahkan sekitar pertengahan bulan April 2010 oleh Menteri Pendidikan, Dr Ng, telah sedikit sebanyak menimbulkan pelbagai reaksi yang berlainan bagi setiap lapisan masyarakat. Namun begitu, adakah tindakan seperti ini wajar? Keputusan harus dinilaikan daripada pelbagai perspektif. Bagi pendapat saya, langkah seperti ini bukanlah merupakan satu-satu jalan penyelesaian bagi isu pelajar yang kurang mahir dalam penguasaan bahasa ibunda. Saya tidak setuju akan perubahan seperti ini kerana dasar perubahan ini, bukan sahaja akan menjejaskan estetika bahasa ibunda yang telah mewarnai negara Singapura, malah ia akan menunjukan ketidakmahiran rakyat Singapura dalam pembelajaran bahasa ibunda itu sendiri. Kita harus akur yang semakin ramai rakyat Singapura yang bertutur dalam bahasa Inggeris baik di rumah ataupun di mana-mana sahaja. Hal ini dapat dilihat menerusi rancangan ‘Detik’ yang mengatakan bahawa hampir 60% keluarga Cina dan India, dan sekitar 30% keluarga Melayu yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa perantaraan dan bahasa tuturan yang utama di rumah. Tren ini dijangkakan akan meningkat pada masa yang akan datang. Namun ini akan menjadi suatu realiti. Apa yang diramalkan mengenai kemerosotan bahasa ibunda pada masa hadapan dapat di ubah daripada terjadi sekiranya pemerintah mengambil sikap konstruktif dalam menangani isu kelemahan pelajar di Singapura dalam bahasa Ibundanya. Pemerintah tidak seharusnya mengambil sikap sambil lewa atau menjalankan satu keputusan demi memudahkan satu-satu pekerjaan.Lagipun, mereka yang merangkul jawatan sebagai menteri pendidikan kebelakangan ini bukan merupakan seorang dari bidang pendidikan seperti guru atau pensyarah yang amat kenali dengan keperluan sistem pendidikan negara. Seperti Dr Eng, beliau adalah seorang pakar onkologi dalam bidang perubatan. Menteri sebelumnya, Encik Tharman, merupakan Direktor dalam bidang Ekonomiks di Money Authority of Singapore (MAS). Encik Teo Chee Hean juga bukan merupakan seorang dari bidang pendidikan yang telah merangkul jawatan sebagai menteri pendidikan. Beliau merupakan Officer tentera laut sebelum kemasukannya dalam bidang politik. Bukan hendak dikatakan bahawa mereka tidak boleh menjalankan tugas mereka sebagai menteri pendidikan, tetapi adakalanya setiap jawatan itu lebih elok diberi pada mereka yang memahami atau ahli dalam bidang itu. Ini adalah kerana setiap inisiatif yang akan merubahkan dasar sesuatu itu, dalam hal ini pendidikan, akan difikirkan oleh mereka yang ahli dan fasih dalam bidang itu.Secara literal, saya berpendapat bahawa gerak atau keputusan untuk mengurangkan pemberatan standard bahasa ibunda, adalah lebih pada perkara yang merupakan hal peribadi daripada suatu isu negara. Maklumlah, dengan adanya generasi-generasi yang semakin fasih dalam penggunaan bahasa Inggeris dan lemah dalam bahasa ibunda, mungkin ada daripada ahli keluarga individu-individu yang merangkul jawatan diperingkat pemerintah melihat bahasa ibunda sebagai satu subjek yang menyusahkan dan tidak relevan. Lantas, mungkin juga ini merupakan punca keinginan untuk menurunkan standard bahasa ibunda, sekaligus melenyapkannya sebagai mata pelajaran di Singapura pada masa hadapan.

    (reply)
  2. IAN SIRNA AZALI  June 7, 2010

    Selain itu, dengan menghakis kepentingan bahasa ibunda dari penggunaannya dalam penilaian untuk ke peringkat menengah atau institusi-institusi atau universiti, ianya akan mengurangkan kemasukan pelajar-pelajar Melayu pada peringkat tertentu. Sepertimana yang telah diketahui, anak-anak Melayu agak lemah dalam mata pelajaran yang lain, terutama sekali mata pelajaran matematik. Seringkali markah bahasa ibundalah yang telah banyak menyumbang dalam meraih agregat yang mencukupi untuk mara ke peringkat menengah atau atasan. Lantas, sekiranya standard bahasa ibunda diturunkan dan sekaligus dihakis sebagai mata pelajaran di peringkat sekolah, pelajar Melayu akan terjejas dengan banyaknya.Dalam satu perbicaraan perdana menteri yang baru-baru ini, dia mengatakan bahawa standard bahasa ibunda tidak akan diubah dasarnya. Pada pendapat saya, sekiranya pemerintah ingin atau telah mengusulkan sesuatu inisiatif, mereka akan tetap melakukannya. Untuk sementara ini, inisiatif yang penuh dengan kontroversi ini disenyapkan. Ini mungkin kerana ada terdengarnya khabar yang suatu pemilihan raya akan diadakan tahun hadapan dan langkah untuk ‘membubarkan’ inisiatif pengurangan standard bahasa ibunda merupakan suatu gerakan yang sementara.Semestinya, ia adalah suatu tren yang ramai masyarakat di sini dapat lihat. Setiapkali adanya suatu gerakan besar, akan dikeluarkan atau dihebah-hebahkan pada saat-saat dekat dengan pilihan raya. Pihak pemerintah kononnya akan mengambil langkah positif untuk meleraikan isu yang membelenggu masyarakat dengan ‘melenyapkan’ gerakan besar itu, demi mengambil hati masyarakat. Selepas pilihan raya, gerakan besar akan di ajukan semula tetapi dengan merubahkan dasar atau namanya supaya tidak kelihatan sebagai suatu yang mengancamkan. Mungkin, isu standard bahasa ibunda akan diusulkan semula setelah pilihanraya dijalankan, dengan nama atau panggilan yang berbeza. Manipulasi pada istilah adalah suatu gerakan yang sering digunakan demi menyenangkan masyarakat. Hal ini sama dengan isu casino yang disangkal oleh penduduk islam tempatan. Namun begitu, casino tetap diadakan dengan merubahkan atau memanipulasikan istilah yang diberikan iaitu Integrated Resort.Jadi, hasrat pemerintah untuk merubah atau menggegarkan dasar bahasa ibunda akan direalisasikan dalam pada masa hadapan dengan perubahan dasar istilah dan pengertian. Sekiranya perkara ini berlaku, kumpulan yang amat terjejas dengan gerakan pemerintah adalah sekumpulan guru, terutama sekali guru bahasa ibunda, yang besar jumlahnya. Pemerintah harus bersikap adil dan pro-aktif dalam menangani setiap gerakan yang diusulkan agar ia tidak sahaja dapat dilaksanakan malah idea-idea ini tidak menjejas periuk nasi sesiapa, lebih-lebih lagi bagi golongan atau kumpulan yang besar. Pemerintah harus akur bahawa gerakan untuk merubah standard bahasa ibunda tidak menguntungkan negara, malah ia merugikan. Kerugian berlaku dengan terhabisnya berjuta-juta dolar untuk melatih dan menggajikan para guru bahasa ibunda. Perubahan dasar sistem pendidikan tidak dapat mencerna apa-apa kemajuan dan keuntungan bagi negara. Saya pasti yang pemerintah inginkan rakyatnya yang berinterlek, produktif dan berjaya. Hal ini dapat direalisasikan dengan meletakkan kepentingan pada pelajaran, walau mana kecil atau tidak penting sesuatu subjek itu. Lantas, sekiranya perkara ini direalisasikan, Singapura telah menjadi sebuah negara monotoni dari segi bahasa dan budaya. Jika semakin ramai menteri-menteri yang merangkul jawatan sebagai menteri pendidikan cuba merubah dasar pendidikan secara am, ia mungkin akan menjejas standard pendidikan di Singapura. Mungkin juga, perubahan ini akan menyebabkan kehadiran sistem kasta dikalangan rakyat di Singapura di mana masyarakat Melayu yang dikenali lemah dalam pelajaran akan menduduki ditangga terbawah sekali.Mohd Sophian

    (reply)
  3. Ariff Rizwan Sahab  June 7, 2010

    Bahasa Ibunda merupakan jati diri sesuatu bangsa. Saya tidak bersetuju dan menentang sekeras-kerasnya jikalau peratusan bahasa ibunda ini dikurangkan di peringkat peperiksaan PSLE.Fenomena yang tidak dapat dinafikan hari ini adalah kurangnya kepentingan yang diberikan pada subjek bahasa ibunda disebabkan keutamaan yang diberikan terhadap penguasaan bahasa Inggeris. Justeru ramai pelajar lemah dalam subjek bahasa ibunda. Lantas, pemerintah mengambil jalan mudah dengan berhasrat untuk mengurangkan peratusan bagi subjek bahasa ibunda di peringkat PSLE supaya dapat memudahkan lagi subjek bahasa ibunda; kononnya ingin membantu pelajar yang lemah.Pada hemah saya, bahasa ibunda merupakan salah satu faktor yang mencorak keperibadian seseorang. Misalnya, bahasa Melayu yang mempunyai kesantunan bahasa yang halus dapat mencorak sikap kesopanan dalam pertuturan seseorang. Kepentingan bahasa ibunda tidak wajar dipertimbangkan. Jikalau kepentingan bahasa ibunda seringkali diperlekehkan, pada jangka masa yang panjang, kesantunan dalam pertuturan dan kesopanan dalam keperibadian seseorang itu mungkin seperti kayu basah yang menanti reput.W'salam.(148 patah perkataan)

    (reply)
  4. Abdul  June 7, 2010

    Saya tidak setuju dengan hasrat MOE mengurangkan pemberatan bagi bahasa Ibunda di peringkat PSLE.Peribahasa Melayu ada berkata, “bahasa jiwa bangsa”. Maksudnya, daripada bahasa orang dapat mengenal kita. Bahasa amat penting bagi mengekalkan budaya orang Melayu. Jika tiada bahasa, maka generasi yang akan datang tidak tahu tentang budaya dan seni orang Melayu. Asmah Haji Omar (1988), seorang tokoh linguistik Melayu telah memberi pengertian tentang bahasa dalam erti kata yang luas. Menurut beliau bahasa merupakan firasat atau petunjuk kepada sesuatu kebudayaan. Dalam konteks ini, bahasa mencerminkan kebudayaan penuturnya, iaitu cara hidup dan persekitaran fizikal serta sosial masyarakat tersebut. Kesantunan, dalam konteks yang lebih luas, tidak merujuk kepada kesantunan berbahasa semata-mata tetapi juga merujuk kepada aspek nonverval seperti tingkah laku, mimik muka, dan nada suara. Dalam hal ini, Lakoff (1975) mendefinisikan kesantunan sebagai perlakuan yang mengurangkan pergeseran dalam sesuatu interaksi. Fraser dan Nolan (1981) pula menyatakan bahawa kesantunan berlaku apabila kontrak perbualan digunakan oleh penutur dan pendengar bagi mengekalkan hubungan yang harmoni dalam komunikasi. Kesimpulannya, adalah sangat penting untuk kita saling menjaga kesantunan bahasa Melayu kita supaya dapat memartabatkan bangsa Melayu sebagai satu bangsa yang sungguh unik dan harmonis di mata dunia. Sebagai penutup, apabila sesuatu bahasa itu sudah tidak terpakai lagi, maka lambat-laun hilanglah bangsa itu. Sikap meminggirkan bahasa akan melenyapkan bangsa sendiri dalam negara bangsa yang dibina sejak berkurun lamanya. Bak kata pepatah, “bahasa melambangkan jiwa bangsa” dan “bahasa menunjukkan bangsa”. Tidak maju sesuatu bangsa itu tanpa adanya bahasa.

    (reply)
  5. Shahirah Samsudin  June 7, 2010

    Pada pendapat saya, hasrat untuk mengurangkan pemberatan bagi bahasa ibunda di peringkat PSLE, merupakan satu keputusan yang berat sebelah. Saya berpendirian sedemikian keraana saya melihat dari sudut keselesaan para pelajar bertutur dan menulis dalam bahasa ibunda mereka. Pelajar-pelajar Cina yang mengambil bahasa Mandrin menghadapi kesukaran menguasai bahasa itu dan tahap keselesaan mereka menulis dan bertutur dalam habasa Mandarin kurang. Pada masa yang sama, subjek-subjek seperti ilmu hisab, sains dan bahasa Inggeris merupakan kekuatan mereka. Lantas, hasrat kerajaan pendidikan untuk mengurangkan pemberatan bahasa ibunda di peringkat PSLE bakal memanfaatkan mereka. Namun demikian, hasrat itu bakal merumitkan keadadaan pelajar-pelajar Melayu yang mengambil bahasa Melayu kerana pelajar rata-rata selesa dan yakin dengan bahasa ibunda mereka. Kelemahan dalam subjek-subjek lain pula bakal menjatuhkan markah keseluruhan mereka jika pemberatan bahasa Melayu dikurangkan. Dalam suatu jangka masa yang panjang pula, tidak hairanlah jika bahasa Melayu/Ibunda itu hilang nilainya dalam masyarakat sehinggakan ia tidak digunakan untuk bertutur lagi kerana jika langkah ini menjadi realiti, ia secara automatis telah menjatuhkan nilai bahasa Ibunda dari segi kepentingannya dalam syllabus pembelajaran. Lama-kelamaan, kepentingannya dan kewujudannya akan semakin pudar disebabkan kepentingan bahasa Inggeris yang akan menjadi lebih penting berbanding dengan sekarang. Bahasa Ibunda akan pupus dalam jangka masa yang panjang.

    (reply)
  6. Hairani Asri  June 7, 2010

    Saranan MOE untuk mengurangkan nilai permarkahan agregat bagi bahasa Ibunda di peringkat PSLE sebenarnya secara tidak langsung membuktikan bahawa kedudukan bahasa Ibunda di sini semakin tergugat. Hakikatnya, saranan tersebut akan mendatangkan impak kepada Singapura kerana bahasa Ibunda mengandungi pelbagai nilai sejarah yang membina sesebuah bangsa itu. Bahkan, dengan mengurangkan pemberatan bagi bahasa Ibunda, generasi muda dewasa ini tidak akan menitikberatkan kepentingan bahasa Ibunda dan ia akan menjejas perkembangannya yang sedia ada di negara ini. Sekiranya hasrat ini menjadi kenyataan, ia tentunya akan menjejas keutamaan bahasa Ibunda dan fokus terhadapnya juga akan merosot terutama bagi para pelajar. Guru-guru bahasa Ibunda juga akan berasa terpinggir kerana tidak dapat memaksimumkan perkembangan bahasa Ibunda dengan sepenuhnya. Oleh yang sedemikian, dengan proses pensejagatan yang sedang berlaku pada zaman ini, jika bahasa Ibunda jarang digunakan tidak mustahil sekiranya bahasa Ibunda akan terus pupus di Singapura. Dengan itu, pihak penguasa terutamanya ibu bapa serta sekolah-sekolah memainkan peranan penting untuk menyemai dan menggalakkan penggunaan bahasa Ibunda dalam kalangan anak-anak muda supaya ia sentiasa diberikan perhatian yang saksama seperti bahasa Inggeris. Jika Malaysia mendaulatkan bahasa Melayu, Singapura juga mampu melakukan perkara yang sama jika masyarakat memberikan sokongan padu terhadap perkembangan bahasa Ibunda setempat.

    (reply)
  7. ¡Mþ€rf€çt£¥ ߀åût¡Fü£♥  June 7, 2010

    “Bahasa melambangkan bahasa”. Peribahasa ini bermaksud hilanglah nilai sebuah bangsa itu jika bahasanya dilenyapkan. Sesungguhnya, Singapura ini terdiri daripada rakyat yang berbilang kaum. Keistimewaan negara Singapura terletak kepada rakyatnya yang berbilang kaum. Walaupun berbilang kaum, kami tetap boleh berinteraksi dan bertoleransi antara satu sama lain. Justeru, dengan mengurangkan pemberatan bagi Bahasa Ibunda di peringkat PSLE ianya akan menjejaskan bangsa kita. Bahasa Ibunda itu amat penting kerana ianya adalah lambang sejarah sebuah bangsa. Daripada bahasa baru datangnya sebuah bangsa itu tersendiri. Namun demikian, Bahasa Inggeris pula menjadi bahasa yang sering digunakan sesama sendiri, tidak kira di tempat kerja atau sekolah. Pengaruh barat juga adalah antara beberapa sebab mengapa Bahasa Ibunda semakin diremehkan dan diendahkan. Jika diremehkan, semakin koyak akhlak generasi muda kita kerana tidak didedahkan sepenuhnya tentang kepentingan bangsa yang bermula daripada penuturan bahasa. Ini akan memberikan kesan yang maksimal kepada generasi muda yang akan mengambil alih tempat pemimpin dan pekerjaan pembangunan Singapura dalam memajukan negara Singapura. Jika Bahasa Ibunda terus tidak dipedulikan dan diambil sambil lewa hanya kerana segelintir pelajar yang kurang cemerlang dalam bahasa Ibunda mereka, rosaklah bangsa kita semua secara tidak langsung. Singapura akan hilang keistimewaan yang selama ini menjadi daya penarik. lantas, pada jangka masa yang panjang pula, negara kita akan menjadi semakin pudar dengan ketiadaan penutur Bahasa Ibunda.

    (reply)
  8. sitinoraishasenin  June 7, 2010

    Saya tidak setuju dengan hasrat MOE untuk mengurangkan pemberatan bagi bahasa ibunda di PSLE. Pengurangan ini akan menimbulkan prasangka bahawa bahasa ibunda adalah kurang penting berbanding subjek-subjek yang lain. Malah, perbuatan ini akan memperkukuhkan lagi tanggapan sesetengah orang bahawa ia tidak salah untuk memperlekehkan bahasa ibunda mereka. Sekiranya bahasa ibunda dilihat sebagai tidak lagi mempunyai kepentingan yang relevan bagi murid-murid di peringkat sekolah rendah, kesan pengabaian bahasa ibunda akan lebih berleluasa setelah mereka meningkat dewasa. Jika ini berlaku, ia menjadi semacam lingkaran musibah bagi penakatan bahasa ibunda itu sendiri. Pengabaian bahasa ibunda oleh generasi akan datang akan berterusan sehingga ke generasi yang lain. Tanpa bahasa ibunda, identiti sesuatu bangsa akan punah, bak kata pepatah 'hilang bahasa, hilang bangsa'. Ini akan memberi impak yang mendalam kepada Singapura. Kedinamikan negara ini juga bergantung kepada bahasa ibunda. Lantaran itu, bahasa ibunda perlu dipertitikberatkan oleh rakyat Singapura dan didokong oleh pemerintah supaya Singapura kekal dinamis.

    (reply)
  9. shahedabintalib  June 7, 2010

    Saya tidak setuju dengan isu untuk mengurangkan pemberatan bagi bahasa Ibunda. Kini, pemberatan untuk bahasa Ibunda sama kedudukannya dengan mata pelajaran lain (Inggeris atau Matematik) yakni 25 peratus. Tujuan utama isu ini dibangkitkan ialah untuk membantu para pelajar yang lemah dalam bahasa Ibunda agar tidak terjejas bagi kemasukan ke peringkat pendidikan selanjutnya. Namun demikian, dengan adanya hasrat untuk mengurangkan pemberatan bahasa Ibunda, beberapa implikasi akan tercetus dan akan memberi kesan kepada negara Singapura. Jika ini berlaku, kepentingan mata pelajaran itu akan menjadi semakin kurang. Para pendidik bahasa Ibunda pula akan menghadapi saingan sengit dengan para pendidik yang mengajar subjek-subjek lain. Kenaikan pangkat mungkin akan menjadi lebih rumit kerana kepentingan mereka sudah berlainan di sekolah. Pada jangka masa yang panjang juga, semangat para guru bahasa Ibunda mungkin akan terjejas. Tambahan lagi, bahasa Ibunda mungkin tidak lagi dititikberatkan kerana kepentingannya semakin menurun. Anak-anak muda, terutamanya, akan hilang jati diri mereka kerana sudah tidak ada lagi penekanan terhadap bahasa Ibunda mereka. Ini akan turut menjejas imej negara Singapura yang selama ini unik kerana keutuhan pelbagai kaum dan penggunaan bahasa Ibunda yang berbeza-beza. Pada pendapat saya, hasrat untuk mengurangkan pemberatan bagi bahasa Ibunda adalah langkah yang tidak wajar kerana pemerintah boleh berusaha untuk mencari cara yang lebih baik untuk menyelesaikan masalah ini seperti menukar cara pengajaran di sekolah. Para guru harus lebih mesra dengan IT untuk memperbaiki cara pengajaran agar lebih menarik. Selain itu, guru juga boleh mengadakan perbincangan agar penggunaan bahasa Ibunda di kalangan murid-murid meningkat. Shaheda Salim

    (reply)
  10. sally  June 7, 2010

    Isu bahasa Ibunda yang telah melanda Singapura membuat ramai orang Singapura terutama orang Melayu bimbang tentang hasrat MOE untuk mengurangkan pemberatan bagi bahasa Ibunda di peringkat PSLE. Saya tidak setuju dengan hasrat MOE untuk melakukan demikian kerana bahasa adalah jiwa bangsa. Ini bermakna bahawa bahasa orang dapat mengenal kita. Sebagai contoh, kita dapat mengenal orang Melayu dengan bahasanya. Hal ini juga dapat diperhatikan dengan bangsa lain seperti bangsa Cina dan Tamil di Singapura. Justeru, jikalau orang Singapura yang dikatakan negara bahawa 3 bangsa dapat tinggal bersama tidak fasih berbual dalam bahasa mereka, lama kelamaan hilanglah bangsa kita nanti.Selain itu, “Bahasa” merujuk lambang budaya dan fungsi atau peranan bahasa sebagai sistem perhubungan sosial dalam masyarakat. Orang barat yang datang ke negara Singapura mengenal kita dengan bahasa kita. Justeru, apabila MOE mengurangkan pemberatan bagi bahasa Ibunda di peringkat PSLE, bahasa kita sudah tidak dapat memberi kesan kepada pelancong.Tambahan pula, ibu bapa yang tidak berpendidikan tinggi tidak mengharapkan anak mereka untuk memberi perhatian kepada subjek bahasa ibunda jikalau MOE mengurangkan pemberatan bagi bahasa Ibunda di peringkat PSLE. Mereka akan abaikan bahasa Ibunda. Akhirnya, bahasa kita akan hilang dalam jangka panjang yang akan datang seperti peribahasa yang dimasukkan “hilang bahasa, hilanglah bangsa.”Siti SalmahS0900020D

    (reply)
  11. Sitti Maisarah  June 7, 2010

    Bahasa Ibunda yang kian runtuh bagi isu pendidikan di Singapura mewujudkan perasaan bimbang terhadap ibu bapa. Ini menyebabkan sesetangah pihak dalam pemerintahan pendidikan untuk mengurangkan nilai pemarkahan bagi Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE). Namun demikian, saya tidak setuju akan pendapat tersebut kerana ia memberi tanggapan yang salah terhadap bahasa Ibunda. Memandangkan bahasa Ibunda yang kekal sejak 10 tahun yang lalu membuktikan bahawa pelajar-pelajar kini lemah dengan bahasa Ibunda mereka dan tidak mengambil berat tentang bahasa mereka. Faktor ini juga meruntuhkan nilai dan nama bahasa Ibunda yang kian runtuh pada zaman millieu ini. Sebabnya, mereka tidak mendapat sokongan oleh ibu bapa, pelajar, guru dan pergerakan dalam kaedah kurikulum dan cara pengajaran. Oleh sebab itu, gaya pengajaran seorang guru penting bagi potensi pelajar dalam bahasa Ibunda mereka. Seandainya rancangan bagi mengurangkan pemberatan pemarkahan bagi bahasa Ibunda di peringkat PSLE berjaya dilaksanakan, kadar jumlah pelajar-pelajar sekolah rendah yang mengambil PSLE yang berjaya akan meningkat. Sekiranya belia mengetahui hal tersebut, pandangan mereka terhadap penggunaan bahasa Ibunda di Singapura sudah tidak dititikberatkan lagi. Dalam jangka masa yang panjang, penggunaan bahasa Ibunda di Singapura tidak akan terpakai lagi kerana nilai bahasa Ibunda sudah tidak dipentingkan lagi. Maka itu, akan hilanglah bangsa tersebut bak pepatah hilang bahasa lenyap bangsa.Sitti Maisarah bte Abu BakarS0900021A

    (reply)
  12. shashasha affan  June 7, 2010

    Saya tidak setuju dengan hasrat MOE untuk mengurangkan pemberatan bagi bahasa Ibunda di peringkat PSLE kerana jika diperhatikan, taraf bahasa Ibunda terutama sekali di kalangan pelajar Melayu semakin rendah setiap tahun. Perbualan di kalangan orang Melayu secara umum semakin teruk. Rancangan DETIK di Suria dapat menjadi sandaran kepada pandangan saya apabila seorang wartawan menemuramah dengan beberapa pelajar Melayu(Sekolah Menengah) di sini. Waratawan tersebut menanyakan beberapa soalan mengenai penjodoh bilangan; taraf sekolah rendah. Seperti contoh, dia menanya apakah penjodoh bilangan bagi payung. Jawapan yang diberikan amat membimbangkan kerana kebanyakan pelajar tersebut tidak dapat menjawabnya dengan tepat. Rancangan seperti demikian telah menjadi penggera bagi masyarakat Melayu di sini kerana ia hanya menunjukkan pelajar Melayu tidak mempunyai asas bahasa Ibunda mereka. Ia amat memalukan tetapi masyarakat Melayu harus menerima kenyataan bahawa pelajar-pelajar di sini, temasuk ibu bapa mereka mengambil remeh tentang perkara ini. Sekiranya hasrat untuk mengurangkan pemberatan bagi bahasa Ibunda menjadi realiti, sudah pasti bahasa Melayu tidak akan digunakan lagi dalam perbualan mahupun dalam pendidikan. Bahasa Inggeris akan mengambil alih bahasa Ibunda bagi setiap kaum di sini. Saya berpendapat bahawa satu-satunya cara untuk mengenali Singapura ialah kerana ia mempunyai pelbagai kaum yang berbahasa Ibunda. Inilah yang membuat Singapura unik sebagai sebuah negara. Jika bahasa Melayu dipupuskan, masyarakat Melayu bak pepatah “Hilang bahasa, Lenyaplah Bangsa”. Guru-guru bahasa Melayu dan ibu bapa memainkan peranan penting dalam melestarikan bahasa Melayu. Mereka seharusnya menjadi contoh bagi pelajar Melayu, menggalakan penggunaan bahasa Melayu dalam perbualan seharian dan memberi mereka bahan bacaan dalam bahasa Melayu. Bahasa harus dipupuk sejak mereka kecil lagi agar penguasaan bahasa mereka semakin kukuh.Shahirah Bt. AffanS0900018D

    (reply)

Add a Comment