Blog / News

SKETSA FILOSOFIKA

Posted by:

Besar benar keris ini. Ini membuktikan bahawa Hang Tuah seorang pahlawan yang agak besar dan tinggi seperti kelihatan di kuburnya.” Aku berkata dalam hati. Aku amat bersyukur kerana sekurang-kurangnya aku bertemu dengan sesuatu yang lebih bernilai. Aku bertemu dan menyentuh sebahagian daripada keris Tameng Sari. Aku memegangnya erat. Terasa seperti satu semangat baru menyuntik keazaman kuat dalam jiwaku. Dapatku bayangankan betapa hebatnya bekas tangan Hang Tuah memegang erat keris ini semasa bertikai dengan Hang Jebat. Inilah keris yang membunuh Hang Jebat. Keris yang mengubah sejarah bangsa Melayu menjadi bangsa yang taat kepada Sultan sehingga tanah tergadai. Kadangkala benci juga aku dengan sikap si Tuah yang terlalu akur dengan konsep taat setia kepada sultan. Bayangkan sekiranya Tuah dan Jebat bersatu, pastinya Melayu sekarang akan menakhluki dunia atau sekurang-kurangnya Nusantara. Mataku terbuka kembali. Kepala keris itu ku lepaskan perlahan-lahan kembali ke dalam almari usang keemasan. Tatkala ditutupnya hilang segala bau kemeyan. Namun, terdapat semacam cahaya halus terpecik ke luarnya. Kagum, aku sungguh kagum…
9

Discussion

  1. Shamira  March 22, 2010

    Aku terkilan dengan sikap anak lelaki ku yang sanggup menangguhkan pengajiannya di universiti semata-mata kerana mahu memberikan sepenuh tumpuan terhadap bidang nyanyian. Bidang yang selama ini hanya dianggap sebagai hobi dan pekerjaan sambilan. Bukan aku tidak mahu menyokong impian anakku. Aku tidak nafikan yang anakku ini memang berbakat besar dalam bidang nyanyian dan pandai juga mengubah lagu. Cuma…apakah dengan menyanyi sahaja mampu memberikan pekerjaan tetap baginya? Bukan maksudku mengatakan bernyanyi itu tidak mendatangkan hasil dan membuang masa. Bukan! Tetapi…menguasai bidang nyanyian yang berlandaskan hiburan tidak dapat meningkatkan taraf hidup masyarakat Melayu walaupun kita memang berbakat dalam bidang ini. Apa gunanya kita banggakan anak-anak Melayu kita yang merangkul juara idola Singapura sedangkan kita masih bergelut dengan masalah pelajar Melayu yang keciciran dalam bidang akademik. Kita bangga dengan kemenangan mereka menjadi idola Singapura. Tetapi…di manakah idola kita dalam bidang akademik yang sepatutnya juga harus dibanggakan? Sebagai ibu aku teringin melihat anakku berjaya mengenggam segulung ijazah di tangan. Bukan hanya mengenggam mikrofon di tangan.

    (reply)
  2. Nur Hafizah Mohd Rashib  March 22, 2010

    “Hahahahahaha…,” ketawa Marlin memecah kesunyian bilik tersebut.Meremang semua bulu roma di badan Hamzah tatkala mendengar Marlin Fuad berkata-kata dengan mata yang terbeliak dan ketawa yang menyeramkan. Hamzah tetap meneruskan tugasnya sebagai ketua penyiasat bagi kes tersebut.“Saya hanya menjalankan tugas Cik Marlin. Apa kata Cik Marlin ceritakan kepada saya apa yang berlaku sebenarnya. Kenapa Cik Marlin Fuad bunuh Datuk Muzaffar?” tanya jejaka akhir 20-an itu kepada pesalah.“Muzaffar sial tu…Dialah pembunuh laki aku…Kalau tak disebabkan dia, laki aku, Fuad Ghazali pasti sudah jadi seorang Datuk yang terkenal…Dia cemburu dan dengki dengan kebolehan laki aku…Dia bunuh laki aku…Dia pembunuh…” jerit Marlin Fuad seakan melepaskan geramnya yang sudah lama terpendam.“Sabar Cik Marlin…Sabar…Saya faham perasaan Cik Marlin,” Hamzah cuba menenangkan pesalah.“Apa yang kau orang semua faham…Tak ada orang yang dapat memamahi aku… Aku tak tahan. Orang di sekeliling aku asyik mengata tentang aku dan tentang harta peninggalan arwah laki aku. Mereka kata laki aku dapat harta kekayaaan daripada penglibatannya dalam rasuah politik dan sebagainya sedangkan selama ini laki aku cari rezeki halal. Ini semua gara-gara si sial punya Muzaffar tu. Laki aku pasti tak senang di kubur selagi aku tak bantu dia membalas dendam terhadap Muzaffar,” Marlin menceritakan segala-galanya.Hamzah terdiam seketika. Dia sangat bersimpati dengan pesalah itu. Ini bukan kali pertama dia mengendalikan kes sebegini. Hamzah berasa hairan mengapa seorang individu itu sanggup menjatuhkan kaumnya sendiri. Ramai yang menggunakan teknik-teknik kotor seperti santau untuk mengenakan lawannya. Perasaan dengki dan cemburu menyebabkan hilangnya sifat kemanusiaan. Seharusnya, setiap ahli kaum itu berusaha untuk membantu antara satu sama lain. Ini dapat memastikan kaum tersebut mampu maju ke hadapan dan bersaing dengan bangsa-bangsa lain. Mungkin juga ini penyebab Melayu sukar maju. -Nur Hafizah Rashib

    (reply)
  3. Nur Ilham  March 22, 2010

    Pagi itu, aku merancang untuk menguji anak-anak didikku seramai tiga puluh satu orang. Aku tidak percaya bahawa pendidikan mata pelajaran Bahasa Melayu itu hanya tertakluk kepada pembelajaran bahasa semata-mata. Aku tidak nafikan bahawa ramai dari kalangan guru-guru bahasa Melayu yang lebih cenderung untuk mengambil jalan mudah dalam menyampaikan pelajaran Bahasa Melayu di dalam kelas mereka."Sila buka buku teks…""Sila hafal senarai peribahasa…""Sila jangan bercakap semasa saya sedang bercakap…"Itulah di antara kata-kata yang sering kudengar semasa mengikuti kelas Bahasa Melayu di peringkat sekolah rendah, lebih dari dua puluh tahun yang lalu. Aku teringat betapa berasa bosannya diriku ini setiap kali menjejakkan kakiku ke kelas Bahasa Melayu pada waktu itu. Malangnya, kata-kata tersebut masih lagi diulangkan oleh rakan-rakan seperjuanganku sehingga hari ini. Mujurlah minatku terhadap sastera dan sejarah Melayu tidak terhakis meskipun aku berasa bosan terhadap pelajaran Bahasa Melayu semasa zaman mudaku itu dulu. Berkat minat yang mendalam dan cintaku terhadap bahasa Melayu dan pendedahan yang diberikan kepadaku oleh para pensyarah yang berkaliber semasa pengajianku di universiti, aku berjaya menjadi seorang guru Bahasa Melayu hari ini. Aku tidak akan mengendalikan kelasku hari ini seperti hari-hari yang sebelumnya. Hari ini, aku akan memperkenalkan kepada mereka tentang sastera Melayu. Aku tahu umur mereka yang rata-ratanya berusia lapan tahun, masih lagi terlalu muda untuk mendalami bidang sastera. Tapi tak mengapa, kerana niatku adalah untuk menanam minat terhadap sastera Melayu dalam diri mereka dari sekarang."Baiklah,sesiapa yang pernah membaca buku Melayu, sila angkat tangan?"Tiada satu pun di antara mereka yang mengangkat tangan. Menaikkan jari telunjuk pun tidak."siapakah Tun Sri Lanang?"Tiada respon."Siapakah Masuri SN?"Tiada respon juga.Aku tersenyum sendirian. Nampak gayanya, aku perlu berusaha lebih keras lagi."Siapakah J.K. Rowling?"Tiba-tiba seluruh kelas menjadi riuh dan kedengaran suara-suara yang memekik,"Penulis Harry Potter, cikgu!"

    (reply)
  4. MissVanity  March 22, 2010

    KKasihan betul apabila melihat penduduk Haiti yang ditimpa bencana alam yang dasyat melalui kaca televisyen. Ramai yang mati, tercepit, terhempap, terhimpit, hancur jasad mereka. Baki penduduk yang lain pula hidup dalam serba kesusahan, tanpa wang, tanpa keperluan asas untuk meneruskan hidup. Aku menggelengkan kepala. Mereka kelihatan sangat sedih, hiba dan susah tanpa wang. Siapa kata bahawa duit tidak penting? Mereka pasti berbohong. Beg tangan berjenama, rumah mewah ini, dan sofa empuk yang sedang aku duduk ini kesemuanya datang dari duit. Bak kata John Kander, “Money makes the world go round.” Duit dapat membangunkan kembali rumah-rumah yang roboh di Haiti. Namun demikian, sebagai manusia, kita juga tidak boleh mempunyai fikiran bahawa duit adalah segala-galanya! Selain duit, tenaga manusia, keikhlasan untuk membantu dan sifat kemanusiaan juga penting dalam pembinaan semula rumah-rumah dan kehidupan di Haiti serta di tempat-tempat lain. Aku tersenyum sendiri kemudiannya tersentak apabila telefon bimbitku berbunyi, menandakan penerimaan mesej baru. “Mama, Indah lagi 10min sampai rumah tau  “Indah, kanak-kanak perempuan dari Indonesia yang aku jadikan anak angkatku setahun yang lalu. Keluarganya mati ketika banjir menimpa kampungnya itu. Jadi, duit sebenarnya dapat merubah kehidupan manusia. Memberi kehidupan yang lebih baik, tetapi ia haruslah digunakan sebaik mungkin agar tidak menjadi perosak kemanusiaan. -Puteri Nor' Atika

    (reply)
  5. syahirah  March 22, 2010

    Sungguh aku terpikat dengan kecantikan dan keindahan yang dipamerkan sebaik sahaja aku melangkah masuk ke dalam taman cina ataupun ‘Chinese Garden’ yang terletak kira-kira 200 meter daripada stesen MRT Chinese Garden. Aku terpegun dengan bangunan pagoda dan rumah tradisional yang dipamerkan di situ. Keunikan yang terdapat pada ukiran di rumah tradisional Cina sugguh menakjubkan seolah-olah aku merasakan diri aku di negeri Cina. Namun demikian, hatiku hampa apabila ternampak sebuah lagi taman yang ditempatkan di ‘Chinese Garden’ iaitu ‘Japanese Garden’ atau taman Jepun. Aku hampa kerana tanah seluas itu digunakan untuk mempamerkan warisan Jepun sedangkan dahulu, Jepunlah yang telah banyak menyiksa rakyat Singapura dengan kejam sekali dan pernah menjajah Singapura. Fikiranku pula beralih kepada Taman Warisan Melayu yang luas tanahnya kecil sahaja berbanding dengan ‘Chinese Garden’. Alangkah bagusnya sekiranya taman Jepun itu digantikan dengan Taman Warisan Melayu. Pasti akan lebih menarik kerana masyarakat Melayu akan diberikan peluang untuk mempamerkan lebih banyak lagi warisan mereka.Aku sempat berimaginasi, sekiranya jambatan indah yang dibina di taman Jepun tersebut digantikan dengan Jambatan emas Puteri Gunung Ledang yang diperkatakan dalam Legenda tersebut, pasti ia akan menarik lebih ramai orang untuk mengunjungnya dan pada masa yang sama ia juga dapat memberikan pendedahan yang meluas mengenai warisan dan Khazanah Melayu. Mungkin, imaginasi aku ini dianggap tidak dapat dimasuki akal tetapi sekiranya aku diberi peluang untuk mengubah sesuatu, itulah yang akan ku ubah. Tambahan, aku cemburu dengan patung tokoh-tokoh Cina yang dipamerkan di situ. Sekali lagi aku membayangkan sekiranya patung tokoh seperti Abdullah Munsyi dapat dipamerkan sebegitu. Entahlah, sukar untuk aku memutuskan tentang nasib warisan dan khazanah Melayu. Aku cuma berharap agar satu hari nanti angan-anganku itu akan menjadi kenyataan. Terpulanglah sekiranya ada yang ingin mengatakan bahawa aku ini gila kerana aku sayangkan warisan dan khazanah bangsaku sendiri.

    (reply)
  6. Mainura  March 22, 2010

    Hidup seorang lelaki tua seorang diri di tengah sebuah hutan belukar. Lelaki tua ini ada memiliki seekor harimau belang yang ditempatkannya di bawah rumahnya. Dia telah menjaga harimau belang ini dengan baik semenjak hari beliau menjumpainya. Lelaki tua ini pun telah membawa pulang harimau belang ini untuk merawatnya ketika ia luka. Setelah itu, dia pun bercadang untuk menjaga dan memiliharanya. Lelaki tua bukan hanya menganggap harimau belang ini sebagai penjaga kepada keselamatan tetapi juga teman yang akan menemaninya. Keakrabaan harimau belang dan tuannya jelas kelihatan ketika lelaki tua itu bermain dengannya bukan seperti harimau sebaliknya kucing peliharaan yang dimiliki ramai. Keriangan yang dirasakan oleh orang tua ini tidak berpanjang. Dia telah mati diserang sakit jantung. Serangannya itu telah membuatnya jatuh rebah ke lantai. Harimau belang peliharaan mengelilingi mayat lelaki tua itu. Alang tetapi, harimau itu hanya binatang biasa yang akan tidak mengerti sikap tuannya bebaring di muka pintu. Namun demikian, naluri bintang seolah-olah tidak dapat berbohong. Harimau itu seolah-olah dapat mengetahui dan merasakan bahawa tuannya itu tiada lagi. Harimau belang itu mengeliling sekitar tuannya itu. Ia pun mula mengheret baju tuannya itu keluar daripada pondok itu ke tanah lapang luar pondok tersebut. Harimau belang itu mula menggali tanah lapang itu agar ia dapat menanamkan mayat tuannya itu. Ia pun kemudian, menimbus kembali mayat tuannya itu sebelum mengaum. -Mainura

    (reply)
  7. bintangmagis  March 22, 2010

    Aku mengeluh panjang sambil melangkah masuk ke dalam bilik. Semakin teruk keadaan di dalam MRT semenjak kebelakangan ini. Semasa hendak pulang, aku terhimpit di dalam gerabak seperti sardin. Dengan bermacam-macam bau yang menyelinap ke hidung dan kepenatan bekerja dari pagi hanya bertambah apabila menaiki kenderaan ini. Aku pun terdampar di atas kerusi komputer. Pulang pun, masih ada kerja yang menantiku. Kerja, kerja, kerja. Itu sahaja yang aku kenal demi menyara hidup di kota metropolitan ini. Semuanya wang. Rumah, air, lampu, telefon. Tong sampah pun harus dibayar! Bil-bil yang sering tersusun di atas meja mendesak aku supaya harus terus dan terus bekerja. Sambil fikiranku melayang, aku terjeling sekeping kad yang terduduk di atas meja komputer. Terdapat pepatah yang tertulis: Nothing great in this world has ever been accomplished without passion – Hebel. Tentu sekali penulis dan penyair Jerman yang hebat ini mempunyai semangat. Cintanya terhadap kerjayanya sudah pasti mendorongnya setiap hari. Aku? Di manakah semangatku terletak? Aku terdorong untuk bekerja kerana tidak mahu berlapar dan hidup di dalam gelap dan tidur berdindingkan langit. Kerjaku sebagai seorang akauntan langsung tidak menceriakan mahupun mendorongku. Hari demi hari, aku merenung angka-angka yang tidak membawa apa-apa erti atau kepetingan padaku. Semangat… Di manakah sumbernya? Di mana letaknya semangat bagi diri ini? – Nurul Fasha

    (reply)
  8. aida norliza  March 22, 2010

    Orang Kaya Demang ingin pergi ke hutan untuk memburu. Semangatnya berkobar-kobar ingin menangkap serigala yang dikatakan sedang meliar di hutan dekat dengan kawasan perkampungannya. Tersemat rasa berani untuk melawan musuh kampungnya itu. Orang Melayu memang suka membuktikan ketangkasan diri. Ingin mendapat nama agar dihormati masyarakat. Beliau tahu kejayaannya nanti akan menjadi kemegahan dan sanjungan masyarakat sekampung. Dia mencari-cari daripada dini hari hingga ke larut malam. Mungkin pada malam dapat dia mendengar suara serigala itu. Dengan tekad kuat dia terus mengembara ke arah segala ceruk hutan dengan berlengkapkan senjata senapangnya. Tibanya tengah malam, dia terdengar pelbagai bunyi dan suara binatang. Tetapi tiada pula kedengaran laungan serigala. Dua hari dua malam dia memburu kerana tidak mahu pulang dengan tangan kosong. Dia harus menunjukkan bahawa dia telah berjaya menangkap serigala yang mencabar keselamatan penduduk kampung. Orang Kaya Demang semakin keletihan. Beliau ingin berehat tetapi tiba-tiba terus terlena di sebuah kawasan yang dianggap selamat. Tidurnya lena tidak sedarkan diri. Tiba-tiba, muncul serigala tersebut yang turun dari salah sebatang pokok yang tinggi. Serigala pun dengan perlahan merangkak lalu menerkam Orang Kaya Demang, tetapi tidak sempat untuk mempertahankan dirinya kerana tangannya kurang pantas untuk menembak serigala itu. Akhirnya, orang kaya itu tewas dengan serigala yang sebenarnya adalah serigala jadian. -Norliza

    (reply)
  9. simplistic_me  March 22, 2010

    “Eh.. hari ni ada cerita gerek tau!”, kata Sheila pada sahabatnya Alia.“Aku tahu lah. Confirm channel Sensasi pukul 7.30 malam betul tak? Tu cerita tak boleh lepas beb. Mesti tengok punya. Anyway, thanks for reminding. Lepas tu jangan lupa cerita ‘Cahaya’ pukul 8 malam dan Cinta Fitri pukul 8.30 malam. Back to back beb, ” sambut Alia pula.Tidak dapat dinafikan bahawa cerita-cerita ini memang hangat pada ketika ini. Drama-drama sedemikian boleh membuatkan penonton terpakau menonton selama setengah jam tanpa bergerak. Hendak keluar pun fikir dua kali kerana nanti terlepas pula episode serita menarik ini. Begitu kuat sekali daya tarikan media hiburan pada masa ini.Begitulah rutin seharian mereka. Jangan katakana mereka sahaja, ibu bapa mereka juga turut join sekaki menonton drama-drama menarik ini.“Oi! Besok pulak, Alep ajak lepak tau. Kau turun tak?”, soal Sheila pula.“Tengok lah macam mana. Aku tak confirm”, balas Alia kembali.“Alaa kau ni, macam tak biasa pulak. Member nk blanja Double O, join jer ar”, Sheila cuba mempengaruh sahabatnya.Alia terfikir akan janjinya dengan rakan-rakan Cinanya untuk bekajar bersama di perpustakaan Bedok. Akhirnya, setelah penat berdolak-dalik sendirian, Alia mengambil keputusan untuk mengikut Sheila. Padanya, tak salah kalau sekali-sekala menghiburkan diri. Alia tidak tahu bahawa tabiat melepak, membuang masa dan melakukan perkara yang kurang berfaedah ini boleh menjadi suatu kebiasaan yang buruk.Alia sedar akan lekanya dirinya dengan hiburan. Namun demikian, baginya ini bukanlah masalah besar kerana hanya sekali-sekala sahaja.

    (reply)

Add a Comment