Blog / News

INTERAKSI STP (SESI IV)

Posted by:

Dalam 150 patah perkataan, berikan tafsiran kamu terhadap ilustrasi di atas. (Tahun 1)

Dalam 250 patah perkataan, buatkan sketsa berteraskan ilustrasi di atas. (Tahun 2)
20

Discussion

  1. Sarah Bakar  March 4, 2010

    Menurut tafsiran saya terhadap ilustrasi di atas, saya berpendapat bahawa ia bertemakan peperangan. Saya dapat menafsirkan bahawa negara Amerika adalah punca peperangan berlaku. Saya menafsirkan bahawa selepas Amerika berperang dengan negara Vietnam, ia meneruskan peperangan dengan negara Iraq. Pada saya, ilustrasi gambar di atas jelas menunjukkan bendera Amerika yang melangkah dari negara Vietnam ke negara Iraq. Saya dapat menafsirkan bahawa ketekunan dan kesetiaan askar Amerika terhadap negara mereka amat kuat sekali. Buktinya ialah ilustrasi di atas menunjukkan dua kaki yang hanya tinggal tulang dan ini bermaksud mereka tidak akan berhenti walaupun tercedera atau letih. Mereka akan lawan hingga mati. Saya mempunyai dua tafsiran mengenai punca ilustrasi ini dilukiskan. Tafsiran saya yang pertama ialah ilustrasi tersebut merupakan satu kritikan bagi negara Amerika yang tidak serik dengan peperangan dan hanya menunjukkan keganasan. Tafsiran saya yang kedua pula ialah ilustrasi tersebut umpama semangat yang diraih oleh askar-askar Amerika agar terus berjuang untuk berperang untuk negara sendiri. Sitti MaisarahTahun 1S0900021A

    (reply)
  2. Ariff Rizwan Sahab  March 4, 2010

    Ilustrasi di atas ini bertemakan peperangan yang berterusan. Senjata merupakan metafora kepada kekejaman manakala tengkorak pula kepada kematian. Bendera Amerika Syarikat dipakai tengkorak yang bersenjata menunjukkan bahawa Amerika Syarikat yang memulakan perang. Amerika Syarikat merupakan sebuah negara kejam yang menyokong peperangan. Pertama, Amerika Syarikat menyerang Vietnam dan kemudian ingin menyerang Iraq. Peperangan merupakan perkara mudah bagi Amerika Syarikat kerana mereka hanya memerlukan setapak untuk menyerang Iraq. Ini menunjukkan bahawa Amerika Syarikat merupakan sebuah negara propeperangan. Mesej yang ingin disampaikan oleh pelukis adalah mengenai kekejaman Amerika Syarikat dan kematian akibat peperangan yang tercetus di Vietnam dan Iraq. Namun demikian, pelukis berat sebelah kerana pelukis anti-Amerika Syarikat dengan memberikan ilustrasi hiperbola mengenai kekejaman yang dilakukan oleh Amerika Syarikat.Ariff Rizwan SahabS0900003KTahun 1

    (reply)
  3. Shahirah Samsudin  March 4, 2010

    Berdasarkan ilustrasi in, saya mentafsir bahawa ia menunjukkan penjajah yang bersifat 'tamak' kerana mahu menjajah dan menguasai bukan satu tetapi dua buah negara sekaligus. Memang tidak ada salahnya, jika kuasa, bahan dan sumber tenaga mencukupi. Namun demikian, strategi yang bijak dan terperinci amat diperlukan supaya penjajah tidak mengendahkan negeri sendiri sementara terlalu taksub dengan negara-negara yang ingin dijajahnya. Berdasarkan ilustrasi di atas, ia menunjukkan bumi yang terbelah dua, lantas memisahkan Iraq dan Vietnam. Amerika Syarikat dilihat sebagai pihak penjajah yang mahu menguasai kedua-dua negara itu pada masa yang sama. Pada pendapat saya, oleh sebab sifat mereka yang 'tamak', mereka yang menjadi mangsa ketika kedua buah negara itu terpisah dek gempar bumi.Ilustrasi ini, pada pendapat saya, juga boleh diaplikasikan kepada banyak situasi yang sedang terjadi di Singapura. Contohnya, badan-badan yang ingin mengendalikan terlalu banyak projek sehinggakan semuanya tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna. Ini akan mencemar reputasi badan itu sendiri kerana tidak menggunakan strategi yang terperinci untuk menguruskan semua projek-projek tersebut.Yang benar,Shahirah Samsudin (s0900017g)

    (reply)
  4. shahedabintalib  March 4, 2010

    Pada pengamatan saya, ilustrasi di atas menggambarkan perihal ketamakan sebuah negara yang ingin menakluki negara-negara lain dengan cara kekejaman dan kezaliman. Negara yang tidak kenal erti puas itu adalah, Amerika Syarikat. Amerika Syarikat seolah-olah seperti tengorak hidup yang tidak lagi mempunyai nilai kemanusiaan. Antara negara yang telah Amerika Syarikat nakluki seketika dahulu adalah Vietnam dan Iraq. Pada 1965, Amerika Syarikat telah mengirim tenteranya ke Vietnam. Pengeboman besar-besaran telah berlaku yang jumlahnya lebih banyak dari Perang Dunia kedua. Natijahnya, peperangan yang tercetus mengorbankan ramai jiwa termasuk orang awam dan para tentera.Namun demikian, tidak puas dengan kekejaman yang telah dilakukan, Amerika telah beralih ke Iraq dan melancarkan peperangan di bumi Iraq pula. Iraq sememangnya terkenal dengan hasil minyak dan mempunyai hasil bumi yang banyak. Sesungguhnya, pemerintah Amerika mempunyai agendanya yang tersendiri dengan seboleh-boleh menyingkirkan dan memberi pelbagai alasan untuk mengguling Saddam Hussien dari menjadi pemerintah Iraq. Sesungguhnya, perang di Iraq telah mengorbankan nyawa mereka yang tidak berdosa terutama sekali kanak-kanak yang sepatutnya menjadi pelapis generasi akan datang. Shaheda Bte SalimS0900016K

    (reply)
  5. IAN SIRNA AZALI  March 4, 2010

    Berdasarkan ilustrasi yang telah diberi, gambar yang simbolik ini memaparkan isu peperangan yang dilalui Vientam dan Iraq. Amerika Syarikat merupakan dalang dalam peperangan ini. Gambar jerangkung atau tukang yang memegang senapang dan juga bendera Amerika menunjukan bahawa ia adalah askar Amerika. Tapak kaki yang bertulang itu menjejak dua negara yang berbeza menunjukan bahawa dua negara yang telah atau pernah ditakluki mereka. Gambar kaki yang bertulang juga menunjukan kegagalan yang ditimpa oleh askar-askar Amerika. Pernyataan ini disokong dengan cara bendera Amerika itu dilukis. Bendera yang koyak adalah simbol kepunahan dan dengan melihat gambar bendera itu pada tubuh yang bertulang, ia menunjukan kepunahan dan kegagalan askar Amerika dari segi rohani dan juga jasmani. Latar yang hitam dan tampak comot ini memberi erti yang tersendiri. Ia merupakan; pertama, kesan pahit dalam sejarah di mana ramai nyawa yang telah terkorban; kedua, memaparkan hati atau perasaan dalang yang telah mengajukan peperangan ini; akhir sekali, perasaan marah, benci dan dendam oleh mangsa-mangsa di negara-negara tersebut.

    (reply)
  6. Hairani Asri  March 4, 2010

    Berdasarkan ilustrasi di atas, dapat dirumuskan bahawa kematian dan peperangan merupakan antara tema yang ingin diketengahkan oleh pelukis. Tengkorak yang sedang bergerak adalah personifikasi yang melambangkan kematian dan diibaratkan sebagai “ The Grim Reaper”, iaitu perlambangan yang sering dikaitkan dengan kematian bagi orang-orang Inggeris. Walau bagaimanapun, kematian yang dimaksudkan di sini adalah akibat peperangan yang disebabkan oleh Amerika. Ini dapat dilihat dengan senjata dan bendera yang dipakai oleh tengkorak tersebut. Pertama, peperangan antara Amerika dan Vietnam telah menyebabkan banyak pertumpahan darah dan kini, perkara yang sama akan berlaku sekali lagi di Iraq. Kehadiran Amerika di Vietnam dan kemudiannya Iraq menunjukkan bahawa Amerika adalah pencetus peperangan yang bersifat kolonial. Kedudukan Iraq dan Vietnam diletakkan bersebelahan antara satu sama lain walaupun ia bukan negara berjiran kerana kedua-duanya mempunyai beberapa persamaan dan bakal tertakluk kepada Amerika yang mempunyai kuasa ketenteraan yang sangat kuat. Campur tangan Amerika ke negara-negara tersebut dengan hanya mengorak langkah setapak juga menunjukkan kehebatan Amerika.Hairani Asri

    (reply)
  7. shashasha affan  March 4, 2010

    Di dalam gambar ilustrasi tersebut, kelihatan seorang lelaki sedang melutut di negara Amerika dan tangannya, yang merupakan tulang telah lama jejak ke negara Vietnam dan Iraq. Kemungkinan besar lelaki itu adalah askar kerana bayangan senjata kelihatan di kakinya. Dari pengetahuan saya, negara Amerika telah lama ‘masuk campur’ dalam hal ehwal kedua-dua negara tersebut dengan menghantar askar-askar mereka untuk mengurangkan peperangan antara kaum di dalam negeri tersebut. Namun demikian, askar tersebut mungkin sedang mewakil askar-askar Amerika. Dia sudah lama menolong negara-negara tersebut hingga tangannya reput menjadi tulang; memperlihatkan kesengsaraan askar-askar Amerika. Ilustrasi ini mempunyai unsur sarkasme kerana untuk memberi kesedaran kepada pemerintah Amerika yang telah lama mengawal gerakan negara Vietnam dan Iraq. Hingga hari ini, tiada yang dapat dilakukan untuk memberhentikan peperangan mereka. Pemerintah Amerika hanya memikirkan diri sendiri dan tidak berhati perut terhadap bilangan askar Amerika yang mati kerana cuba untuk memberhentikan pertikaian mereka. Negara Amerika hanya mahu menunjuk-nujuk kuasa mereka.Shahirah Bt. AffanS0900018DTahun 1

    (reply)
  8. Abdul  March 4, 2010

    Berdasarkan ilustrasi di atas, Serangan ke atas Iraq dilancarkan atas dua andaian. Pertama, Iraq mempunyai senjata pemusnah raya (WMD). Kedua, rejim Saddam mempunyai hubungan dan menyokong kumpulan pengganas Al-Qaeda. Namun demikian, strategi dan persiapan perang kurang lengkap serta laporan risik yang ternyata salah menjadi punca utama mengapa tentera Amerika menghadapi banyak kesukaran untuk memantapkan keamanan di Iraq.Ramai penganalisis politik dan ketenteraan berpendapat bahawa kesilapan Amerika yang paling besar ialah memandang remeh keupayaan tentera Saddam. Ini telah menyebabkan jumlah korban nyawa yang tinggi serta mengakibatkan Amerika diheret dan terperangkap dalam perang saudara yang berlarutan tanpa huraian.Punca utamanya ialah tiada kesepakatan. Setiausaha Pertahanan Donald Rumsfeld dan timbalannya, Encik Paul Wolfowitz, pada waktu itu dilaporkan sering bertikai dengan ramai jeneral berpengalaman tentang strategi peperangan.[1]Rumah Putih tidak mahu melibatkan bala tentera yang besar dalam peperangan itu. Ini bercanggah dengan nasihat beberapa jeneral berpengalaman di Pentagon. Akhirnya, hanya 145,000 anggota tentera dan 247 kereta kebal dikerahkan merentasi padang pasir dari Kuwait ke arah Iraq dalam serangan pertama. Mereka menyangka berdepan dengan tentera Iraq yang kecil jumlahnya dan kurang berupaya.Rupa-rupanya, mereka tidak sedar bahawa mereka akan berhadapan dengan 400,000 askar, 4,000 kereta kebal dan ribuan lagi pejuang sukarela yang menggelarkan diri mereka Fedayeen. Iraq kini menjadi daya tarikan banyak golongan pelampau dan pengganas Timur Tengah yang menggunakan laungan jihad dan Islam untuk kepentingan mereka sendiri. Perang Iraq adalah sejarah hitam yang akan menghantui pentadbiran Presiden Bush dan angkatan tentera Amerika.Serangan ke atas VietnamHingga hari ini, peperangan Vietnam masih lagi menjadi bekas luka dalam jiwa rakyat AS. Keterlibatan Amerika Syarikat dalam Perang Vietnam adalah yang paling lama dan paling tidak populer dalam sejarah Amerika Syarikat. Ketika Perang Vietnam berakhir pada tahun 1975, hampir 58 ribu orang tentara Amerika Syarikat dan sekitar tiga juta orang warga Vietnam tewas. Ramai warga AS masih lagi tertanya-tanya mengapa mereka boleh kalah dalam peperangan Vietnam. Ramai yang berpendapat bahawa Amerika Syarikat seharusnya tidak melancarkan perang itu. Mereka berpendapat bahawa rakyat Vietnam menjadi korban putusan dan kebijakan Amerika Syarikat yang keliru sementara yang lain berpendapat bahawa perang Vietnam tidak dilakukan dengan cukup kuat. Menurut mereka, Amerika Syarikat akan menang kalau warganya mendukung tentera, atau kalau Pentagon tidak dikungkung pelbagai pembatasan dalam menjalankan operasinya di Vietnam. Ini sering disebut sebagai ‘Sindrom Vietnam’, iaitu keengganan untuk maju ke medan tempur.

    (reply)
  9. ¡Mþ€rf€çt£¥ ߀åût¡Fü£♥  March 4, 2010

    Gambar ini berteraskan peperangan yang telah berlaku antara Amerika dengan Vietnam dan Amerika dengan Iraq. Saya menafsirkan bahawa pelukis yang melukis gambar ini tidak berpihak kepada Amerika. Saya berpendapat sedemikian kerana pelukis telah menggambarkan askar Amerika dalam bentuk tengkorak, seseorang yang telah mati akibat peperangan tersebut. Saya juga berpendapat bahawa pelukis adalah seseorang yang tidak suka akan peperangan yang sering dicetuskan oleh Amerika yang begitu kejam. Selain itu, saya juga berpendapat bahawa pelukis ingin mengetengahkan isu peperangan yang telah mengakibatkan masalah yang tidak akan ada peleraiannya. Peperangan hanya mengakibatkan kematian seperti yang dilambangkan dalam lukisan ini. Pelukis ingin menyampaikan mesej bahawa peperangan yang dicetus oleh Amerika sendiri telah mengakibatkan kematian askarnya sendiri dan walaubagaimana keras mereka ingin menyerang Vietnam dan Iraq, mereka akan tetap melangkah di atas tanah tersebut dengan kematian. Mesej dalam lukisan ini adalah, peperangan tidak mendatangkan hasil kepada pencetusnya, ianya hanya mendatangkan kematian rakyat mereka sendiri dan kesengsaraan kepada negeri yang ditawannya itu.Nur Syazwani ShaibaniTahun 1S0900012L

    (reply)
  10. syahirah nabilah  March 4, 2010

    salam cikgu, berikut ialah sketsa saya:Kedengaran bunyi riuh rendah di restoran Macdonalds tengahari itu. Di Satu sudut, kelihatan dua remaja yang sedang berbincang tentang tugasan mereka.“ Eh, faizal, tugasan esei kita ni menarik juga ya, tentang perang. Banyak unsur-unsur politik yang boleh dicungkil”“ apa? Kau suka politik. Eh, boring tau kau tahu tak” kata hafiz pada Faizal.“ Cuba kau baca ni, perang teluk antara Iraq dan Amerika yang terjadi pada 2 Ogos 1990 hingga 28 Februari 1991. Ish, lama tu. “ kata faizal pada hafiz.Hafiz memang seorang yang minat pada isu politik dan dunia. Terutama sekali perihal perang. Perasaannya akan mudah tersentuh. Lebih-lebih lagi terhadap mangsa-mangsa perang.“ Serius? Hmm. Kenapa lama sangat ya. Kasihan anak-anak dan mangsa yang tidak berdosa itu. Mesti kehidupan mereka perit. Eh, aku ada satu lagi artikel, yang ini berkenaan perang vietnam dan Amerika pula” Hafiz menunjukkan Faizal artikel yang dijumpai di lelaman internet.“ ya lah. Yang ini pula lebih awal. Amerika sudah menyerang Vietnam pada 26 September 1959 dan berterusan sehingga 30 April 1975. Perang yang dinamakan perang vietnam? Hmm” Faizal seakan-akan sedang memikirkan sesuatu.“ Eh,dashat betul ya negara Amerika ni. Perang tak habis-habis. Kenapa Amerika seperti ingin menakluki kedua-dua negara ini? Amerika kan sudah cukup kuat.” Tanya hafiz kepada Faizal. “ Entahlah Hafiz, ini yang dinamakan tamak dan tidak berpuas hati dengan apa yang diberikan. Sepatutnya, Amerika melindungi negara-negara yang lemah seperti Iraq dan vietnam, bukan menghancurkan mereka. “ keluh Faizal.“ Aku setuju dengan kau. Kasihan kedua-dua negara ini. Lebih-lebih lagi mangsa-mangsa yang tidak berdosa. Amerika sungguh tidak berhati perut. Aku rasa aku ada banyak yang ingi ditulis dalam esei politik ni.” Beritahu hafiz kepada Faizal.“ cehh, dah suka politik nampak? Aku pun rasa macam tu juga. Jom kita habiskan esei politik ni.”Mereka berdua pun sama-sama tenggelam dalam pemikiran masing-masing.-syahirah Nabilah

    (reply)
  11. sally  March 4, 2010

    Ilustrasi di atas menerangkan punca peperangan dan kematian adalah dari negara Amerika Syarikat. Perkara ini boleh dilihat dengan tengkorak yang memegang dan mengangkat bendera negara Amerika Syarikat sedang menyeberang dari negara Vietnam dari negara Iraq. Senjata yang dipegang oleh tengkorak itu melambangkan peperangan lalu tengkorak itu melambangkan kematian. Penulis hendak menyampaikan bahawa peperangan selalu dikaitkan dengan kematian. Ilustrasi di atas juga menerangkan Amerika Syarikat yang suka peperangan. Walau bagaimanapun, askar-askar mereka akan mati jika mereka pergi ke Iraq. Ketika Amerika Syarikat ke negara Vietnam, mereka mahu mengambil negara Vietnam kerana Amerika Syarikat tidak puas hati dikalahkan oleh negara Vietnam. Mereka menggangap negara Vietnam adalah negara yang senang dipersendakan sekali lagi. Kedua-dua negara mengadakan satu perang bersama dan akhirnya, nagara Vietnam masih memenangi peperangan tersebut pada Mac 27 tahun 1973. Selepas Amerika Syarikat kalah dengan negara Vietnam, Amerika Syarikat ke negara Iraq kerana terdapat hasil minyak yang banyak di negara Iraq. Justeru, Amerika Syarikat mahu mengambil hasil minyak dari negara Iraq untuk memperkuatkan tentera mereka. Dengan mengadakan hasil minyak, Amerika Syarikat dapat menghasilkan sengata-sengata yang lebih banyak agar ia akan menjadikan negara penuh dengan kuasa dan boleh melakukan apa sahaja terhadap negara-negara lain. Justeru, negara yang sentiasa menimbulkan masalah adalah negara Amerika Syarikat kerana mereka akan melakukan apa sahaja untuk mendapatkan sesuatu.Siti Salmah Binte HamidS0900020DPelajar Tahun 1

    (reply)
  12. sitinoraishasenin  March 4, 2010

    Pada pendapat saya, ilustrasi di atas adalah mengenai peperangan; peperangan di antara Amerika Syarikat dengan Vietnam dan kemudiannya dengan Iraq. Bendera Amerika Syarikat yang lusuh dan koyak yang dikibarkan oleh tengkorak berjalan memperlihatkan jangka masa yang begitu lama; masa yang diambil Amerika Syarikat dalam isu peperangan. Ia seakan menunjukkan bahawa Amerika Syarikat sudah veteran dalam peperangan. Jarak negara Vietnam dan Iraq amat jauh tetapi hanya dengan setapak, Amerika Syarikat dapat menjejakkan kaki ke negara Iraq. Dalam ini, saya menafsirkan bahawa negara-negara di dunia tidak berani atau tidak berusaha dalam menghentikan peperangan yang ditimbulkan oleh Amerika Syarikat walhal negara ini telah lama mencetuskan peperangan sehingga boleh dianggap sebagai veteran peperangan. Pada pengamatan saya, ilustrasi ini menyampaikan mesej di mana Amerika Syarikat gemar mencetuskan peperangan; gemar memijak negara-negara yang ingin ditaklukinya. Saiz besar tengkorak menunjukkan kebesaran dan kekuasaan yang ada pada negara Amerika Syarikat. Ilustrasi yang agak mengerikan ini seakan memperlihatkan perasaan gerun yang Amerika Syarikat timbulkan di dalam hati mereka yang melihatnya. Lantas, apa yang dapat disimpulkan di sini ialah negara Amerika Syarikat tidak akan berhenti dalam keinginannya dalam menguasai dunia dalam mengekalkan kedudukannya sebagai kuasa dunia. Siti Noraisha Binte Mohamed SeninS0900019A

    (reply)
  13. Nur Hafizah Mohd Rashib  March 4, 2010

    “Assalamualaikum Tuan. Saya Ameer Kassan dari Sulaiman & Co. Saya ialah peguam bela bagi Jabbar Khan. Saya ke mari untuk betemu dengan beliau bagi mendapatkan keterangan,” begitu profesional dan berbudi bahasa sekali cara Ameer berbicara dengan pegawai polis yang bertugas di bahagian kaunter pertanyaan.“Sebentar ya, Encik,” jawab si pegawai polis yang bertugas itu. Sementara menanti, Ameer duduk di kerusi yang telah tersedia ada. Tiba-tiba dia teringat akan perbualannya dengan Sulaiman tempoh hari.“Ameer, ini kes terbaru kita. Aku rasa kaulah yang paling layak untuk mengendalikan kes ini. Maklumlah peguam-peguam kita yang lain tu belum berpengalaman sangat,” kata Sulaiman sambil menghulurkan fail yang mengandungi segala maklumat tentang kes terbaru itu. Tanpa sebarang pertanyaan, Ameer mengambil fail yang dihulurkan langsung membukanya. “Jabbar Khan…Man dia ni kan yang kecoh keluar surat khabar fasal kes cuba membunuh presiden Amerika Syarikat tu,” spontan kata-kata tersebut keluar dari mulut jejaka tinggi lampai bertubuh sederhana itu.“Encik…Encik…. ,” pegawai polis tadi kehairanan melihat Ameer termenung sambil memandang ke arah fail berwarna kecoklatan yang dipegangnya. Panggilan yang tidak henti-henti oleh si pegawai polis yang bertugas itu membuatkan Ameer tersedar dari lamunannya. Tanpa membuang masa, Ameer membontot pegawai tersebut.“Encik Jabbar Khan…,” Ameer memulakan tugasnya seperti biasa walaupun berasa sedikit takut.“Saya ke mari untuk membantu meyakinkan hakim supaya meringankan hukuman yang dikenakan ke atas diri Encik Jabbar tetapi Encik Jabbar hendaklah bekerjasama dengan memberikan maklumat yang saya perlukan. Saya ingin tahu mengapa Encik Jabbar hendak membunuh presiden Amerika Syarikat ,” kata Ameer dengan nada suara yang lembut.“Aku benci dia. Dialah perosak dunia. Dia kejam. Dia bertanggungjawab atas kematian saudara-saudaraku di Iraq yang tidak berdosa,” jerit Jabbar Khan seakan melepaskan geramnya yang sudah lama terpendam.“Sabar Encik Jabbar…Sabar…Saya faham perasaan Encik Jabbar,” Ameer cuba menenangkan anak guamannya.“Apa yang kau orang semua faham…Tak ada orang yang dapat memamahi aku… Aku tak tahan. Aku hanya mahu menuntut keadilan. Aku tidak sanggup lagi melihat kekejaman manusia terhadap kaumnya sendiri. Aku mahu hentikan semua ini. Dalangnya perlu aku hapuskan sebelum dapat aku sedarkan anak-anak Adam akan perbuatan mereka ini,” Jabbar Khan menceritakan segala-galanya dengan linangan air mata.Ameer turut berasa sedih tatkala mendengar keluhan Jabbar Khan itu. Dia mula menyoal dirinya sendiri. Dia begitu sibuk dengan kerja tetapi apakah sumbangannya untuk mangsa-mangsa perang di Iraq dan apakah usahanya untuk menghentikan peperangan dewasa ini. -Nur Hafizah BInte Mohd Rashib

    (reply)
  14. Nur Ilham  March 4, 2010

    Iblis: Hahaha! Terror sungguh aku ni!Syaitan: Wei! Apa yang kau ketawa sorang-sorang tu? Dah gila ke?Iblis: Aku tengah happy ni! Syaitan: Apasal pulak happy? Kau dapat tumpang sekaki ke dengan anak adam dan anak hawa kat bilik hotel tadi?Iblis: Yek eleh… kalau setakat tu, mana-mana makhluk low class macam jin dan hantu pun boleh buat…Syaitan:Habis tu? Apa yang kau happy sangat?Iblis: Hahaha! Aku berjaya melaga-lagakan manusia dari dua benua! Si Saddam baru je kena hukum gantung! Negara Iraq pula, kucar-kacir sekarang! Bilang semua rakan-rakan yang Iraq 'port' baru untuk kita lepak sekarang! Best gila tu tempat!Syaitan: Eh? Power ah kau… Biar aku teka. Kau cocok Presiden Amerika lagi eh… Taktik lama tu… Dulu pun kau guna taktik sama… Erm… Perang di Vietnam tu. Tu best ah bro!Iblis: Biasalah… Taktik lama tu memang berkesan! Gerenti jadi punya!Syaitan: Kau hebat ah bro! Tu pasal kau Raja kita semua. Aku tabik ah kebolehan kau!Iblis: Hahaha! Baru kau tahu? Tapi belum habis lagi beb…Syaitan: Belum habis?Iblis: Belum… Masih ada Korea Utara, Pakistan, Afghanistan, Iran…

    (reply)
  15. MissVanity  March 4, 2010

    Suasana yang muram menyesakkan nafasku, menjerut leherku seperti tali hukuman gantung. Aku menggigil. Bukan sebab sejuk. Tetapi kerana aku takut. Matahari sudah lama terbenam. Begitu juga harapan dan semangatku untuk meneruskan kehidupan. "Ron! What are you doing, daydreaming like that? I've been calling out your name over and over again!",bentak Kolonel John.Beliau merupakan seorang jeneral dalam lingkungan umur empat puluhan tahun dan dikenali sebagai seseorang yang sangat garang serta berdisiplin. Beliau mempunyai pengalaman dalam peperangan bertahun-tahun lamanya. Ternyata, Kolonel John sangat dihargai oleh pasukan tentera Amerika Syarikat. Kolonel john dengan bangganya melakukan apa sahaja yang dikehendaki pihak atasan demi negara, kononnya.Tapi aku pula, tidak. Ya, pada mulanya aku memang ingin memperjuangkan negara seperti askar-askar yang lain. Tetapi bukan begini caranya. Setiap hari aku melihat kematian, kehancuran dan kemusnahan. Adakah ini jalan menuju kebahagiaan dan kepuasan? Mungkin pada mereka, ya. Pada aku, tidak. Keesokan harinya, kesemua askar-askar berkumpul di kemah utama untuk menikmati sarapan pagi yang tak seberapa. Hanya roti dan air sebagai bekalan tenaga. Aku termenung seketika.“Can you please just eat? We don’t really have a choice, in a situation like this. You have to appreciate what is given.”, kata Ray, rakan karibku. “I know. That’s not what I was thinking about.”, jawabku perlahan.Ray meyalahtafsirkan renungan aku itu. Bukan makanan yang ku fikirkan. Tapi benar katanya. Kita harus sentiasa bersyukur dengan apa yang kita dapat. Walaupun ianya sedikit sahaja. Mungkin pada masa-masa terdesak seperti inilah baru kita pelajari bagaimana untuk menghargai sesuatu itu. Aku dapat menghargainya. Namun, mereka pula tidak. Sudah puas mereka berperang di Vietnam pada tahun 1959 hingga 1975. Tapi tidak, ia tidak dapat memuaskan kegilaan kuasa mereka. Menunjuk-nunjuk akan kebesaran, kekuasaan yang dimiliki dan ini semua dilakukan di sebalik topeng. Kononnya membantu dalam menyelesaikan masalah. Kini di Iraq, berlaku sekali lagi kekejaman dan ketidakadilan. Aku sayu melihat ramai orang-orang yang tidak bersalah dijadikan korban. Ditembak, direjam, ditusuk, dibom, dihancurkan! Aku tidak sanggup melakukannya lagi.Tetapi aku juga seperti mereka. Kejam!! Peristiwa kelmarin menghantui diriku. Ketika ku terpaksa melepaskan tembakan ke arah seorang kanak-kanak yang menjerit-jerit ketika ternampak persembunyian aku. Nyawaku turut terancam pada saat itu. Aku berada di kawasan musuh yang amat berbahaya. Aku kesal. Menjadi manusia yang berpihak kepada pembawa maut,kematian,kehancuran,kesengsaraan.BANG!!Darah merah pekat mengalir keluar kemah yang usang di pinggir kawasan perkemahan tentera Amerika. -Puteri Nor' Atika

    (reply)
  16. Shamira  March 4, 2010

    Salam Cikgu, berikut ialah sketsa saya.“Ok dengar semua! Hari ini Cikgu Azreen tidak hadir ke sekolah kerana ada urusan peribadi. Jadi dalam kelas sejarah hari ini, kamu harus menubuhkan satu kumpulan dan bincangkan mengenai peperangan-peperangan yang membawa impak terhadap sesebuah negara. Besok Cikgu Azreen nak lihat pembentangan setiap kumpulan,” kata Cikgu Suhaimy kepada kelas Firdaus. Tanpa melengahkan masa, Firdaus pun mencari rakan-rakan kelasnya untuk menubuhkan satu kumpulan. Kumpulan yang terdiri daripada 4 orang itu ialah Intan, Bella, Yusri dan Firdaus.“Ok gang, kita nak pilih negara apa eh?” Tanya Firdaus kepada ahli kumpulannya.“Hmmm…kita pilih Amerika lah senang! Kan Amerika popular sangat dengan kes perang dengan Iraq. Kalau buat research pun mesti senang,” kata Intan memberikan pendapatnya.“Ohh boleh juga! Setahu aku, pada tahun 2003, Amerika dan sekutu-sekutunya telah menceroboh masuk ke Iraq. Alasan mereka ialah Iraq menyembunyikan senjata peperangan yang amat dahsyat. Macam nuklear lah. Dan mereka juga menuduh president Iraq yang sudah meningal dunia tu…ala…siapa eh nama dia. Lupa pula aku ni!” kata Yusri panjang lebar.“Ahhh aku tahu! Saddam Hussein lah!” jawab Bella.“Ahhh betul! Setahu aku Amerika menuduh Saddam Hussein ada kaitan dengan kumpulan militan Al-Qaeda. Tapi tak dapat bukti pun. Macam kes senjata peperangan di Iraq. Suka-suka sahaja main tuduh-tuduh,” kata Firdaus.“Korang jangan lupa pula peperangan di Vietnam juga melibatkan Amerika. Memang dasar Amerika sebuah negara yang kuat dan berkuasa. Tiada siapa yang mampu melawan. Manusia seluruh dunia hanya mampu melihat dan menderita akibat peperangan yang berteraskan sifat tamak dan kianat mereka,” kata Insan menahan geram.“Eh da habis kelas sejarah kita. Alamak kita belum lagi habis bincang ni! Terpaksa nanti malam semua orang masuk MSN tau!” kata Yusri mengakhiri perbincangan singkat kumpulan mereka.Nurshamira Johari

    (reply)
  17. aida norliza  March 4, 2010

    Salam Cikgu, ini sketsa saya.“Bang, agak-agak negara kita ni akan diserang peperangan lagi tak?” tanya Munira kepada suaminya.“Kalau perang macam zaman Jepun tu, tak adalah.. Sekarang ni kita lebih mempunyai risiko dengan unsur-unsur keganasan. Keganasan memang wujud, cuma mungkin tak semua rakyat yang tahu sebab pemerintah menjaga keamanan dan keselamatan para penduduknya.” jelas suaminya.“Mungkin perang pun bagus, biar semua mati! Manusia semua tamak, hidup pentingkan diri sendiri. Lebih-lebih lagi mereka yang kaya, tak peduli pada yang papa.” sambungnya lagi.Munira menyimpan rasa marah terhadap kehidupannya yang semuanya mementingkan wang. Walaupun negaranya aman dan damai, namun hati dan fikirannya tidak pernah tenteram. Mereka hidup dalam kesusahan. Hutang keliling pinggang. Buka mata fikir nak bayar itu, nak bayar ini. Suaminya bekerja sebagai pegawai keselamatan di sebuah kondo. “Eh, awak ni dah kenapa? Tak fikir sebelum bercakap. Awak ingat kalau perang boleh selesai masalah kita? Tu hah, tengok je negara Amerika yang menghantar askarnya menyerang negara Vietnam dahulu. Kesudahan yang tak berbaloi. Baru-baru ni, Iraq pula diserang. Semua pun memang sifat tamak, ingin berkuasa ke atas negara-negara lain. Tapi apa yang jadi pada rakyatnya selain derita dan sengsara” tegas Azman, suaminyaDemikian fikiran mereka apabila kalau buntu mencari jalan keluar kepada masalah. Munira mengganggap bahawa peperangan akan menyelesaikan masalah hutangnya. Sedangkan negara yang dilanda peperangan hidup lebih dasyat dari mereka sekeluarga. Setidak-tidaknya, mereka mempunyai rumah. Suaminya masih mempunyai tenaga untuk bekerja, mencari nafkah untuk menyara makan dan pakai. Hutang rumah dan bil air memang lumrah hidup di kota. Harga yang meningkat, tapi gaji tak naik-naik. “Ye lah, bang. Kalau perang semua mati takpe. Kalau tak mati, tapi cedera, hilang tangan hilang kaki. Aduh, deritanya hidup.” Keluh Munira.“Maka itu, janganlah awak mengeluh… Bersyukurlah dengan apa yang kita miliki. Walau kita tidak ada wang, sekurang-kurangnya, pemerintah menjaga keamanan negara kita. Insya-Allah, kalau ada rezeki, kita langsaikan hutang-hutang tu ya.”“Bang, apa kata kita beli Toto? Cina ramai yang kaya sebab main judi tau.” kata Munira. -Norliza

    (reply)
  18. knl  March 4, 2010

    Salam Cikgu, berikut ialah sketsa saya. Fidah dan anaknya, Shamir sedang menonton televisyen pada waktu petang di ruang tam. Semasa menunggu rancangan kegemaran mereka bermula, sedutan berita bermain di skrin televisyen. Bunyi letupan bom dan wajah anak-anak kecil yang menjadi mangsa perang dimainkan untuk menggambarkan keadaan yang berlaku. Berita itu sedang mewartakan tentang perang Iraq oleh Amerika Syarikat. Hati Fidah menjadi sakit melihat sikap pihak-pihak berkuasa yang seolah-olah ‘dibutakan’ dan tidak mengambil peduli terhadap kebobrokan dan kekejaman yang berlaku. "Mama, kenapa manusia berperang?" tanya Shamir yang berumur sembilan tahun itu, dengan penuh keikhlasan. Pertanyaan Shamir itu menyentak Fidah dan membawanya pulang ke alam realiti.Fidah merenung wajah anaknya yang tidak berdosa itu. Sungguh naif anak kecil ini. Fidah terfikir bagaimana untuk menjawap pertanyaan begitu. "Bukankan Allah telah melarang kita untuk mencederakan orang lain, Mama? Semalam Cikgu Tasha mengajar dalam kelas tentang itu… tapi Shamir lihat, di dalam dunia ini, ramai yang saling mencederakan orang lain. Kenapa Mama?" tanya anak tunggalnya lagi sambil memusingkan badannya memandang ibunya, dahaga menantikan jawapan daripada ibunya. Fikiran Fidah melayang. Dia terkedu dengan soalan-soalan Shamir yang terlalu tinggi untuk seorang anak kecil berumur sembilan tahun. Bagaimana dia mahu menceritakan kepada anaknya tentang dunia yang sudah tidak berpegang kepada nilai-nilai kemanusiaa? Bagaiman dia mahu menjelaskan kepada Shamir tentang perangai keji, tamak haloba manusia yang tidak ada penghujungnya? Fida masih mahu melidungi anak kecilnya itu dari keburukan dunia. Dia masih belum rela mahupun bersedia membuka hijab Shamir untuk melihat perangai keji yang dimiliki manusia. Fidah memegang tangan kecil anaknya dan masih berfikir bagaimana untuk menjawab pertanyaannya itu. (253 patah perkataan)-Nurul Fasha Samsudin

    (reply)
  19. Mainura  March 4, 2010

    Jam dinding di rumah Farhana menunjukan tepat jam lapan malam. Sudah pasti seperti hari-hari lazimnya, Farhana akan duduk terpaku di hadapan kaca televisyen bersama ahli keluarganya yang lain. Ini merupakan aktiviti seharian keluarga Encik Halim untuk duduk menonton televisyen seisi keluarga setelah selesai menunaikan sholat Maghrib dan makan malam bersama. Encik Halim berpendapat bahawa aktiviti bersama anak-anak akan dapat merapatkan jalinan mesra keluarga dan mengeratkan silaturahim di antara adik beradik. Cara ini beliau dapat menerapkan nilai-nilai baik seperti kasih sayang, hormat-menghormati dan rasa kemanusian dalam diri anak-anaknya. Sorotan berita pada hari itu ada menyentuh mengenai peperangan yang sedang meletus di Iraq. Terpapar di kaca TV itu keadaan orang ramai yang tidak berdosa telah tercedera, meninggal dunia mahupun kehilangan orang yang mereka sayangi. Apatah lagi, melihat anak kecil berusia dalam lingkungan sepuluh tahun sama seperti adiknya, Farah menangis di sebelah mayat abangnya yang mati terbunuh dalam peperangan. Naluri Farhanah berasa begitu terusik sekali. Namun, dia tahu tiada apa yang dia mampu lakukan selain memanjatkan doa dan rasa kesyukuran dalam diri. Encik Halim masih teringat lagi peperangan Amerika Syarikat dan Vietnam yang berakhir pada tahun 1975. Ketika iu, umur Encik Halim baru menjangkau usia 15 tahun. "Ketika Perang Vietnam dengan Amerika berakhir pada tahun 1975, hampir 58 ribu orang tentara AS dan sekitar tiga juta orang warga Vietnam tewas."jelas Encik Halim kepada anak-anaknya. "Ish.. ramainya orang mati, ayah." kata Farah mendengar fakta yang diujarkan Encik Halim itu. "Memang ramai Farah, nyawa orang di buat macam nyawa ikan. Ramai kemanusian ini semakin menghilang di dunia ini." jawab Encik Halim membendung kemarahan mengingatkan pihak-pihak yangtidak berperikemanusian itu. "Jadi Farah dan Hana mesti belajar jangan jadi golongan yang tidak berperikemanusian seperti itu." sambung Encik Halim. Kedua anak perempuannya itu mengangguk-anggukkan kepala tanda setuju dengan bapa mereka itu. Melihat sorotan-sorotan yang dipaparkan ini membincangkan isu semasa seisi keluarga menimbulkan rasa minat Farhana memasuki bidang kewartawanan. Dia bercita-cita ingin mengikut jejak langkah kakaknya, Faizah yang sedang menuntut di universiti tempatan mengambil bidang sains politik. Rintihan, tangisan mereka seolah-olah tidak dipedulikan oleh masyarakat dunia. Tanah air yang disayangi dan dicintai oleh mereka telah dicerobohi oleh manusia-manusia yang terpaksa mentaati kuasa kejam. Melihat keadaan dan situasi mangsa-mangsa perang yang dipaparkan ini dapat memilukan hati sesiapa. Encik Halim bijak mengunakan kesempatan itu untuk mengingtkan anak-anaknya betapa penting bagi mereka untuk mensyukuri akan nikmat hidup di kota Singapura yang jauh daripada peperangan, bencana alam dan perkara-perkara buruk yang tidak diingini. "Lihat Hana, Farah betapa siksanya kehidupan mereka yang terpaksa menempuhi peperangan. Kamu berdua sepatutnya bersyukur dengan keadaan kamu sekarang ! Jangan asyik nak meminta-minta perkara-perkara yang bukan-bukan". jelas Encik Halim. Timbul rasa kesedaran dan keinsafan dalam diri anak-anak Encik Halim. Mereka sedar betapa beruntungnya hidup mereka di dilindungi bumbung, makanan, pakaian, pendidikan dan sebaginya telah tersedia walaupun tidak mewah tetapi masih sempurna. Sementara itu, terdetik dalam hati Encik Halim yang menyatakan bilakah keamanan akan dapat dicapai oleh seluruh manusia ? Mengapa mereka yang tidak berdosa seringkali teraniya ? Dia berharap persoalan-persoalannya dapat menemui jawapannya satu hari nanti. – Mainura Mawi

    (reply)
  20. simplistic_me  March 4, 2010

    Kehadapan Adindaku tersayang,Assalammualaikum sayang. Apa khabar adinda di sana? Apa khabar anak abang, Amani? Semoga warkah ini sampah dalam keadaan adindah sihat sejahtera. Sayang, maafkan abang kerana begitu lama di negara ini. Abang terpaksa. Bukan abang mahu abaikan tanggungjawab abang sebangai seorang suami dan seorang ayah tetapi abang juga perlu berjuang di negara ini. Nampaknya pihak Amerika sudah keterlaluan. Mereka tidak henti-henti memulakan peperangan. Sungguh tidak berhati perut mereka ini. Mentanglah mereka menguasai dunia ini, mereka menginjak-nginjak negara yang lemah. Sungguh tamak mereka ini. Tidak pernah mereka puas. Semua negara ingin mereka takluki. Sungguh mereka menentingkan diri sendiri. Abang benci melihat keganasan yang berlaku, kacau-bilau yang tiada henti. Tetapi apalah daya abang untuk hentikan semua ini.Sayang, abang kasihan melihat mangsa-mangsa di sini.tiada henti penderitaan mereka. Inilah kesan peprangan terhadap rakyat jelata yang langsung tidak difikirkan oleh pemerintah. Sungguh kejam mereka ini! Rakyat ini yang menderita. Mereka tidak berdosa namun mereka terpaksa melalui hidup yang susah. Kalau adinda menlihat keadaan di sini tentunya adinda merasa hiba, seperti tersayat hati ini melihatkan anak-anak yang terpisah dari orang tua. Anak yang kehilangan ibu dan ayah menangis kepiluan tanpa menyedari mereka sudah menjadi yatim piatu.Sekali lagi abang meminta maaf kerana meninggalkan adinda dan Amani sendirian. Fahamilah abang. Doakanlah kami di sini. Doakanlah agar abang selamat dan cepat pulang ke angkuan keluarga. Abang juga tak sanggup berpisan dengan adinda dan Amani namun abang tiada pilihan. Mereka lebih memerlukan abang disini. Doakanlah mereka yang berhadapan dengan hari esok yang kelam. Inilah peritnya peperangan hingga terpaksa berpisah dengan keluarga sendiri. Doakan abang, sayang. Ingat lagi kumpulan dikir ‘Kelana Purba’ yang adinda suka? Mungkin benar kata juara lagu itu bahawa orang Melayu memang mempunyai sifat berjuang. Sampai di sini sahaja warkah abang buat kali ini. Jaga diri dinda baik-baik. Sampaikan salam rindu abang pada Amani. Doakan abang…Sentiasa merindui adinda,Ridzwan2.31 pagiHo Chi Minh City, Vietnam-Sri Syazwani

    (reply)

Add a Comment