Blog / News

Posted by:

MASURI SN DAN KEMANUSIAAN

Masuri meletakkan masyarakat, manusia, budaya, emosi, jiwa, dan ideologinya di tempat utama dalam setiap karya yang dihasilkan dengan maksud atau tujuan yang jelas semasa karya sasteranya dituliskan iaitu melahirkan hasil seni untuk kepentingan masyarakat. Maka penciptaan karyanya tidak terlepas daripada unsur-unsur yang mewakili pandangan dunia dan kebudayaan masyarakat. Sering persoalan tentang manusia dan kehidupan serta kemanusiaannya menjadi bahan persoalan atau isi dalam kebanyakan karya sastera yang beliau hasilkan tanpa kompromi terhadap nilai karya seni yang tinggi. Sebagai seorang penulis humanis, proses penglahiran karya-karyanya tidak terlepas daripada pengaruh agama yang membimbing manusia kepada kebaikan dan jalan kebenaran. Dalam mencapai kebenaran dan kebaikan, Masuri meletakkan kepentingan ilmu dalam diri manusia penulis ini sebagai satu keperluan asas; ”…di sini jelas dalam setiap generasi dan zaman, sasterawan tidak boleh dicetak. Dia adalah bakat, adalah minat, adalah kemahuan yang terus-menerus untuk dapat menghasilkan sesuatu cipta sastera. Dia adalah manusia bernafas dan bernyawa, yang memerlukan ilmu dan berterusan menuntut ilmu untuk dapat terus gigih berkarya.”

MAS DAN SOSIALISME

Pemikiran penulis merupakan representasi zamannya. Walaupun zaman berubah namun pemikiran MAS (Muhd Ariff Ahmad) tetap tidak berganjak daripada perjuangannya untuk mencapai satu kehidupan manusia yang sempurna. Konsep sempurna ini bukan ditujukan kepada pencapaian materialistik tetapi kesucian akhlak yang dicapai dengan ’penyucian nilai’ norma masyarakat. MAS kelihatan seperti penganut konsep ’catharsis’ yang diilhamkan oleh Aristotle iaitu penyucian jiwa. Konsep ini merujuk kepada perasaan insaf pembaca setelah membaca sesebuah karya. Kemungkinan ini tidak dapat dinafikan kerana beliau merupakan anggota ASAS 50 yang bertunjangkan seni untuk masyarakat. Cara yang paling berkesan untuk menyampaikan mesej kepada masyarakat sendiri ialah dengan membuka pekung di dada masyarakat tersebut agar nampak segala kejelekan dan kekurangan. Demikian MAS memanifestasikan pemikirannya dalam novel Mail Mau Kawin.

ABDUL GHANI HAMID DAN ALAM

Pengaruh keadaan sekeliling sangat berkesan terhadap penciptaan beliau sama ada untuk lukisannya mahupun puisinya. Nostalgia zaman kanak-kanaknya masih segar dalam indera rasanya dengan kucupan bayu yang menyentuh pipinya ketika melihat gelombang dan ombak di laut serta menikmati kicauan burung yang tiada pernah letih berterbangan melintasi bumbung rumahnya. Di sebuah rumah pantai nelayan inilah, di hujung Jalan Hajijah di Siglap Kampung Baru, suasana sekelilingnya menanam nostalgia yang amat mendalam dalam karya-karya seni A Ghani Hamid pada hari ini. Pengaruh gelombang, ombak, bayu dan awan, disamping dedaum yang berselerak di sekeliling atau perkarangan rumahnya dapat kita temui kembali dalam lukisan dan juga puisinya.

MOHAMED LATIFF MOHAMED DAN NASIONISME

“Bahasa Melayu harus kekal sebagai bahasa kebangsaan. Bahasa Melayu dalam lagu kebangsaan dan bahasa perintah semasa berbaris dalam SAF. Jika keadaan adalah sebaliknya, ia akan menghancurkan semangat Melayu di Singapura. Ia adalah simbolik. Ia mewakili sejarah kita. Biar kita kekalkannya. Ia telah berjasa kepada kita. Sekiranya ia diubah sebagai persediaan bagi satu generasi baru yang tidak belajar bahasa Melayu di sekolah-sekolah, ia akan menghancurkan semangat Melayu dalam Singapura” (Encik Lee Kuan Yew – 22 Januari 1988). Laungan Latiff selaras dengan pemerintah Singapura dalam memartabatkan bahasa dan bangsa Melayu. Adakah laungan seumpama ini dianggap nasionalis, pesimis atau sudah lapok? Petikan ucapan-ucapan ini adalah simbolik kepada perjuangan Latiff yang juga sering memperkatakan dan mempertikai kewujudan bangsa Melayu di Kota Singa ini. Namun demikian, yang jelas beliau adalah penyair di kalangan golongan proletariat atau murba yang memahami jiwa rakyat kebanyakan sedangkan ramai pejuang lain yang lenyap dalam lingkungan borjouis dan lupa akan asal mereka yang sama daif pada asalnya. Kajian membuktikan bahawa bahasa adalah speses atas alasan bahawa sepanjang perkembangan peradaban manusia terdapat bahasa yang tumbuh, berkembang dan pupus atau mati. Keadaan ini sama dengan yang berlaku terhadap speses maujud. Atas kesedaran ini para pejuang bahasa dan bangsa dan juga pemerintah sering memperkatakan tentang kepentingan memelihara, membangunkan dan melestarikan bahasa demi kepentingan budaya bangsa. Motif perjuangan tetap sama cuma caranya mungkin berbeza kerana latar belakang faktor pemilihan semulajadi yang mencorak pergerakan.

0

Add a Comment