Blog / News

NEW JOURNALISM

Posted by:

SATU BUMI MENYATUKAN SASTERA DAN SEJARAH oleh Mohamed Pitchay Gani

Novel Satu Bumi karya Isa Kamari setebal 164 muka surat merupakan sorotan kehidupan masyarakat Melaya sebelum, sewaktu dan setelah pendudukan Jepun di Malaya sehingga perpisahan Singapura dari Malaysia pada tahun 1965. Novel ini penuh dengan tragedi memandangkan lingkarannya sekitar zaman kemelut di Malaya. Berbagai jenis penganiayaan ditonjolkan disebalik tabir sejarah Malaya khususnya Singapura. Novel ini merupakan penulisan novel sejarah moden atau metafiksyen historiografik pasca moden.

Novel ini merupakan gaya penulisan kewartawaanan moden (faction) atau dikenali sebagai new journalism kerana bahan dalam novel ini telah diolah bersesuaian dengan tiga kriteria utama gaya kewartawan moden iaitu gaya berita, gaya peristiwa dan gaya fiksyen. Bagi merealisasikan gaya fiksyen agar kesan estetika jelas terpancar dalam karya sastera, ia diselitkan dengan ciri-ciri seperti deskripsi terperinci, sudut pandangan orang ketiga, monolog dalaman, dialog dan perwatakan pelbagai atau komposit.

Penerapan gaya berita memusat kepada perkara-perkara benar seperti apa yang terjadi, di mana terjadi, bila terjadi, siapa terlibat, mengapa terjadi dan bagaimana peristiwa atau insIden itu terjadi digambarkan secara kreatif dan menarik. Misalnya dalam petikan berikut – “Menurut polis, mereka telah menemukan mayat datuknya beserta Roslan, berdekatan sebuah lori yang telah hangus terbakar. Mayat datuknya tidak tercela sedikit pun. Polis mula-mula berasa hairan dengan keadaan mayat itu. Nampaknya Pak Durhakim meninggal dunia kerana terperanjat dan ada manusia yang menariknya keluar dari lori yang terbakar.”

Penekanan gaya peristiwa pula menekankan penggunaan unsur-unsur dan peristiwa sejarah yang benar-benar berlaku termasuk fakta.. Ia biasanya bertitik tolak daripada apa jua peristiwa besar atau kecil yang dialami manusia. Misalnya peristiwa pembalasan dendam setelah Jepun kalah – “Kebelakangan ini Yassir asyik memikirkan tentang Bintang Tiga yang telah memulakan kempen huru-hara di kampung-kampung. Dua minggu sebelum kuasa penuh diserahkan kepada British, Bintang Tiga yang bergerak melalui Tentera Anti-Jepun Nusa Utara, telah membunuh ramai orang Melayu yang disyaki telah menjadi tali barut Jepun. Kerana ramai ahli Bintang Tiga itu berbangsa Cina, sejarah telah menyaksikan pertempuran kaum berdarah selama tiga belas hari. Pertempuran itu berlaku di merata negara dari utara ke Selatan.”

Satu lagi peristiwa bersejarah terpenting bagi masyarakat Islam juga telah disulami penulis seara kreatif seperti berikut – “Namun begitu, terjadi juga pergaduhan di luar pusat itu, yang terus merebak dengan pantas hingga menjadi rusuhan kaum. Semangat perarakan bertukar menjadi semangat permusuhan yang nyata telah lama terperap dan kini meledak kerana dibakar dendam dan curiga. Suasana tidak terkawal selama beberapa hari. Rusuhan berlaku di merata kampung dan jalanraya…Puncanya ialah sebiji botol kaca yang dilemparkan oleh seorang pengacau yang pendek akal, semasa perarakan seramai 25,000 orang Islam.”.

Gaya fiksyen merupakan unsur pemisah karya bersifat rencana daripada yang bersifat kesusasteraan. Hasil sesebuah karya itu biasanya berteraskan kemanusiaan, keindahan dan keinsanan. Semua unsur ini kemudiannya diolahkan dan disulami dengan ciri-ciri sastera iaitu unsur-unsur dramatik, imaginasi, dialog, sudut pandangan, monolog dalaman dan suspens. Misalnya dalam senario pergolakan politik apabila ada usulan untuk mengenepikan Singapura daripada mencapai kemerdekaan kerana mendahulukan kemerdekaan Malaysia, terdapat penggunaan dialog dan unsur suspens yang berkesan – “Bagaimana dengan nasib kita bila Nusa Utara merdeka kelak ?”… “Kita tawarkan biasiswa kepada pelajar Melayu di Nusa Selatan. Kalau mereka mahu, mereka boleh berhijrah ke Nusa Utara.” Yassir menjadi marah mendengar penerangan paduka. “Paduka! Bagi orang Melayu belum pernah mereka berhijrah. Malah tidak tergerak kami hendak berhijrah. Walaupun pernah dijajah British dan Jepun, belum pernah orang Melayu hendak berhijrah! Hujan emas di negeri orang, lebih baik hujan batu di negeri sendiri! Bukan namanya bangsa Melayu meninggalkan negeri sendiri.” Torpedo KERIS meluncur ke arah sasarannya.

Ciri kedua penting dalam unsur fiksyen bagi pendekatan kewartawan baru ini merupakan penggunaan sudut pandangan orang ketiga dalam penceritaan. Misalnya penulis telah menjadi watak serba tahu dalam novel ini – Ah Sin adalah ketua operasi Bintang Tiga cawangan seberang tambak dan Nusa Selatan. Malek juga terperanjat bila mengetahui ada juga orang Melayu yang bergiat di dalam sarang Bintang Tiga. Dia menyangka hanya orang Cina yang mahu menjadi komunis. Lebih-lebih lagi setelah komunis berkuasa di Tiongkok sejak 1949. Kini dia mendengar nama Terdiri, Rasyid M, Abdullah C.D. dan Arshad A yang sering disebutkan-sebutkan Ah Sin. Justeru itu, dia tidak berasa kekok bergiat bersama.

Selanjutnya penulis telah memberikan deskripsi terperinci sesuatu senario sehinggakan dapat dirasai dan dihayati pembaca dengan mendalam sekali. Ciri ini merupakan keistimewaan dan kekuatan novel Satu Bumi. Cuba bayangkan beberapa senario berikut :

Kepala mangsa-mangsa itu digantungkan dihujung galah bakau yang dipacakkan di tepi jalan penghubung di atara dua kampung. Lelehan darah kering berjuntai dari pangkal-pangkal keher yang ditebas. Kepala-kepala itu dikerumuni puluhan lalat hijau yang gemuk-gemuk. Desingan lalat-lalat itu lebih mengerikan daripada dengungan kapalterbang perang yang melepaskan penderitaan dari langit. Lama-kelamaan kepala itu mengecut dan akhirnya memutih. Gugurlah rambut dan nama. Tinggallah tengkorak, entah kepunyaan siapa.

Pemuda-pemuda kampung yang suka menghendap gadis dan isteri orang begitu tertegun dengan apa yang mereka lihat…Bau lembab dan hancing yang menempel di celah pelepah rumbia adalah semerbak atar dari syurga. Bahaya sengatan lipan atau jengking yang mungkin bersarang di selaan pelepah, tidak dihiraukan.

Melimpah keluarlah najis manusia yang seperti bubur. Ada yang berketul-ketul dan masih berwap. Ulat-ulat tahi menggelitik di dalam cairan tadi seolah-olah terganggu bersama. Lalat-lalat datang menghinggap tanpa dijemput. … tiada seorang pun yang sanggup mengangkat dan membersihkan tong najis yang telah membuak dan berulat. Lalat-lalat hijau dan gemuk berebut-rebut menelurkan zuriat di dalam lubuk najis yang telah mula mengering dan menghitam di tepian tong. Terhidu kemesuman yang hangit dan pahit.

Kemudiannya, dia telah ditelanjangkan, kecuali seluar dalam yang tergantung di pinggang. Bdannya kuyup disirami air dan kedua-dua tangannya diikat di belakang. Sebuah kipas dinding ditujukan ke arahnya untuk beberapa jam. Badannya menggigil kesejukan sehingga terasa sebal dan kaku. Dia rebah kerana tidak dapat mengawal lagi pergerakan dan ketahanan otot-ototnya. Tetapi dia tidak mahu bersuara…Rakan sekerja yang nyata seorang tukang bantai berdiri di belakang Ah Sin. Badannya agak gempal. Ah Sin terhidu bau keringat ketiaknya yang agak masam. Pegawai tadi sengaja menyapu ketiaknya yang masam lalu menekap hidung Ah Sin dengan tangan berbekas itu. Ah Sin meronta-ronta dan memalingkan mukanya untuk menghindarkan bau busuk itu. Si tukang bantai berbaju batik tertawa terbahak-bahak sambil menyambut jempolan rakannya….Si penyoal siasat kemudiannya menukar taktik. Ah Sin diperintahkan berdiri dan badannya dirirami air lagi. Sedang dia menggigil, puting teteknya digentel si tukang bantai sehingga alat kelaminnya berdiri tegak. Kemudian seluar dalamnya ditanggalkan. Alat kelamin yang menegang itu diketuk dengan pembaris pada bahagian kepalanya yang menyerupai buntut sotong Bisanya menyebabkan dia terduduk. Dia mengerang kesakitan. Kerana tangannya masih terikat, dia mengapitkan pehanya untuk mengusap dan menahan kesakitan yang menyerang alat kelaminnya.

Contoh-contoh di atas juga memaparkan penggunaan pelbagai watak seperti watak tukang pukul, seorang tahanan, pegawai, budak-budak kampung, anak dara dan ketua pertubuhan.

Novel ini telah berjaya merealisasikan pendekatan New Journalism. Penulis telah berjaya menyatukan sejarah dengan sastera supaya penghayatan kesusasteraan menjadi lebih menarik dan realistik. Kekuatan novel ini terletak pada keupayaan penulis memberikan gambaran realistik sesuatu senario. Kejelasan gambaran yang dibayangkan begitu berkesan sekali sehingga pembaca mampu menikmati kelunakan tubuh yang tidak berbaju, merasa loya apabila disuakan dengan bau hancing dan najis yang berwap, mengerikan tatlkala dibayangkan kepala-kepala bergantungan sehingga darah kering berjuntai serta kesedihan dan kepiluan tatkala dibayangkan penderitaan dan kezaliman yang menimpa orang persaorangan kesan peperangan dan rusuhan.

0

Add a Comment