Blog / News

HISTORISISME BARU

Posted by:

SASTERA SEBAGAI ALAT MEMANTAU KEPENTINGAN SEJARAH DAN PERKEMBANGAN MASA KINI oleh Mohamed Pitchay Gani

Dunia kritikan sastera berkembang dengan pesat. Namun baru-baru ini terdapat semacam keterbalikan dalam teori iaitu dengan terhasilnya teori Historisisme Baru yang dahulunya dikenali sebagai teori historikal. Kini ia mendapat suntikan imej baru setelah menganuti fahaman multi-disiplin. Teori Historisisme Baru ini menekankan konsep “literature in history” iaitu ideologi sesuatu bahan sastera dalam zaman-zaman tertentu. Maka ia mementingkan konteks sejarah dalam menilai bahan sastera tersebut. Kesimpulannya, teori ini melihat bagaimana sastera membentuk dan merealisasikan sejarah.

Teori ini berlandaskan tiga definisi makna yang mementingkan ketulenan sejarah. Maka ciri yang harus ada adalah sejarah yang berlaku secara semulajadi; sejarah tidak diagungkan oleh pengkaji dan pengkaji tidak memberikan pandangannya sendiri mengenai sesuatu sejarah. Teori ini menuntut kita menilai “past significant present meaning” iaitu menyusur erti silam dan menyisir makna kini sesebuah hasil karya.

Dua kuntum sajak karya Aliman Hassan boleh disisir maknanya berdasarkan teori Historisime Baru ini. Sajak-sajak tersebut adalah “Kian Terasa Bahangnya” terbitan Berita Minggu 1974 dan “Seloka Warisan Ibunda” terbitan Berita Minggu 2001 iaitu 27 tahun setelah terbitnya sajak pertama tadi. Kedua-dua sajak ini saling melengkapi dan merupakan rentetan peristiwa bersejarah dalam dunia pembelajaran dan pengajaran bahasa Ibunda di Singapura.

Bait pertama sajak “Kian Terasa Bahangnya” menonjolkan harapan empat bahasa rasmi di Singapura iaitu Melayu, Cina, Tamil dan Inggeris yang diwakili oleh tugu empat. Ia menggabungkan kewujudan serentak penduduk tempatan dan kolonial seperti dalam bait 1 berikut :

Segaris sinar di tugu empat
Halus melulus celahan batu rapat
Menerang lambang
Warisan moyang
Yang pernah tiba
Di muara kembara
Yang pernah meneroka
Suasana mesra

PAP (Parti Tindakan Rakyat) mula berkuasa pada tahun 1959. Semenjak itu, penekanan diberikan terhadap pendidikan untuk mencapai kemajuan negara. Maka satu pelan 5 tahun dalam pendidikan telah diperkenalkan yang menekankan layanan yang sama bagi keempat-empat saluran dalam pendidikan iaitu Melayu, Cina, India dan Inggeris. Ia juga menobatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta penekanan terhadap pembelajaran matapelajaran matematik, sains dan teknikal. Ibu bapa berhak memilih sekolah mengikut media bahasa yang diingini. Harapan bagi bahasa ibunda berkembang dan berwawasan seperti dalam bait 2 ;

Segaris sinar di tugu empat
Pengungkai tikai
Penetap harap
Anak-anak kerdil yang berteduh;
Dibelai angin dingin
Dalam bayang-bayang batu kukuh.

Namun keadaan berubah apabila Singapura berpisah daripada Malaysia pada tahun 1965. Pada tahun 1966, dwibahasa dijadikan wajib bagi semua pelajar untuk memastikan kesatuan rakyat. Maka pelajar darjah satu dalam sekolah bukan saluran Inggeris dikehendaki mempelajari sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Pengajaran sejarah dalam bahasa Ibunda telah dimansuhkan pada tahun 1971. Pengaruh bahasa Ibunda semakin mengecut dengan jelas dalam bait 3 dan 4;

Anak-anak kerdil yang sering berteduh
Lesu menatap ukiran ikrar
Lena mendakap khayalan nanar
Sangsi mengharap garisan sinar
Muram menyingkap lipatan gusar

Garisan sinar kian melebar,
Kian terasa bahangnya membakar.

Pada tahun 1970, pendidikan bahasa Ibunda sebagai bahasa kedua diperhebatkan. Sekolah-sekolah Inggeris mula mengambil tempat sekolah-sekolah Melayu, Cina dan Tamil. Akhbar dan majalah Inggeris berkembang luas sementara akhbar dan majalah Melayu tidak berkembang. Universiti Nanyang memperkenalkan penggunaan bahasa Inggeris. Pada tahun 1971, pemerintah telah membelanjakan 1/3 daripada belanjawan negara untuk pendidikan demi menyiapkan pekerja menghadapi perkembangan teknologi. Pada tahun 1972, pendidikan teknikal diutamakan dan peratusan bagi bahasa Ibunda dan Inggeris dari segi waktu pembelajaran adalah sama. Kesannya dapat dilihat daripada peningkatan terhadap jumlah murid yang menganuti saluran Inggeris berbanding dengan bahasa Ibunda iaitu 47 % pada tahun 1959 kepada 77.9 % pada tahun 1974. Kini bahasa ibunda benar-benar ketandusan penyokong;

Anak-anak kerdil yang kebahangan
Termangu melihat kehapusan
Bayang-bayang tugu yang dua
Medan mereka berseloka.

Setelah 27 tahun berlalu, akhirnya bahasa Melayu mula bernafas semula dengan adanya sinaran harapan apabila pemerintah mengumumkan rombakan terhadap sistem pendidikan bahasa ibunda. Harapan ini dapat dilihat dalam sajak “Seloka Warisan Ibunda” terbitan Berita Minggu 2001 dalam bait 1 dan 2 ;

Hampir empat dekad berlalu
Anak-anak kerdil yang lesu
Menatap ukiran ikrar yang terbelenggu,
Kini berupaya menghela nafas lega
Melihat cahaya
Di salah sebuah tugu nan dua
Medan mereka berseloka.

Bahang yang mencetus lipatan gusar
Yang panasnya terasa membakar
Kini reda dan dingin
Dihembus bayu segar,
Hasrat mengharap garisan sinar
Terpancar lebar
Menerangi anak-anak kerdil yang nanar.

Usaha merealisasikan semakan ini mengambil masa yang agak lama dengan beberapa pertemuan dan perbincangan diadakan antara masyarakat Melayu dengan anggota parlimen Melayu. Begitu juga dengan badan-badan Melayu setempat. Bait 3 menjelaskan;
Empat dekad berlalu
Anak-anak kerdil yang dulu tunduk termangu
Kini tegak mendongak
Bergerak dan bertindak serentak
Tidak rela tersembam di kaki tugu
Selokanya tidak didengari
Bicaranya tidak memberi inspirasi !

Akhirnya persetujuan dicapai. Program bahasa Melayu hingga ijazah kepujian dalam bahasa dan kesusasteraan Melayu di Institut Pendidikan Nasional (NIE) akan bermula pada 2001. Perkara ini diumumkan dalam satu sidang media di Kementeriaan Pendidikan pada 30 Januari 2000, oleh Menteri Pendidikan, Laksamana Pertama (kerahan) Teo Chee Hean. Anjakan ini berlaku berikutan ucapan Perdana Menteri, Encik Goh Chok Tong di rapat Hari kebangsaan 1997. Beliau mengatakan bahawa pemerintah perlu mewujudkan elit cendikiawan Cina sekaligus mengatasi masalah kelemahan bahasa Cina dikalangan penuntut yang bijak. Kesannya memnfaatkan bahasa Melayu. “Kelopak enam” iaitu Majlis Pusat juga tidak ketinggalan menggerakkan jentera membela usaha murni ini yang digambarkan dalam bait 4;

Masa demi masa.
Daya usaha yang tidak kenal jera
Anak-anak zaman wira ibunda
Berupaya melahirkan bicara
Lewat ‘kelopak enam’ lambang pembela
Pejuang gigih yang berwibawa

Implimentasi sistem pendidikan ibunda yang baru ini semakin progresif. Program pilihan (elektif) bahasa Melayu bagi sekolah menengah di sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang dan program pilihan (elektif) bahasa Melayu bagi peringkat “A” di maktab rendah Tampines serta program pilihan bahasa Melayu Mudah (MLB) bagi menengah atas untuk pelajar yang lemah dalam bahasa Melayu dimulakan. Ketangkasan usaha ini dijelaskan dalam bait 5;
Perjalanan semakin pantas
Menuju cita-cita mendaulatkan suara bicara
Warisan ibunda yang kesasar lama.

Hasrat Aliman Hassan melihat bahasa ibunda di kemuncak akhirnya menjadi realiti setelah menunggu selama 27 tahun. Segala kekecewaan yang pernah dirasai beliau kesan perubahan polisi pendidikan demi penakatan negara akhirnya berubah menjadi sinaran cahaya kesuburan yang membuka kembali kelopak bahasa ibunda yang suatu masa kuncup dan layu. Harapan beliau agar terhasil kelak golongan elita Melayu yang sebenar iaitu pencinta bahasa dan bangsa. Elita Melayu hasil ukiran tangan pendidik watan yang berkaliber. Bait terakhir ini menggambarkan;

Setelah empat dekad terpacu
Lewat lorong berliku;
Setelah memberi dan menerima
Penuh prihatindan timbang tara;
Penuh dedikasi dan jatidiri
Terpancarlah kini harapan di tugu lama
Tempat kita berseloka dan berbicara :
Maka terangsanglah minat
Terdoronglah tekad
Mantaplah hendaknya suara bicara berdaulat
Tegak terjulang di tugu empat
Didokong wira-wira berhemat
Semoga gemilang suara bicara,
Berabad-abad !

Sajak-sajak hasil Aliman Hassan bergerak sejajar dengan perkembangan sejarah pengajaran dan pembalajaran bahasa ibunda di Singapura. Penyajak berjaya merealisasikan tanggapan dan harapan beliau dengan berkesan. Bahan kesusasteraan pada zaman-zaman tertentu disesuaikan dengan keperluan zaman itu. Sajak pertama Aliman Hassan memberikan kepentingan kepada sajak kedua beliau yang diterbitkan 27 tahun kemudiannya dan sekaligus menjadi bahan dokumentasi sejarah dalam media estetik.

0

Add a Comment