Blog / News

Sastera & Masyarakat

Posted by:

Sastera sering melambangkan perlakuan sesebuah masyarakat sehingga ia dapat merakamkan keadaan sesebuah masyarakat selaras dengan keadaan sesuatu zaman.

Hayati filem berikut dan berikan pandangan kamu bagaimana sastera melahirkan kedudukan sesebuah masyarakat di dalamnya dan bagaimana kesan jangka panjang perlakuan budaya tersebut digambarkan oleh sastera:
http://www.youtube.com/watch?v=aQBZw9dgNIY&NR=1

10

Discussion

  1. syahirah nabilah  March 31, 2009

    Filem “Pendekar Bujang Lapok” menggambarkan sebuah Masyarakat Melayu lama yang percayakan “Mambang” dan menggunakan mantera dan jampi untuk beberapa perkara seperti mempelajari silat dalam filem tersebut. Kedudukan Masyarakat pada masa itu juga agak rendah kerana ramai yang tidak tahu membaca dan menulis. Sastera menggambarkan kesan jangka panjang perlakuan budaya tersebut dengan mendokumentasikan budaya itu melalui filem yang dapat mempengaruhi sesiapa yang menonton filem tersebut. Melalui pendokumentasian, sastera merakam budaya masyarakat pada zaman tersebut dan dapat memberi kesan jangka panjang.

    (reply)
  2. knl  March 31, 2009

    Sastera merupakan rakaman sosial yang terbaik. Sebuah hasil sastera dapat memberikan gambaran sosial yang jelas dan tepat tentang keadaan sekeliling. Sebagai contoh, jika sajak-sajak Allayarham Masuri S.N dikaji, ia dapat memberikan gambaran tentang keadaan zaman perang di Singapura. Oleh itu, generasi zaman sekarang dapat diberikan satu gambaran jelas tentang masyarakat pada masa itu. Contoh Pendekar Bujang Lapok yang diberikan merupakan satu gambaran di mana masyarakat sangat mempercayai unsur-unsur ghaib seperti ‘mambang’ ataupun makhluk-makhluk halus. Pelbagai alat digunakan untuk melindungkan diri seperti mantera, jampi, serapah dan sebagainya. Oleh itu, wujudnya jenis sastera ini memberikan penjelasan bahawa masyarakat pada masa itu mempercayai unsur-unsur seperti itu. Pada zaman ini, sastera masih lagi berperanan sebagai satu rakaman sosial. Cerpen dan sajak yang dilahirkan memberikan satu gambaran baik tentang keadaan sosial sekarang. Di Singapura, sebagai contoh buku ‘ Diari Hitam’ yang ditulis oleh penghuni Pertapis memberikan rakaman sosial tentang keadaan masyarakat moden di Singapura. Cerpen-cerpen ini memberikan gambaran tentang masyarakat yang hidup terombang-ambing tanpa landasan moral mahupun agama. Gejala-gejala yang diketengahkan di dalam cerpen-cerpen tersebut merupakan gejala yang benar-benar wujud dalam kalangan masyarakat Melayu Singapura. Dengan funsgi sastera sebagai pendokumentasian, kesannya sangat berguna. Generasi akan datang akan dapat satu gambaran baik dan jelas tentang masa dan masyarakat sebelum mereka. Karya-karya sastera ini akan tetap dikaji oleh generasi yang akan datang untuk meraih fahaman tentang zaman lalu.

    (reply)
  3. knl  March 31, 2009

    Knl ialah nurul fasha binte samsudin.

    (reply)
  4. Nur Ilham  March 31, 2009

    Saya kagum dengan cara sesuatu mesej positif itu diselitkan dalam filem ‘Pendekar Bujang Lapok’. Unsur komedi digunakan sebagai katalis untuk menyampaikan mesej tentang betapa pentingnya pendidikan itu dalam kehidupan seharian. Misalnya, seseorang yang ingin menuntut ilmu ‘mambang’ daripada Tok Guru juga perlu tahu menulis dan membaca untuk merakamkan jampi serapah yang diajarkan Tok Guru. Filem Melayu seawal era 60-an telah menampilkan visi dan wawasan untuk memajukan bangsa meskipun dalam bentuk yang amat simpel. SIMPEL, tetapi berkesan. Malangnya, filem-filem dan rancangan Melayu masakini lebih tertumpu kepada tema percintaan monyet para remaja dan cerita-cerita yang hanya meninggalkan kesan emosi (itupun kepada khalayak remaja dan golongan makcik-makcik yang mudah terhibur dengan apa sajian hiburan) yang tidak memberi apa-apa faedah dari segi keilmuan atau kerohanian kepada khalayak penonton.

    (reply)
  5. MissVanity  March 31, 2009

    Filem “Pendekar Bujang Lapok” merupakan sebuah filem lama yang memaparkan keadaan sosial masyarakat pada waktu itu. Ia dapat dianggap sebagai bahan sastera. Terdapat unsur-unsur kepercayaan kepada ‘mambang-mambang’ di dalam masyarakat Melayu dahulu. Filem ini juga dapat dijadikan bahan sastera kerana mempunyai pengajaran, selain menggambarkan keadaan sosial masyarakat di kampung-kampung. Budaya orang Melayu juga dapat dilihat. Contohnya, silat, nilai-nilai orang Melayu yang menjaga kebajikan tetamu dan kepercayaan mereka.Kesan jangka panjang budaya di dalam filem ini digambarkan oleh sastera dengan mudah kerana mempunyai unsur-unsur komedi atau adegan-adegan yang melucukan. Unsur-unsur ini dilakukan untuk menarik minat para penonton. Itulah sebabnya ramai orang-orang Melayu sekarang masih menonton filem-filem seperti ini kerana ianya sangat menarik dan memberi kesan kepada mereka secara mendalam memandangkan terdapat banyak pengajaran di dalam filem-filem ini. Selain hiburan, filem seperti ini merupakan satu rakaman sosial dan keadaan zaman tersebut yang dapat dijadikan kenangan bagi orang-orang yang hidup pada zaman itu.

    (reply)
  6. Sayembara  March 31, 2009

    Sastera memainkan peranan penting dalam menggambarkan keadaan sosial dan weltanschauung sesebuah masyarakat pada sesuatu zaman atau era. Setiap zaman atau era pasti akan melalui perubahan supaya selaras dengan perkembangan semasa. Jadi dalam erti kata lain, sastera juga berfungsi sebagai bahan dokumentasi bagi rujukan masa hadapan. Contohnya dalam cerita Bujang lapok, agenda utama pengarahnya ialah untuk memaparkan sikap, pemikiran dan kepercayaan masyarakat Melayu era 60-an. Antara yang berjaya ditinjolkan ialah kepercayaan masyarakat Melayu era tersebut terhadap kewujudan mambang, penggunaan mantera sebagai pendinding, kepentingan pendidikan, sikap hormat pada guru dan sebagainya. Bahan-bahan dokumentasi sebeginilah yang dapat membantu generasi zaman milieu ini untuk melihat kembali sejarah dan medalami pemikiran masyarakat zaman dahulu di samping mengambil nasihat dan pengajaran agar dapat dijadikan iktibar. Oleh yang demikian, dapatlah disimpulkan bahawasanya sastera merupakan sesuatu yang tidak ternilai harganya.-Nur Hafizah Binte Mohd Rashib

    (reply)
  7. aida norliza  March 31, 2009

    Sastera mempunyai nilai estetik yang berkesanan dalam menarik perhatian masyarakat zaman dahulu. Mantera sebagai salah satu genre sastera diketengahkan dalam filem “Pendekar Bujang Lapok” menggambarkan kepercayaan zaman animisme kerana mantera yang digunakan menyeru kepada “Mambang” yang dipercayai mempunyai kuasa untuk melindung mereka. Dengan ini, kita dapat menilai bahawa mantera wujud sebelum kedatangan Islam. Kesan daripada unsur sastera ini memberi gambaran tentang kejahilan masyarakat zaman dahulu dan ternyata golongan masyarakat yang masih mempraktikkan “mantera” dlam meyeru sesuatu kuasa adalah bertentangan dengan ajaran Islam. Ternyata kepercayaan ini penting dalam memperlihatkan peredaran zaman dalam sistem kepercayaan masyarakat Melayu. Zaman 60-an di mana filem itu dihasilkan, sebenarnya sudah menerima Islam, iaitu Allah yang Maha Berkuasa, maka itu adegan mantera diketengahkan sebagai adegan lucu yang tidak harus diambil serius sebagai satu kepercayaan zaman itu dan seterusnya.

    (reply)
  8. dawn-scribbles  March 31, 2009

    Filem “Pendekar Bujang Lapok” ialah contoh yang baik untuk melihatkan kedudukan sesebuah masyarakat dan merupakan rakaman sosial yang baik. Jelas bahawa masyarakat dahulu mengamalkan penggunaan mantera, berdasarkan dengan “mambang-mambang” yang dinyatakan dalam filem tersebut. Masyarakat dahulu juga rata-rata tidak pandai membaca dan buta huruf tetapi malu untuk mengaku. Ini menggambarkan budaya masyarakat Melayu yang malu untuk melakukan sesuatu yang sudah pasti akan mendatangkan kebaikan kepada diri mereka. Masyarakat sekarang yang menonton filem ini akan menyedari hakikat bahawa pelajaran itu penting, terutama dalam dunia globalisasi ini. Filem ini akan sentiasa ditonton kerana mengambarkan kedudukan dan pemikiran masyarakat zaman dahulu untuk tatapan dan kajian masyarakat sekarang.-Nurshamira Johari

    (reply)
  9. addique_miee  April 1, 2009

    Sastera boleh dijadikan sebagai suatu pendokumentasian masyarakat pada suatu zaman itu. Melalui klip video ‘Bujang Lapok’ yang singkat, dapat dilihat keadaan masyarakat pada masa itu. Mereka masih memppercayai akan unsur magis seperti membaca mantera untuk keselamatan diri. Di samping itu dapat dilihat bahawasanya masyarakat pada zaman itu kebanyakannya buta huruf. Namun demikian, melalui klip singkap itu dapat dilihat bahawa pendidikan diannggap penting kerana mereka mempraktikkan disuruh untuk belajar agar mendapat ilmu yang lebih.

    (reply)
  10. mynura  April 1, 2009

    Filem boleh dianggap sebagai salah satu wadah untuk mendokumentasikan kehidupan sebuah masyarakat. Ini bersesuain dengan ruang, masa dan konteks kehidupan zaman itu dihidupkan. Filem bujang lapok ini juga tidak terkecuali dalam hal ini. Pendekatan yang digunakan di dalam filem ini bercorak komedi. Namun demikan, melalui filem ini nyata dapat dilihat kehidupan masyarakat Melayu pada satu ketika untuk dijadiakan sebagai satu kritikan sosial. Unsur komedi pula sengaja diselitkan sebagai bahan hiburan kepada tantapan umum.Melalui filem ini, dapat dikatakan bahawa masyarakat Melayu mempunyai identitinya yang tersendiri. Ini hasil daripada pengunaan mantera di dalam kehidupan seharian masyarakat Melayu dan silat sebagai satu seni mempertahankan diri orang-orang Melayu. Selain itu, masyarakat pada zaman itu kurang menitikberatkan pendidikan di dalam kehidupan mereka. Jelas bahawa, kini dapat dilihat berlakunya perubahan pada pemikiran masyarakat Melayu. Kesan kepada rakaman sebegini ialah ia dapat memberi peluang kepada generasi mendatang yang akan menjadi pelapis bangsa untuk mengenali dan menilai sendiri kehidupan dan identiti masyarakat mereka yang semakin kepupusan.

    (reply)

Add a Comment