Blog / News

Dinamisme Bahasa

Posted by:

Bahasa Melayu dewasa ini melalui satu fasa yang amat merisaukan. Lebih banyak perubahan bahasa yang dilakukan oleh media massa secara wewenang tanpa memikirkan implikasi perbuatan tersebut. Bahasa Melayu sering menjadi mangsa kepada keserakahan bahasa Inggeris sehinggakan virus bahasa Inggeris memakan bahasa Malaya secara berperingkat sedikit demi sedikit. Semua ini berlaku atau dilakukan atas alasan dinamisme. Demi masa orang Melayu tidak lagi mempunyai bahasa khususnya dalam bidang ilmu kerana diambil alih bahasa Inggeris. Akibatnya, generasi terkemudian lebih malu untuk mengakui dirinya orang Melayu.
Setakatmanakah keadaan ini terus mencengkam bahasa Melayu di Singapura?
11

Discussion

  1. ShAz  March 31, 2009

    Di Singapura, masalah kesilapan menggunakan Bahasa Melayu juga wujud. Gejala ini berlaku di akhbar, berita, televisyen, majalah dan sebagainya. Ini disebabkan kepakaran dalam bidang bahasa yang kekurangan di Singapura. Pada zaman ini, kebanyakan orang Melayu tidak menggunakan bahasa Melayu untuk bertutur. Ibu bapa dan anak-anak berbual dalam bahasa Inggeris kerana bahasa Inggeris yang dianggap sebagai bahasa global. Akibatnya, bahasa Melayu dipinggirkan oleh masyarakat Melayu sendiri. Justeru, ramai belia tidak lagi menggunakan bahasa Melayu di luar bilik darjah. Selepas sekolah menengah ataupun maktab rendah, belia – belia ini melanjutkan pelajaran dalam kursus yang hanya menggunakan bahasa Inggeris. Contohnya, mereka mengambil kursus diploma dalam pengajian Mass Communications ataupun perhubungan massa. Selepas itu, mereka menceburi dunia akhbar Melayu ataupun berita Melayu. Mereka tidak mempunyai asas pendidikan bahasa Melayu yang kuat. Itu yang menyebabkan kesilapan bahasa yang terdapat di akhbar mahupun berita. Masalah ini berbahaya kerana masyarakat Melayu menggunakan wahana – wahana ini untuk menimba ilmu. Mereka menggunakan akhbar dan berita untuk meraih maklumat. Malahan, pelajar-pelajar di sekolah rendah dan menengah juga digalakkan membaca akhbar untuk meningkatkan mutu Bahasa Melayu. Keadaan ini mengerunkan kerana masyarakat diberi ilmu yang salah oleh pihak – pihak tertentu. Akibatnya, ilmu yang salah ini disebarkan dan diaplikasikan oleh masyarakat yang menerima. Lantas, ‘wabak kesilapan bahasa’ akan terus membiak dalam kalangan masyarakat dan akhirnya, merosakkan mutu Bahasa Melayu di Singapura.

    (reply)
  2. ShAz  March 31, 2009

    Shaz ialah Nurul Fasha Binte Samsudin

    (reply)
  3. dawn-scribbles  March 31, 2009

    Keadaan bahasa Melayu sekarang nampaknya sedang mengalami budaya bahasa yang kacau. Masyarakat Melayu zaman sekarang lebih mementingkan bahasa Inggeris daripada bahasa Melayu mereka sendiri kerana bahasa Inggeris merupakan bahasa dunia. Martabat bahasa Melayu di Singapura sudah merosot kerana masyarakat lebih gemar bertutur dalam bahasa Inggeris. Pengaruh bahasa Inggeris terlalu kuat di kalangan masyarakat Melayu sehinggakan rancangan-rancangan televisyen, rencana-rencana di akhbar dan majalah Melayu akan menggunakan kekata Inggeris walaupun ada perkataan Melayu yang lebih sesuai. Sebagai contoh, ‘pengacara’ ditukar kepada ‘hos’. Para penulis di akhbar mengambil jalan mudah semasa memperterjemahkan rencana yang mulanya ditulis dalam bahasa Inggeris kepada bahasa Melayu. Gejala seperti ini membuktikan bahawa evolusi bahasa Melayu telah menjadikan bahasa Melayu menjadi dinamis. Namnu demikian, dinamisme bahasa Melayu telah disalahgunakan kerana penulis-penulis Melayu kita mengambil jalan mudah dengan menggunakan perkataan-perkataan Inggeris di dalam tulisan mereka. Akibatnya, masyarakat, khususnya para pelajar akan turut terikut dengan ajaran songsang ini kerana sudah dididik untuk membaca akhbar Melayu jika mereka mahu meningkatkan mutu bahasa Melayu mereka. Media massa telah mencemarkan bahasa ibunda mereka sendiri. Tanggungjawab mereka ialah untuk melestarikan bahasa Melayu, tetapi mereka tidak mempunyai ilmu dan penggunaan bahasa yang tinggi. Jika penyelewengan bahasa ini dibiarkan, bahasa Melayu akan rosak dan masyarakat akan kehilangan sebahagian daripada identiti dan budaya mereka.Kita seharusnya mengikut jejak langkah bangsa Perancis yang amat bangga terhadap bahasa mereka. Ketahuilah bahawa bahasa jiwa bangsa, hilang bahasa hilanglah bangsa.-Nurshamira Bte Johari

    (reply)
  4. Sayembara  March 31, 2009

    Fenomena bahasa sudah lama malanda masyarakat Melayu di Singapura. Malangnya, isu ini sentiasa dipandang enteng dan ada kalanya juga tidak diambil peduli langsung oleh masyarakat. Akibatnya, bahasa Melayu semakin hari semakin tidak mendapat tempat di hati generasi dalam zaman milieu ini. Pelbagai usaha telah dilakukan bagi melestarikan kembali kegemilangan bahasa Melayu di kalangan penuturnya. Antara usaha yang giat dijalankan termasuklah menggalakkan tabiat membaca buku-buku bahasa ibunda menerusi kempen-kempen seperti Read Singapore dan Bulan Bahasa. Tabiat membaca ialah satu aktiviti yang membawa banyak manfaat dan amatlah digalakan. Seseorang yang rajin membaca akan dapat menambah penguasaan ilmu pengetahuan dan juga ‘kamus’ kosa katanya. Bahan bacaan tidaklah harus dihadkan kepada buku-buku akademik sahaja. Sebaliknya, ia juga boleh merangkumi bahan-bahan bacaan lain asalkan bahan bacaan tersebut dapat menambahkan ilmu pengetahuan dan penguasaan bahasa. Selain itu juga, terdapat usaha-usaha lain yang giat dijalan contohnya Bibliotheraphy, Program Bingkas Belia dan Bintang Olimpik Impian yang dianjurkan oleh Pihak ASAS’ 50. Usaha-usaha yang dilakukan ASAS’50 adalah bertujuaan untuk mengubah tanggapan umum bahawa sastera itu tidaklah membosankan seperti yang disangkakan dan menggalakkan penggunaan bahasa Melayu yang tepat dalam penulisan serta perbualan.Semua pihak perlu memainkan peranan dalam mengembalikan kegemilangan bahasa Melayu yang semakin pupus tetapi kita hanya memerlukan sekumpulan manusia sahaja untuk melumpuhkan usaha-usaha ini dan manusia-manusia itu terdiri daripada anggota-anggota pihak media massa. Jika ditinjau dengan teliti, lebih banyak perubahan bahasa yang dilakukan oleh media massa secara wewenang tanpa memikirkan implikasi perbuatan tersebut. Perkara ini tidak boleh dibiarkan kerana media massa merupakan medium yang mudah mempengaruhi manusia. Kajian pernah membuktikan bahawasanya kebanyakan kanak-kanak akan meniru apa yang ditonton atau didengar di televisyen. Jadi, dapatlah dilihat betapa kuatnya pengaruh media massa terhadap kehidupan seseorang terutamanya kanak-kanak yang bakal mewarisi bahasa dan budaya Melayu. Jika kanak-kanak ini menerima dan menyampaikan maklumat yang salah tentang bahasa Melayu, bererti generasi-generasi seterusnya juga akan turut mendapat maklumat yang tidak benar. Akhbar-Akhbar Melayu juga sering menggunakan bahasa Melayu yang songsang dan mengambil istilah-istilah Inggeris lalu memuatkannya ke dalam rencana akhbar mereka sedangkan sebenarnya wujud perkataan tersebut dalam bahasa Melayu. Mungkin disebabkan itu apabila murid-murid membaca akhbar The Straits Times, mereka dapat melihat perubahan dari segi penguasaan bahasa Inggeris mereka tetapi apabila aktiviti ini dilakukan Berita Harian, kesannya tidak begitu menonjol.Jika bahasa Melayu terus dianaktirikan dan dimusnahkan oleh masyarakat penuturnya sendiri, tidak mustahil baginya untuk pupus seperti bahasa Latin. Tindakan tegas terhadap mereka yang cuba merosakkan bahasa Melayu hendaklah segera diambil sebelum nasi menjadi bubur. Pada saat itu jika kita menangis air mata darah sekalipun tidak ada gunanya kerana kita sendiri yang mencari ‘penyakit’. Akhir kata, tepuk dada, tanyalah selera.

    (reply)
  5. Sayembara  March 31, 2009

    Sayembara ialah Nur Hafizah Binte Mohd Rashib

    (reply)
  6. syahirah nabilah  March 31, 2009

    Bahasa Melayu semakin lama semakin banyak telah dirosakkan. Perkara ini berlaku apabila media massa tidak mengahrgai baahasa dan mencampur adukkan bahasa Melayu dengan bahasa inggeris.Suratkhabar,radio dan televisyen memainkan peranan penting dalam mempengaruhi masyarakat. Bahasa Melayu semakin lama digantikan dengan Bahasa Inggeris. Contohnya perkataan “Berkesan” kadangkala digantikan dengan perkataan ” Efektif”. Perkataan Efektif diambil daripada perkataan Bahasa Inggeris, “Effective”. Ramai lebih gemar menggunakan perkataan yang dipinjam daripada Bahasa Inggeris. Keadaan ini masih boleh dibaiki jika ramai yang prihatin terhadap keadaan Bahasa Melayu dan mengambil langkah untuk memelihara Bahasa Melayu. Masyarakat Melayu tidak sepatutnya membiarkan masalah Bahasa ini berterusan kerana kelak di masa hadapan akan berlaku kerosakan bahasa dan Bahasa Melayu akan pupus jika masalah ini tidak dikawal. Bahasa Melayu juga akan kehilangan ideniti mereka sendiri jika ini berlaku.

    (reply)
  7. Nur Ilham  March 31, 2009

    Pada pendapat saya, penggunaan bahasa Melayu yang diinggeriskan (contohnya perkataan ‘maklumat’ menjadi ‘informasi’) berpunca dari hasil karya yang dikelolakan oleh para penulis media massa yang sememangnya bukan ahli dalam bidang bahasa Melayu. Para penulis (juga editor) ini kebanyakanya berlatarbelakangkan pendidikan jurusan media bahasa Inggeris. Justeru, mereka menggunakan kaedah ‘penginggerisan’ bagi memudahkan tugas mereka dalam hasil-hasil karya seperti penulisan artikel dan sebagainya. Mereka tidak sedar (atau tidak peduli) bahawa bahan cetakan seperti akhbar terutamanya, merupakan bahan bacaan atau rujukan bagi masyarakat yang melanggani hasil terbitan mereka. Jika ditegur, istilah ‘dinamisme’ adalah perisai pertahanan mereka. Istilah dinamisme ‘mengharamkan’ yang ‘halal’ (pernyataan kegemaran seseorang yang saya kenali). Generasi sekarang yang lebih terdedah kepada bahan bacaan bahasa Inggeris, kebanyakannya hanya terdedah kepada bahan bacaan bahasa Melayu apabila mereka membaca akhbar dan majalah bahasa Melayu. Justeru, mereka pasti akan menganggap penggunaan bahasa Melayu dalam media cetak (akhbar, majalah, dsb) itu adalah betul; sebulat-bulatnya. Tidak hairanlah, sekiranya golongan muda hari ini mempunyai kosa kata yang terhad apabila dipantau cara mereka bertutur dan menulis dalam bahasa Melayu. Penggunaan bahasa Melayu yang baik dan betul kini dianggap boleh dihasilkan oleh para sasterawan dan penulis yang terkemuka sahaja, dan mustahil bagi khalayak biasa.

    (reply)
  8. MissVanity  March 31, 2009

    Perkataan-perkataan dalam bahasa Melayu di Singapura sering digantikan dengan perkataan-perkataan bahasa Inggeris. Lebih-lebih lagi di dalam media massa. Perubahan bahasa ini akan terus berlaku selagi media massa terus mencampur-adukkan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris. Lama-kelamaan, bahasa Melayu akan hilang kerana penggunaan perkataan-perkataan Inggeris yang terlalu banyak di dalam bahasa Melayu. Maka, akan hilang keistimewaan bahasa Melayu itu.Orang Melayu akan kehilangan bahasa mereka sendiri kerana menggunakan perkataan Inggeris secara sewenang-wenangnya ketika bertutur ataupun menulis dalam bahasa Melayu. Contohnya, perkataan ‘stress’ sering menggantikan perkataan ‘tekanan’. Frasa ‘program televisyen’ juga sering menggantikan frasa ‘rancangan televisyen’. Perkataan dan frasa-frasa seperti ini yang akan meruntuhkan keunikan serta keistimewaan bahasa Melayu. Media massa merupakan sebab utama mengapa bahasa Melayu semakin tidak digunakan oleh ramai. Tanpa disedari, media massa mempengaruhi penggunaan bahasa Melayu di dalam kalangan masyarakat Singapura. Segala perubahan bahasa yang dilakukan oleh media massa akan turut digunakan oleh masyarakat. Ramai yang berfikir bahawa bahasa di suratkhabar Berita Harian merupakan bahasa Melayu yang betul seratus peratus. Walhal, terdapat banyak kesilapan bahasa di dalamnya. Penggunaan bahasa Melayu di kalangan masyarakat akan terjejas kerana ramai yang mencontohi bahasa di radio dan suratkhabar. Kebanyakan guru-guru di sekolah menyuruh anak-anak murid mereka mencontohi bahasa di dalam suratkhabar. Maksudnya, kesilapan bahasa atau perkataan-perkataan yang diambil dari bahasa Inggeris akan digunakan dan disebarkan secara meluas dan terus-menerus.Bangsa Melayu harus menghargai dan menggunakan bahasa Melayu yang sebenar supaya ia tidak akan pupus.

    (reply)
  9. addique_miee  March 31, 2009

    Tidak dapat dinafikan bahawa Bahasa Malayu sedang melalui satu fasa yang membimbangkan. Malah, dapat dilihat dengan jelas betapa Bahasa Malayu dianggap remeh oleh masyarakat Melayu sendiri. Bahasa Malayu sudah seolah-olah tidak mempunyai nilai di kalangan masyarakatnya sendiri.Media massa merupakan wadah yang paling berkesan dalam menggapai segala lapisan masyarakat dari segala peringkat umur. Media massa yakni media cetak mahupun media elektronik merupakan satu wadah yang luas. Lantas, pengaruh media terhadap masyarakat amatlah besar. Namun demikian, sayangnya, media massa juga tidak mengambil berat akan kegunaan Bahasa Melayu mereka. Lebih memburukkan lagi keadaan, mereka menggunakan bahasa dengan sewenang-wenangnya seolah-olah apa yang mereka lakukan itu tidak salah. Mereka jugalah yang menyumbang kepada kemusnahan Bahasa.Usah gunakan alasan dinamisme untuk menukar Bahasa dengan sesuka hati. Setiap Bahasa itu mempunyai keunikannya yang tersendiri. Lantas, keunikan itu patut dikekalkan sebagai suatu lambang identiti kepada masyarakat Melayu. Virus bahasa Inggeris yang sedang memakan Bahasa Melayu hanya akan membawa kemusnahan kepada Bahasa Melayu pada masa akan datang. Kita tidak patut hanya menopang dagu dan melihat kejatuhan Bahasa Melayu yang sedang berlaku secara berperingkat ini. Masyarakat Melayu perlu bagun dan sedar akan kemusnahan yang sedang berlaku ini. Jika tiada siapa yang peduli, tidak musthil bahawa Bahasa Melayu akan pupus dimakan zaman. Maka dengan itu akan lenyap jugalah bangsa Melayu. Jika tidak orang Melayu sendiri yang melestarikan bahasa ibunda mereka, siapa lagi?-Sri Syazwani

    (reply)
  10. aida norliza  March 31, 2009

    Bahasa Melayu diibaratkan sebagai bahasa yang sudah lapuk kerana lahirnya istilah-istilah Inggeris yang menggantikan penggunaan bahasa Melayu. Contoh di akhbar Berita Harian, perkataan foto (photo) digunakan walaupun terdapat perkataan gambar yang menjelaskan makna yang sama.Media massa seperti televisyen merupakan wadah paling cepat mendekati dan mempengaruhi masyarakat. Istilah Inggeris digunakan dengan menggabungkan penggunaan bahasa Melayu pada tajuk rancangan yang dihasilkan dan diterbitkan seperti; Muzika Extravaganza, Nenekku Superspy dan K-Nite kerana merasakan istilah Inggeris lebih berkesan dalam menarik perhatian masyarakat. Generasi baru tentunya semakin cetek dalam penguasaan kosa kata bahasa Melayu kerana berlakunya fenomena sedemikian.Forum ini turut membuktikan bagaimana pengaruh Inggeris telah tersemai dalam kalangan masyarakat kini kerana penggunaan nama-nama gelaran seperti ‘dawn-scribbles’ dan ‘missvanity’. Maka itu, masyarakat harus lebih prihatin untuk mengekalkan penggunaan bahasa Melayu dalam situasi apa sekalipun agar Bahasa Melayu tidak diabaikan sedikit demi sedikit sehingga akhirnya pupus. Hal ini tidak mustahil memandangkan masyarakat Melayu sendiri sudah tidak ingin mengekalkan penggunaan bahasa Melayu.Fenomena menggantikan penggunaan bahasa Melayu dengan Bahasa Inggeris ibarat wabak yang menyerap dan merebak dalam diri yang tentunya membahayakan diri orang Melayu sendiri kerana hilanglah identiti mereka dan tergadailah anugerah Tuhan yang istimewa ini.

    (reply)
  11. mynura  April 1, 2009

    Keadaan Bahasa Melayu yang sentiasa di pengaruh bukan satu fenomena baru yang sedang berlaku di dalam masyarakat. Mayarakat Melayu telah mula meminggirkan Bahasa Melayu. Hal ini telah terbukti dengan ramai yang telah mula berasa kekok untuk menggunakannya. Permasalahan ini berlaku meliputi pelbagai peringkat usia lantas tidak menghairkan jika fenomena ini telah menjejas generasi muda masa kini. Kepentingan Bahasa Ingeris semakin terserlah dengan Bahasa Ingeris sering dianggap sebagai sebuah bahasa yang mempunyai nilai ekonomi kepada seseorang tanpa mengenal bangsanya. Ramai yang telah tertarik untuk mempelajari mahupun mendalami Bahasa Ingeris ini kerana mengetahui akan kelebihan dan manfaatnya. Ini telah berjaya mengangkat naik martabat Bahasa Ingeris untuk dianggap sebagai satu keperluan asas seharian untuk seseorang menjalani kehidupannya. Media masa yang menjadi satu wadah tantapan mahupun bacaan umum seolah-olah menggalak permasalah ini untuk terus menular di kalangan masyarakat. Isi dan penggunaan bahasa di media masa ini jelas menunjukkan penggunaan dan kehebatan Bahasa Melayu ini kelihatan semakin hilang kekuasaannya. Seringkali, peminjaman kata-kata daripada bahasa asing untuk menerangkan jelas bukan usaha mendinamiskan. Sebaliknya, ia menunujukkan seolah-olah Bahasa Melayu ini ialah sebuah Bahasa yang tidak diperkaya.

    (reply)

Add a Comment