Perlu 1.0

Kita perlu berasa sedih untuk memahami erti kebahagian.

Kita perlu mengalami kehilangan untuk mengerti syukur.

Kita perlu buat salah jika tidak apakah yang betul.

Kita perlu melalui penyesalan barulah kita insaf.

Namun kita tidak perlu mati untuk menikmati erti kehidupan.

Dan kita hanya perlu muhasabah untuk mengerti siapa diri.

Malam Puisi

Malam Puisi

Ingin aku lukis dan corak
bintang di langit biru
supaya malam ini sempurna
teringat kita semua pada nostalgia,

Ingin aku membelah
awan putih di langit senja
supaya terang bulan terpancar
menyuluh tanah temasek sinarnya

Hari ini aku menghembus
bayu malam puisi
yang memecah suasana sunyi
yang menggegar sastera persada seni
menatap pohon-pohon sepi kembali riang
dan melihat dedaun puisi kembali terang.

Ariff Rizwan Sahab
Malam Puisi @ Tun Sri Lanang
04 Jun 2011

 

Jendela

Jendela

Sedangku memikir
Kulihat nun jauh ke jendela
Terbayang  sebentuk kasih
Panjangnya setahun dua
Warnanya yang dahulu cerah bersinar
Kini lelihatan kusam dan hambar
Dan semalam hanya seurat nadi tipis
Kini setebal kenangan manis
Tidak mustahil setawar air muara

Sedangku memikir lagi
Kupandang jauh nun ke jendela
Nostalgia memori kereta kuda
Kenangan mengejar ilmu bersama
Ingatan sangsi ahli keluarga
Semua berjaya ditempuh berdua

Sedangku berehat berfikir
Kujeling tajam nun ke jendela
Diajaknya bersuara tidak
Petah cakapnya mula sebutir kata
Baginya sudah jelas mutiara
Bayangan bayang duka
Dan harapan kaca yang bertaburan

Sedangku merenung jendela
Kuberhenti berfikir
Kuakur akan penantian
Kutunduk pada takdir
Kupercaya akan jodoh
Kumenatap bisikan jendela
Cerminan yang retak
Mula jatuh berkecai ke lantai.

Berakhirlah sebuah harapan
Terhentinya sebuah impian
Inilah namanya kehidupan.

Ariff Rizwan Sahab
7 Jun 2011

Patung Kecil Kita

Patung Kecil Kita

Yang sedihnya juga
setiap anak anak muda
tiada lagi sikap nationalisme mereka
kerana negara tercinta hanyalah patung kecil
kepada gergasi besar China
dan taman permainan golongan berada,

Yang sedihnya juga
jikalau sesuatu malapetaka
berlaku ke atas patung kecil kita
bangsaku juga yang akan menunggu
dan membantu
bukan mereka gergasi China
bukan mereka di taman permainan,

Yang sedihnya juga
pabila sudah dibaiki pulih
patung kecil kita
dikuasai lagi gergasi China
sekali lagi menjadi taman permainan golongan berada,
dan bangsaku
yang terkontang kanting membanting tulang
kerana patriotisme mereka
akan hanya berdiam menunduk
tidak mengiya mahupun menidak
tiada bersuara apatah meminta
patung kecil kita.

Ariff Rizwan Sahab
17 April 2011
12.40pm

 

Pemimpin Dipimpin Pemimpin

Pemimpin Dipimpin Pemimpin

Pemimpin yang memimpin
juga dipimpin pemimpin dunia
dipilih rakyat biasa
direstu raja raja
tidak mustahil diguling batalion tentera
kerana zalim mereka
yang selembut sutera
bicara kata mereka
bak butiran butiran mutiara
licik sikap mereka
seperti ular beludak
dan telusnya seperti merpati
hanyalah idaman dan mimpi
rakyat yang menanti
sudah bergenerasi-generasi
sehingga hari ini
rakyat tertanya-tanya
apakah pemimpin mereka
seorang pemimpin
yang tegak berdiri memimpin
atau
hanya seorang pemimpin
yang dipimpin pemimpin.

Ariff Rizwan Sahab
24 Mac 2011
8.47pm

 

 

 

 

 

Fikir Mereka

 

Fikir Mereka

Fikir mereka, mereka pandai.
Mereka bijak, mereka kuasa.
Mereka mahir, mereka handal.

Mereka fikir, mereka handal
Disebabkan handal mereka, mereka angkuh
Angkuh untuk menerima bantuan dari awal

Fikir mereka, mereka berkuasa
Hakikatnya, kuasa mereka berabad lalu
Takluk bumi nusantara dahulu
Padahnya harini ditimpa bala

Fikir mereka, mereka mahir
Mahir mencipta teknologi canggih
Benteng penghalang tsunami
pun rebah menyembah bumi

Bijak mereka pula hanya dengan mesen
Mereka lupa dan alpa
Namun, alpa mereka pembuka mata
Melihat sang robot tersadai tanpa guna
Yang bantu kesini kesana
tetap manusia.

Ariff Rizwan Sahab
Isnin, 21 Mac 2011
1.56am

 

Kutafsir Kembali Balada Dolah

Kutafsir Kembali Balada Dolah

Namaku Dolah
tetapi bukan dari keluarga terbuang
ibuku bukan pekerja kilang
ayah bukan seorang penyapu jalan
aku lulus darjah enam cemerlang
tidak pernah mengulang peperiksaan
kini umurku awal dua puluhan
tidak lagi menunggu dipelawa menjadi tentera
dalam menjalani keterpaksaan perkhidmatan negara
namun, abangku masih penagih dadah
sudah limabelas kali masuk drc
dan kini tidak serik serik lagi
tetapi bukan lagi dituduh perogol anak gadis sunti
ibuku tidak pernah asyik di kilang
ayah bukan seorang penjudi
yang tikam nombor ekor
tetapi mengunjung kasino setiap minggu
ayah kini tugasnya mendakwa
anak muda yang memicit buah dada teman wanita mereka
di kawasan jiran tetangga
aku bukan lagi tinggal di rumah pangsa
masih lagi dua bilik sempit bagai reban angsa
tetapi dilengkapi kolam renang
bermandi berendam melihat angkasa

Namaku masih Dolah
tetapi menunggu masuk sekolah jurutera
ayah seorang pendakwa
ibu pula mabuk harta
dan abangku masih di drc
entah bila akan keluar
mungkin lima atau enam tahun lagi

Namaku masih lagi Dolah
tetapi hidupku tidak pernah susah
dan masih tak pernah diajar mengaji
ke masjid jauh sekali
aku masih tak tahu angkat hadas besar
walaupun sudah pandai berahi
ayah tak pernah aku nampak sembahyang
ke masjid mungkin sesekali
ibu pula masih asyik berdansa dan berdandan

Namaku tetap Dolah
tetapi bukan lagi menunggu jadi tentera
dalam perkhidmatan negara
entah bila akan dipanggil
bangsaku pejuang untuk negara

Ariff Rizwan Sahab
15 febuari 2011

 

(sajak asalnya bertajuk “Balada Dolah” ditulis oleh sasterawan Singapura, mohamed latiff mohamed yang diterbitkan di buku atalogi puisi ‘Bila Rama-Rama Patah Sayapnya’ terbitan angkatan sasterawan ’50)


 

 

Isteriku Zelga

Isteriku Zelga

Zelga
Wujudnya  disedari
Munculnya  dinanti
Bernyawakan bateri
Berwajahkan bidadari
Di import sang isteri

Zelga
Rautnya manusia seperti
Lincahnya  bersakti
Kerjanya mutu tinggi
Tarinya penghibur hati

Zelga
Mengenal cinta murni
Merasa kasih abadi
Bertemu tuan kadi
Diajar islam suci
Bateri menjadi isteri

Zelga
Hayat lapan tahun hari
Sampai bateri mati
…Di import sini
…wujudnya disedari
…munculnya dinanti lagi
Lapan tahun lagi
Sampai bateri mati
…Di import lagi,

Ariff Rizwan Sahab
11 Febuari 2011